Saturday, May 07, 2011

HIV- BAGAI MUTIARA DALAM LUMPUR



PANGGILLAH apa pun - pondan, transeksual, adik-adik atau mak nyah - mereka ini tetap manusia yang mempunyai hak menentukan arah tujuan hidup dan tidak sepatutnya dihakimi.

Sememangnya golongan yang digelar mak nyah ini sudah lama wujud dalam kalangan masyarakat kita, namun mereka sering disisihkan kerana perbezaan atau kecelaruan personaliti.

Golongan mak nyah juga kurang diberi peluang bekerja kerana stigma serta pandangan serong masyarakat hingga menyebabkan ramai terjerumus dalam bidang perdagangan seks lalu menimbulkan lebih banyak masalah sosial berikutan tiada perhatian khusus terhadap golongan ini.

Berdasarkan laporan Sesi Khas Ke-26 Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu tahun lalu, dianggarkan setiap empat daripada lima mak nyah terbabit dalam aktiviti perdagangan seks. Kementerian Kesihatan meletakkan golongan ini sebagai satu daripada empat kumpulan berisiko tinggi menghidap HIV dan Aids selain pengguna dadah secara suntikan, pekerja seks wanita serta golongan lelaki homoseksual.

Justeru, apa langkah yang dapat membantu mengurangkan statistik itu?

Melakukan tangkapan beramai-ramai serta mendera mereka mungkin boleh menyelesaikan masalah bagi sesetengah pihak, tetapi tidakkah ia bersifat jangka pendek dan tidak dapat membendung masalah ini?

Hakikatnya, ramai antara mereka yang memerlukan bantuan, tetapi keliru dan tidak tahu apa yang perlu dilakukan.

Bagaimanapun, program terkini yang dilakukan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) bagi mendekatkan jurang antara pihak jabatan agama dan golongan ini jelas memperlihatkan kaedah yang lebih intensif serta efektif.

Wartawan, Nor Faizah Mohamed (faizah@hmetro.com.my) bersama jurufoto Rohanis Shukri berpeluang mendalami golongan mak nyah dan memahami agenda jabatan agama Islam tempatan ketika berlangsungnya program mukhayyam di Pusat Pemantapan Akidah Jakim di Jelebu, Negeri Sembilan, baru-baru ini.

KALA kaki melangkah ke dewan utama berlangsungnya program mukhayyam untuk golongan mak nyah ini, terdetik di hati penulis bagaimana keadaan mereka di kem itu.

Menurut cerita beberapa rakan mak nyah sebelum ini, rambut mereka dicukur hingga botak dan didera dalam lokap apabila ditangkap pihak jabatan agama Islam.

Namun, tatkala tiba ke pintu dewan, berdekah-dekah bunyi tawa mereka yang mungkin tercetus daripada pembentangan lucu seorang ustaz daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) yang menganjurkan program itu.

Berdasarkan atur cara program, aktiviti mereka tidak terhad di dalam dewan dan sesi kuliah semata-mata kerana ia turut diselangi aktiviti lasak seperti merentas desa di kawasan bukit-bukau berhampiran, sesi ukiran dan menghias buah-buahan, tarian poco-poco, riadah serta slot menyelami diri bersama fasilitator yang dikendalikan pasukan Ketua Penolong Pengarah Sosial Bahagian Keluarga, Sosial dan Komuniti Jakim, Ustaz Zakuan Sawai yang dibantu pasukan Ustaz Hanafi Abdul Malek daripada Pertubuhan Kebajikan Sahabat Insan dan Iman Malaysia (Sidim).

Jelas sekali program yang berlangsung selama tiga hari dua malam itu bukan sesi perang fizikal tetapi lebih kepada pujukan psikologi yang bertujuan membantu golongan mak nyah ini menerima bimbingan kerohanian serta latihan kemahiran yang relevan.

Bak kata Pengarah Bahagian Pembangunan Keluarga, Sosial dan Komuniti Jakim, Saimah Mukhtar, program itu mula dirancang sejak awal tahun dan ia berjaya dilaksanakan dengan kerjasama Majlis Aids Malaysia (Mac) serta Majlis Agama Islam Selangor (Mais).

“Jakim mengkategorikan kumpulan ini sebagai komuniti yang disayangi, jadi kami berusaha mendekati golongan mak nyah ini untuk cuba memahami dan membantu mereka.

