Wednesday, May 11, 2011

BERTEMU DR ISKANDAR FIRZADA BIN OSMAN (4) / MENUKAR KOMBINASI HAART...


 Dr. Iskandar Firzada bin Osman

9 Mei 2011,

Lebih kurang setengah jam menunggu, aku dan isteri dijemput oleh Dr. Iskandar. Sebenarnya kali ini aku memang tak sabar-sabar nak berjumpa beliau akibat kesan sampingan yang kutanggung dan bermacam-macam persoalan di fikiranku.

Walaupun tak lama, menunggupun satu penyiksaan kerana aku segan dengan keadaan bibirku yang bengkak terjuih akibat kesan sampingan HAART / ulcer .

Memang betul Dr Iskandar ada memaklumkan beliau boleh dihubungi bila-bila masa perlu dan aku tak meraguinya tetapi sebagai patient aku sangat-sangat menghormati hak dan privacy beliau yang sangat banyak menghulurkan bantuan.

Selepas bersalaman dan bertanya khabar, aku pun menceritakan apa yang aku alami seperti dalam entry sebelum ni.  klik sini

Stocrin

Dr. Iskandar memaklumkan bahawa aku perlu menukar kombinasi HAART iaitu daripada Combivir bersama Hevirapine kepada Combivir bersama Efavirenz (Stocrin). Berdasarkan pemerhatian beliau kemungkinan besar aku alahan dengan ubat yang mengandungi bahan sulfur yang tinggi.

Beliau juga meminta aku berhenti daripada mengambil anti-biotic Co-Trimoxazole kerana anti-biotic tersebut turut mengandungi kandungan yang sama.

Sedikit kelebihan Stocrin berbanding Hevirapine ialah aku hanya perlu mengambilnya setiap 24 jam sekali. Jadi tak perlulah ditelan setiap 12 jam kecuali Combivir. Tetapi jika tak salah aku, kosnya lebih tinggi.

Masalahnya pula ialah aku terpaksa berdepan dengan kesan sampingannya yang baru, antaranya ialah kemungkinan mengantuk yang amat sangat, mimpi ngeri dan sakit kepala. Klik sini. Maklum sahaja, semuanya adalah dadah terkawal.

Hampir menitis air mata apabila Dr. Iskandar dengan  ikhlas menyentuh dan melihat tanda-tanda merah merah di lenganku tanpa rasa prejudice sedangkan aku sendiri sudah mula tidak mengizinkan anak-anak dan isteri-isteriku berbuat demikian.


Bukan aku tak tahu cara jangkitan tetapi kerisauan yang tinggi memerangkap aku. Sejak mengalami kesan sampingan, aku memang tidak keluar rumah dan sentiasa memakai baju lengan panjang untuk menutup bintik-bintik merah di lenganku jika ada tetamu. Siang pakai kemeja, malam pakai jubah bro... hehe!

Begitulah besarnya peranan sentuhan antara Doctor dengan patients atau Counselor dengan clients. Mungkin kadang kala kita tidak menyedari kesan sentuhan tersebut tetapi ianya sangat besar maknanya bagi orang lain termasuk sesama rakan dan ahli keluarga.

Aku juga dimaklumkan bahawa bacaan Viral Load (jumlah virus HIV dalam tubuh) aku adalah sebanyak 24,411.  Jika bacaan CD4ku hanya 46 sel dan bacaan Viral Load pula sebegitu, adakah aku sebenarnya telah sampai ke tahap AIDS? Inilah antara soalan terbesar di fikiranku.

Menurut Dr. Iskandar, bacaan CD4 bawah 200 sel cuma indicator untuk memulakan rawatan HAART. Ianya bukan bermakna individu tersebut telah sampai ke tahap AIDS. Jelas beliau bacaan Viral Load dan CD8ku masih ok. Tiada apa-apa symptoms penyakit opportunistic bahkan pemeriksaan keseluruhan kesihatanku tidak menunjukkan apa-apa masalah.

Beliau juga memberikan beberapa contoh dan perbandingan dengan kes-kes pembawa HIV lain yang lebih chronic tetapi patients beliau tetap survive dan mampu meneruskan kehidupan seperti biasa.

