Wednesday, July 20, 2011

DILEMMA MAK NYAH- ‘AMBIL NYAWA KAMI DULU’ (ENTRY 2)


MOHD ASHRAF HAFIZ...mahu rayu keputusan mahkamah

KUALA TERENGGANU: “Jika kematian adalah penyelesaian, tolonglah ambil nyawanya, tapi (sebelum itu) ambil nyawa saya dan suami dulu kerana kami juga sebahagian daripada punca masalah ini,” kata ibu Mohd Ashraf Abd Aziz, 25, yang permohonannya untuk menukar nama kepada Aleesha Farhana ditolak Mahkamah Tinggi di sini, kelmarin.

Wanita berusia 50 tahun yang hanya mahu dikenali sebagai Mak Yah berkata, hati dia dan suami, Abd Aziz, 60, cukup terguris apabila ada pihak tergamak mendoakan kematian Mohd Ashraf seperti disebarkan melalui blog serta laman sosial di Internet.

“Ada yang menyebut lebih baik dia mati, tapi ambillah nyawa saya dan suami dulu,” katanya pada pertemuan di rumahnya di Kampung Telaga Daing dekat sini, semalam. Kelmarin, Hakim Datuk Mohd Yazid Mustafa ketika menolak permohonan Mohd Ashraf berkata, biarpun dia sudah menjalani pembedahan menukar jantina di Thailand pada 2009, ia tidak boleh dijadikan hujah untuk mahkamah menerima permohonannya.

Dengan nada sinis Mak Yah berkata, memang mudah melemparkan pelbagai tohmahan terhadap keluarganya, tetapi tiada siapa tahu penderitaan ditanggung mereka sekeluarga.

“Cuba bayangkan jika mereka berada di tempat kami,” katanya yang mengakui dia dan suami amat tertekan dengan pandangan orang ramai yang menuduh mereka gagal menjadi ibu bapa yang baik.

“Kami sedih dengan tohmahan sesetengah pihak termasuk media apabila ada beranggapan kami membelakangkan Tuhan dengan menyokong keputusan Mohd Ashraf menukar nama dan jantina dalam kad pengenalannya.

“Hakikatnya kami sekeluarga tidak pernah menyokong tindakannya dan amat terkejut bila dia membuat pembedahan menukar jantina sehingga kami pernah tidak mengakuinya anak,” katanya.

Mak Yah mengakui dia menyedari Mohd Ashraf memiliki ciri-ciri kewanitaan sejak bayi lagi, namun terkejut apabila anaknya melakukan pembedahan jantina pada 2009 dan ketika itu dia dan suami menunaikan haji di Makkah.


“Kami berada di Makkah mengerjakan haji ketika itu dan sepanjang pengetahuan kami, dia bekerja di Putrajaya,” katanya.

Menurutnya, Mohd Ashraf tidak memberitahu mereka mengenai ujian perubatan dan hormon dilakukannya di Pusat Perubatan Pantai di Kuala Lumpur dua tahun sebelum pembedahan itu.

“Disebabkan terlalu marah, kami bakar semua pakaiannya dan memberitahunya supaya jangan pulang ke rumah lagi, tetapi kami tahu dia kerap pulang, cuma bermalam di dalam keretanya tanpa masuk ke rumah,” katanya.

Sementara itu, Abdul Aziz yang juga bekas tentera berkata, dia tidak mempunyai masalah mendisiplinkan anak, tetapi buntu menghadapi masalah membabitkan Mohd Ashraf.

“Adiknya pernah memotong rambutnya (Mohd Ashraf) seperti tentera, tetapi kami tetap melihatnya seperti seorang wanita, bezanya hanya rambut dia pendek.

“Saya menyedari kami perlu menangani masalah ini dan bukannya berterusan menafikannya kerana kami masih mempunyai Mohd Ashraf yang lama,” katanya.

Menurutnya, masalah itu mungkin boleh dielak jika dia mendapatkan pandangan pakar mengapa Mohd Ashraf tidak mempunyai karakter lelaki ketika membesar.

“Suaranya tidak berubah menjadi garau ketika dia meningkat remaja dan gayanya berjalan juga seperti wanita, tetapi ketika itu saya tidak terlintas akan timbul masalah lebih besar,” katanya Abdul Aziz berkata, jika kesilapan membesarkan anak menjadi punca Mohd Ashraf mahu menjadi wanita, dua anak angkatnya yang lebih tua sepatutnya menghadapi masalah sama.