“Sering kali mereka dianggap jelik serta dipinggirkan masyarakat, lalu kami cuba membina semula keyakinan diri mereka dengan pelbagai aktiviti rohani dan jasmani dalam program ini.

“Salah satu objektif kami mengadakan program mukhayyam untuk meningkatkan keupayaan mereka kerana kami anggap mereka sebenarnya mutiara yang tercampak ke dalam lumpur hingga menyebabkan gilap sinaran mereka tidak kelihatan.

“Jadi, menerusi program ini kita boleh lihat sebenarnya mereka ada potensi untuk menjadi insan yang lebih cemerlang dan berjaya dalam kehidupan.

“Ini juga bukan program pertama dilakukan Jakim dan Jabatan Agama Islam Negeri tetapi ia tidak secara komprehensif dan kurang mendapat sambutan daripada golongan mak nyah.

“Selama ini ia lebih terarah kepada kerohanian semata-mata, jadi program kali ini amat berbeza. Mereka bukan saja diberi penekanan dalam aspek kerohanian malah membuka peluang mereka mencungkil bakat serta mendalami kelebihan diri menerusi peluang pekerjaan seperti yang dibentangkan pihak Giat Mara dan DagangHalal.com.

“Menerusi program yang sudah diubah suai, kami harap dapat membuka minda mereka bahawa ada pihak yang prihatin terhadap keperluan golongan ini dan banyak saluran untuk membantu mereka.

“Kami cuba bantu mereka wujudkan rangkaian dengan beberapa pihak supaya mereka boleh mengatasi masalah yang dihadapi dalam dunia sebelum ini dan keluar ke dunia sebenar dengan lebih baik,” katanya.

Beliau tidak menyangkal bahawa majoriti golongan mak nyah amat ‘gerun’ apabila mendengar adanya program anjuran Jakim dan jabatan agama Islam negeri.

“Sedaya-upaya kami berusaha memecahkan tembok serta stigma antara kami dan mereka dan program seperti ini amat sesuai untuk merapatkan jurang itu.

“Sebenarnya 90 peratus program kerohanian daripada Jakim dan jabatan agama Islam negeri berteraskan pendidikan serta tarbiah. Ia program kasih sayang dan pemahaman bagi mendalami masalah serta kecenderungan mereka.

“Ada juga dilakukan tangkapan tetapi itu hanya 10 peratus daripada sasaran program kami. Apa yang terjadi ketika ini mereka lebih nampak kesan daripada 10 peratus itu lalu ia menenggelamkan 90 peratus yang lain.

“Justeru secara tidak langsung program mukhayyam yang diberi pendekatan baru ini dapat menyampaikan maklumat serta mesej bahawa mereka tetap menjadi saudara kita yang dikasihi dan disayangi.

“Disebabkan itu kami tidak memaksa mereka mengerjakan solat atau mengikuti sesi tazkirah kerana kami mahu mereka melakukannya dengan sukarela atas keikhlasan hati masing-masing.

“Tiada beza antara kita dan mereka kerana kami sesama manusia, jadi janganlah masyarakat segera menghukum mereka. Dakwah yang ditunjukkan Rasulullah juga lebih kepada pendidikan serta kasih sayang, jadi kami berusaha melakukan pendekatan yang sama agar kualiti diri mereka daripada segi kefahaman agama dan kehidupan dapat ditingkatkan,” ujarnya.

Daripada maklum balas yang diterima, majoriti daripada 17 mak nyah yang hadir dalam program ini sudah mempunyai asas agama seperti mengucap dua kalimah syahadah dan sembahyang.

“Mereka ingin berubah atas kerelaan sendiri, malah ramai antara mereka ini sudah bersedia untuk berubah cuma tidak tahu bagaimana dan siapa yang boleh membantu.

“Alhamdulillah apa yang kami lakukan dalam program sedikit-sebanyak memberi kesan pada hati mereka dan mudah-mudahan mereka menerima sinar serta berjaya dalam hidup,” katanya.

Bagi Majlis Aids Malaysia, penganjuran program berkonsep santai-informasi ini adalah satu langkah penting yang dapat membantu membendung penularan HIV dan Aids di kalangan mak nyah.

