Thursday, October 20, 2011

TIPS ENCIK FAREEZ FAUZI UNTUK MENINGKATKAN IMUNITI PLHIV


Sahabat kita Encik Fareez Fauzi (Encik FF) adalah rakan yang agak baru didiagnos sebagai PLHIV tetapi barangkali kerana kematangannya dan sentiasa berfikir secara postif, Encik FF cepat memahami dan rasa terpanggil untuk membantu. Jutaan terima kasih & jazakallah khier kepada Encik FF.

Ini pula tips Encik FF menjaga kesihatan. Walaupun hidup sebagai PLHIV dan agak senior, bacaan CD4 beliau masih sangat bagus dan viral load beliau sangat rendah. Masih mampu buat macam-macam aktiviti lasak seperti orang muda.

Inilah tips yang beliau amalkan tetapi ingat: RAWATAN MODEN JANGAN SESEKALI DIABAIKAN! Perkongsian pula sekadar perkongsian, boleh diterima atau ditolak dan buat ikut kemampuan. Selain itu amalan dan pemakanan sunnah hendaklah diberikan keutamaan. Allah sahajalah yang Maha Penyembuh. Terdapat sedikit suntingan untuk disesuaikan sebagai sebuah entry. Mari baca:

Assalamualaikum  adik-adikku rakan senasib semua,

Semalam Azam ada beritahu abang yang Azam nak abang kongsi/beritahu apa yang abang lakukan dari segi penjagaan diri sebagai benteng memperkasakan diri melawan HIV. Apa yang abang kongsi ini tak semestinya perlu diikut, masing-masing ada caranya.

Di sini abang ingin berkongsi dengan adik-adikku tentang rutin harian abg untuk terus  kuat dan sihat seperti biasa. Dalam hal ini kita perlu rajin mencari dan membuat research serta  kekalkan sikap positi. Terima hakikat HIV ada dalam tubuh kita. Bila minda tenang dan kuat kita akan rela dan ikhlas dengan ketentuan ALLAH.

Abang tak mengatakan apa yang abang buat ini  terbaik atau ada bukti mengekalkan imun yang  tinggi. Hanya ALLAH yang mampu merubah segalanya sepertimana kata AHP sebelum ini. Jangan taksub terhadap ubat sehingga kita terlupa yang memberi ubat atau sakit itu adalah Allah, malah yang menyembuhkan juga adalah ALLAH. Oleh itu dalam pada itu eloklah kita berhati-hati dan tidak terlalu taksub sehingga lupa kekuasaan ALLAH melebihi segalanya.

Berikut adalah rutin harian abang dalam setiap hari dalam usaha menjadikan diri lebih sihat dan selesa. Perlu insaf, berdoa dan jangan sesekali abaikan kewajiban kita  sebagai seorang mukmin. Walaupun abang mengaku abang sebenarnya kurang ilmu tetapi perlu ada sikap  positif.
Jangan terlampau ikutkan hati dengan selalu berdukacita sebab  ianya akan mempengaruhi kesihatan kita.

A:
Selepas bangun pagi dan solat subuh, abang akan minum segelas besar air kosong yang  agak suam. Kalau ada air zam zam lagi elok. Kemudian abang ambil sebiji "pine bark extract" yang diminum bersama air masak . Pil 'pine bark extract' ini   abg beli di GNC Live Well company yang banyak terdapat dalam pusat membeli belah (di Jusco kebanyakannya ada  kedai GNC Live Well).

Abg pilih 'pine bark extract ini setelah membuat kajian melalui bahan bacaan tentang  khasiatnya malah bertemu terus dengan pakar pemakanan di GNC Live Well co.

Alhamdulillah setakat ini fungsi hati tak ada gangguan malah tak ada kesan sampingan lain. Pine bark Extract ini mempunyai antioxidant yang tinggi, lebih kuat dari Vitamin E dan 20 kali kekuatan Vitamin C. Memperkuatkan sel otot kita   yang lemah akibat hiv, sumber nutrin, melancarkan peredaran darah, menjaga kulit dan menjaga fungsi hati.

p/s : Harganya dalam RM134 (50 biji);  RM450.00 (175 biji); RM727.00 (300 biji). Masa dapat bonus dulu abang beli yang 300 biji dan boleh makan dekat setahun. Kalau tak mampu, jangan risau, banyak lagi cara lain.

B:
Agak-agak dalam pukul 7.30 atau 8.00 pagi abang akan makan sekeping roti atau bihun atau nasi (dlm  kadar yang sedikit). Kalau boleh, jauhi roti canai. Kemudian  ambil multivitamin dan kapsul bawang putih(1000mg). Kemudian minum segelas (size sederhana/besar) bijiran organic (abang buat sendiri. Dikisar halus (guna mesin cabai atau blender). Bijiran halus ini abang campurkan susu lembu/kambing untuk diminum/makan.

