Monday, May 30, 2011

SURAT TERBUKA KEPADA AL FADHIL ALIM ULAMA', TOK-TOK GURU, PARA USTAZ DAN TUAN HAJI TENTANG HIV/AIDS


Al Fadhil Tok-tok Guru, Ustaz dan Tuan Haji…

Semoga Al Fadhil Tok-tok Guru, Ustaz dan Tuan Haji sentiasa dalam rahmat Allah dan istiqamah meneruskan usaha dakwah. Aku pembawa HIV. Maaflah aku cuma menggunakan ganti nama ‘aku’. Kita dengan Allah pun beraku engkau sahaja. Harap ustaz-ustaz bersabarlah dengan sikap jengkelku ini. Kita sama sahaja di sisi Tuhan.

Di awal kemunculannya, HIV/AIDS digambarkan sebagai satu jenis penyakit yang sangat jijik dan memang layak diterima oleh golongan berisiko yang terdiri daripada para penagih dadah, penzina, pelacur dan homoseksual sebagai balasan Allah.

Pembawa HIV dan AIDS dianggap sungguh hina. Mendekati mereka bagaikan menghampiri babi berkudis buruk kepala yang bakal merebakkan penyakit yang tiada penawar. Kejahilan ini sebenarnya terjemahan sikap dungu dan judgemental yang akhirnya bertukar menjadi stigma dan diskriminasi. Begitukah tuntutan Islam terhadap umatnya?

Perlahan-lahan penularan HIV/AIDS mula menunjukkan wajah sebenar. Kadar jangkitan terhadap golongan pekerja seks dan penagih dadah secara suntikan mula menunjukkan penurunan. Mereka semakin pandai mengambil langkah pencegahan. Jangkitan lebih tertumpu kepada pengamal seks bebas. Dalam masa yang sama isteri dan anak-anak pembawa HIV menunjukkan peningkatan jangkitan yang ketara.

Itu belum termasuk jangkitan melalui pemindahan darah atau organ dengan kadar 2.5%. Bermakna setiap 200 orang, ada lima orang mendapat HIV akibat pemindahan darah. Pekerja kesihatan sendiripun ada yang dijangkiti akibat risiko semasa menjalankan tugas.

Setiap hari jangkitan HIV/AIDS  di Malaysia sahaja lebih daripada 10 orang. Jumlah pembawa HIV/AIDS di Malaysia kini hampir 100,000 orang dan ustaz mungkin tak perasan tak perasan, lebih 70% pembawa HIV/AIDS di Malaysia adalah umat Islam!

Adakah Al Fadhil Tok-tok Guru, Ustaz dan Tuan Haji fikir jumlah itu sedikit? Itu belum termasuk golongan yang belum dan enggan didiagnos atas macam-macam sebab.

Sumber? Al Fadhil Tok-tok Guru, Ustaz dan Tuan Haji carilah sendiri di blog ini, internet dan lain-lain sumber. Memanglah ustaz sibuk baca kitab-kitab muktabar tetapi sesekali kenalah baca juga isu semasa. Tak larat aku nak tulis mengikut format assignment, proposal atau thesis. Yang pasti aku tak bercakap bohong.

Saban hari kita bersentuhan, berurusan, berkongsi sudu garpu di restoran atau gerai, bersama menggunakan kemudahan dan pengangkutan awam. Apa sahaja yang orang ramai gunakan, itulah yang mereka gunakan tetapi anehnya masih ada yang takut-takut dan memulaukan ahli keluarga sendiri, mengasingkan dapur dan peralatan makanan jika terdapat anggota keluarga di jangkiti HIV. Adilkah itu?

Akibatnya, ramailah pembawa HIV yang enggan mendapatkan rawatan kerana takutkan stigma, judgmental dan diskriminasi. Tahu-tahu HIV dah makin merebak. Mereka membayangkan HIV itu mati. Memanglah hidup lawannya mati. Orang sihat pun mati. Mati accident tu lagi ramai. Kenapa bersepah yang berani merempit?

Cuba bayangkan apabila pembawa HIV hidup dalam keadaan kecewa dan putus asa. Bukankah keluarga mereka yang tak bersalah menjadi mangsa, ustaz? Siapa yang patut tegur sikap tak betul tu?

