Saturday, October 29, 2011

KEPENTINGAN SENAMAN KEPADA PEMBAWA HIV


SENAMAN

Bersenam adalah salah satu daripada empat perkara utama yang perlu dilakukan oleh mereka yang HIV-positif.  Tiga perkara yang lain adalah mendapat tidur yang cukup, pemakanan yang baik, dan mengurangkan tahap tekanan.  Sesungguhnya, inilah resipi kehidupan yang baik walaupun bagi mereka yang tidak menghidap HIV.

Walau bagaimanapun, ramai yang tidak sanggup apabila memikirkan berkenaan senaman, terutamanya jika mereka tidak pernah melakukannya.  Tetapi, apabila anda mula melakukannya, anda sebenarnya akan berasa selesa dan ia tidak sukar untuk dilakukan.  Ini adalah kerana senaman memberi anda tenaga dan kehidupan yang sihat.  Oleh itu, cubalah bersenam.  Dan seperti biasa, berbincanglah dengan doktor anda berkenaan senaman bagaimanakah yang anda boleh dan tidak boleh lakukan.




JAWAPAN BAGI SOALAN-SOALAN YANG SERING DITANYA

Apakah jenis-jenis senaman yang boleh dilakukan?
Di sini kami nyatakan panduan mudah bagi senaman yang boleh anda lakukan.

Binalah otot anda
Senaman adalah amat penting bagi mereka yang HIV-positif kerana mereka cenderung untuk kehilangan jisim otot.

Apakah jenis senaman yang boleh saya lakukan?
Senaman biasa yang boleh anda lakukan adalah angkat berat, contohnya dengan menggunakan dumb-bell atau mesin angkat berat, melakukan senaman yoga dan tai-chi.




Berapa kerapkah perlu saya lakukannya?
Kekerapan ideal adalah 3 – 4 kali seminggu, dua kali sehari.  Walau bagaimanapun, sebelum anda memulakan sebarang program senaman, berbincanglah dengan doktor anda mengenainya.  Beliau boleh menasihati anda, antara lain, berhubung sukatan berat yang sepatutnya dan berapa kali anda perlu mengangkatnya.  Banyak perkara yang perlu diambil kira bergantung kepada keadaan kesihatan anda.

Perlukah saya mendaftar dengan gimnasium?
Tidak perlu.  Anda boleh melakukan senaman-senaman ini di rumah dengan menggunakan alternatif mudah untuk menggantikan alat angkat berat dengan tin sup, botol air mineral, dan lain-lain.


Senaman sepatutnya menyeronokkan bukan mendatangkan kesakitan
Senaman-senaman tersebut termasuk berjalan, berenang, berbasikal, tarian aerobik, dan banyak lagi.  Pilih satu aktiviti yang menyeronokkan anda supaya ia tidak menjadi satu bebanan.

Regangan, Regangan, Regangan
Senaman-senaman yang termasuk di dalam kategori ini adalah yoga, tai-chi, dan senaman regangan asas.  Ingat, lakukannya selepas anda memanaskan badan dan otot anda.  Jika tidak, anda mungkin akan mencederakannya.

Selain itu, anda juga boleh melakukan senaman imbangan mudah seperti yang digambarkan dalam ilustrasi berikut dengan panduan yang sesuai.




Berdiri di tengah-tengah bilik dengan kaki dirapatkan dan tangan di sisi anda serta tutup mata.



Tip-tip
·    Biasakan diri anda dengan program senaman.  Ramai yang memulakannya dan kemudian berhenti.  Anda boleh melakukannya dengan mengajak beberapa orang kawan untuk turut serta.
·    Keselamatan adalah penting.  Pelajari teknik yang betul sebelum anda bermula.  Jika tidak, anda mungkin menghadapi risiko kecederaan yang akan menghalang anda daripada melakukan senaman pada masa akan datang
·    Kekalkan matlamat yang mudah dicapai.  Lakukannya 5 – 10 minit sehari dan kemudian secara beransur-ansur, panjangkan tempoh senaman anda.  Jangan terlalu memaksa diri sendiri.
·    Beri perhatian kepada badan anda.  Jika badan anda terasa penat semasa anda bersenam, BERHENTI.

Apa yang paling penting, berbincanglah dengan doktor anda sebelum anda memulakan sebarang senaman.  Beliau tahu apa yang terbaik untuk anda.


AHP: Kredit kepada KKM, MAC & Saudara Mohamad Raffie bin Jaafar.