Entry ini adalah kesinambungan daripada entry ini.
KUALA LUMPUR: Walaupun mendakwa sudah bertukar jantina dan melakukan pembedahan membuang alat kelamin, seseorang itu tetap dikebumikan mengikut jantina asal seperti dikurniakan Allah sejak azali apabila dia meninggal dunia, kelak.
Perunding motivasi yang juga penceramah bebas, Mohd Fauzi Mustaffa berkata, tidak timbul masalah mengebumikan golongan yang mengalami kecelaruan identiti itu kerana hukum jelas mengatakan mereka perlu disemadi mengikut jantina asal.
Cuma katanya, golongan berkenaan yang zahirnya sudah melakukan dosa besar (menukar jantina) perlu bertaubat nasuha iaitu bertaubat dengan sebenar-benarnya dan berjanji tidak kembali ke jalan sesat, sebaliknya patuh pada ajaran Allah Taala.
“Tidak perlu dia bimbang mengenai bagaimana nasibnya apabila dijemput ajal kelak, kerana walau apapun dilakukan dia tetap dikebumi mengikut jantina asalnya, kalau lelaki...prosedurnya lelaki juga tidak ada beza.
“Cuma apabila dia mengatakan sudah sedar, menyesal dengan perbuatan dilakukan perlu untuk dia bertaubat dengan sebenar-benarnya menyerah diri kepada Allah Taala dan semoga Allah menerima taubatnya.
“Dalam hadis sendiri menyebut, Allah Taala sangat suka kepada hambanya yang menyeleweng (daripada ajaran), tetapi kembali ke pangkal jalan, ibarat melebihi kegembiraan orang yang hilang barang dan jumpa kembali barangnya itu.
“Bermakna dia mencari Allah balik (apabila melakukan kesilapan), Allah akan menerima dia, jadi sekarang jangan fikir pasal mati, tetapi fikir mengenai bagaimana mahu berubah, menyucikan diri kepada ajaran Islam,” katanya.
Beliau mengulas laporan muka depan Metro Ahad semalam, mengenai kisah Mohd Qairun Abidin (bukan nama sebenar), 47, yang nekad membuang alat kelaminnya di Thailand kira-kira 25 tahun lalu kerana cinta terhadap kekasih songsangnya, namun kecewa apabila cinta itu hanya menjanjikan kebahagiaan separuh jalan saja.
Dia dilaporkan kini mengalami kecelaruan jantina kerana tidak tahu apa akan berlaku kepadanya terutama bagaimana dia dikebumikan jika dijemput ajal.
Mohd Qairun atau mahu dikenali sebagai Baby @ Katie juga memberitahu suatu ketika dia menjadi kegilaan ramai lelaki dan mempunyai teman lelaki yang sanggup sehidup semati, namun bila sudah ‘berkedut’, semua janji tinggal janji dan sesalan pun tiada guna kerana dia tidak mempunyai tempat mengadu, melainkan kembali kepada rakan ‘sealam’.