Friday, July 15, 2011

MENGHAMPIRI ALAM BARZAKH...


23.9.2010

Amboi tajuk... bukan main lagi, kan? Ala... apa salahnya kita mengingati kematian dan memuhasabah diri. Kali ni nak share pengalaman haru-biru ketika aku dimasukkan ke High Dependency Ward (HDW) pula. Mungkin ada sesuatu yang boleh diambil iktibar.

Selepas 2 hari berada di wad biasa, gusi dan bibir aku masih berdarah. Platelet masih rendah, begitu juga sel darah putih. Sekalipun nampak ‘OK’ tetapi secara klinikalnya aku dianggap tenat. Bila-bila masa saja katanya aku boleh ‘tumbang’. Semua symptoms menunjukkan aku menghadapi masalah demam denggi berdarah.

Anggaran pukul 1:30 pagi, aku dikejutkan dan diminta bersedia untuk dipindahkan ke HDW. Ketika itu aku masih keliru tentang istilah HDW. Mudah cerita HDW tu ‘adik’ kepada ICU.

Dalam kebingungan, aku disorong ke bilik tersebut. Segala-galanya aku rasakan datang secara tiba-tiba. Mula-mula ke klinik untuk rawatan ‘demam biasa’, tiba-tiba kena test darah, tiba-tiba kena masuk hospital dan tiba-tiba terpaksa berada di HDW. Tak pernah aku menjangkakan segalanya terjadi begitu pantas.

Ketika disorong dan terbaring di katil beroda tu (tak tau aku nama sebenarnya), pandanganku lemparkan ke luar bangunan. Selain lampu-lampu wad yang menyala, segalanya sunyi-sepi. Tertanya-tanya sendiri, adakah ini peluang terakhir aku melihat pemandangan tersebut?

Agaknya begitulah keadaannya perjalanan terakhir jenazah apabila disorong ke bilik mayat. Bila-bila masa saja aku mungkin kehilangan segala-galanya. Sesekali aku cuba tersenyum untuk menenangkan isteriku yang turut mengiringi. Jelas di wajahnya emosi yang tidak stabil.

Aku sempat berpesan kepada isteriku supaya memberitahu keadaanku kepada ahli keluarga yang rapat. Aku minta supaya disampaikan segala mohon ampun dan maafku. Sebelum ini aku merahsiakan bahawa aku berada di hospital kerana tidak mahu menyusahkan sesiapa. Aku bimbang perkara di luar jangka akan berlaku.

Masuk sahaja ke bilik HDW aku tambah terkejut. Aku ingatkan sekadar seperti Isolation Ward. Biliknya sangat luas. Terdapat 2 orang pesakit lain dengan segala macam mesin dan peralatan. Segala-galanya sangat berbeza daripada wad biasa. Salah seorang daripadanya berbungkus keseluruhan tubuh kecuali matanya yang terpejam. Bunyi mesin, “beep, beep, beep, tut, tut, tuuuttt....” berulang-ulang kali.

“Habislah aku, teruk sangat ke keadaan aku ni...?” aku berfikir lagi. Ketika di HDW juga isteriku dilarang menemani, bermakna separuh daripada kekuatan semangatku diragut.

Nurses mengerumumiku, diangkat ke katil khas, dada dilekatkan alat pengesan jantung, suhu, oksigen, air melalui intravene (IV) dan ditebuk salur khas di bahagian urat nadi untuk memudahkan doctor mengambil darah. Aku melambai dan tersenyum pahit buat kali terakhir kepada isteriku.

Sebentar sahaja sekeliling katilku dihiasi segala macam mesin dan peralatan.  Belumpun 10 minit berlalu, rasa ingin kencing mula mendesak ari-ari. Maklumlah aku pesakit diabetes dan meminum air kosong dengan banyaknya selama hampir 2 hari. Aku mula panik apabila memikirkan kalau-kalau terpaksa kencing sambil berbaring menggunakan urinary.

