Katakanlah, “Sesungguhnya kematian yang kamu lari daripadanya, maka sesungguhnya kematian itu akan menemui kamu, kemudian kamu akan dikembalikan kepada (Allah), yang mengetahui yang ghaib dan yang nyata, lalu Dia beritakan kepadamu apa yang telah kamu kerjakan.” [QS Al-Jumu’ah 8]
Tiap-tiap yang berjiwa akan merasakan mati. Kemudian hanyalah kepada Kami kamu dikembalikan. [QS al Ankabut 57]
Orang yang cerdas ialah orang yang mengendalikan dirinya dan bekerja untuk kehidupan setelah kematian. [HR Tirmidzi]
“Apabila matinya anak Adam, akan terputuslah segala amalannya, kecuali 3 perkara iaitu sedekah amal jariah, anak yang soleh dan ilmu yang bermanfaat.” [Riwayat Bukhari dan Muslim]
Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:
“Rebutlah lima perkara sebelum datang lima perkara, iaitu masa sihatmu sebelum sakit, masa lapangmu sebelum sibuk, masa mudamu sebelum tua, masa senangmu sebelum susah dan masa hidupmu sebelum mati.”
Assalamualaikum,
Assalamualaikum,
Ketika entry ini disediakan, aku memang tidak tahu bila dan bagaimana cara kematianku. Aku juga tidak tahu siapa dulu di antara kita yang lebih awal dijemput kembali. Namun, sebagai seorang muslim dan peringatan bersama, aku tinggalkan beberapa pesanan sebagai persediaan sebelum terjadinya ketentuan Allah.
Aku harap, setelah ketiadaan aku, entry ini akan dipublishkan kembali oleh mana-mana ahli keluargaku sebagai entry penutup. Jangan sedih-sedih, baca sahaja entry dengan fikiran yang positif.
Semua ahli keluargaku,
Maafkan aku jika selama ini aku berahsia tentang status sebenar kesihatanku atau hanya setelah aku sakit tenat atau tiada baharulah kita semua mengetahui bahawa aku seorang pembawa HIV.
Sesungguhnya berahsia bukanlah niatku tetapi aku terpaksa mengambil sikap demikian untuk mengelakkan timbulnya suasana panic dan keluh-kesah di kalangan ahli anggota keluarga. Jika masih tidak berapa jelas tentang punca jangkitanku, silalah klik entry yang bertajuk: KISAH BENAR: DATUKKU SEORANG PEMBAWA HIV
Aku hanya cuba mengelakkan tekanan yang tinggi terhadap keluarga. Maklumlah virus ini penuh stigma, diskriminasi dan judgmental.
Semoga tidak ada yang salah anggap terhadap perubahan sikapku sejak aku dikatakan sakit akibat “jangkitan kuman” suatu ketika dulu.
Aku juga mohon ribuan ampun dan maaf atas segala silap dan salah selama ini dan maafkan aku jika ujian Allah terhadapku ini mengaibkan keluarga kita.
Moga kita sentiasa memelihara solat, mengutamakan keredhaan Allah melebihi segala-galanya, menghargai nikmat kesihatan dan kembali ke pangkal jalan jika tersasar daripada landasan syarak.
Tolong doa-doakan aku ditempatkan di sisi para Rasul dan orang-orang yang beriman. Amiin…
Isteri-isteriku,
Abang ucapkan terima kasih atas cinta, pengorbanan, sokongan dan kasih sayang tidak pernah berbelah bagi. Abang sangat sayangkan kalian berdua. Anda berdua adalah isteri-isteri solehah bahkan dalam beberapa keadaan abang terasa siapalah abang di sisi kalian.
Maafkan abang atas segala kelemahan diri dan apa jua kesalahan. Kalian berdua lebih mengenali abang berbanding orang lain. Arif dengan kekuatan dan kelemahan abang. Abang bahagia dan bersyukur berpeluang berkongsi hidup bersama kalian.
Maaf dan ampunkan abang jika di saat-saat akhir hayat, abang banyak menyusahkan dan berubah sikap. (Na’uzubillahi min zaalik) Semoga Allah ampunkan abang kerana antara perkara yang abang paling takut sebagai pembawa HIV ialah rosak iman akibat tidak sabar dan redha dengan ujianNya.
Wasiat abang terhadap pembahagian harta telah jelas dan kita persetujui bersama sejak awal lagi. Fara’id adalah sebaik-baiknya tetapi memandangkan kita telah bersetuju memilih cara wasiat atas sebab-sebab tertentu, pesanan abang kali ini hanyalah tentang kebajikan kita sekeluarga.
Abang sangat berharap semoga wasiat abang terhadap pembahagian harta pusaka tersebut dipertahan dan dipergunakan untuk mencari keberkatan dan keredhaan Allah.