Jawapan dan sesi kaunseling tersebut banyak memulihkan semangat untuk terus berjuang kerana setiap insan perlukan harapan. Soal takdir, kita tak perlu memandai ambil alih hak mutlak Allah tetapi fitrah insan perlukan harapan. Tiada harapan, tiada perjuangan.

Sebenarnya sebelum datang berjumpa beliau, aku teruk berjuang untuk menguatkan semangatku sendiri. Kalau tengok dan baca di blog macam ok je kan? Haha... Aku pun manusia biasa bro…

Selain itu Dr. Iskandar turut mengambil darahku untuk ujian gangguan fungsi hati (WAJIB SELEPAS 2 MINGGU PENGAMBILAN HAART). Dr. Iskandar turut menasihatkan aku supaya lebih teliti menjaga kawasan sekeliling rumah sekitar bulan Jun ini kerana wabak denggi dijangka meningkat akibat perubahan cuaca.

Ingat ya, pembawa HIV, pesakit diabetes dan lain-lain pesakit yang berkaitan dengan imunisasi yang lemah berisiko tinggi kepada apa saja jangkitan.

Selain Stocrin aku dibekalkan paracetamol (kerana demam akibat ulcer tersebut) dan Bonjela gel. Disebabkan Bonjela gel mengandungi gula, beliau mengingatkan aku supaya tidak terlalu kerap menggunakannya. Sebagai alternative, aku boleh gantikan dengan sedikit Soda Bicarbonate yang dicampur dengan segelas air untuk dititipkan ke bahagian ulcer.




Dah 2 malam aku pun mengambil Stocrin. Aku perasan ada mengalami kesan khayal (lalok) bercampur mengantuk dalam 1-2 jam, lebih kurang sejam selepas pengambilan. Selain tu ok je. Ngantuk siang, aku rehat atau tulis blog. Memang tak larat pergi kerja dengan bibir tebal dan air liur meleleh ni. Orang sihat senanglah cakap. Malas aku nak fikir…

Jadi aku cadangkan kepada yang bakal memulakan rawatan HAART, Stocrin tu, eloklah diambil sebelah malam selepas Isya’. Kalau siang, nanti tak pasal-pasal orang kata, “patutlah kena HIV, lalok tak kira masa…” Seelok-eloknya selepas Isya’ sebab bimbang tak solat Isya’ pula kau orang nanti.

Bonjela pula aku langsung tak berani guna. Aku test sikit, pedih tak terkira... Lagipun macamana nak sapu kalau ulcer dah penuh satu mulut. Aku berkumur-kumur je dengan air campuran soda bicarbonate yang Dr. Iskandar cadangkan.

Hari ni bibirku masih bengkak terjuih, pecah-pecah dan mulutku masih sakit. Semalaman tidurku terganggu teruk dan panas pijar di kawasan ulcer tidak terkira. Untuk redakannya, aku standby sebesen kecil air bercampur ais yang direndam dengan sapu tangan. Bila perlu, aku lapkan perlahan-lahan.

Bibir nampaknya mula sedikit berdarah. Agaknya kerana ulcer tu mula pecah. Kelakarnya sebab nak kurangkan sakit, aku terlupa dan cuba berkumur dengan mouthwash. Ambik kau, melolong macam tarzan dibuatnya!

Malangnya sijil cuti sakitku tamat hari ini. Bibir masih bengkak, panas pijar dan air liur masih susah dikawal. Mustahil aku boleh bekerja besok. Nak bercakap pun sakit sedangkan kerja aku pula terpaksa berdepan dengan clients dan perlu sentiasa bercakap. Kalau setakat ketuk keyboard pc, tak mengapa.


Nampaknya terpaksalah aku pergi private clinics minta ubat dan cuti selepas ini. Nak jumpa Dr. iskandar, beliau nun jauh di sana daripada daerah kami.

Positifnya,  sejak berhenti mengambil Hevirapine, dah ada tanda-tanda ruam di badan makin susut. Tolong doa-doakan semoga aku cepat sembuh. Aku tak sabar-sabar nak lawan virus ni cukup-cukup. Aku nak bunuh seekor demi seekor sampai pupus, hehe…


AHP: Jika Dr. Iskandar dan kakitangan Klinik Kesihatan di tempat  beliau bertugas membaca entry ini, ketahuilah sesungguhnya aku sangat-sangat terhutang budi dan menghargai kalian. Semoga hidup kalian sentiasa diberkati dan berbahagia dunia akhirat.