Wednesday, May 25, 2011

ALUMNI: PROF ADEEBA PAKAR HIV/AIDS

Prof Dr Adeeba Kamarulzaman

PENAMPILAN dan keperibadian Prof Dr Adeeba Kamarulzaman cukup sederhana, namun siapa sangka wanita itu sebenarnya berjiwa besar dan bersemangat kental.

Minat mendalami kepakaran dunia perubatan khususnya bidang penyakit berjangkit seperti HIV/Aids selain sumbangan besarnya kepada negara serta masyarakat dalam menangani isu dan permasalahan penyakit berbahaya itu membuktikan beliau bukan calang-calang orang.

Kini menerajui Unit Penyakit Berjangkit, Pusat Perubatan Universiti Malaysia (PPUM), Prof Adeeba antara individu dikagumi dan disegani ramai khususnya dalam dunia perubatan HIV serta Aids.

“Saya mula mendalami kepakaran dalam bidang penyakit berjangkit khususnya HIV ketika bertugas di Fairfield Infectious Diseases Hospital, Melbourne, Australia pada 1996.

“Ketika itu, penularan virus HIV di dunia baru lapan tahun dan rata-rata pesakitnya ialah kalangan generasi muda, manakala rawatan pula masih lagi baru. Faktor inilah menjadi tarikan kuat untuk saya mendalami kepakaran dalam bidang ini,” katanya.

Akur berdepan dengan banyak cabaran sepanjang kariernya, beliau bagaimanapun tekad meneruskan perjuangan membantu pesakit yang hidup dengan HIV dan Aids kerana sedar akan tanggungjawab dipikulnya.

Pengalaman kerjaya di luar negara banyak mematangkannya, malah beliau sama sekali tidak pernah jemu menggali ilmu dan kepakaran dalam bidang berkaitan.

“Secara umumnya, masyarakat masih belum terbuka dengan idea hidup bersama mereka yang hidup dengan HIV dan Aids kerana perasaan syak wasangka serta prejudis masih tebal dalam diri mereka.

“Halangan sebegini yang paling sukar sepanjang karier saya kerana majoriti masih enggan menerima mereka yang hidup dengan HIV dan Aids sebagai sebahagian daripada masyarakat,” katanya.

Tempoh 15 tahun di luar negara dirasakan sudah cukup sehingga akhirnya Prof Adeeba akur dengan permintaan ibunya agar kembali berkhidmat kepada negara.

“Awalnya, saya serba salah untuk kembali ke Malaysia kerana sudah selesa dengan persekitaran kerjaya di sana, apatah lagi saya bersuamikan warganegara Australia selain jaminan pendapatan yang cukup lumayan.

“Namun segala-galanya berubah selepas termakan pujukan ibu yang mahu saya kembali menyumbang bakti kepada tanah air selepas banyak wang kerajaan dilaburkan bagi membiayai pengajian saya di Australia,” katanya.

Beliau berkata, banyak perbezaan dirasainya sebaik kembali ke Malaysia khususnya dalam persekitaran kerjaya dan kemudahan perubatan yang disediakan kepada mereka yang hidup dengan HIV/Aids.

Katanya, pengetahuan dan kesedaran masyarakat terhadap bahaya HIV belum meluas selain kekangan kos perubatan pada ketika itu amat tinggi.

“Saya ditugaskan di PPUM dan skop pekerjaannya lebih kepada pencegahan wabak penyakit berjangkit seperti HIV, denggi, tibi dan virus baru. Pengalaman paling getir ialah ketika kami perlu mengkaji dan mencari rawatan sesuai menangani virus Nipah yang melanda negara pada 1999. Situasi ketika itu amat genting dan menakutkan hingga suami menggesa saya beralih ke unit lain.

“Apapun, pengalaman menjalankan Projek Harapan membabitkan banduan yang hidup HIV di Penjara Kajang bersama rakan karib, Prof Dr Rick Altice dari Yale University cukup mengharukan.

“Detik itu cukup bermakna apabila satu hari saya didatangi seorang bekas banduan yang tidak putus-putus merakamkan ucapan terima kasih atau usaha saya melaksanakan projek sehingga berjaya membuka lembaran baru dalam hidupnya menjadi insan yang lebih baik. Perasaan saya ketika itu sukar digambarkan namun dalam hati terdetik rasa bangga menjadi seorang doktor,” katanya.

