Insya-Allah 28 June ini genaplah 6 bulan aku didiagnos sebagai pembawa HIV. Apa agaknya aku rasa dalam tempoh setengah tahun ini ya?
Aku bahagikan pengalamanku dalam tempoh ini kepada beberapa fasa. Fasa pertama ialah fasa penuh kekeliruan tentang HIV dan sibuk mencari punca aku dijangkiti.
Disebabkan aku tahu diriku tidak melakukan aktiviti berisiko dan telah berkahwin selama hampir 21 tahun, pada mulanya aku sangat tersiksa dengan seribu persoalan bagaimana virus HIV boleh berada di tubuhku.
Aku bukan penagih dadah dan jauh sekali menyalahguna dadah secara suntikan. Tidak pernah mengamalkan seks bebas dan jauh sekali gay. Bukan juga mewarisinya daripada ibu. Jadi bagaimana?
Ketika itu ada kalanya dalamanku memberontak kerana aku rasa 'tidak cukup jahat' untuk mendapat HIV. Semua jenis punca biasa risiko jangkitan tidak ada kena mengena denganku. Aku juga bukan kaki dangdut, pemanipulasi, penjudi, perasuah, pemimpin korup, penabur fitnah dan sebagainya.
Sesekali fikir, alangkah beruntungnya para pembawa HIV ‘normal’ kerana apabila didiagnos mereka terus mendapat teguran secara langsung daripada Allah. Boleh memuhasabah di mana kesilapan dan kealpaan diri sedangkan aku? Bila difikir-fikir semula aku kena banyakkan beristighfar.
Bagi pesakit-pesakit kronik lain pula, mereka tahu mereka ditimpa musibah tetapi musibahnya bersifat umum. Tak semestinya dapat dikaitkan punca dengan kealpaan lampau. Hepatitis yang 100 kali lebih mudah berjangkit daripada HIV dan punca jangkitannya yang hampir 100% sama pun tidak mendapat ‘keistimewaan’ tersebut.
Bukan bermakna aku tidak berdosa. Uihh… banyak sangat dosa tetapi dalam bentuk yang lain! Mungkin selama ini aku angkuh, lalai, berterusan dalam dosa kecil, busuk hati atau apa saja. Pandai-pandailah muhasabah diri.
Sambung cerita…
Ketidakpastian terhadap punca jangkitan sangat-sangat menyakitkan. Selain itu aku rasa sangat tercabar dengan cara doctor Cina yang memaklumkan status HIV kepadaku. Aku seperti dituduh dan dihina tanpa hak membuat pembelaan atau sekurang-kurangnya memahami situasi sebenar.
Terpinga-pinga dan keliru sepanjang waktu. Memang tak ada etika dan tak masuk ajar punya doctor!
Walaupun pada mulanya aku telah jangka punca jangkitan tetapi aku masih tidak yakin. Maklumlah ini bukan perkara main-main. Sebarang tuduhan amat berat diterima dan pasti menimbulkan polemic yang tiada kesudahan.
Kemungkinan yang aku jangkakan itu sebenarnya turut dimaklumkan sejak awal oleh beberapa kenalan di bidang perubatan. Aku kelemasan membuat carian maklumat daripada pelbagai sumber dan perlahan-lahan mula jelas dengan kemungkinan tersebut.
Maklumlah pengetahuanku di bidang HIV/AIDS sebelum ini hampir sifar. Aku juga tidak begitu menghargai nikmat kesihatan yang Allah amanahkan. Aku tidak alert untuk ambil tahu tentang HIV kerana itu “bukan penyakit aku.” Walaupun tidak bersikap diskriminasi dan jugmental tetapi aku akui wujud stigma dalam diriku terhadap pembawa HIV sebelum ini.
Daripada situlah aku mula memahami kenapa ujian saringan awal HIV (screening test dan ELISA) selepas pemindahan darah menunjukkan keputusan negative sebelum bertukar positif selepas hampir 2 bulan kemudiannya.
Faham kenapa fail rawatanku ‘sepantas kilat’ boleh hilang. Jelas kenapa ujian HIV isteri-isteriku negative sedangkan aku tidak pernah mengambil langkah pencegahan selama berkahwin lebih 2 dekad.
