Friday, May 20, 2011

HIV/AIDS- ‘KALAULAH SAYA DAPAT UNDUR MASA’


SANGGUPKAH kita makan semeja dengan golongan yang hidup dengan HIV dan Aids? Pasti ramai yang akan menggelengkan kepala.

Selain bimbang kononnya akan turut dijangkiti, masyarakat juga masih tidak boleh menerima golongan berkenaan.

Persepsi masyarakat terhadap mereka yang hidup dengan HIV dan Aids masih berada di takuk lama meskipun sudah 25 tahun virus berkenaan wujud di Malaysia.

Ramai berpendapat, ia sinonim dengan golongan penagih dadah, pelacur, homoseksual atau individu yang kerap bertukar pasangan dan sama sekali tidak akan berlaku kepada orang biasa.


Kajian mendapati kebanyakan mereka yang hidup dengan HIV dan Aids ‘sangat bimbang’ masyarakat mengetahui menghidap penyakit itu. Ia mendorong mereka tidak mendapatkan rawatan yang sepatutnya kerana ‘diskriminasi sosial dan keaiban’ yang akan ditanggung.

Ikuti temu bual wartawan Fairul Asmaini Mohd Pilus (asmaini@nstp.com.my) bersama beberapa pihak berkaitan mengenai stigma yang melanda kehidupan golongan berkenaan di negara ini.

BAGI Alias Ahmad (bukan nama sebenar), 35, jika dapat mengundurkan kembali masa, dia mahu kembali ke zaman remaja dan memperbetulkan kesilapan yang menyebabkan dia dijangkiti virus HIV.

Anak kedua daripada tujuh beradik yang berasal dari Sabak Bernam, Selangor ini sudah 11 tahun hidup bersama virus itu selepas terbabit dengan penagihan dadah sejak remaja.

Alias mula terjerumus dengan dadah ketika usianya baru mencecah 15 tahun bermula dengan menghidu gam sebelum bertukar kepada ketamin, syabu dan kemudian heroin.

Semua itu bermula sekadar suka-suka mengikut kawan hingga akhirnya dia tidak dapat melarikan diri dan terus menjadi penagih tegar.

Namun Alias berkata, dia tidak menyalahkan kawan sepenuhnya kerana dirinya juga bersalah kerana terlalu mengikut hawa nafsu dan pemikiran sendiri.

“Sepanjang terbabit dalam penagihan dadah, saya memang menjauhi keluarga dan antisosial.

“Saya hidup dalam dunia sendiri dan keyakinan diri juga amat rendah serta tidak mahu bergaul dengan masyarakat lain.

“Penagih tegar seperti saya juga sanggup mencuri dan menyamun semata-mata untuk mendapatkan wang bagi mendapatkan bekalan dadah,” katanya.

Alias mengakui pernah dimasukkan ke program pemulihan di Sekolah Henry Gurney akibat kesalahan menyamun RM10 daripada sepasang suami isteri di Kuantan, Pahang selain dipenjarakan kerana mencuri dan terbabit dalam penagihan dadah.

“Pada 1999, saya menjalani hukuman di penjara Sungai Buloh dan di sana saya disahkan membawa virus HIV.

“Berita itu memang sukar untuk diterima pada mulanya dan saya menangis siang malam kerana apa yang ada di fikiran ketika itu hanyalah kematian.

“Lebih memburukkan lagi keadaan, keluarga ketika itu juga tidak dapat menerima saya dan dibiarkan terkontang-kanting seorang diri,” katanya sebak.

Jelas Alias, dia mengambil masa hampir lima tahun untuk mendapatkan kembali kepercayaan keluarganya dan sepanjang itu, tidak putus-putus berdoa semoga mereka dapat menerimanya kembali.

Alias tidak menyalahkan keluarganya kerana ketika itu, pemahaman mereka terhadap HIV masih kurang, tidak seperti hari ini.

Bagaimanapun, dia mula menjalani rawatan pada 2004 selepas mendapati
badannya sudah tidak mampu bergerak dan terbaring di katil.

Keluarga menghantarnya ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk mendapatkan rawatan kerana bimbang melihat keadaannya sedemikian rupa.

“Pada tahun yang sama, saya turut mendapatkan rawatan di Persatuan Pengasih Malaysia (Pengasih) untuk mengembalikan semangat dan jiwa yang hilang.

“Gabungan rawatan terapi berterusan daripada doktor dan pemulihan di Pengasih mengubah 100 peratus diri saya kepada insan yang lebih positif dan reda seperti hari ini.

“Saya akui, semua ini mustahil untuk dilakukan tanpa sokongan daripada doktor dan Pengetua Pengasih, Datuk Yunus Pathi Mohd.

Dorongan yang mereka berikan membolehkan saya bernyawa hingga ke hari ini,” katanya yang mengakui pernah hidup di bawah jambatan serta menyelongkar tong sampah untuk mencari makanan.

Menurut Alias lagi, persepsi masyarakat terhadap insan sepertinya perlu diubah
kerana jika tidak mereka, siapa lagi yang dapat menerima golongan berkenaan.

Stigma negatif yang dilemparkan masyarakat juga menyebabkan golongan sepertinya bertindak menyembunyikan diri dan menyimpan rahsia kesihatan mereka dengan teliti tanpa diketahui orang lain.

“Jika kami berdiam diri, ia pasti memburukkan lagi keadaan kerana mungkin menyebabkan lebih ramai yang tidak berdosa akan dijangkiti.

“Apapun, kami memang tidak boleh mengubah persepsi negatif berkenaan. Apa yang boleh kami lakukan hanyalah terus berdoa semoga suatu hari nanti akan dapat diterima seperti anggota masyarakat lain,” katanya yang mengakui pernah disisihkan penduduk kampung apabila mengetahui dia membawa virus berkenaan.

Kini, selepas menjalani rawatan dan mengambil ubat seperti yang ditetapkan, kesihatan Alias semakin baik.

Alias sedar virus itu tidak dapat disembuhkan, tetapi tetap menaruh kepercayaan kerana yakin ajal dan maut di tangan Allah s.w.t.

“Saya kini semakin positif dan menerima semua ini dengan reda.

“Matlamat saya kini untuk menghabiskan sisa hidup dengan berbakti kepada masyarakat terutama membabitkan sesi kaunseling kepada remaja mengenai bahaya penagihan dadah selain memberi pendedahan berkaitan pesakit yang hidup dengan virus HIV ini,” katanya yang mengakui turut menyimpan hasrat mahu mendirikan rumah tangga seperti lelaki normal lain.

Sumber: myMetro


AHP: Dulu-dulu timbul cerita kononnya ada ahli keluarga yang asingkan tandas, pinggan mangkuk dan sebagainya untuk pembawa HIV. Kubur pun ada yang tergamak nak asingkan tau? Sekarang ada lagi ke?

Jangan lupa, setiap hari anda sebenarnya mungkin sentiasa bersentuhan, berbincang, berkongsi sudu, garfu, tandas, bersukan dan apa saja aktiviti dengan pembawa HIV. Kalau takut, jangan keluar rumah, jangan makan kat restoran atau gerai. Biar aku makan sorang-sorang.

Sebenarnya aku kasihan kepada golongan yang mentalitinya masih begini…