(Bijiran halus tadi tak perlu dibuat setiap hari. Sediakan semuanya  untuk pemakanan sebulan dan simpan dalam bekas bersih dan kedap udara)

Bijiran organic tersebut abang cari dan beli sendiri iaitu Oat Organik, Biji Labu (pumpkin Seed), Barli, Badam, Biji bunga matahari (Sunflower Kernel), Brown Flaxseed (macam biji lenga), ‘Organik Red Quinoa (Kaya dgn Zat besi, Phosphorus dan baik untuk hati).

Semua ini abang akan mesin, dipindahkan ke dalam kuali besar untuk dipanaskan dalam waktu yang sekejap sahaja- sekadar kering dari sebarang kelembapan/air yang terdapat pada bijirin tersebut dan untuk mematikan sebarang organisma yang mungkin melekat. Jangan panaskan terlalu lama sehingga masak kerana zatnya boleh hilang.

C:
Sebelum pergi kerja, jam 9 pagi abang ambil secamca kecil Habbatus Sauda’ (abang beli dalam sekilo dan buat sendiri) bersama satu sudu teh minyak habbatus sauda’. Ambil juga secamca besar minyak kelapa dara. Biasanya minyak kelapa dara abang ambil 2 kali sehari sahaja. Antara pukul 9 pagi dan 9 malam. Waktu ini abang juga makan secamca besar pati buah Delima

D:
Waktu tengahari abang akan makan nasi kadar sederhana bersama ulam-ulaman segar (abang memang hantu ulam) dan sedikit makanan berprotin. Abang suka makan ikan tetapi sedikit daging/ayam. Kemudian ditambah dengan jus buah-buahan seperti tembikai, lemon, orenjus, jambu batu merah dan  lain-lain lagi. Abang suka tukar-tukar dan pelbagaikan.

E:
Untuk makan petang abang suka minum air masak lebih sedikit dan sedikit buah atau jus yang dah disediakan awal. (Biasanya buat lebih untuk beberapa hari dengan memastikan kualitinya tak terjejas).

Jus-jus tersebut abang  tukar mengikut selera . Contohnya: Jus Amra (kedondong) tanpa dicampur apa-apa, jus buah noni atau mengkudu yang abang cari sendiri,  lobak, timun, jus peria katak (buat ulam lagi sedap), jus saleri, jus buah kurma dan macam-macam lagi ikut selera dan kemudahan. Abang tetap cari dan  pelbagaikan. Kena rajin sikit beb!!  Semua ini  memang abang tak miss dan pratikkan.

Ada ketikanya abang akan campur semua sekali serba sedikit untuk dapat segelas besar jus. Malah abang berani minum jus air bawang putih yang dibuat sendiri. Punyalah tak sedap langsung!!! heeeee…

Alhamdulillah setakat ini  tak pula sakit perut atau mual, janji sederhana semuanya dan jangan keterlaluan sebab penerimaan perut setiap orang tak sama. Jangan over sudahlah, nanti lain jadinya.

F:
Selepas  Maghrib abang akan makan malam pada kadar sederhana. Selepas dari itu, dalam 1 atau 2 jam kemudian abang akan ambil semula minyak kelapa dara, habbatus sauda’ atau minyak habbatussauda, Vitamin C (1000 mg) dan sedikit susu kambing atau lembu.

G:
Masuk tidur sebab tidur mesti kena cukup. Itu pun kadang-kadang terlewat juga.

Sebenarnya banyak lagi yang abang makan dan praktikkan. Rasanya cukuplah sekadar di atas sebagai asasnya.

Selain itu, kalau hari cuti atau tak bekerja abang akan cari idea lain pula. Di rumah  memang abang sediakan mesin jus yang elok dan mahal sedikit supaya makanan  dan jus yang dibuat berkualiti dan tidak tercemar.

Semua sayur-sayuran dan buah abang  jaga mutu kebersihannya supaya tak tercemar. Ini pun perlu beri perhatian. Mesti rajin dan konsisten melakukannya untuk mendapatkan kemajuan yang positif.

Senaman juga perlu sekurang-kurangnya 3 kali seminggu. Selalunya selepas pulang daripada bekerja tetapi kalau hari cuti kami akan bersenam di sebelah pagi.

Kalau adik-adik ada apa-apa cadangan,  sama-samalah kita kongsikan dalam blog AHP ini. Tak semestinya apa yang abang buat perlu diikut kerana mungkin ada cara yang lebih baik untuk tingkatkan produktiviti dan system imun.

Maaf, sekadar berkongsi.

With Love
Fareez Fauzi