Seperkara lagi aku cukup tak berkenan apabila ustaz-ustaz bermati-matian menentang pengagihan methadon, kondom dan jarum secara percuma kepada golongan berisiko. Ye lah, aku pun tak berapa setuju. Nampak seperti menggalakkan pula tetapi sekurang-kurangnya aku faham. Jadi fahami betul-betul dulu rasionalnya. Kemudian kalau nak menentangpun, tentanglah tetapi biarlah dengan alternative.

Tolong beri satu alternative yang dapat kita laksanakan, melibatkan semua golongan agama dan pejuang Islam ni turun pentas ceramah tu sekejap. Bercakap kat forum memang glamour, ustaz. RM masyuk pun cantik! Hehe.. Afwan, ana usik-usik je dengan antum, ustaz!

Jangan asyik menghentam tapi tak tahu apa-apa. Akibatnya ramailah orang awam yang cabul berkata, “padan muka dia orang dapat HIV.” Itu dah termasuk kategori menggalakkan kejahilan dan menghasut. Zaman fitnah dan akhir zaman ni method dakwah kena berbeza sikitlah kut…?   

HIV/AIDS sama sahaja seperti penyakit-penyakit kronik yang lain. Kami mampu hidup seperti biasa sama seperti insan lain.  Bahkan terlalu banyak penyakit kronik lain yang jauh lebih bahaya dan menderita. Contohnya, penyakit Hepatitis jauh lebih bahaya dan mudah berjangkit tetapi stigma yang mereka hadapi tidak sehebat pembawa HIV. Kenapa? Sekali lagi jawapannya ialah akibat kedunguan membuta tuli.

Pembawa HIV/AIDS digambarkan seperti golongan yang kurus kering, berbau busuk, berkudis seluruh badan dan penuh dosa. Mereka dianggap tidak layak hidup seperti orang lain. Akibatnya ada antara mereka dipinggirkan dan tidak dipandang sebelah matapun oleh kebanyakan anggota masyarakat termasuk daripada golongan ahli syurga seperti Al Fadhil Tuan Guru, Ustaz dan Tuan Haji… Itulah buktinya betapa kita begitu mudah menghukum daripada membantu.   

Golongan pembawa HIV sekarang merentas semua batas taraf hidup dan pendidikan. Ramai yang didiagnos HIV positif adalah golongan berpendidikan tinggi, punya karier dan peranan yang mulia dalam masyarakat dan mungkin golongan yang sentiasa membantu kita, tenaga muda professional dan para pelajar IPT.

Majority yang menghubungiku berkongsi rasa hati melalui emel adalah golongan terbabit. Mereka mungkin antara pengundi kita semasa pilihanraya. Mereka memang sangat perlukan golongan agama yang memahami dan dapat membimbing mereka kembali ke pangkal jalan. Penagih dadah (IDU) jalanan tak guna internet, ustaz..!

Jap nak tanya, ustaz clear ke bahawa penyalahgunaan dadah yang tidak menggunakan  jarum suntikan atau berkongsi jarum suntikan yang tidak tercemar dengan darah HIV takkan dijangkiti HIV melalui cara tersebut? Bukan apa, bimbang ustaz tersalah fakta semasa berceramah!

Ya, aku akui ada sebahagian daripada mereka dijangkiti akibat kesilapan lampau. Walaupun sekali mendedahkan diri kepada aktiviti berisiko, tidak mustahil mereka akan dijangkiti tetapi mana lebih besar dosa mereka berbanding golongan yang makan rasuah, menipu rakyat, memecah belah dan menabur fitnah, pecah amanah, melanggan pelacur di luar negara, menggunakan agama untuk kepentingan diri, mengutamakan cronyism dan nepotism? Peliknya ramai yang angguk-angguk kepala dan puji dengan golongan tersebut walaupun tahu diri tertipu ratusan kali. Mentality subsidi!

Sekalipun mereka dijangkiti akibat kesilapan lampau, tetapi dalam masa yang sama mereka juga biasanya adalah mangsa. Mangsa didikan keluarga di rumah, mangsa manipulasi ‘pemangsa,’ dan mangsa system yang hedonism. Jangan nak nafikan, aku lahir daripada sistem sekolah agama, ada juga produk pendidikan agama yang gay. Ada ustaz-ustaz aku yang minat one way entry…

Ikut hukum Islam, mana boleh hukum sebat kepada peminum arak selagi ada kilang arak dan kedai-kedai jual arak merata-rata. Samalah judi dan zina, kan ustaz?

