Friday, July 15, 2011

SEBELUM MATAMU DIPEJAMKAN...


Kalau ada masa, jemputlah baca…

“Assalamualaikum dan selamat pagi. Saya Hasrizal Abdul Jamil, bertugas sebagai kaunselor pesakit di IJN ini. Izinkan saya mengambil sedikit masa tuan-tuan dan puan-puan, untuk menyampaikan beberapa pesan”, saya memulakan tugasan harian.

Pada pagi bertugas, saya akan menyampaikan sedikit tazkirah kepada pesakit-pesakit yang bakal masuk ke dewan bedah untuk beberapa jenis prosedur pembedahan berkaitan jantung. Lazimnya pesakit bakal dibedah dengan open heart surgery dan juga angiogram.

Biasanya sesi akhir ini hanya untuk pesakit Muslim, tetapi sering juga pesakit non-Muslim dan keluarganya duduk mendengar sama.

MELURUSKAN IMAN
“Apabila kita berdepan dengan ujian kesakitan seperti ini, kita ada dua tanggungjawab yang mesti dilakukan. Pertamanya, kita hendaklah berikhtiar sebagai manusia. Untuk itu, tuan-tuan dan puan-puan Insya Allah berada di tempat yang terbaik bagi mendapatkan ikhtiar manusia, iaitu di Institut Jantung Negara ini. Tuan-tuan dan puan-puan akan dibedah dan dirawat oleh kakitangan yang sangat terlatih untuk tugas itu”, saya menyambung bicara.
Wajah pakcik makcik, dan kadang-kadang pesakit yang sama usia seperti saya tekun mendengar setiap butir kata yang saya sampaikan.
“Namun, di samping ikhtiar kita sebagai manusia, kita juga tidak boleh lupa kepada kuasa Dia. Kekuatan emosi dan spiritual amat penting dan merupakan sebahagian daripada komponen rawatan. Dan kekuatan itu tidak mungkin dapat kita perolehi melainkan dengan merujuk kepada Tuhan. Bagi pesakit Muslim, ingatlah kepada Allah. Dan bagi rakan-rakan non-Muslim, rujuklah kepada kepercayaan masing-masing, kita sangat memerlukan-Nya pada saat-saat begini”, saya meneruskan kata.
“Perkara pertama yang perlu kita penuhi, adalah dengan membetulkan sangka dan kepercayaan kita kepada-Nya. Jangan sekali-kali tuan-tuan dan puan-puan menganggap bahawa sakit ini merupakan suatu musibah, nasib buruk atau hukuman. Tidak… Dalam hidup kita, sihat dan sakit kedua-duanya adalah ujian. Kita diberikan kesihatan untuk menguji adakah kita syukur dan berterima kasih kepada-Nya. Kita diuji dengan kesakitan untuk menguji adakah kita sabar dan ingat kepada-Nya.

Jadi, sakit dan sihat, dua-dua adalah ujian, dan dua-dua boleh jadi baik atau buruk. Baik jika kita positif terhadapnya, dan buruk jika kita memilih untuk berfikiran negatif terhadapnya”, saya menyambung penerangan.

Saya tidak mempunyai masa yang banyak. Hanya 10 minit sahaja diperuntukkan kerana sebelum itu pesakit sudah pun duduk selama 20 minit untuk mendengar taklimat klinikal oleh jururawat bertugas. Jadi, segalanya mesti komprehensif dan tepat.

“Untuk itu, saya ingin mengambil peluang untuk mengingatkan kepada pesakit Muslim, agar sebelum mata dipejam di bilik pembedahan, pastikan kalimah terakhir yang diucapkan adalah Laa Ilaaha Illallaah. Jangan lagi berkata-kata yang lain, pastikan Laa Ilaaha Illallaah adalah perkataan terakhir sebelum mata dipejam”, saya memberi ingatan.

Ada pesakit yang matanya berkaca-kaca…

MENJERNIHKAN IBADAH

“Apabila tersedar, tuan-tuan dan puan-puan sudah kembali kepada tanggungjawab sebagai mukallaf untuk mengerjakan solat. Tentu sahaja dalam keadaan fizikal yang lemah dan terhad, ahli keluarga terdekat sangat berperanan untuk mengingatkan. Solat ketika sakit, Allah berikan 1001 kemudahan sama ada pada solat, mahu pun pada wudhu’. Saya tidak dapat untuk memperincikannya, tetapi jika ada di kalangan anda yang memerlukan pertolongan, janganlah teragak-agak untuk memberitahu jururawat di wad masing-masing. Mereka boleh membantu, dan saya juga boleh dipanggil untuk apa sahaja hasrat dan hajat”, saya memberitahu.

“Lakukan solat pada bentuk yang sesuai dengan kemampuan kita. Wudhu’ juga boleh diganti dengan tayammum, dan kami lebih suka mengekalkan bentuknya yang mudah dan praktikal. Walaupun ada alat tayamum mudah alih dijual, namun gunakan sahaja sedikit debu yang diperolehi dengan menepuk bantal, atau dinding terdekat yang ada. Insya Allah, itu sudah memadai”, saya cuba meringkaskan penjelasan.

“Akhir kata, saya doakan agar pembedahan yang bakal tuan-tuan dan puan-puan alami, akan berlangsung dengan baik dan beroleh kesembuhan seperti sediakala. Terima kasih atas perhatian anda semua. Wassalamualaikum dan salam sejahtera”, saya menamatkan bicara.

Ada rasa hiba di hati, biar pun setiap pagi mengulangi rutin yang sama.

Andai ditakdirkan Allah saya berada di tempat mereka, mudah-mudahan adalah di sana insan yang sudi mengingatkan diri, agar sentiasa mendampingi-Nya pada detik-detik kritikal sedemikian rupa… kerana amalan itu dihitung, pada akhir dan kesudahannya… Ameen.

Sumber: Abu Saif