Tuesday, July 26, 2011

RAYA TANPA INSAN TERSAYANG (ANTI STIGMA & DISKRIMINASI)


Oleh Balkish Awang

KUALA LUMPUR, 30 Sept (Bernama) -- Tiada yang lebih menyayat hati bagi seorang kanak-kanak perempuan berusia lapan tahun ketika lebaran semakin hampir apabila tidak dapat menyambutnya bersama-sama ibu bapa dan anggota keluarga tercinta kerana mereka telah kembali ke Rahmatullah lebih dulu.

Lebih meruntun sanubari apabila datuk sendiri tidak sanggup dan tidak berupaya memeliharanya kerana kanak-kanak itu menghidap HIV.

Cuba bayangkan nasib malang yang menimpa insan kerdil bernama Siti (bukan nama sebenar) yang terpaksa menanggung beban begitu berat dan menghadapi pelbagai realiti serta pahit maung kehidupan.

Untuk menyelami perasaan golongan seperti Siti, anda perlu berkongsi pengalaman bersama anak-anak yang menghidap Aids dan HIV yang tinggal di Persatuan Kebajikan Anak Pesakit HIV/Aids Nurul Iman Malaysia (PERNIM).

Sebaik sahaja kaki melangkah masuk, rumah PERNIM masih sunyi daripada keriuhan 40 kanak-kanak yang menghuninya. Mungkin kami tiba agak awal, kanak-kanak itu masih bersekolah, namun ketika menanti anak-anak istimewa itu pulang dari sekolah, penulis sempat meninjau bilik mereka.

Begitu lapang dada penulis apabila melihat setiap bilik mereka dihiasi dengan patung aneka warna. Pandangan mata penulis seolah-olah terpaku pada tiga nama yang tertera di atas meja di salah sebuah bilik kerana terpandang deretan ubat-ubatan di atasnya.

Terkejut melihat begitu banyak ubat yang terpaksa ditelan si kecil seperti mereka namun itulah hakikatnya yang perlu dilalui oleh anak-anak itu untuk kelangsungan hidup.

Menurut seorang pembantu di rumah berkenaan, Qalbilah Ahmad, 21, antara ketiga-tiga pesakit itu, Siti-lah yang paling hebat kerana insan kerdil ini merupakan pesakit yang sangat kritikal dan kini hanya bergantung kepada ubat-ubatan untuk meneruskan kehidupannya.

"Bayangkan budak sekecil Siti ini terpaksa makan ubat sebanyak ini, tapi nak buat macam mana inilah penawar untuknya bertahan sehingga hari ini," katanya.

Akhirnya masa bertemunya tiba jua apabila mendengar jeritan kanak-kanak dari luar memberi salam. Ketika seorang demi seorang bersalaman tiba giliran kanak-kanak perempuan yang bertubuh kecil, kurus tidak seperti usianya berjalan lemah namun tetap berupaya memberi senyuman kepada penulis.

"Itulah Siti yang saya ceritakan tadi," kata Qalbilah.

Anak kecil tidak berdosa itu yang terpaksa menanggung derita, tetap ceria menanti ketibaan Syawal, masih mampu tersenyum gembira tiap kali diajukan pertanyaan raya.

"Seronok nak raya, dapat makan ketupat, dapat duit raya dan bersalaman bersama mama dan adik-beradik lain," katanya yang memanggil "mama" kepada Pengasas yang juga Yang Dipertua Pengerusi PERNIM, Norlina Alawi.

Anak yatim piatu itu yang agak malu-malu ketika disapa, jelas tidak mengetahui apakah penyakit dan derita yang sedang dialaminya.

Berkepala botak, dan kudis-kudis memenuhi segenap ruang tubuh badannya, Siti ditinggalkan ibu bapanya yang meninggal dunia akibat AIDS. Lebih menyayat hati datuknya tidak sanggup untuk menjaga cucunya ini lalu diserahkan kepada PERNIM.

Ketika ditanya pada Siti adakah dia mengerti apa itu AIDS, anak kecil itu sekadar menggelengkan kepala sambil merungut: "Sakit, sakit... badan gatal-gatal."

Menurut Norlina, doktor mengesahkan penyakit Siti di tahap kritikal iaitu pada peringkat empat.

"Saya mengambil Siti di hospital kerana tiada siapa yang mahu jaga dia. Bila pulang saya menjaganya dengan rawatan penuh rapi. Saya botakkan kepalanya untuk memudah merawatnya," kata Norlina.

Sementara itu, Aidilfitri bagi dua beradik iaitu Yusuff (bukan nama sebenar) 14, dan Husna (bukan nama sebenar), 11, juga tidak lagi seperti tiga tahun lepas ketika menyambut Aidilfitri bersama ibu bapa tercinta.

"Kali ini masuk tahun ketiga saya beraya di sini, walaupun tak bersama keluarga tapi dapat jugalah rasa macam beraya di rumah sendiri kerana di sini juga kami tinggal dalam rumah bersama adik-beradik lain.

"Tapi sesekali sebak juga bila teringat mak dan ayah yang telah pergi disebabkan penyakit HIV. Tahun 2000, ayah meninggal dulu kemudian diikuti mak pada 2001," kata Yusuff.

"Pada hari raya mama akan bawa saya dan adik pergi menziarahi kubur arwah mak dan ayah, jadi dapat juga mengubat rindu terhadap mereka," katanya sayu.

Kata Yusuff dia tidak mengalami jangkitan HIV daripada ibu bapanya namun jangkitan itu diwarisi adiknya.

Sambil melipat kain, Husna yang petah berbicara, dengan wajah gembira menceritakan baju rayanya ada tiga pasang dan tidak sabar-sabar menanti ketibaan 1 Syawal.

"Sekarang bulan puasa dah banyak kumpul duit raya, nak tunggu hari raya pula tak sabar nak pergi beraya dan makan kuih kegemaran saya kuih yang ada coklat dan kacang di atasnya (Almond London)," katanya.

Menurut Norlina, tiga bulan sebelum puasa beliau sudah membuat persiapan raya seperti menyediakan baju dan kasut raya untuk anak-anak jagaannya.

"Pada hari raya pertama kami akan beraya bersama-sama dengan anak-anak akan bersalaman dan bermaaf-maafan serta menikmati juadah hari raya seperti ketupat, rendang dan lemang," katanya.

Pada hari raya kedua, kata Norlina beliau dan suami serta keluarga bersama anak-anak jagaannya akan pulang ke kampungnya di Johor.

"Walau pulang ke kampung, anak-anak tetap di bawa bersama, tidak sampai hati membiarkan mereka di rumah. Sebab itu sekarang saya tengah berusaha untuk mendapatkan sebuah van lagi bagi membawa anak-anak ini pulang beraya bersama," katanya.

BERNAMA