Friday, July 29, 2011

HIV VS HEPATITIS 1.4 JUTA PENGHIDAP HEPATITIS DI MALAYSIA


KUALA LUMPUR: Tahap kesedaran masyarakat negara ini mengenai bahaya penyakit hepatitis B dan C yang mempunyai risiko kematian tinggi akibat sirosis hati, kegagalan hati dan kanser hati masih rendah, kata Pengarah Hospital Kuala Lumpur (HKL) Datuk Dr Zaininah Mohd Zain.

Beliau berkata, di Malaysia dianggarkan lima peratus penduduk atau 1.4 juta orang menghidap hepatitis B manakala dua peratus lagi menghidap hepatitis C.

“Kebanyakan orang takut mendengar mengenai Human Immunodeficiency Virus (HIV), tetapi sebenarnya virus hepatitis B dan C lebih mudah berjangkit berbanding HIV,” katanya ketika merasmikan sambutan Hari Hepatitis Sedunia 2011 di HKL di sini, semalam.

Dr Zaininah berkata, antara risiko yang dikenal pasti untuk penyakit hepatitis B dan C ialah berkongsi jarum suntikan, hubungan seks dengan pasangan yang mempunyai jangkitan dan melalui kelahiran iaitu daripada ibu kepada bayinya.

“Jadi menjalani ujian saringan untuk penyakit ini terutama bagi yang berisiko tinggi adalah langkah mudah dan singkat untuk mengetahui diagnosis,” katanya.

Beliau berkata, hepatitis B atau C dan jangkitan virus ini bukan saja berlaku di negara ini, malah ia ancaman global kesihatan manusia sejagat dan dianggarkan lebih 500 juta penduduk dunia dijangkiti penyakit itu.

Justeru beliau menyeru orang ramai supaya menjalani pemeriksaan darah di hospital kerajaan.

Dr Zaininah berkata, pada masa ini hanya terdapat vaksin terhadap hepatitis B dan sejak 1989 semua bayi yang dilahirkan di hospital kerajaan diberi imunisasi penyakit itu secara percuma.

Mengenai sambutan itu beliau berkata, ia bertujuan meningkatkan kesedaran orang awam terhadap bahaya penyakit hepatitis B dan C menerusi forum awam, ujian darah secara percuma serta pameran. – Bernama



AHP: Aku sarankan supaya para pengunjung betul-betul teliti membaca maklumat yang terkandung dalam entry ini. Punca jangkitan penyakit ini hampir sama 100% dengan HIV dan sangat bahaya cuma kurang mengalami stigma kerana vaksin telah dijumpai. Tetapi ingat, vaksin tersebut hanya untuk Hepatitis B.