Monday, July 04, 2011

DOKTOR & KAKITANGAN KKM, TOLONGLAH…

Berikut adalah 2 kisah benar daripada beberapa kisah yang dikongsikan oleh rakan-rakan pembawa HIV mengenai pengalaman pahit mereka semasa mendapatkan rawatan di KK atau hospital melalui emel yang dihantar kepadaku.

Kes 1.

Hana (seorang isteri) yang telah setahun didiagnos sebagai HIV+. Pada mulanya Hana enggan mendapatkan rawatan atas beberapa sebab. Akhirnya setelah mendapat kekuatan, Hana terbuka hati untuk mengenepikan segala ‘ketakutan’ dan bersemangat mahu mendapatkan rawatan.

Sebagai pembawa HIV atau apa saja pesakit kronik yang baru sahaja mahu memulakan rawatan, apa perasaan kita apabila tarikh temujanji asyik ditunda atas alasan kesibukan doktor sedangkan kita sangat-sangat memerlukannya. Begitulah yang Hana hadapi.

Akhirnya hari yang ditunggupun tiba, sehingga lewat malam Hana mencatat segala persoalan di fikirannya untuk ditanya kepada doktor semasa sesi kaunseling.

Apabila sampai di pusat rawatan, Hana terpaksa memberikan darah untuk ujian CD4. Belum apa-apa, juruteknik makmal sibuk memakai rubber glove sebanyak 2 lapis apabila Hana menyatakan perlu menjalani ujian tersebut.

Setelah lama menunggu, akhirnya Hana dapat berjumpa doktor. Sibuklah Hana menyemak segala catatan dan mahu bertanyakan macam-macam soalan. Malangnya doktor bukan memandang sangatpun ke arah Hana tetapi sibuk memandang PC untuk key in data. Sepatah yang ditanya, sepatahlah jawapannya. Tak mesra alam langsung dan nampak tergesa-gesa.

Kes 2.

Dollah seorang pembawa HIV telah dikejarkan ke wad kecemasan akibat masalah jantung. Seorang doktor wanita berbangsa India kelihatan sangat sibuk dan kepenatan terpaksa merawat Dollah.

Untuk untuk memudahkan rawatan, Dollah berterus terang bahawa beliau seorang pembawa HIV akibat penyalahgunaan dadah suatu masa dulu.

Doktor bertanyakan sama ada Dollah seorang perokok dan Dollah menafikannya kerana beliau sudah lama berhenti merokok.

Tiba-tiba doktor wanita tersebut menengking Dollah, “Ada HIV tapi tidak merokok?” Bergema suaranya di wad kecemasan tersebut sehingga boleh didengar oleh sesiapa sahaja yang berdekatan. Terpinga-pinga Dollah sehingga tidak mampu berkata apa-apa kerana tidak menyangka peristiwa tersebut akan berlaku kepadanya. Malunya usah cerita.

Apa perasaan jika kita berada di tempat mereka?

Jadi jangan menyalahkan pembawa HIV 100% jika mereka enggan menjalani rawatan. Stigma, masalah pengurusan dan sikap tidak professional masih berleluasa. Kita faham kesibukan doktor dan masalah jumlah pesakit berbanding doktor tetapi apapun alasan, mereka tidak sepatutnya bersikap demikian.

Secara peribadi aku paling takut kalau doktor atau kakitangan KKM bercakap cabul dengan aku semasa mendapatkan rawatan. Aku tak boleh bayangkan jika ianya terjadi terhadapku dalam kes 2.  

Kepada para pembawa HIV dan pesakit pula, janganlah cepat berputus asa bila berdepan dengan situasi tersebut. Itulah reality kehidupan dan kita tidak boleh mengalah.

Jika anda rasa teraniaya, catat segala butiran doktor atau kakitangan terbabit, tarikh dan tempat rawatan, buat laporan terus ke KKM atau Majlis Perubatan Malaysia jika perlu.

Walau bagaimanapun, pengalaman aku berurusan dengan Dr. Iskandar dan kakitangan KK beliau bagaikan langit dengan bumi berbanding semua peristiwa yang dikongsikan tadi. Bahkan aku kagum dengan kebaikan dan sikap professional mereka. Memang situasi tersebut sangat membantuku menjalani rawatan secara positif. Hanya Allah yang mampu membalas segala kebaikan mereka.  


AHP: Selain itu beberapa istilah di kalangan sesama kakitangan kesihatan yang boleh mengguris hati ahli keluarga pesakit yang telah meninggal seperti “dah kena tapau”, merujuk kepada jenazah yang telah dimasukkan ke dalam beg plastik eloklah dihapuskan. Hormatilah jenazah!

Sila klik sini untuk baca pengalaman pembawa HIV ini semasa sesi kaunselingnya dengan seorang pegawai sebuah Jabatan Agama. Kasihan ada dan kelakarpun ada. Macam-macam perangai manusia.

Sebenarnya para pembawa HIV berhak merahsiakan status mereka semasa mendapatkan rawatan kerana semua pekerja kesihatan telah diingatkan bahawa sesiapa juga pesakit, mereka dianggap berkemungkinan HIV+. Hanya ujian HIV boleh mengesahkannya. Jika mereka cuai mengambil langkah-langkah keselamatan, itu masalah mereka. Jadi hargailah pembawa HIV yang berani berterus terang.