“Nurse, saya nak buang air kecil. Boleh saya pergi tandas kejap tak?” Aku bertanya kepada jururawat di hujung katil yang menjagaku. Mereka memakai mask hampir sepanjang masa.


“Tak boleh encik, kalau nak kencing kami beri bekas, seelok-eloknya encik pakai urine condom bag.”

“HAH, urine condom bag?! Macam mana saya nak pakai, saya tak tahu kencing atas katil?”

“Tak apa, nanti saya pakaikan, kalau tak, kita ada staff lelaki...” jawab nurse dengan lembut. Aku serta-merta rasa nak pitam mendengarnya.

“Tak payahlah, berilah saya bekas tu, tolong tutupkan langsir kejap, saya tak mampu kencing kalau open begini.” Selepas berhempas-pulas, aku akhirnya kencing dengan cara yang paling ‘pelik’ yang pernah aku alami.

10 minit kemudian sekali lagi aku nak terkencing. Kali ni aku mengalah. “Nurse, saya nak kencing, saya nak pakai condom tu.” Sampai bila aku nak menyusahkannya?

“Ok, encik nak siapa pakaikan, saya atau perlu panggil staff lelaki?” Nurse tersebut bertanya jujur. Sah akhirnya dia menang!

“Oooo... tidak! Tolong ajar saya cara memakainya. Insya-Allah saya masih boleh buat sendiri.” Sebenarnya saya sekadar bercakap kosong untuk berdalih daripada keadaan tersebut.

 
Nurse tersebut pun memberikan ‘taklimatnya’ dan selepas itu aku minta langsir ditutup. Berpeluh-peluh aku mencuba tetapi tak jadi-jadi. Bukan seperti memakai condom biasa dan kedua-dua belah tanganku pula berselirat dengan pelbagai jenis tiub dan wayar sehingga hampir-hampir give-up dibuatnya.
 
Seperkara yang aku tak boleh lupa ialah apabila tiba-tiba seorang doktor perempuan menyelak langsir ketika aku terkial-kial cuba memakai condom tersebut. “Oppss...!” doctor tersebut melatah dan aku terkulat-kulat.

Ringkas cerita akhirnya aku berjaya tetapi sentiasa meminta nurse menutup langsir setiap kali mahu kencing dan begitulah sepanjang hari. Manalah aku pandai kencing sambil terlentang dan orang lalu lalang di depan katil aku walaupun logiknya mereka tidak sedarpun aku kencing kecuali level takungannya yang semakin bertambah.

Menjelang hari kedua, aku sudah boleh kencing dengan agak selesa. Aku terpaksa melawan psikologi kerana malu akibat terlampau kerap meminta mereka menutup langsir. Selama 2 hari juga aku rela berlapar kerana bimbang terpaksa buang air besar pula di atas katil. Konon-kononnya aku diabetic diet, hehehe...

AHP:

Terlalu banyak jasanya pekerja para pekerja hospital terhadap pesakit. Semoga jasa bakti dan pengorbanan mereka mendapat pahala yang berlipat kali ganda. Ketika di HDW, setiap hari aku lihat mereka membersihkan najis, ‘memandikan’, menyuapkan makanan dan minuman, membersihkan muntah, menukar pakaian dan sebagainya. Anak-anak sendiripun belum tentu mampu menjaga sebaik mereka.

Ada juga seorang dua nurse yang buat perangai terhadap pesakit tetapi terlebih terkurang tu aku rasa tak perlulah diperbesarkan.

Ketika di HDW juga pertama kali aku cuma mampu menunaikan solat secara ‘niat’ kerana tidak dapat beristinjak’, berwudhuk atau bertayamum.

Sebenarnya ketika itu aku keliru kerana badanku bukannnya terasa lemah dan tak berdaya. Aku dilayan sebagai seorang yang sangat lemah sehingga psikologi dan biologiku menerima sahaja keadaan tersebut. Secara klinikalnya aku tak berapa faham maklumlah aku bukan doctor.

Hargailah nikmat yang Allah pinjamkan sebelum segala-galanya terlewat.