Monday, May 02, 2011

HIV- ENDLESS ENIGMA



Apabila sesekali aku kongsikan sisi sedihku di sini ianya bukanlah bermakna aku menagih simpati atau meratap nasib. Ianya sekadar perkongsian dan dokumentasi secara jujur tentang suka duka seorang pembawa HIV.  

Sebagai golongan yang ‘istimewa’ kami kadangkala berada dalam keadaan yang sungguh sepi, terasing dalam keriuhan.

Melihat anak-anak ketawa, aku sepi. Melihat isteri-isteri tersenyum manis, aku sepi. Berkumpul dan bergurau senda bersama adik beradik atau saudara mara, aku sunyi. Berada bersama jemaah di surau atau masjid, malahan kadang-kadang menjadi imam mereka aku tetap sepi.

Bersama teman-teman sekerja  aku sepi. Tersenyum dan melayan clients sebenarnya aku sepi. Di mana-mana sahaja aku sunyi dan sepi. Tenggelam ke dasar yang paling dalam.

Sepi dan tertanya-tanya bagaimana reaksi mereka apabila mengetahui status sebenar kesihatanku. Sunyi dan tertanya-tanya adakah terlalu hina aku di mata mereka. Sepi dan tertanya-tanya adakah mereka tahu apa yang aku tanggung selama ini.

Mereka melihat aku ketawa. Mereka minta pandangan dan nasihat. Mereka teruja berkongsi bermacam-macam  cerita termasuk tentang side mirror kereta mereka yang pecah dilanggar mat rempit. Seolah-olah dunia dah nak terbalik dek kerana masalah tersebut.

Mereka ketawakan berita penangkapan penagih dadah dan masalah HIV di sekeliling mereka. Mereka ketawakan dan jadikan segala-galanya begitu simple, mudah dan seolah-olah tidak kena mengena dengan mereka. Seolah-olah pembawa HIV bukan manusia, bukan seagama dan sebangsa dengan mereka. Seolah-olah pembawa HIV terlalu hina dan tak berguna.  

Mereka tidak sedar yang makan bersama mereka sekarang adalah pembawa HIV. Mereka tidak sedar aku yang mereka peluk dan ajak bergurau ini adalah pembawa HIV.

Mereka tidak perasan bahawa pembawa HIV mungkin berada di mana-mana sahaja bersama mereka setiap hari.  Berkongsi macam-macam perkara tanpa mereka sedari. Kesepian yang tak terluah ini kebanyakan masa membuatkan aku lebih selesa sekadar menjadi pemerhati dan pendengar. Aku terima dan redha dengan takdirku seadanya.

Sedarlah wahai teman, jangan ditambah penderitaan mereka. Ada derita yang tak terucap. Bukan banyak yang mereka pinta. Mereka cuma mahu dilayan seperti biasa.

Mereka hanya ingin berkongsi keresahan dan suka duka tanpa prejudice, judgmental dan discrimination kerana mereka mampu melalui kehidupan ini sama seperti anda dan turut berperanan terhadap agama, bangsa dan negara sama seperti insan lain….