Tuesday, May 24, 2011

BEZA ANTARA JIWA BESAR DAN JIWA KECIL


Dalam sehari dua ni aku terlalu sibuk. Hampir tiada kesempatan langsung untuk online. Kalau ada pun aku berikan keutamaan untuk membaca dan membalas emel para pembaca. Kebetulan pagi tadi salah seorang pembaca blog ini berkongsi satu cerita menarik melalui emel beliau. Jadi sebagai motivasi dan renungan bersama aku panjangkan cerita tersebut kepada para pembaca yang lain.

Sebenarnya mungkin ramai yang pernah baca cerita ini atau kisah yang hampir sama tetapi biar beribu kalipun ianya tetap meninggalkan kesan bagi yang mengerti. Perkongsian beginilah antara yang sangat-sangat aku hargai.

Jom baca…

Saya baca cerita ni @ iluvislam.com. Cerita ni banyak memberi impak kepada saya..... Bila di beri ujian oleh-Nya saya selalu pujuk hati sendiri dengan cerita ni....Dan nak share dengan saudara. (mungkin juga saudara pernah baca cerita ni, tapi saya tetap jugak nak share )


HATI SEBESAR CAWAN DAN HATI SEBESAR KOLAM

 "Aduhai, kenapakah hidup aku selalu dirundung malang begini..?" lelaki muda itu berkeluh-kesah. Selama hidupnya, dia tak pernah merasakan ketenangan yang sebenar. Hatinya tidak pernah sepi daripada merasakan kerisauan.

Fikirnya, Tuhan tidak pernah sudi meminjamkan kedamaian hati padanya. Dia sangat cemburu apabila memandang sekeliling. Mereka bebas ketawa dan mudah tersenyum. Tapi dia? Dia hanya mampu tenggelam dalam dunia sepi dan resahnya sendiri.

Hatinya tidak mampu mengisi segala masalah yang menghimpit jiwanya. Lalu, selepas lelah dan puas berfikir, suatu hari dia melangkah longlai menuju ke hujung kampung. Niat hatinya, ingin menemui seorang lelaki tua.

Saban hari, wajah lelaki tua itu sentiasa kelihatan tenang. Damai sentiasa bertamu diwajahnya. Dia ingin sekali meminta rahsia. Lalu, dia terus berperi kepada lelaki tua tersebut.

Masalah keluh kesah dan kerisauannya didengari lelaki tua itu sambil tersenyum. Lalu dia mengajak lelaki itu ke suatu tempat iaitu ke tepi sebuah kolam yang besar sambil membawa sebiji cawan dan dua bungkus garam. Lelaki itu mengikut, walaupun hatinya sedikit hairan.

"Anak muda," lelaki tua itu bersuara.

"Ambillah cawan ini, isikanlah air dan masukkanlah sebungkus garam," ujarnya lagi. Lelaki itu yang dalam kebingungan hanya menurut.


Cawan diambil, air diisi dan garam dimasukkan. Kemudian lelaki tua itu berkata lagi.

"Sekarang kamu minumlah air tersebut," dalam bingung yang masih bersisa, lelaki itu mengikut kata lelaki tua itu.

" Apa rasanya?" tanya lelaki tua itu apabila melihat kerutan di dahi lelaki tersebut.

" Masin!"

Lelaki tua itu tersenyum lagi.

"Sekarang, kamu masukkan pula sebungkus garam ini ke dalam kolam itu. Kemudian kamu hiruplah airnya."

Lelaki tua itu menunjukkan arah ke kolam. Sekali lagi lelaki itu hanya mengikut tanpa menyoal. Air dicedok dengan kedua belah tapak tangan dan dihirup.

"Apa rasanya, wahai anak muda?" soal lelaki tua itu.

"Tawar, tidak masin seperti tadi," lelaki muda itu menjawab sambil mengelap mulut.

"Anakku, adakah kamu memahami kenapa aku meminta kamu berbuat begitu tadi?" tanya lelaki tua itu, sambil memandang tepat ke arah lelaki tersebut. Lelaki itu hanya menggeleng. Lelaki tua itu menepuk-nepuk bahu lelaki tersebut.

"Anakku, beginilah perumpamaan bagi diri kita dan masalah. Garam itu umpama masalah. Cawan dan kolam umpama hati kita. Setiap orang mempunyai masalah, ditimpa masalah dan diuji dengan masalah. Tetapi, kalau hati kita sebesar cawan, maka kita akan merasai pahitnya masalah itu, pedihnya hati kita dan keluh kesahnya kita."

"Tetapi kalau hati kita sebesar kolam, masalah tidak akan mengganggu kita. Kita masih boleh tersenyum sebab kita akan mengerti masalah bukan hadir untuk menyusahkan kita. Masalah dianugerahkan untuk kita berfikir, untuk kita muhasabah diri. Masalah dan ujian akan memberi hikmah kepada kita."


p/s:- Semoga perkongsian cerita diatas akan menambahkan keimanan kita pada-Nya dan

Saya doakan saudara AHP dan keluarga kuat semangat dan berjaya melawan virus ni...


AHP: Kisah ini menunjukkan beza antara yang berjiwa besar dan berjiwa kecil. Apatah lagi jika jiwa kacau. Salah satu cara yang sangat berkesan mengukuhkan jiwa adalah menjaga solat dan ikhlas serta redha dengan segala ujian-Nya.

Terima kasih & jazakallah khier…Puan Ruha. Puan tidak henti-henti menyokong dan mendorong saya supaya sentaiasa positif. Semoga Allah sentiasa melimpahi rahmat dan redha-Nya kepada puan sekeluarga.