Tapi tak kisahlah, kalau ustaz tak mahu aku pergi jauh-jauh, isunya sekarang adilkah mereka dibiarkan sebegitu rupa akibat kesilapan lampau? Bukankah ujian terhadap mereka adalah ujian terhadap kita juga kerana Allah akan melihat sejauh mana kita berperanan membantu saudara seagama. Ada fardhu ain, ada fardhu kifayah. Tak gitu ustaz?


Kenapa dibiarkan pembawa HIV/AIDS hidup melarat dan merempat? Kenapa bila pihak gereja pungut para pesakit yang terbiar ini dan beri perlindungan di gereja, Al Fadhil Tok-tok Guru, Ustaz dan Tuan Haji tahu pula marah-marah? Ustaz kata ada yang mati dalam keadaan akidahnya meragukan. Habis, kenapa sebelum tu tak kecoh pula? Tanggungjawab siapa tu ustaz?

Aku teringat ketika aku bertugas di Sarawak. Disebabkan di sana Christianization-nya sangat berkesan, aku bertanya kepada penganut Kristian yang tinggal di hulu-hulu sungai, bagaimana mereka mula mengenal Kristian?

Mereka kata paderi dan mubaligh mereka tak banyak cakap. Sanggup ke kawasan-kawasan hulu. Tinggal bersama mereka. Dengar keluhan dan tanya keperluan mereka. Nak sekolah, pakat-pakat gotong royong bina sekolah. Sebelum mampu bina sekolah yang sempurna, ajar dulu basic pendidikan di gereja atau chapel. Mereka tak cerita pun pasal agama secara direct!

Nak rawatan, mereka sediakan nurse. Nak elektrik mereka sediakan generator. Lama-lama kepercayaan dan hormat terbina sendiri. Kita? Nak tengok ustaz-ustaz melawat hospital terutama ziarah pesakit AIDS seperti menunggu gerhana matahari!   

Agaknya bagaimana jika golongan ini menganggap Al Fadhil Tok-tok Guru, Ustaz dan Tuan Haji hanya tahu rhetoric? Cakap tak seperti bikin. Ustaz hanya bercakap di kerusi empuk.

Ustaz kata bahawa segala ujian tanda kasih sayang Allah. Ustaz cakap, beruntung apabila diberi didikan secara langsung oleh Allah. Ustaz kata Allah tak pernah zalim. Ustaz nasihatkan sabar dan redha sebab segalanya terbaik daripada Allah. Ustaz kata kita wajib tolong menolong dan saling memaafkan.

Ustaz kata dan nasihat macam-macam. Ustaz keluarkan segala dalil aqli dan naqli. Mengalir air mata keinsafan tetapi cukup macam tu sahaja ya ustaz? Kerja turun padang ni kerja orang lain. Ustaz sibuk dan tak mahu kotorkan tangan? Zalim biarkan mereka pergi tanpa bimbingan. Cuba bayangkan ianya terjadi kepada anggota keluarga ustaz sendiri, bagaimana rasa agaknya?

Ustaz, penyakit ni bukan semestinya kifarah Allah terhadap penerimanya. Bayi dan kanak-kanak yang berjangkit daripada ibu mereka tu nak minta mereka bertaubat juga ke ustaz? Isteri-isteri yang menjadi mangsa akibat kenakalan suami mereka tu macam mana? Entahlah, aku tak berapa faham, ustazlah tolong jelaskan sendiri. ilmu ustaz-ustaz jauh lebih tinggi.  

Akhir kata, maafkan aku jika surat ni terlalu kasar bahasanya untuk orang semulia Al Fadhil Tok-tok Guru, Ustaz dan Tuan Haji. Aku tak nafikan ada yang sudi menghulurkan tangan tetapi terlalu sedikit berbanding pihak lain. Aku menyampaikan apa yang aku fikir betul. Kalau betul kenalah terima. Kalau aku salah, betulkan aku.

Sekian, terima kasih.


Daripada,
Aku HIV Positif!
29 Mei 2011