Sebenarnya sejak Isnin lepas aku cuti sakit. Kawasan pinggang dan paha sakit tanpa sebab yang jelas. Bukan sakit-sakit otot yang biasa terjadi kalau kita demam tu. Tapi sakit seperti jika kita lama tak bersenam atau secara tiba-tiba mengangkat sesuatu yang agak berat.
Aku buntu mencari puncanya. Memang sebagai pembawa HIV aku tak mampu melakukan kerja-kerja berat tetapi seingat aku memang tak ada pun. Aku tak melakukan kerja-kerja berat secara fizikal. Berat otak dengan rutin biasa di tempat kerja tu biasalah.
Barangkali kerana terlalu lama duduk mengadap PC atau alahan makan ubat. Atau kerana kerja aku yang terpaksa sentiasa aktif melayan client. Setakat naik turun tangga bangunan 3/4 tingkat sebanyak 5,6 kali sehari tu biasalah. Exercise..!
Ataupun kerana aku ada mengangkat pintu besi pagar buruk rumah kami ni. Relnya kemek dilanyak lori perabut sehingga rollernya sering tersangkut. Jika lama tak diminyak, jenuhlah menolak.
Sakit taklah terlalu berat, sekadar sakit untuk berdiri lama-lama dan melangkah. Nak bersila tak mampu. Ruku’, sujud dan duduk antara 2 sujud sangat tidak selesa.
Hanya duduk dan baring sahajalah yang mampu aku buat. Terkebil-kebil sendirian memuhasabah diri. Bila dah sendirian begitu, mulalah fikiran asyik menerawang. Terbayang, macamanalah aku jika terlantar di hospital nanti?
Risau apabila tanggungjawab di tempat kerja yang terpaksa diambil alih orang lain. Bermakna aku telah menyusahkan rakan-rakan sekerja dengan masalah aku.
Memang sejak diagnos HIV+ ni aku seboleh-bolehnya tak mahu ponteng kerja. Ini sebahagian daripada perjuangan aku sebagai pembawa HIV. Aku mahu buktikan bahawa kami bukanlah masalah dalam masyarakat. Bila terlantar dan tak larat, macam-macam fikiran negative datang. Mmmph… hati yang sentiasa berbolak balik.
Kerja apa? Ala, kerja biasa-biasa saja…
Untuk merawat hati yang berbolak balik ni, aku banyakkan membaca Doa Taubat dan zikir. Alhamdulillah. Tenang kembali rasa hati. Menangis kerana mengenang dosa lebih baik daripada menangis sebagai pengecut. Aku anggap ini sebagai latihan untuk menguatkan mental aku.
Sebenarnya aku tak sabar nak habiskan ‘stok entry’ aku. Aku dah tak sabar nak mulakan sesuatu yang baru dalam hidup aku. Aku nak ucapkan ‘sayonara’ kepada blog AHP ini. Nantilah aku ceritakan dalam entry seterusnya.
Sambil golek-golek tiba-tiba dapat call daripada adik bagitahu anak saudara yang baru berkahwin mengadu macam-macam. Orang muda sekarang kalau berkahwin mudah sangat ikut hati. Gaduh-gaduh sikit dah minta cerai. Macam tak tahu hukum hakam langsung. Masalah bukanlah besar sangat pun. Dia orang yang kahwin, aku yang tua ni pening kepala. Baik aku yang kahwin. Oppss… ! cakap tak sedar diri namanya tu. Hehehe…
Tak lama selepas tu aku terima pula SMS daripada sahabat lama zaman sekolah menengah dulu. Sekarang bekerja sebagai penoreh getah. Penoreh getah zaman sekarang ni jangan buat main. Kalau rajin income boleh cecah paling kurang RM 4,5 ribu sebulan. Kita namakan sahaja beliau sebagai Deris.
Sahabat lama sejak zaman sekolah menengah ni faham-faham sahajalah bahasanya. Bukan boleh aci sangat, cakap main belasah je dan aku tak adalah masuk kepalapun dengan apa yang dia cakap.
Satu perkara yang istimewa tentang Deris ni ialah sejak remaja memang terkenal kerana memelihara solat. Betullah solat dan hubungan dengan Allah sangat penting sebab setahu aku walaupun sesekali terbabas dengan perangai nakal sebagai remaja naïf suatu ketika dulu, Deris tak pernah jauh tersasar.
Deris sebenarnya tak tahu aku ada HIV cuma beliau tahu aku tak berapa sihat. Mari baca mesej beliau:
Deris: “Tadi aku call Yie, dia tanya kau hidup lagi ke tak? Dia di …. sekarang ya.”
(Dalam hati, aku ni dahlah sakit, kau orang main belasah je cakap)
Aku: “Alhamdulillah hidup lagi. Besok lusa tak tahulah. Itulah antara nikmat ujian sakit. Orang sihat memang tak ingat mati. Kadang-kadang rasa takkan mati-mati.”
(Sinis sikit sebenarnya ni, hehehe…)
Deris: “Sakit terasa nikmat sihat, Orang sihat tak sedar nikmat sihat. Macam orang berdosa bertaubat, nikmat sangat taubat. Kan?”
Aku: “Orang sihat selalu fikir begitulah. Betul juga. Tapi Insya-Allah aku betul-betul rasa nikmatnya sakit. Dah betul sangat apa yang Dia berikan tu.”
Deris: “Ha…haa…! Nikmat itu benar. Khianat itu bohong. Nikmat sangat rupanya bila kita beriman ya. Ok, aku menoreh ni. Banyak lagi tak siap.”
(Gelak cover line lah tu…)
Aku: “Ok, jual getah nanti jangan lupa belanja ngeteh.”
Deris: “Ermm… Insya-Allah."