Pengalaman luas Dr Adeeba menangani isu HIV dan Aids, selain berdepan teman rapat yang disahkan hidup dengan virus itu, membuatkan beliau terus aktif dalam pelbagai aktiviti berkaitan HIV/Aids di seluruh dunia.

“Saya juga kerap ke luar negara menghadiri bengkel serta seminar berkaitan Aids selain aktif dalam badan bukan kerajaan seperti Majlis Aids Malaysia dan Yayasan Aids Malaysia.

“Apa yang saya lakukan ini ialah untuk sama-sama membantu masyarakat mendalami pengetahuan penyakit itu, jangan wujudkan unsur diskriminasi terhadap mereka dan sebaiknya, bantulah mereka daripada segi sokongan dan keperluan lain,” katanya yang berjaya merealisasikan penubuhan Pusat Kecemerlangan Kajian Aids (Ceria) di UM pada 2007.

Graduan perlu terus timba ilmu

“KELAYAKAN dalam bidang perubatan bukanlah penamat segala-galanya, sebaliknya sebagai seorang doktor, pencarian ilmu dan kepakaran perlu diteruskan selagi mereka memikul amanah itu,” itulah pesanan Prof Adeeba kepada graduan dan mahasiswa perubatan.

Katanya, ilmu yang dipelajari di universiti perlu diperkukuhkan dengan inisiatif graduan itu sendiri menggali maklumat bagi mempersiapkan diri menjadi seorang doktor yang terbaik.

“Jangan rasa diri sudah cukup dengan ilmu perubatan apabila berjaya menggenggam ijazah. Anggapan itu salah kerana perkembangan bidang perubatan begitu pantas, ada saja wabak baru melanda dunia, begitu juga kemajuan teknologi yang diguna pakai.

“Selari dengan itu, seorang doktor juga perlu bergerak bersama-sama perkembangan dalam dunia perubatan selain bersedia untuk melakukan perubahan,” katanya.

Beliau yang bimbang melihat sikap segelintir mahasiswa perubatan masa kini yang disifatkannya lalai dan tidak serius mendalami bidang pengajian itu mengakui faktor itu dikhuatiri mampu merencatkan usaha melahirkan bakal doktor yang terbaik.

Katanya, mahasiswa perubatan perlu sedar realiti profesion itu yang menuntut pengorbanan tinggi dan jika faktor mereka mengambil jurusan perubatan sekadar memenuhi impian atau desakan keluarga, ia satu alasan yang salah.


PROFIL

Prof Dr Adeeba Kamarulzaman

Pendidikan:
Felo Royal Australiasian College Of Physicians MBBS Monash University, Australia

Pencapaian: Pakar Perunding dan Ketua Unit Penyakit Berjangkit, Pusat Perubatan Universiti Malaya
Ahli Australasian Society for HIV Medicine
Felo Academy of Science, Fellow, 2010
Penasihat Yayasan Aids Malaysia
Editor Tamu, The Lancet Special Series : HIV and Injecting Drug Use 2009-2010
Ahli Australasian Society for Infectious Diseases, 2008
Ahli Majlis International Society for Infectious Diseases, 2008
50 Emerging Women Leader in Asia Pacific 2011 Advance Australia, Australian Government, 2011
Australian-Asian Fellowship Award, Australian Government, 2002
Fellow in Infectious Diseases, Senior Medical Staff, Fairfield Hospital, 1995
Merdeka Award, Exxon Mobil, Petronas and Shell, 2008
Tun Mahathir Science Award, Malaysian Academy of Science, 2008
Prof Adjung School of Public Health and Tropical Medicine, Tulane University, New Orleans, Amerika Syarikat
2008 - 2011
Prof Adjung, Department of Tropical Medicine, Tulane University 1 Januari 2008
Visiting Consultant Physician, Institut Jantung Negara, 1 Januari - 31 Disember 2000
Clinical Research Fellow, Fairfield Infectious Diseases Hospital, Melbourne , Australia, 1 Februari 1995 - 31
Januari 1996
Infectious Diseases Registrar, Austin Hospital, Melbourne, Australia, 1 Februari 1994 - 31 Januari 1995
Senior Infectious Diseases Registrar, Fairfield Infectious Diseases Hospital, Melbourne , Australia, 1 Februari 1992 - 31 Januari 1994

Sumber: sini