Monday, October 17, 2011

TAZKIRAH SANTAI SEORANG PEMBAWA HIV TUA

As kongsikan dengan kita :)


Assalamualaikum wrh wbk.

1: BEZA JIWA KECIL DAN JIWA BESAR

Firman Allah bermaksud: “Demi sesungguhnya, adalah bagi diri Rasulullah SAW itu contoh ikutan yang baik, iaitu bagi orang yang sentiasa ingin mengharapkan keredaan Allah dan balasan baik di akhirat kelak serta ia pula banyak menyebut dan mengingati nama Allah (dalam masa susah dan senang).” [al-Ahzab, ayat 21]

Sahabat-sahabat yang dikasihi. Kali ini aku nak kongsi cerita. Cerita yang sangat biasa sebagai renungan kita bersama. Mungkin kita dah baca dan dengar beratus-ratus kali sebelum ni.

Di akhir usia baginda, rasulullah saw sering uzur. (Kekasih Allah pun sakit bro!) Tetapi antara amalan yang baginda sentiasa lakukan ialah memberikan makanan kepada seorang pengemis buta berbangsa yahudi yang mengemis di pasar Madinah.  

Tiap kali disuapkan makanan, pengemis buta ni tak ada kerja lain. Mulutnya asyik mengomel, mengumpat dan memfitnah rasulullah. Sakit betul hatinya kepada baginda.

Apabila rasulullah saw wafat, Sayyidina Abu Bakar mengambil alih peranan sebagai khalifah. Pada suatu hari, Khalifah bertanya kepada anakndanya Sayyidatina Aisyah r. anha:
“Wahai anaknda, apa lagi tugas yang selalu rasulullah buat tetapi ayahnda masih belum lakukan?”

Aishah menjawab:
“Ayahnda, rasulullah selalu pergi memberi dan menyuapkan makanan kepada pengemis yahudi buta di pasar Madinah.”  

Besoknya Sayyidina Abu Bakar r.a pun pergilah membawakan makanan dan menyuapkannya  kepada pengemis tersebut. Khalifah tidak bercakap sedikitpun ketika menyuapkan makanan ke mulut pengemis buta itu.

Seperti biasa, mulut pengemis yahudi buta itu tak henti-henti mengutuk rasulullah saw sehingga hampir tak tertahan Sayyidina Abu Bakar mendengarnya. 2,3 kali suap je, pengemis yahudi buta tersebut menengking:
“Ciss… engkau ni bukan orang yang selalu suapkan aku makanan. Dia selalu pastikan segala makanan dan lauk pauk lembut dan senang untuk aku kunyah sebelum suap. Melayan aku penuh kasih sayang umpama bapanya!”

Sayyidina Abu Bakar r.a lantas menjawab dengan sebak:
“Ya, aku bukanlah beliau. Aku adalah Abu Bakar, sahabat beliau. Lelaki yang menyuapkan makanan dengan penuh lemah lembut dan kasih sayang tersebut ialah Muhammad bin Abdullah. Baginda adalah rasulullah saw yang engkau cerca saban waktu.”

Mendengar penjelasan tersebut, pengemis yahudi itu menangis dan mengucapkan syahadah.

Apa pengajarannya? Banyak sangatlah kan… fikirkanlah sendiri. Antaranya janganlah sentiasa mahu disuap, dibantu dan merungut dengan ujian Allah.

Memberilah dan insya-Allah kita akan menerima rahmat dan redha-Nya yang datang dengan pelbagai cara.

Mungkin kita tidak tahu, orang yang menolong dan kita cerca tersebut masalahnya jauh lebih besar berbanding kita tetapi sengaja tidak dikongsikannya dengan kita. Betul tak Encik Meon?

Memberi pula mesti dengan ikhlas Lillahi Taala. Barulah ada nilainya di sisi Allah.

2. PENAWAR HIV

Ramai di kalangan para pembawa HIV tertunggu-tunggu berita gembira agar penawar total HIV dapat dihasilkan. Dengar-dengarnya dah ada cuma tunggu pengumuman rasmi.

Isunya, betulkah ada penawar total selain Allah?

Apa-apapun, bagi aku isu ini tidak penting. Kalau ada, alhamdullillah. Tak ada pun alhamdulillah. Aku terima dan bersyukur dengan apa yang ada.

