Showing posts with label TAZKIRAH. Show all posts
Showing posts with label TAZKIRAH. Show all posts

Wednesday, May 28, 2014

ISRA' MIKRAJ, KAITANNYA DENGAN KEFARDHUAN SOLAT DAN RAWATAN HIV



Bagi orang-orang yang beriman, solat adalah penyelesaian segala permasalahan hidup termasuk dapat mengelakkan penularan jangkitan HIV dan memberikan kekuatan menghadapi ujian Allah kepada yang telah dijangkiti.

Berdasarkan sedikit pengalaman peribadi membantu rakan-rakan senasib, rasa sukar untuk bangkit dan melawan pelbagai tekanan termasuk stigma, diskriminasi, dan judgemental adalah disebabkan kita gagal meletakkan penilaian Allah (dalam erti kata yang sebenar-benarnya) jauh melebihi kebergantungan kepada sesama makhluk. Sudahnya ada akan timbul pelbagai ujian lain yang tidak pernah putus sepanjang hayat. Jika kelihatan ‘kuat’ sekali pun, sekadar ‘kekuatan bermusim’ yang sangat rapuh.

Mukmin sejati akan sentiasa berjuang walaupun berjuta ujian dan berjaya melepasi satu demi satu halangan. Mereka kelihatan mudah sahaja menghadapi segala ujian, sedangkan jika kita berada di tempat mereka, barulah kita tahu betapa besar ujian mereka dan belum belum tentu kita mampu menghadapinya.

Baiklah, mari kita cuba cari hikmah di sebalik peristiwa Isra’ Mikraj secara ringkas.

Isra' Mikraj adalah salah satu mukjizat Rasulullah S.A.W. Melalui peristiwa Isra' Mikraj, kefardhuan solat yang mengandungi hikmah yang sangat besar telah diwajibkan kepada semua umat Islam.

Firman Allah yang berbunyi:


"Maha Suci Allah, yang telah memperjalankan hamba-Nya pada suatu malam dari Masjid Haram ke Masjid Aqsa yang telah Kami berkati sekelilingnya agar Kami perlihatkan kepadanya sebahagian daripada tanda-tanda kebesaran Kami, sesungguhnya Dia adalah Maha Mendengar lagi Maha Melihat." 
(Surah al-Israk: 1)



ANTARA KEPENTINGAN SOLAT:

Solat asas Islam, iman, dan amal

Nabi S.A.W bersabda:


"Solat adalah TIANG/ ASAS agama, barangsiapa yang menegakkannya, maka ia telah menegakkan agamanya dan barangsiapa yang merobohkannya, bererti ia telah merobohkan agamanya."

Solat mencegah kemungkaran dan membentuk kemuliaan akhlak

Allah SWT berfirman:


"Dan dirikanlah sembahyang (dengan tekun); sesungguhnya sembahyang itu mencegah daripada perbuatan yang keji dan mungkar." (Surah al-Ankabut: 45)

Sifat keji dan mungkar ada yang disedari dan tidak disedari. Yang tidak disedari lebih menakutkan kerana ianya mungkin bala' daripada Allah.

Contoh-contoh sifat mungkar (yang tidak disedari) dan menghampiri sifat-sifat kebesaran Allah:

A. Ujub, riya', dan takabbur
B. Buruk sangka
C. Penyakit rohani / hati
D. Cinta dunia melebihi akhirat
E. Selesa dengan maksiat

Solat penyelesaian segala ujian Allah

Allah SWT berfirman:


"Dan mintalah pertolongan (kepada Allah) dengan sabar dan solat. Dan sesungguhya hal itu sangat berat, kecuali bagi orang-orang yang KHUSYU’, (iaitu) orang-orang yang menyakini, bahawa mereka akan menemui Rabb mereka dan bahawa mereka akan kembali kepada-Nya." 
(Surah al-Baqarah: 46)

Solat membentuk keperibadian mulia termasuk 2 sifat penting iaitu iaitu syukur dan sabar

Rasulullah SAW bersabda: 
"Iman terbahagi kepada dua, separuh dalam sabar dan separuh lagi dalam syukur."
(Hadith Riwayat al-Baihaqi)

Syukur dan sabar juga dapat membentuk diri menjadi seorang yang berjiwa besar dan tahan uji.

CELAAN & AMARAN ALLAH KEPADA GOLONGAN YANG CUAI/ LALAI DALAM SOLAT

Firman Allah SWT:



"Maka kecelakaanlah bagi orang-orang yang solat, (iaitu) orang-orang yang lalai daripada solatnya." 
(Surah al-Maun: 4-5)

Contoh-contoh sikap cuai atau lalai dalam solat yang mengakibatkan solat tidak berfungsi mencegah perkara-perkara keji dan maksiat:

A. Tidak menghiraukan
B. Tidak berhati-hati
C. Berlengah-lengah
D. Sering terlupa
E. Asyik dengan sesuatu perkara dan tidak mengambil berat

DOA SUPAYA DIRI DAN KELUARGA KEKAL MENUNAIKAN SOLAT
AMAL SETIAP KALI BERDOA

Doa Nabi Ibrahim. 


