Monday, October 03, 2011

TIPS UNTUK BERSIKAP POSITIF BERDEPAN DENGAN HIV



Aku banyak menerima emel dan pertanyaan terbuka tentang bagaimana aku kelihatan sangat postif dan tabah? Apa trigger nya? Biasanya pula pertanyaan tersebut diiringi dengan penghargaan dan puji-pujian.

Alhamdulillah… aku kembalikan segala pujian kepada-Nya kerana DIA sahajalah yang paling layak menerimanya. Siapalah aku tanpa DIA?

Sejujurnya puji-pujian tak membawa ke mana. Aku bukan adiwira dan aku sangat selesa diterima sekadar seadanya sama seperti insan lain. Ada kekuatan, ada kelemahan.

Entry kali ini khusus untuk menjawab segala pertanyaan tersebut iaitu bagaimana aku mampu bersikap positif berdepan dengan HIV?

Kalau ditanya kepada Pakar Motivasi atau Psikologi, tentu mereka akan berikan beberapa tips tertentu secara professional. Tips aku pula berdasarkan pengalaman peribadi secara ringkas. Kalau panjang berjela, akhirnya objektif tidak tercapai.

Antaranya:

1.   SOLAT & QUR’AN

Apapun situasi dan ujian yang kita hadapi di dunia fana ini, menjaga hubungan dengan Allah terutamanya solat adalah sepenting-penting perkara. Fahami konsep dan falsafah mengapa solat menjadi rukun yang kedua sebagai BUKTI kita seorang MUSLIM.

Carilah maklumat tentang kepentingan solat, hikmah dan rahsianya yang dapat memberikan kekuatan  terhadap JERI (Jasmani, Emosi, Rohani dan Intelek).

Mengadulah, menangislah dan mohonlah apa saja kepada DIA. Kita telah dipilih Allah dengan didikan yang sangat istimewa. Jadi tolonglah ambil pengajaran.  Jaga solat terutamanya solat fardhu dan seboleh-bolehnya tunaikan solat secara berjamaah.

Qur’an pula kenalah sentiasa baca. Tak larat baca banyak, baca sikit-sikit pun tak apa asalkan konsisten dan fahami makna-maknanya. Paling sempurna, jadikan Al Qur’an perlembagaan dalam diri. Amalkan ayat-ayat syifa’ setiap kali lepas solat.

2.   REDHA DENGAN UJIAN-NYA

Ya, redha ada HIV. Bukankah seisi alam ini milik Allah? DIA yang maha mengetahui segala yang terbaik. Setiap insan ada ujian dan bahagian masing-masing. Carilah sendiri segala ayat Al-Qur’an atau Hadis yang berkaitan dengan segala macam rahsia dan hikmah di sebalik ujian Allah. Insya-Allah hati kita akan tenang.

Jangan mendiskriminasi, judgmental, stigma, prejudis terhadap diri sendiri, apatah terhadap Allah. Bagus merasakan diri hina dan berdosa supaya kita merendah diri di sisi-Nya tetapi berterus-terusan menyalahkan diri sendiri, apa hasilnya? Yang penting ambil pengajaran, taubat nasuha dan memperbaiki diri.

Bahaya virus tidak sebahaya bersikap negative terhadap diri sendiri.

Fahami konsep Musibah sebagai Kafarah, Ibtala’ atau Bala’ yang aku pernah kongsikan di blog ini. Kalau belum pernah baca, carilah dalam entries lama ya, aku penat nak taip panjang-panjang.

Jangan sesekali berputus asa dengan rahmat Allah. Berputus asa menghampiri sikap takabbur dan boleh merosakkan akidah.

3.   BANYAKKAN MEMBERI BERBANDING MENERIMA

Teringat sewaktu kecil-kecil dulu ustaz ustazah ajar tentang Fardhu Ain dan Fardhu Kifayah. Peliknya secara songsang.

“Fardhu Ain semua orang yang layak dan cukup syarat kena buat. Fardhu Kifayah sukarela je… kalau ada orang lain dah buat, kita tak payah buat, tak berdosa...”

Kesudahannya kita memandang ringan tuntutan Fardhu Kifayah. Maka tenggelamlah peranan Ibnu Sina, Ibnu Bhatuta dan Ibnu Khaldun. Rasulullah sendiri terlibat dengan perniagaan peringkat international ke Syam sejak berusia 10 tahun. Akhirnya orang lain yang manipulasi dan bolot semua.

Alhamdulillah Allah berikan kasih sayang, didikan, rahmat dan hikmah yang tidak terhitung melalui ujian HIV. Sebagai tanda kita bersyukur terhadap keistimewaan tersebut, bantulah rakan-rakan senasib dan insan lain yang memerlukan mengikut kemampuan dan cara kita.

Insya-Allah dengan memperbanyakkan memberi dan bersedekah, (sedekah bukanlah bermaksud hanya dalam bentuk harta benda atau wang ringgit) Allah akan melimpahi kita dengan rahmat yang berlipat kali ganda.

Dengan cara membantu, ianya mendatangkan hasil dan pertolongan Allah yang melimpah ruah. Segala urusan dipermudahkan. Bila kita perlu, ada sahaja yang sedia membantu dan menghulur tangan. Serius…

Kenapa apabila ada HIV perlu menyepi dan menggelabah? Bukan boleh selesai masalah pun... Terlalu banyak berfikir dan menyendiri memudahkan iblis syaitan membisikkan was-was di hati. Wake up!

