Sunday, May 01, 2011

KELIRU TENTANG HIV & AIDS? (ENTRY WAJIB)



Ada beberapa entries yang akan sentiasa aku ulang publish setiap bulan sebagai entry wajib kerana aku fikir ianya sangat berkesan untuk menentang stigma terhadap HIV/ AIDS. Entry ini adalah salah satunya.

Bercakap soal HIV tidak boleh meninggalkan subjek seks dan dadah. Dari sudut ini, HIV itu sendiri merangkumi subjek kehidupan yang begitu luas. Begitu banyak lapisan isu yang boleh dicerakinkan. HIV sebenarnya bukan hanya soal jangkitan virus. Ini bukan seperti influenza atau H1N1 yang boleh diberikan ubat dan sembuh. Malah sehingga nota ini ditulis, tiada ubat yang boleh menyembuhkan HIV.

Ramai yang merasakan mereka tahu apa itu HIV. Tetapi sebenarnya silap. Malah tidak keterlaluan saya katakan doktor-doktor sendiri tidak tahu secara mendalam apa itu HIV. Jika tidak takkan lah ada doktor yang mengatakan virus ini asalnya dari monyet!

Umum (mungkin) mengetahui HIV itu merupakan akronim kepada Human Immunodeficiency Virus. Ianya virus yang menyerang sistem pertahanan badan yang membuatkan mereka yang dijangkiti HIV menjadi lemah dan mudah terdedah kepada penyakit. Mereka yang HIV positif dipanggil People Living with HIV (PLHIV). Apabila seseorang yang dijangkiti HIV terdedah kepada penyakit maka dia dipanggil pesakit AIDS.

AIDS sering disalahfaham sebagai satu penyakit. Hakikatnya tidak. AIDS adalah akronim kepada Acquired Immunodeficiency Syndrome. Syndrome merupakan kumpulan penyakit. Maka AIDS adalah satu keadaan di mana pesakit yang dijangkti HIV mendapat batuk kering contohnya. Batuk kering bagi mereka yang dijangkiti HIV merupakan Jangkitan Opportunistik (JO). JO merupakan jangkitan yang “mengambil kesempatan” kerana kelemahan sistem daya tahan badan. Ada lebih kurang 30 JO yang diklasifikasikan sebagai AIDS.

JO merupakan penyakit biasa yang juga dihidapi oleh mereka yang dijangkiti HIV. Cumanya mereka ini tidaklah dipanggill pesakit AIDS. Contohnya, jika saya dijangkiti batuk kering, saya cuma pesakit batuk kering. Tetapi jika saya HIV positif dan dijangkiti batuk kering, maka saya merupakan seorang pesakit AIDS. Ish! Macam doktor pulak rasanya!

HIV telah melahirkan satu penyakit dalam masyarakat yang dinamakan stigma dan diskriminasi. Kerana salah faham mengenai cara HIV merebak dan PLHIV, maka masyarakat banyak membuat andaian sendiri. PLHIV sering dilabel sebagai sampah masyarakat, jahat, tidak patut hidup. Ada satu ketika seorang mufti menyarankan agar PLHIV ini diasingkan di satu pulau. Heh! Saya cuma nak tanya, kalau anaknya ada HIV mahukah dia mengasingkannya di satu pulau? Yang selalu kedengaran ialah ayat “kau ni kecik-kecik mampus lagi baik!” Rendahnya nilai seorang manusia di mata manusia lain.

HIV merebak melalui 3 cara. Yang pertama adalah seks tanpa perlindungan dengan orang yang dijangkiti. Jika saya mengadakan hubungan seks tanpa perlindungan dengan 100 orang wanita sekalipun tetapi mereka bukan PLHIV maka saya tidak akan dijangkiti.

Ramai yang ingat bahawa seks sejenis merupakan sebab utama. Jika saya seorang gay, tidak bermakna saya ada HIV. Bukan orangnya tetapi perbuatannya. Saya boleh menjadi seorang gay, mak nyah mahupun pekerja seks, tetapi itu tidak bermakna saya HIV positif. Tetapi apa yang menentukan status saya, ialah perbuatan atau perlakuan berisiko.

Jika saya melakukan hubungan seks tanpa perlindungan maka saya mendedahkan diri saya kepada risiko jangkitan yang sangat tinggi, tidak kira seks itu dengan lelaki mahupun wanita. Tentunya cara yang paling baik ialah menjauhi zina dan melakukan hubungan seks dengan pasangan yang sudah halal pada kita. Haa..bab munakahat ni, lain kali saya cerita.
 
Cara yang kedua ialah melalui perkongsian jarum suntikan. Ramai yang menganggap dadah = HIV. Hanya pengguna dadah suntikan (PDS) sahaja yang terdedah kepada risiko jangkitan sekiranya berkongsi jarum. Kalau ambik ice atau syabu, makan la 5 kilo pun, takkan dapat HIVnya..!

Cara yang ketiga ialah dari ibu kepada anak sewaktu dalam kandungan, melahirkan atau ketika menyusukan. Kerana itu ibu mengandung yang positif dimestikan melalui rawatan anti retroviral (ARV). Ibu-ibu ini juga dimestikan melahirkan anak melalui pembedahan kerana cara ini dapat mengurangkan risiko jangkitan kepada anak dan tidak dibenarkan sama sekali menyusukan anak tersebut.

Tidak senang dan tidak mudah juga untuk kita dijangkiti. Cecair badan seperti darah, air mani, air mazi, cecair vagina dan susu ibu mempunyai kandungan virus yang sangat tinggi dan memungkinkan jangkitan. Sekiranya salah satu dari cecair badan seseorang PLHIV memasuki salur darah orang lain, maka orang itu akan dijangkiti.

Bukanlah maksudnya cecair badan yang lain tidak mempunyai virus ini. Apabila dijangkiti, virus ini akan merebak ke seluruh badan. Tetapi cecair badan seperti peluh, air kencing dan air liur mempunyai konsentrasi virus yang sangat rendah dan tidak memungkinkan jangkitan. Macam air liur, minum la 50 liter pun, tak terjangkitnya!

Kita sering mengambil mudah sesuatu perkara, Jika tidak berlaku kepada orang sekeliling kita, maka ikut sedap mulut la kan nak cakap apa. Kalau lah, kita semua boleh memandang apa sahaja yang berlaku di dunia ini dengan kaca mata kasih sayang dan cinta..aman dunia ni kan?


Sumber: sini