HIV: UBAH TANGGAPAN NEGATIF
Seandainya ahli keluarga atau ibu bapa kita berdepan dengan masalah ini, adakah kita sanggup membiarkan atau membuang mereka begitu sahaja?
HIV positif dan wanita. Sukarnya kehidupan kaum Hawa yang mengalami jangkitan penyakit yang digeruni ini. Emosi mereka mudah terjejas, terganggu dan tidak stabil. Sekali gus mendatangkan implikasi buruk kepada tingkah laku.
Mereka mudah melakukan sesuatu perkara yang negatif mengikut perasaan dan tanpa berfikir panjang. Ini kerana golongan wanita sentiasa berpendapat kehadiran HIV positif, membuatkan mereka tidak hidup lama di dunia.
Bagi yang memiliki cahaya mata, mereka juga mudah bingung memikirkan nasib anak-anak yang kemungkinan dijangkiti penyakit sama. Sekiranya anak-anak dijangkiti HIV, siapa yang akan berkawan dan akan mengahwini mereka?
Jika masalah demi masalah difikirkan oleh wanita, Orang Yang Hidup Dengan HIV/AIDS (ODHA), maka mereka mula menyalahkan diri sendiri. Justeru, jalan penyelesaiannya mereka cuba membunuh diri atau terus hidup keseorangan, sehingga meninggal dunia.
Dek terlalu memikirkan mengenai penyakit yang menyerang, golongan ini turut berhadapan dengan masalah fizikal seperti penurunan berat badan.
Biasanya mereka tidak mempunyai selera makan, kesannya, sistem pencernaan tidak dapat berfungsi dengan baik. Antibodi badan pula menjadi lemah kerana tidak dibekalkan dengan nutrisi makanan yang berkhasiat.
Menyentuh soal pemakanan (ODHA) dan merangkap Petugas Projek Yayasan PT (PTF), Jamaliah Sulaiman menjelaskan, pemakanan yang seimbang dan berkhasiat turut memainkan peranan yang penting.
"Walaupun kami tidak mempunyai makanan yang khusus untuk melawan penyakit tetapi kami disyorkan supaya menikmati makanan yang seimbang seperti pengambilan protein, lemak, vitamin, mineral dan karbohidrat.
"Ia bertujuan menggelakkan tubuh badan menjadi lemah dan tidak bermaya," jelasnya lagi ketika ditemui Kosmo! di PTF, Jalan Tunku Abdul Rahman (TAR), Kuala Lumpur.
Sementara itu, Pensyarah Psikologi, Jabatan Psikologi Pendidikan dan Kaunseling, Fakulti Pendidikan, Universiti Malaya (UM), Prof. Madya Dr. Mariani Md Nor menjelaskan, walaupun HIV tiada penawarnya tidak bermakna kumpulan HIV perlu hidup dalam kekusutan.
Jangan terlalu memikirkan tentang HIV, sehingga menyebabkan masalah kesihatan, aktiviti sosial dan kerjaya anda terganggu.
Bagi pesakit ODHA yang beragama Islam mahupun agama yang lain, banyak berdoa kepada Tuhan. Minta kuatkan semangat dan tunjukkan jalan yang benar. Dengan cara ini, ia dapat mengelakkan anda daripada kemungkaran.
"Seterusnya banyakkan beriadah, berekreasi dan melibatkan diri dengan persatuan atau badan-badan kebajikan yang dapat membantu dan memulihkan semangat anda. Lebih menarik jika ada menyertai badan-badan kebajikan, anda boleh belajar menganyam, menjahit atau memasak.
"Bukan itu sahaja, di badan kebajikan dan persatuan, pesakit ODHA juga berpeluang meluahkan masalah dan isi hati, bersama ahli yang lain, bagi elakkan tekanan dan kemurungan," kata Mariani lagi.
Tapi, bagaimana pula dengan stigma masyarakat yang takut bergaul dan berhadapan bersama pesakit HIV? Mariani menyarankan supaya masyarakat perlu berubah dari segi pemikiran dan tanggapan yang negatif terhadap ODHA.
Jelas Mariani, cuba bayangkan apa perasaan kita sekiranya ahli keluarga atau ibu bapa sendiri berhadapan dengan masalah ini? Apakah kita sanggup membiarkan atau membuang mereka, begitu sahaja?
Segelintir masyarakat mungkin sanggup meminggirkan ahli keluarga. Justeru, sebagai kelompok minoriti kita sewajarnya memberi bantuan dan menyokong mereka. Kaji dan selidik dahulu, apa itu HIV dan bagaimana ia boleh menjangkiti orang lain, tegas Mariani. - IZYAN LIYANA MOHD DARIF
Source
http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2008&dt=0324&pub=Kosmo&sec=Rencana_Utama&pg=ru_02.htm
AHP: Teringat sewaktu berjumpa dan bergambar bersama dengan Kak Jamaliah Sulaiman di Wisma Tan Com dulu. Sangat lembut dan cool orangnya.