Sekalipun ada, belum tentu serasi dengan setiap individu. Samalah dengan rawatan kanser, leukemia, hepatitis dan sebagainya. Ada vaksin tetapi bukan semua pesakitnya sembuh. Di situlah letaknya kebesaran dan kekuasaan Allah.

Sesiapa yang yakin sepenuh hati bahawa ubat boleh menyembuhkan, ianya sangat bahaya terhadap aqidah. Berjaga-jagalah kerana ianya umpama senjata yang sangat halus dan ampuh merosakkan iman. Mentality kita tanpa sedar tersasar bergantung terhadap sesama makhluk semata-mata.

Kekuatan melalui harapan ini hanya palsu dan bersifat sementara. Ubat hanya alat. Sembuh hanya dengan izin Allah dalam berbagai bentuk dan cara.

Beberapa penyakit kronik seperti penyakit jantung, diabetes dan darah tinggi tiada penyembuh sehingga sekarang kecuali boleh dikawal dan dirawat. Apa bezanya dengan HIV? Masalah HIV cuma stigma, diskriminasi, judgmental  dan sebagainya.  

Firman Allah bermaksud:
“Dan apabila aku sakit, Dialah yang menyembuhkan aku.”
[Surah al-Syu'ara:80]
 
Kita wajib beriman dengan al Qur'an. Secara ringkas, iman maksudnya yakin di hati, lidah dan amal. (Melalui penghayatan)

Orang-orang yang beriman apabila lama tidak diberi penyakit dan ujian akan mengadu:
"Ya Allah, janganlah Kau lupa terhadap aku kerana aku bimbang tanpa ujian-Mu aku menjadi semakin jauh daripada mengingati-Mu."

Kita pula terbalik:
"Ya Allah kenapalah Kau tak habis-habis uji aku?"

Penawar terbaik adalah redha terhadap ujian Allah dan bersyukur atas apa jua yang diberikan-Nya. Yang penting usaha yang terbaik, doa dan tawakkal. Allah maha penentu perjalanan dan pengakhiran hidup kita.

Pegang betul-betul nasihat sahabat kita As: “Takdir itu letaknya di hujung usaha.”

Teruskan berusaha, berlapang dada dan bersyukurlah. Insya-Allah tiada resah dan gelisah. Jaga hubungan dengan Allah dan sesama manusia sebaik mungkin.

Sentiasa rawat hati dan bantulah golongan yang memerlukan terutama rakan komuniti. Tenggelam dalam masalah dan bersendirian umpama kambing HIV yang lari dari kumpulannya. Mudah dimakan serigala. Nanti serigala tu pun dapat HIV!! (Eh, apa tazkirah melalut ni, astaghfirullah...)

Soal ajal maut dan cara kematian, kita serahkan kepada Allah. Urusan kemanusiaan, bertanyalah kepada sesama manusia. Urusan ketuhanan, bertanyalah kepada Allah.

Sihat, muda, kaya, berdarjat dan berharta pun mati juga. Doktor Pakar jantung pun boleh mati sakit jantung bro!) Apa lagi yang lebih hebat selain hati yang sentiasa dirantai kepada Allah ketika duduk, baring, jaga dan lena? Inilah namanya anugerah dan didikan Allah yang tidak ternilai kepada kita.

Seperti yang pernah aku katakan, jika rahmat dan redha Allah sebagai tukaran atau ganti virus HIV dalam tubuhku ini, aku redha menjadi pembawa HIV selama-lamanya.

Apa maknanya sembuh tetapi berada dalam laknat Allah? Singkat sangat kehidupan di dunia ini untuk ditangisi berbanding akhirat yang kekal abadi. Di sanalah arah perjalanan hakiki. Menangis untuk apa?

Itu sahaja kali ini. Wabillahi taifik walhidayah, assalamualaikum wrh wbk.

Wallahu a'lam!


p/s- Jangan sesekali diabaikan doa minta supaya:
1. Mendapat husnul khatimah.
2. Supaya segala ujian ini tidak merosakkan keimanan kita terhadap-Nya.
3. Dipelihara segala aib dan maruah.

Soal nak minta sembuh, kuat semangat, bla,bla,bla, yada, yada, yada... terpulang kepada diri masing-masing.


Apa, nak minta tambah jodoh? Aik, ada hati lagi ke En. Fareez? Ada HIV ni tak payahlah nak berangan. Gelak sampai sakit perut kakaknya nanti. Ala kulli hal, semuanya takdir Allah. Apa nak hairan, seluruh alam dan kejadian adalah milik Allah.