Tuesday, May 10, 2011

HIV- KESAN SAMPINGAN RAWATAN HAART (2)

Masih ingat ceritaku tentang kesan sampingan rawatan HAART yang aku lalui dalam entry yang lalu? Kalau lupa, klik sini.

Dalam entry tersebut aku ceritakan bahawa aku tidak mengalami apa-apa kesan sampingan sangat, maklumlah baru 4 hari mengambil HAART.

Rupa-rupanya keadaan tidak begitu selepas 12 hari aku menjalani rawatan. Mula-mula aku perasan keseluruhan kedua-dua tapak tanganku merah dan gatal-gatal. Tidak lama kemudian beberapa bintik yang membentuk tompok merah terdapat di tubuhku.

Disebabkan aku berkulit cerah, jadi tompokan tersebut amat jelas kelihatan. Rasa miang, gatal-gatal dan ruam akhirnya tersebar ke seluruh badan. Daripada kepala hingga ke kaki. Kecuali muka dan belakang tangan. Ada yang bertompok-tompok-tompok, ada yang berterabur merata sebiji-sebiji.

Aku SMS Dr. Iskandar bertanyakan tentang masalah tersebut. Beliau menerangkan ruam dan gatal tersebut adalah antara kesan sampingan yang memang dijangkakan akibat pengambilan Nevirapine (salah satu kombinasi HAART)

Symptom boleh dikurangkan dengan menggunakan ubat sapuan seperti Calamine lotion yang boleh didapati di mana-mana farmasi. (ala... ubat putih macam bedak sejuk cair yang biasa guna kalau demam campak atau cengkering tu...) atau memakan ubat anti-histamine jika disyorkan oleh doctor. (maksudnya kena jumpa doctor dululah)

2,3 kali je aku sapu badan aku dengan lotion tu, ada yang berkesan, ada yang tak. Lama-lama aku give up, takkan nak sapu satu badan macam mandi bedak sejuk pula kan.


sekadar gambar hiasan

Sebaik sahaja genap 2 minggu aku mengambilnya kesannya lebih ketara sehingga merebak ke sekitar mulut. Bibir terasa pedih, lidah terasa pecah dan kawasan sekitarnya ditumbuhi dengan puluhan ulcer. Bibir aku bengkak, terjuih ke depan seperti kena suntik botox, haha...

Rasa sakit, pedih, pijar dan tidak selesa kekal non stop 24 jam sehari di bahagian tersebut. Tinggal di kawasan kampung, kami jarang on aircond waktu tidur tetapi sejak jadi begini aircond terpaksa on hampir sepanjang masa. Aku selalu resah dan memberontak. 

Sejak 4 hari yang lalu aku cuma makan bubur nasi, oat dan roti yang dicelup dalam susu diabetic. Makan mesti yang sejuk-sejuk, tak boleh pedas dan pelan-pelan ala-ala pengantin baru yang buat-buat malu. Kalau tak, terjerit menahan pedih dan terus tak mahu makan. Bibir kena control elok-elok, kalau tak terkeluar semula air, makanan dan air liur tu. Maklumlah bibir dah jadi besar dan keras...

Paling kelakar waktu solat, aku tak boleh ruku' atau sujud lama-lama. Kalau aku buat juga jawabnya menitis lah air liur. Sepatutnya menitis air mata penyesalan ketika sujud, nanti tak pasal-pasal bertukar menitis air liur, warghhh.... Mulut sentiasa watering dan lena dan jagaku sentiasa on off. Tidur berkualiti tiada lagi. 

Memang betul, sebagai pembawa HIV kami perlu kuat jasmani, emosi, rohani dan intellectual (JERI). Salah satu pincang (jasmani seperti yang aku rasa sekarang, ianya mudah membuatkan kekuatanku goyang). Aku mengaku dalam tempoh ini aku jadi sangat bad bood dan hot temper. Kucing aku mengiau lebih-lebih pun aku rasa nak ngiau sama kat telinga dia. Kadang-kadang aku pelik sendiri, “apa yang aku marahkan sangat ni?”

Mahu tak risau, maklumlah aku ni HIV positif, CD4 pula dah kurang, dah berumur dan ada diabetes pulak tu. Sakit sikit je aku terus terbayangkan yang bukan-bukan terutama penyakit-penyakit opportunistic akibat AIDS. Orang yang sakit chronic boleh faham kerisauaan-kerisauan lain kalau aku tak ceritakan dengan detail pun kut...   

Semalam (9 Mei 2011) aku jumpa Dr iskandar, (nanti aku ceritakan dalam entry selepas ini). Bila dapat nasihat dan kauseling beliau, aku cool lah balik.

Ok, kali ni cukup itu saja dulu. Kepada pembaca aku harap ambillah pengajaran pengalaman ini secara positif. Kurang-kurang kau orang dah ada guideline. Aku dulu terkial-kial mencari maklumat sendiri. Search saja segala maklumat yang ada dalam blog ni tapi kena rajin-rajinlah tengok entries lama. Tak laratlah aku nak terangkan perkara yang sama banyak kali. Kau orang ni tahunya cuma nak short cut je...

Sebenarnya aku serba salah juga nak share entry ni, bimbang kawan-kawan yang penakut tu terus lari, tak mahu terima rawatan.

Relaxlah bro... aku yang dah tua dan ada diabetes (imunisasi badan sedia lemah ni) berani tempuh, takkan kau orang yang muda-muda penakut sangat. Hehe...

Jangan takut sangat tentang kesan sampingan SEMENTARA rawatan HAART. Berfikir panjang sebelum menolak rawatan. Aku tak kata HAART adalah rawatan terbaik tetapi itu sahajalah yang kita ada setakat ini dan terbukti telah menyelamatkan dan meningkatkan kualiti hidup pembawa HIV. Ajal maut ketentuan Allah. Orang sihat pun mati.

Pesanan akhir, ujian Allah adalah tanda kasih sayang-Nya, bertaubat itu mesti, berikhtiar adalah wajib, berdoa dan bertawakkal serta redha tanda kita mengakui kebesaran-Nya.

Sekali lagi diingatkan bahawa kesan sampingan rawatan HAART adalah berbeza dan bergantung kepada tindak balas badan individu. Malahan ada yang tidak mengalami apa-apa kesan sampingan pun. Perkongsian ini berdasarkan pengalaman peribadi semata-mata.

Apa, kau takut ya Dollah? Teruslah ketakutan kau tu kalau kau mampu menentang takdir. Aku mahu berjuang secara bermaruah...