Terjawab pertanyaan kenapa aku disahkan HIV positif tanpa apa-apa simptom. Clear kenapa doctor Cina tersebut mengatakan aku turut menghidap hepatitis C walaupun kemudiannya disahkan oleh Private Medical Centre tidak mengidap sebarang jenis hepatitis.
Aku mula tahu apa itu window period. Baru tahu sebagai pengidap diabetic imunisasi badanku sebenarnya rendah dan baru celik mata bahawa rupa-rupanya di sebalik setiap pemindahan darah wujud berbagai-bagai risiko komplikasi dan jangkitan tertentu. Aku belajar banyak perkara.
Rasanya aku bukanlah jenis pendendam. Buktinya aku memang memaafkan dan tidak timbulpun soal saman menyaman. Cuma cakap saja terus terang secara gentlemen, apa salahnya? Banyak sangat putar belit dan bila orang yang belajar tinggi ni membohong, nampak benar hodoh dan mengarutnya. Kalau aku vocal menegur, itu bukan kerana aku marah secara keseluruhan tetapi tidak mahu ianya berulang kepada orang lain. Itu saja.
Bila dah clear tentang punca jangkitan, aku lalui fasa kedua dalam waktu yang hampir sama iaitu fasa menempuhi kerisauan untuk berdepan dengan reality.
Aku ada karier. Karierku sepatutnya sifar masalah HIV positif. Ada keluarga, ada tanggungjawab, risiko jangkitan kepada isteri-isteri, HIV kononnya tak boleh dirawat, tercari-cari harapan dan sebagainya.
Segala pencarian dan perjuangan tersebut aku kumpul dan kongsikan di blog ini. Jika rakan-rakan pembawa HIV baca betul-betul dan berkali-kali, insya-Allah ianya boleh dikatakan sempurna sebagai ASAS kepada pembawa HIV yang baru didiagnos untuk berdepan dengan ujian Allah ini.
Kerisauan dan proses kematanganku berdepan dengan virus ini dapat dilihat secara berperingkat-peringkat. Aku masih belajar dan akan terus belajar. Manafaatkanlah sepenuhnya sebab blog ini memang untuk semua.
Alhamdulillah sekali lagi aku semakin jelas tentang banyak perkara. Kalau mula-mula dulu, nak bersalam dengan orang lain pun aku ragu-ragu, bimbang menjangkitkan virus kepada mereka. Nak berkongsi makanan dan minuman dengan family pun terasa was-was dan risau. Inferiority complex.
Bayangkan jika menunaikan kewajipan batin terhadap isteri-isteripun menjadi deraan psychology terhadapku, apatah lagi dalam hal-hal lain sedangkan pembaca ‘melihat’ aku sentiasa tabah dan sabar. Jadi komuniti tidak sepatutnya risau kami menjangkitkan virus kepada mereka kerana kami sendiri lebih takut dipersalahkan kerana menyusahkan mereka.
Fasa ini juga getir kerana antara bermacam-macam kerisauan termasuklah risaukan kemungkinan hinanya hujung hayat yang bakal ditempuhi. Aku risau jika tidak cukup tabah untuk menghadapinya dan akan merosakkan imanku kepada-Nya.
Alhamdulillah akhirnya aku mampu bersikap lebih realistic. Tiada siapa yang tahu tentang masa depan masing-masing. Kita tidak boleh jamin bahawa besok kita masih bernyawa. Semuanya pinjaman daripada Allah dan sampai masanya perlu dikembalikan.
Bagaimana cara kita ajal, bagaimana penghujungnya, aku beriman bahawa Dia yang Maha Mengetahui segala-galanya. Yang penting aku perlu berusaha sedaya upaya menjaga kesihatan diri, menghadiahkan kegembiraan kepada keluarga dan berdoa semoga dianugerahkan nikmat khusnul khatimah dan terpelihara segala aib dan maruah.
Sebenarnya kegagalan menerima takdir berpunca daripada diri sendiri. Kita sendiri yang bina tembok besar diminda sehingga menafikan bahawa kita boleh hidup normal bahkan lebih baik daripada orang lain. Nikmati hidup dengan cara yang simple dan diredhai Allah. Jangan sesekali hukum diri keterlaluan. Semakin kita menafikan, semakin besarlah tekanan dan bisikan syaitan.