"Wahai Tuhanku! Jadikanlah aku orang yang mendirikan sembahyang dan demikianlah juga zuriat keturunanku. Wahai Tuhan kami, perkenankanlah doa permohonanku." 
(Surah Ibrahim: 40)

Itu sahaja. Semoga catatan ringkas ini ada manfaatnya kepada para pembaca.


Aku, hamba-Nya yang dhaif,
Mohamad bin Wahid @ Pie @ AHP
Facebook: Ahp Pie


Info Berkaitan:

Laman Web Rasmi PPWM:

No. Akaun PPWM:
Bank: Maybank
Nombor Akaun: 5560 5750 3949
Nama Pemegang Akaun: Pertubuhan Positive Warriors Malaysia

Para pembaca boleh berkongsi pengalaman melalui FB AHP Positive Warriors Support Group (Secret Group).Anda juga dialu-alukan menjadi ahli Pertubuhan Positive Warriors Malaysia (PPWM). Untuk menyertai, sila hubungi admins yang berikut:

Abd. Shukor Mohd Yunus: shux@positivewarriors.org
Hishamudin Rahman: carphatz_04@yahoo.com



Thursday, July 19, 2012

RAMADHAN, PUASA, HIV DAN PANDUAN MENUNAIKANNYA KEPADA PLHIV YANG BERKEMAMPUAN (MESTI BACA!)

My Best Doctor
Dr. Iskandar Firzada bin Osman
MD (USM), MMed (Family Medicine) (USM),
MAFPM (Mal.), FRACGP (Australia), FAFPM (Mal.),
Fellow in Adolescent Health (Melbourne)
Family Medicine Specialist / Primary Care Physician

Sempena persediaan menyambut Ramadhan yang tidak lama lagi ini, aku paparkan kembali perkongsian maklumat tentang panduan menunaikannya kepada PLHIV yang berkemampuan.

Ianya adalah penambahbaikan kepada info asal yang pernah aku kongsikan sebelum ini dalam entry sempena Ramadhan pada tahun 2011 yang bertajuk: PENTING: BOLEHKAH PEMBAWA HIV TERUTAMA YANG MENGAMBIL HAART BERPUASA? Isinya masih sama tetapi terdapat beberapa tambahan info yang mungkin bermanafaat

Sebelum kita teruskan, elok baca juga entry sahabatku ini yang bertajuk: KEINSAFAN RAMADHAN 2012 (sila klik)

Bulan Ramadhan bulan keberkatan (al-mubarak). Bulan yang penuh keistimewaan dan dianggap sebagai bulan pesta ibadah. Segala amal ibadah insya-Allah beroleh pahala yang berlipat kali ganda.

Umpama sebuah karnival yang menganjurkan jualan mega dengan bermacam-macam tawaran dan diskaun luar biasa, ianya sukar dilepaskan begitu sahaja bagi mereka yang diberi petunjuk oleh Allah swt.

Untuk mengetahui segala keberkatan dan kelebihan Ramadhan, para pembaca boleh rujuk mana-mana kitab muktabar, buku panduan Ihya’ Ramadhan atau paling mudah google sahaja mana-mana tazkirah dan entry yang berkaitan fadhilat, kelebihan dan kemuliaan Ramadhan.

Satu lagi kelebihan Ramadhan yang sangat luar biasa sudah tentulah Malam Lailatul Qadar, sebuah malam yang lebih baik daripada 1000 bulan. Beruntunglah sesiapa yang memperolehinya kerana pahalanya seolah-olah kita telah berdoa dan beribadah selama lebih kurang 83 tahun 4 bulan. Umur sendiri pun belum tentu sepanjang itu.

Segala amalan dan doa yang ikhlas untuk mencari keredhaan Allah, insya-Allah akan diterima. Pintu keberkatan akan terbuka dan segala permohonan dan rayuan kita akan didengar oleh Allah swt. Sesiapa sahaja yang tekun menunaikan ibadah sepanjang Ramadhan insya-Allah akan bertemu dengan malam istimewa ini.

Jadi, rebutlah peluang, mengadu dan mohonlah apa sahaja. Jika selama ini kita asyik mengharapkan pertolongan sesama makhluk, apa kata kali ini kita mengadu dan mohon pula segala kekuatan daripada Allah yang Maha Berkuasa dan Maha Mendengar segala permohonan.

Manalah tahu doa kau orang yang bersungguh-sungguh minta sembuh daripada virus HIV, Allah kabulkan. Jangan sampai sembuh HIV tetapi rosak iman sudahlah...

Peringatan untuk diri sendiri, janganlah hendaknya sekadar memohon doa murah rezeki dan sihat tubuh badan, tetapi mohonlah juga kebahagiaan hakiki dunia dan akhirat. Dunia ini sekadar sementara dan di sanalah kehidupan abadi.

Kita terlalu mengejar sesuatu yang bersifat sementara, sebaliknya perkara yang kekal abadi kita abaikan. Kita sering takutkan kehilangan penghormatan sesama manusia, tetapi kedudukan di sisi Allah tidak kita risaukan. Zalim pada diri sendiri namanya tu.