“Anak angkat lelaki dan perempuan saya tidak mempunyai masalah, begitu juga adik lelaki dan perempuan Ashraf,” katanya.

Meskipun mendengar mengenai kewujudan fatwa oleh Jakim yang membenarkan seseorang yang jantinanya diragukan menjalani pembedahan pertukaran jantina, Abdul Aziz berkata, dia tidak pasti bagaimana perkara itu boleh dilakukan kerana tiada garis panduan.

“Keputusan ujian perubatan menunjukkan dia mempunyai lebih banyak hormon perempuan berbanding lelaki. Bolehkah fakta ini menyokong permohonannya? Saya harap perkara seperti ini dijelaskan dengan terperinci dan layak diberikan pertimbangan,” katanya.

Mohd Ashraf pula berkata, dia menerima keputusan Mahkamah Tinggi dan akan mengemukakan rayuan.

“Selagi ada ruang mengikut peruntukan undang-undang, saya akan merayu. Orang mungkin berharap saya diam terus atau mati, tetapi saya hanya mahu menjalani kehidupan yang aman,” katanya.



AHP: Peringatan untuk diri sendiri yang sentiasa alpa. Berita yang sarat dengan emosi dan pengajaran. Aku berpendapat, bila melibatkan isu berkaitan hukum hakam, pihak yang paling layak memberikan pandangan dalam soal ini hanyalah pakar psikologi, pakar perubatan dan pakar agama.

Seelok-eloknya mereka yang mempunyai kemahiran dalam ketiga-tiga bidang tersebut sekaligus.

Semakin ramai pengamal perubatan yang di Malaysia yang mempunyai pengetahuan yang tinggi dalam ketiga-tiga bidang ini. Mereka kebanyakannya bekas pelajar sekolah agama atau tahfiz yang menyambung pelajaran di bidang perubatan. Atau pengamal perubatan yang meningkatkan ilmu di bidang agama selepas menamatkan pengajian.

Selain daripada golongan tersebut, sekadar tumpang bercakap kosong bolehlah. Ini negara demokrasi, terpulanglah. Tetapi ingat tersilap cakap jadi fitnah dan mengaibkan mangsa serta keluarga. Maka tanggunglah akibatnya di akhirat kelak.
  
Secara peribadi, aku memandang isu ini dari sudut ujian Allah. Setiap manusia diuji dengan pelbagai cara dengan segala macam hikmah dah rahsia Allah yang mempunyai sifat Maha Adil dan Maha Mengetahui.

Ada yang dilahirkan sebagai OKU, pesakit mental, pembawa HIV, tanpa dubur, yatim piatu, mempunyai pelbagai jenis penyakit berkaitan saraf, kecelaruan fikiran atau emosi dan kadangkala memiliki segala macam rangkaian  pelbagai jenis penyakit kronik sekaligus dan sebagainya. Adakah kita semalang mereka?

Ada pula yang diuji dengan segala macam nikmat, kuasa dan kemewahan sehingga terbabas merasakan diri merekalah tuhan yang takkan mati-mati.

Ada pula yang diuji melalui kesakitan atau penderitaan yang ditimpakan terhadap isteri, suami, anak, ayah dan sebagainya.

Jika kita terlalu memikirkan masalah diri, kita cenderung memikirkan hanya kita sahajalah yang paling malang sehingga menderita. Demi memenuhi tuntutan naluri dan ingin lepas daripada kesakitan, ada kalanya manusia sanggup menjual akidah. Ada pula terasa mampu membeli dunia, syurga atau neraka.

Mustahil kita mampu mengatasi ketentuan Ilahi. Sebelum bertindak, fikirkan dalam-dalam kaedah tindakan yang tepat dan kesan tindakan terhadap masa depan serta kehidupan yang kekal abadi di sana.

Ketika menderita memang kita depress dan cenderung kehilangan rasional tetapi di suatu ketika mungkin kita tersedar dan berkata: “Subhanallah, syukurlah Kau timpakan segala ujian ini.”

Apa pun ujianNya,  Allah tidak pernah zalim dan jauh sekali daripada mempunyai segala sifat lemah seperti makhluk.