Sunday, July 10, 2011

TATTOO & HIV


KOTA BELUD, 27 Julai: Seorang bapa hari ini mendakwa anak beliau ditatu secara paksa oleh sekumpulan banduan sewaktu ditahan di penjara Kepayan, Kota Belud, Mac lalu.
Hassan Awang, 66, bapa kepada Hairul Hassan, 21, mendakwa kejadian tersebut berlaku pada 19 Mac lalu, sewaktu anaknya itu ditahan bagi menunggu keputusan Mahkamah Majistret.
Menceritakan kejadian yang menimpa anaknya itu beliau memberitahu, antara jam 11 pagi hingga jam 1 tengah hari pada tarikh berkenaan, empat orang banduan telah memaksa anaknya dengan kekerasan untuk ditatu.
Mereka diketuai oleh seorang banduan yang dianggap ketua di penjara tersebut yang hanya dikenali sebagai Bobby.
Malah lebih menyedihkan katanya, seorang warden bertugas yang sepatutnya menghalang perbuatan itu, turut membantu banduan tersebut menginiaya anaknya.
"Perkara itu disaksikan oleh dua warden, malah salah seorang daripada mereka telah membantu mengisi dakwat ke dalam mesin tatu.
"Anak saya merayu supaya jangan ditatu kerana beliau seorang Islam dan Islam mengharamkan penganutnya bertatu, namun rayuan anak saya tidak dihiraukan," katanya mengadu kepada Harakahdaily.
Menurut Hassan lagi, tatu di sebelah bahu (kanan) dan lengan tangan kanan (kiri) anaknya itu berukuran 18 sentimeter lebar dan 28 sentimeter panjang.
Hairul ditahan di Balai Polis Kota Belud pada 5 Mac lalu dan kemudian dibawa ke penjara Kepayan 12 Mac hingga 16 April bagi menunggu keputusan kimia.
Selepas itu beliau kemudian dibawa semula ke Balai Polis Kota Belud untuk tahanan lanjut.
Dia kemudian didakwa mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan dijatuhkan hukuman penjara pada 19 April.
Beliau sekali lagi dibawa ke Penjara Kepayan untuk menjalani hukuman sehingga dibebaskan 25 Mei lalu.
Menurut Hassan, kegiatan itu berleluasa di penjara tersebut di mana mesin tatu tersebut didakwa bergerak bebas tanpa sebarang halangan pihak berkuasa penjara.
Ianya juga digunakan secara bergilir-gilir oleh banduan di penjara tersebut.
Namun apa yang dibimbanginya, kesan penggunaan bergilir-gilir tersebut kerana ada di antara penagih menghidap penyakit HIV Aids.
"Ada kalangan banduan itu penagih dadah dan mesin ini tercemar dengan darah. Resiko sangat tinggi untuk dijangliti HIV Aids," katanya kerisauan.
Biarpun sudah dibebaskan, anaknya kini berada dalam keadaan bertatu, ketakutan dan trauma dengan pengalaman mengerikan yang menimpanya.
"Dengan pendedahan ini saya harap Menteri Dalam Negeri, dan pihak Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dapat bertindak sewajarnya," katanya mengharapkan satu tindakan tegas pihak berkuasa.