Menurut Pengarah Eksekutif Mac, Roswati Ghani, program mukhayyam ini adalah satu aktiviti yang terkandung dalam inisiatif kolaborasi antara Jakim dan Mac dalam usaha menangani penularan HIV di kalangan golongan berisiko tinggi, khususnya golongan mak nyah dan pengguna dadah secara suntikan.

Inisiatif itu dipanggil Program HIV dan Islam yang sudah bermula secara berperingkat sejak 2009 dan berjaya mendapat kerjasama daripada jabatan serta Majlis Agama Negeri yang lain.

“Usaha Jakim dan pihak berkuasa serta agensi keagamaan yang lain dalam menangani isu HIV ini wajar diberikan perhatian kerana badan keagamaan yang dahulunya dianggap konservatif kini lebih terbuka untuk membincangkan isu sensitif secara pragmatik.

“Selain itu, stigma serta diskriminasi terhadap golongan mak nyah selama ini menyebabkan mereka tertindas dalam segenap aspek kehidupan, khususnya dalam menikmati peluang pendidikan dan pekerjaan.

“Kajian menunjukkan disebabkan peluang pekerjaan terbatas, sebilangan besar di kalangan mereka terbabit dalam kegiatan berisiko tinggi terhadap jangkitan HIV untuk menyara hidup.

“Oleh itu, Mac dan Jakim mengambil inisiatif ini menawarkan peluang pekerjaan kepada mak nyah tanpa sekatan atau paksaan atas penampilan mereka.

“Bagi kami, program mukhayyam ini tidak bertujuan untuk ‘mengubah’ atau ‘membetulkan’ penampilan golongan terbabit tetapi lebih kepada menawarkan peluang pekerjaan kepada mereka agar kegiatan yang terdedah kepada risiko jangkitan HIV dapat dihindari.

“Dengan komitmen Ahli Gabungan, Mac memang sudah saban lama melakukan kegiatan pencegahan HIV di peringkat akar umbi di kalangan populasi mak nyah, khususnya mereka yang terdedah kepada risiko jangkitan itu.

“Sungguhpun begitu, masih ada kelompangan dalam memenuhi keperluan sosio-ekonomi dan kerohanian untuk golongan ini. Disebabkan itulah Mac mengambil tindakan untuk bekerjasama dengan Jakim serta jabatan dan Majlis Agama Islam Negeri yang lain untuk menangani permasalahan ini.

“Sudah tiba masanya untuk kita semua bertindak kerana jangkitan HIV di kalangan mak nyah dianggarkan semakin meningkat tahun demi tahun. Di Kuala Lumpur saja hampir 10 peratus mak nyah kini dianggarkan hidup dengan HIV. Pihak berwajib juga harus terbabit sama secara proaktif dalam usaha pencegahan epidemik ini,” katanya.

Bagaimanapun, beliau menegaskan masih terlalu awal bagi Mac untuk merumuskan keberkesanan program mukhayyam ini dalam menangani epidemik HIV dan Aids di kalangan mak nyah.

“Apapun, usaha ini adalah salah satu langkah pragmatik dalam menangani isu-isu kerentanan golongan mak nyah terhadap HIV, khususnya daripada aspek sosio-ekonomi.

“Diharapkan menerusi program mukhayyam ini peluang pekerjaan untuk golongan mak nyah bertambah, sekali gus dapat menjauhkan mereka daripada faktor negatif yang mendedahkan mereka kepada risiko HIV, khususnya amalan seks yang tidak selamat.

“Sasaran program ini juga untuk memupuk rasa tanggungjawab dalam diri mak nyah untuk menjaga kesihatan dan membaiki taraf serta kualiti kehidupan masing-masing,” ujarnya.

Hasil pencapaian menarik ketika program mukhayyam ini, Majlis Aids Malaysia mula merancang untuk meneruskannya ke negeri lain di seluruh Malaysia.

Selain golongan mak nyah, pihak penganjur program ini juga mensasarkan untuk mendekati serta menawarkan peluang pekerjaan kepada golongan berisiko tinggi terhadap jangkitan HIV atau golongan yang terjejas oleh HIV yang lain seperti bekas pengguna dadah, bekas banduan, ibu tunggal kematian suami disebabkan oleh Aids dan mereka yang hidup dengan penghidap HIV.

Sumber: myMetro