Monday, October 24, 2011

PERBEZAAN DAN PERSAMAAN ANTARA AS, ALIA HARYANIE DAN KITA


Sekadar perkongian...

Seperti yang aku pernah katakan, antara cara aku mencari kekuatan ialah dengan melihat penderitaan insan lain dengan rasa empathy dan mata hati. Mereka punya cabaran tertentu tetapi sangat tabah. Mereka antara pejuang sebenar.

Ya, aku akui sokongan keluarga sangat penting, Alhamdulillah sangat banyak dan sentiasa ada tetapi sebagai ketua keluarga aku juga perlu berdikari. Ada masanya bukan semua masalah aku boleh kongsikan atau mereka faham 100%.  Aku perlu sentiasa cuba menjadi insan berjiwa besar.

Aku mahu mereka gembira dan bersikap positif.  Begitulah pula cabarannya sebagai ketua keluarga sekalipun ramai sahabat-sahabat solo yang beranggapan mereka yang berkeluarga lebih beruntung. Belum tentu... ramai juga yang jadi lebih merana. Ada pro dan kontranya.  

Kelangsungan kebahagiaan keluarga mesti dipastikan dan kadangkala kerisauan terpaksa disembunyi di sebalik senyuman. Mereka telah banyak berkorban dan mereka juga ada masa depan serta urusan sendiri. Jangan terlalu mengharap sokongan sentiasa ada. Kita sekadar makhluk biasa, punya kemampuan yang sangat-sangat minima berbanding Allah.

Alhamdulillah melalui blog ini begitu ramai insan-insan berhati mulia yang sudi membantuku bangkit dan salah seorang yang sangat memberikan banyak impak positif terhadapku ialah As.

Agak panjang untuk jelaskan bagaimana ianya terjadi tetapi jalinan silaturrahim kami antara sangat rapat sekalipun As masih terlalu muda berbanding  aku PLHIV yang tua bangka. Ujian Allah menjadikan As lebih memahami dan matang berbanding usia.

Begitulah kepentingan hidup saling tolong menolong dan keikhlasan rasa memberi melebihi daripada menerima. Tidak kira siapapun kita di sini, apapun punca kita dijangkiti tetapi kita semua berhak diberi peluang untuk hidup berkualiti seperti insan lain, memperbaiki diri dan belajar daripada kesilapan.

Sekalipun mungkin ada segelintir yang jijik, pandangan Allah yang lebih utama. Syukurlah terpilih menjadi insan istimewa yang diberi peluang khas mendapat didikan dan kasih sayang-Nya.

Kita mesti buktikan kita mampu bangkit dan hidup lebih positif berbanding mereka. Jika sekadar mengeluh tanpa apa-apa tindakan, makin banyaklah salah anggap terhadap kita.

Ayuh bangkit membantu tanpa diskriminasi dan sambil-sambil membantu boleh diselitkan mesej-mesej positif. Inilah yang dinamakan dakwah bil hal dan perjuangan. Semoga ianya bakal menjadi kebaikan yang terus hidup walaupun setelah kita mati.

Tidak terkecuali kita perlu mendekati golongan gelendangan untuk mendengar rintihan daripada dasar hati mereka yang sebenarnya sangat ingin berubah. Luka Rafieqa tentu sangat arif situasi begini. Ujian Allah terhadap mereka merupakan ujian juga terhadap kita untuk melihat sejauh mana kita saling membantu.  

Semalam, As sekali lagi berkongsi rasa denganku. Perkongsian dan perhargaan yang kadangkala membuatku rasa malu berbanding ketabahannya. Sekalipun aku risau jika pujian boleh menjadi anai-anai yang memakan keihlasan hati tetapi penghargaan pula sebagai tanda sokong menyokong dan saling memahami.

Terima kasih As, sekalipun uncle bukanlah layak untuk penghargaan setinggi itu.

Mari baca ini (sila klik) sebagai pengajaran bersama tentang erti sebuah perjuangan dan keikhlasan hati dalam memberikan sokongan sesama muslim, sesama insan.

Sahabat-sahabat juga boleh baca di sini untuk belajar erti ketabahan seorang lagi insan yang kita sangkakan lemah selama ini. Wanita seringkali jauh lebih tabah daripada lelaki. Kenapa ya?