Buat pahala, mana ada rugi bro?


4.   FAHAMI HIV & REALISTIK

Ini pun sangat penting. Kalau ikut strategi peperangan, menguasai maklumat adalah sangat penting untuk mengalahkan musuh. Takut tak tentu pasal kerana kita tidak mengenali kekuatan dan kelemahan  musuh. Sudahnya kita keliru dengan propaganda musuh.

Macamana nak kenal?

Carilah maklumat banyak-banyak, bertanya kepada yang pakar dan berpengalaman. Sangat penting untuk saling sokong menyokong dan berhubung dengan komuniti yang prihatin dengan penuh kasih sayang dan keikhlasan. Semakin banyak membantu, semakin cepat faham banyak perkara. Baru kita tahu HIV bukanlah sebahaya manapun. Ianya sangat mudah untuk dikawal...

Realistik?

Sihat, muda, kaya, berdarjat, kacak dan jelita semuanya akan mati. Manalah kita tahu umur dan bagaimana penghujung usia kita? Adalah menjadi satu bonus mengingati mati tetapi biarlah dalam cara yang positif. Yang penting, usaha yang terbaik.

Pinjam kata-kata As, takdir itu di penghujung usaha. Tak perlu pening-peningkan kepala atau cuba ambil alih hak mutlak Allah yang Maha Menentukan.

5.   BERDIKARI

Kekuatan sebenar kita adalah melalui pertolongan Allah dan bergantung kepada kekuatan dalaman sendiri.

Inayah (pertolongan) Allah datang melalui pelbagai cara, yang kadang kala tidak terjangkau akal. Jika kita meletakkan pergantungan terhadap sesama makhluk seperti terhadap doktor, isteri, suami, tunang, kekasih, keluarga, rakan-rakan dan sebagainya, kemampuan mereka adalah terhad. Ada batasnya. Kelak kita juga yang akan merana.


6.   MUHASABAH

Cuba memuhasabah diri seperti berikut:

6.1             Bandingkan nikmat yang telah dinikmati selama ini dengan sedikit ujian-Nya yang dihadapi sekarang.

6.2             Bandingkan penderitaan kita dengan penderitaan dan ujian insan lain. Penderitaan mereka mungkin 10 atau 100 kali ganda lebih sukar tetapi mereka tetap positif dan tabah. 

6.3             Bandingkan peluang yang kita ada untuk mendapatkan rawatan, menikmati kehidupan dan memperbaiki diri mencari keredhaan-Nya berbanding mereka yang kehilangan peluang secara serta merta. Atau lebih dahsyat mati dalam keadaan seronok, selesa dan kekal dalam kemungkaran Allah.

7.   PATUHI PERATURAN RAWATAN, PEMAKANAN DAN PENJAGAAN KESIHATAN DIRI

Rasanya yang ni semua boleh fikir sendiri. Sedikit ulangan ialah: banyakkan minum air kosong,elakkan ais dan makanan berjeruk, jangan berembun tak tentu pasal, kenali fungsi dan pyramid pemakanan, kawal gula dan kolestrol serta penyakit-penyakit kronik lain sedia ada seperti diabetes, darah tinggi dan sebagainya.

Supplement food ambil yang patut-patut sahaja cukuplah dan  boleh ditukar-tukar. Jangan keterlaluan dan terikat sangat sebab kalau tanpa variasi akhirnya ada kesan sampingan terhadap buah pinggang dan hati. Bukan itu sahaja, poketpun boleh rabak dibuatnya. Pandai-pandailah tapis dan tadah telinga apabila ramai yang nak jual macam-macam produk kesihatan.

Utamakan sayur-sayuran dan buah-buahan segar produk bebas kimia. 

Kebersihan diri dan penampilan kena jaga. Tak perlu pakai yang mewah dan mahal-mahal. Yang penting bersih dan kemas. Ikut kemampuan diri. Itu pun sebahagian daripada dakwah ‘bil hal’. Feel good sangat penting. Nanti orang anggap pembawa HIV ni lekeh dan serabai benar.

Buat senaman secara berkala atau sekurang-kurangnya sentiasa bergerak aktif. Tidur dan rehat kena cukup dan kena pandai hindari stress.

Ada hobi yang lama diabaikan tak? Kalau ada, cuba buat kembali tetapi berpada-pada. Jangan terlalu mendesak diri untuk berubah.

Aku minat minat muzik, kenderaan dan landskap. Sampai sekarang aku masih layan hobi tersebut. Expertise aku layan corner. Kalau nak race, bagitahu saja. Ada berani? Hahaha… melawak saja. Maksud aku, terima dan hargai diri sendiri. Nikmati hidup secara berkualiti.

Ok, itu saja. Insya-Allah jika kita mengamalkan semua tips ini, kita menjadi sangat tenang dan bersyukur. Never give-up, never surrender!



p/s-     Sekadar pengalaman peribadi. Terpulanglah kepada pendirian masing-masing. Kalau ada nak tambah, tambahlah. Mungkin aku terlupa. Bagi aku mudah sahaja. Namapun HIV positif jadi kita mestilah sentiasa positif. Tak gitu?