Hina dan mulianya kita bukan di mata makhluk. Fikir sangat apa orang nak cakap, sampai ke sudah tak jadi apa.
Fasa ketiga adalah kebangkitan kembali. Di fasa ini aku mula memperolehi keyakinan diri. Aku cuba membantu rakan-rakan senasib setakat yang termampu mengikut kemampuanku. Aku menentang ketidakadilan, diskriminasi, stigma, judgmental dan malpractice dengan caraku.
Kadang-kadang sikapku itu disalahanggap sebagai krisis dalaman dan tanda-tanda depression tetapi aku tidak pernah ambil pusing.
Di fasa ini aku mula tenang-setenangnya. Aku menikmati kehidupan yang berharga secara yang sangat positif berbanding sebelum didiagnos. Aku lebih menghargai dan menikmati kehidupan yang Allah pinjamkan. Percaya atau tidak, itulah hakikatnya.
Aku tenggelam dengan keasyikan melihat anak-anak semakin meningkat remaja, terpesona dengan keharmonian dan pengorbanan keluarga dan aku sedar bahawa aku punya beribu-ribu sebab untuk terus bersikap positif berbanding negative.
Sebaik sahaja didiagnos sebagai HIV positif, ada yang kononnya terlalu takutkan kematian sedangkan dalam waktu yang sama sibuk menyiapkan diri mati tersiksa dengan bersikap negative. Usahlah siksa diri sebegitu sekali. Siapa yang tak mati-mati?
Jika ditanya apa rahsianya aku boleh menerima keadaan dengan agak pantas, secara jujurnya ini berkat didikan dan pertolongan Allah. Menjaga hubungan dengan Allah sangat penting. Didikan asas agama oleh kedua ibu bapa dan karat-karat ilmu sewaktu bersekolah menengah agama dulu sangat banyak membantu.
Sudah tentu sokongan isteri-isteri, anak-anak, Dr Iskandar, rakan-rakan di blog yang sentiasa menyokong dan mendoakan juga sangat-sangat membantuku. Aku beruntung dipertemukan Allah dengan anda semua. Hanya Allah yang dapat membalas segala kebaikan.
Di fasa ini juga aku lebih bersikap realistic dalam menjaga kesihatanku. Kalau dulu, segala macam supplement food kalau boleh aku nak telan, kononnya mahu dapatkan yang terbaik. Sekarang aku ukur baju di badan sendiri. Badanku sendiripun ada tahap-tahapnya dengan limpahan segala jenis makanan tambahan tersebut.
Sekarang aku lebih fokuskan pengisian rohani, doa dan konsisten dengan ayat-ayat syifa’. Aku pilih beberapa jenis supplement food sahaja untuk membantu meningkatkan imunisasiku.
Sekadar perkongsian, aku memang agak selective dalam memilih makanan. Utamakan protein, karbohidrat, sayur dan kawal diet. Banyak makan buah-buahan. Selalu meratah bawang putih dan peria sebagai ulam. Minum jus manovie, makan minyak kelapa dara dan habbatus sauda’ sekadar perlu setiap hari. Sesekali beli kapsul buah tunjuk langit atau garlic. Banyakkan minum air kosong, berusaha menjauhi kawasan tidak bersih. Cukup rehat dan tidur.
Sudah pasti aku juga sangat alert dengan kesihatan diri, perlu bijak mengawal stress, realistic dengan keupayaan diri (dah memang tua pun!) dan exercise (huhu… tak berapa nak rajin sebenarnya)
Mematuhi jadual rawatan kaunseling dan HAART, kawalan diabetes dan kolestrol adalah mandatory. Muak macamana pun telan ubat, kenalah redah juga. Ke hulu ke hilir ubat mesti ada berdekatan.
So, begitulah lebih kurang perjalanan hidupku setelah 6 bulan didiagnos sebagai pembawa HIV. Mana-mana perkongsian yang difikirkan berguna, ambillah pengajaran. Semoga rakan-rakan pembawa HIV yang lain terus tabah dan berjuang. Percayalah, pembawa HIV cukup istimewa dalam banyak perkara. Bro ok? Aku ok je bro…