Monday, May 02, 2011

ANAK TAN SRI MENGEMIS

IPOH: “Setiap kali berasa sunyi dan teringat arwah orang tua terutama bapa, saya akan tidur di kaki lima Jalan C M Yussuf dekat sini kerana jalan ini dinamakan sempena namanya,” kata Che Ahmad Kamil, 61.

Itu pengakuan eksklusif anak Tan Sri Chik Mohamad Yusuf Sheikh Abdul Rahman atau lebih dikenali CM Yusuf yang juga bekas Yang di-Pertua Dewan Rakyat ketiga Malaysia.

Allahyarham CM Yusuf adalah individu kedua paling lama menjawat jawatan itu hampir 10 tahun (25 November 1964 — 3 November 1974) selepas Speaker Dewan Rakyat ketujuh, Tun Dr Mohamed Zahir Ismail yang memegangnya selama 12 tahun empat bulan (14 Jun 1982 —14 Oktober 2004).

Sebagai menghargai jasa dan pengorbanan Allahyarham yang juga Orang Besar Perak serta dikurniakan gelaran Dato Bendahara Perak oleh Sultan Perak, Sultan Yusuf Izzuddin Shah pada 1959, dua jalan di bandar raya ini dinamakan sempenanya iaitu Jalan CM Yussuf dan Bulatan CM Yussuf.

Selain itu, Sekolah Menengah Kebangsaan Dato’ Bendahara CM Yusuf di Tanjung Tualang turut dinamakan sempenanya. Sekolah dibina pada 1965 itu sebelum ini dikenali SMR Tanjung Tualang dan dirasmikan Tan Sri Mohd Khir Johari yang juga Menteri Pelajaran pada Mac 1969 sebelum ditukar nama kepada SMK Dato’ Bendahara CM Yusuf pada akhir 1978.

Hasil perkongsian hidup bersama Toh Puan Zainab, arwah dikurniakan dua cahaya mata iaitu Ahmad Kamil dan kakaknya Esme Mahanee.

Namun kehidupan selesa dilimpahi kemewahan dijalani Ahmad Kamil mula berubah sejak kematian tokoh negara itu pada 26 Jun 1975 disusuli arwah ibunya pada 1982.

“Saya akui hidup dalam kemewahan dan dimanjakan kedua-dua orang tua yang tidak pernah menolak apa saja permintaan saya dan saya dibekalkan ilmu pendidikan terbaik.

“Saya turut mendapat keputusan cemerlang ketika menuntut di Sekolah Menengah Kebangsaan St Michael, antara sekolah terkemuka dengan pencapaian akademiknya di Perak,” katanya sebak.

Ahmad Kamil berkata, disebabkan terlalu bergantung hidup kepada keluarga dan dimanjakan orang tuanya, dia tidak dapat menerima hakikat pemergian bapa dan dirundung kesedihan selama beberapa tahun.

Menurutnya, dalam keadaan hidup tak terurus, beliau terpengaruh dengan ajakan rakan supaya mencuba ‘barang’ baik yang didakwa mampu membantu melupakan kesedihannya.

“Saya mula berjinak dengan ‘ubat’ (heroin) ketika berusia 30-an selepas diberitahu beberapa rakan mengenai keberkesanan dadah jenis ini untuk melupakan tekanan hidup akibat kesedihan dialami.

“Soal wang tidak menjadi masalah ketika itu kerana saya miliki simpanan cukup banyak. Jika kesempitan wang, ibu menjadi tempat dituju dan arwah tidak pernah mengecewakan permintaan saya,” katanya mengimbau permulaan pembabitannya dalam najis dadah.

Ahmad Kamil berkata, beberapa tahun pertama selepas kematian arwah bapa, beliau mengambil heroin dalam jumlah kecil dan hanya pada masa-masa tertentu.

Katanya, kehidupannya menjadi tidak menentu pada 1982 berikutan kematian arwah ibunya dan disusuli kakaknya, Esme Mahanee beberapa tahun kemudian.

“Sejak itu saya menjadi hamba kepada ‘ubat’ dan perlu mengambilnya setiap hari. Saya anggarkan jika tidak kerana dadah, wang simpanan dan peninggalan orang tua saya mampu menyara hidup saya hingga ke tua tanpa perlu bekerja.

“Namun dalam tempoh beberapa tahun, semuanya habis gara-gara membeli dadah hingga saya hilang tempat tinggal. Sejak itu, saya mula melakukan pelbagai kerja untuk mendapatkan wang bagi melepaskan gian,” katanya.

Dalam nada sebak dan sesal, beliau mengakui hidup bergelendangan sejak terjebak dengan najis dadah dan menyara hidup dengan menjual kotak serta tin minuman terpakai.

Namun beliau masih menaruh harapan untuk kembali ke pangkal jalan dan menjalani kehidupan berkeluarga dengan mengikuti rawatan pemulihan secara perubatan tradisional sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Ahmad Kamil berkata, beliau beberapa kali ditahan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Perak Cawangan Daerah Kinta kerana bergelendangan sekitar bandar raya ini.

Malah dalam operasi membanteras dan menyelamat golongan pengemis serta kutu rayau secara besar-besaran dilakukan JKM di bandar raya ini baru-baru ini, namanya turut berada dalam senarai 92 yang ditahan.

Pengarah JKM Perak, Chong Phaik Kee ketika ditemui mengesahkan Ahmad Kamil anak C M Yussuf.


Sumber: sini


AHP: Sekadar sebagai renungan hidup. Ianya boleh terjadi kepada anak sesiapa sahaja. Didikan dan pengisian rohani adalah antara jalan paling berkesan meminimakan kemungkinan. Semoga beliau mampu kembali ke pangkal jalan.