Alangkah ruginya abang jika hanya kerana harta yang tidak seberapa itu menjadi punca pertelingkahan dan menyiksa abang di alam barzakh. Banyak kita lihat peristiwa tersebut berlaku di hadapan mata.
Disebabkan rasional tersebutlah abang bertegas supaya kita selesaikan awal-awal tentang soal pembahagian harta pusaka dan harta sepencarian.
Walau bagimanapun abang sangat-sangat mempercayai kalian. Abang akur dengan prinsip kita bahawa, ‘We are One!’
Selepas pemergian abang, jagalah solat ahli anggota keluarga kita bersungguh-sungguh. Ingatkan betul-betul kepentingannya kepada anak cucu dan seluruh anggota keluarga kita. Jangan jemu-jemu. Hanya itulah benteng ampuh terakhir yang kita ada pada zaman penuh fitnah dan pancaroba ini.
Tak perlu sedih-sedih tanpa abang dan teruskan kehidupan seperti biasa. Jika bertemu insan soleh, lebih baik, boleh menjaga dan mendidik kalian dengan ikhlas dan hati kalian terbuka untuk menerima, tak usah kenangkan abang yang telah tiada.
Jangan terlalu melancholic dan dramatic. Sesiapapun antara kalian bebas membuat pilihan dan berhak mendapat peluang kedua. Sudah tentu kebahagian kalian adalah kebahagian abang dan abang tidak ada kena mengena lagi dengan urusan dunia.
Tolong halal dan redhakan apa juga sumbangan dan amal bakti yang kalian lakukan untuk abang selama kita bersama.
Semoga hidup kalian lebih bahagia tanpa abang bersama anak cucu, amiin…
Anak-anak dan cucu-cucuku,
Abah sayang kamu berdua. Sangat-sangat sayang. Kamu berdua mengetahuinya bahkan kekuatan abah banyak bergantung kepada kamu berdua, selain mak dan umi.
Sebenarnya tidak banyak perkara yang abah nak ingatkan kerana abah sentiasa redha dan puas hati dengan kamu berdua. Abah bangga memiliki anak sehebat kamu berdua. Abah yakin, insya-Allah masa depan kamu berdua sangat cerah jika kekal dengan sikap membanggakan seperti sekarang.
Macam-macam abah dah pesan selama ini. Ingat dan amalkan cuma abah perlu ingatkan lagi, jaga dan pelihara solat sampai bila-bila.
Kamu berdua lelaki, utamakan solat berjamaah. Jangan larut dengan nikmat dan kepentingan dunia yang fana ini.
Apapun ujian Allah, jauhi diri kamu dan generasi kamu daripada segala perbuatan yang boleh membinasakan iman dan kemuliaan legacy.
Jaga dan pelihara solat anak-anak isterimu. Pastikan mereka dididik sejak kecil memelihara solat dan menutup aurat dengan sempurna. Utamakan didikan agama. Sentiasalah merendah diri, menunaikan amanah, berbudi bahasa, memaafkan musuh dan menghulurkan bantuan.
Elakkan berhutang di luar keupayaan dan bersederhanalah dalam kehidupan. Hargailah nikmat kesihatan yang Allah pinjam dan amanahkan. Semestinya selalu ingat untuk menjaga hati, menghormati dan menyayangi mak dan umi. Utamakan kebajikan mereka. Bersabarlah dengan sebarang karenah mereka dan ingat tiada kejayaan bagi seseorang anak tanpa restu dan redha ibu bapa.
Walau bagaimanapun abah tetap manusia biasa. Abah mohon maaf di atas segala kelemahan dan kelalaian abah dalam mendidik kalian. Segala kekuatan abah jadikan panduan. Segala kelemahan abah, hindari dan buat lebih baik.
Semoga kita menjadi Imam bagi orang-orang yang bertaqwa!
Pengunjung blog.
Tidak kira apapun tujuan anda mengunjungi blog ini, tujuanku hanyalah untuk menyampaikan nilai-nilai positif dan membantu rakan senasib. Tiada langsung bermaksud mencari simpati, glamour dan kepentingan peribadi.
Terima kasih dan jazakallah kheir atas segala doa, cacian, sokongan, kritikan, pujian, prejudis, sinis, optimis, penghargaan dan kutukan. Yang terbaik hanyalah milik Allah.
Kewajiban kita membimbing dan memberi sokongan kepada saudara seagama kerana segala ujian Allah terhadap mereka juga merupakan ujian terhadap kita. Allah melihat sejauh mana kita berusaha membantu mereka.
Bukan semua pembawa HIV orang-orang yang bersalah. Kasihanlah pasangan dan anak-anak mereka yang turut menerima hukuman dan cercaan. Bersalah dan berdosa sekalipun siapalah kita untuk menilainya. Semoga kalian sentiasa dalam redha dan rahmat Allah.
Akhir kata untuk semua: Ampun & maaf atas segala kesalahan. Dari Allah kita datang dan kepada Allah kita kembali.