Fokus entry

Antara dilemma yang sering dihadapi oleh seorang PLHIV terutama yang telah menjalani rawatan HAART ialah ketidakpastian sama ada mereka boleh berpuasa ataupun tidak.

Jika bukan disebabkan pengambilan HAART sekalipun, ada pendapat yang mengatakan bahawa PLHIV tidak perlu berpuasa. Alasan mereka – sistem imuniti badan PLHIV yang sedia lemah menjadi semakin lemah tanpa nutrisi yang mencukupi.

Malahan terdapat aduan di kalangan PLHIV sendiri bahawa berpuasa telah mengakibatkan tahap kesihatan mereka merosot selepas bulan Ramadhan. Maksudnya, puasa kononnya telah melemahkan sistem imuniti badan mereka.
    
Terdapat kombinasi HAART pula perlu diambil setiap 12 jam. Contoh, sekali diambil pada pukul 9 pagi dan sekali lagi pada pukul 9 malam. Keperluan mengambilnya secara teratur adalah mandatory. Ianya bertujuan memastikan HAART berfungsi dan virus tidak resistant atau bermutasi terhadap kombinasi HAART.

Punca utama HAART gagal meningkatkan CD4 dan mengekang virus adalah berpunca daripada kegagalan PLHIV mematuhi jadual pengambilannya secara teratur dan tepat.

Masalah utama pada bulan Ramadhan ialah waktu berbuka dan bersahurnya berbeza dan ini menghalang para pengguna HAART menjaga disiplin waktu pengambilan HAART.

Sebagai contoh, waktu berbuka pada pukul 7:30 p.m. dan waktu bersahur pula kita andaikan pada pukul 5:30 a.m. Ianya tidak tepat seperti dalam jangka masa 12 jam yang disarankan.

Situasi tersebut automatically memberi kesan kepada aturan jadual pengambilan HAART sedia ada dan membentuk satu jurang waktu yang sangat ketara (sekitar 2 jam).

Walau bagaimanapun, ianya masih subjektif kerana turut bergantung kepada beberapa faktor sampingan seperti setakat mana ketepatan dan teraturnya PLHIV itu sendiri mengambil HAART, menjaga kesihatan diri, mengamalkan cara hidup yang sihat, berfikiran positif, dan sebagainya.

Antara penyelesaian paling popular ialah PLHIV terutama yang mengambil HAART disarankan supaya tidak berpuasa dan situasi tersebut dianggap dharurah. Allah tidak pernah zalim terhadap perkara yang di luar kemampuan kita. PLHIV boleh menggantikannya dengan fidyah.

Berdasarkan situasi tersebut juga, bermakna para PL HIV terutama yang mengambil HAART tidak lagi dapat berpuasa seumur hidup. Jika enggan, segala risiko tanggung sendiri. Setakat ini penyelesaian tersebut paling popular.
     
Sebagai individu, tanpa kemahiran asas di dalam bidang perubatan, aku menghormati dan akur dengan penyelesaian di atas. Tetapi, adakah betul tiada langsung penyelesaian lain? Jika ada, bagaimana justifikasi dan pendapat siapa? Di sinilah perbahasan mula timbul.

Secara jujur, apakah maknanya bulan Ramadhan jika tanpa puasa? Tarawih, tadarus, solat berjemaah, keindahan berbuka bersama keluarga, dan sebagainya akan terasa ‘kosong’. Segala ganjaran istimewa yang Allah janjikan bukan untuk kami? Terasa sangat aneh sedangkan zahirnya sebahagian besar daripada kami mampu berpuasa.

Tertanya-tanya, takkan hanya kerana makan HAART lewat sedikit sahaja sempena Ramadhan ini pun tidak boleh? Teruk benarkah risiko CD4 akan menurun dan Virus Loadnya membiak?

Sesekali fikir, telan sahaja HAART dan selebihnya terserahlah kepada Allah. Insya-Allah sempena Ramadhan dan kerana niat yang ikhlas untuk beribadah, Allah akan bantu. Tahun depan entah berpeluang entahkan tidak. Kalau sudah sampai ajal disebabkan mahu menunaikan ibadah sekalipun, redha sahajalah.

Walau bagaimanapun, soal kesihatan bukan perkara yang boleh diambil risiko kerana Islam ada penyelesaian terhadap segala permasalahan. Setiap tindakan perlu ada rasional dan alasan yang kukuh. Berani membuta tuli seperti tidak ada bezanya dengan membunuh diri. Tak berapa cerdik pula bunyinya kan?

Jika begitu, bagaimana penyelesaiannya?

Untuk itu, aku kongsikan pandangan kedua (2nd opinion). Sebelum aku kongsikan pandangan dan penyelesaian tersebut, sila kosongkan fikiran. Konsepnya mudah saja – mahu terima, boleh terima. Mahu tolak pun, tolak sahaja. Yang penting, kita buat mengikut keyakinan dan keputusan sendiri. Anggap sahaja ianya info tambahan.

Jadi apa kata kita baca pula pendapat kedua iaitu:

TIDAK MENJADI MASALAH KEPADA PARA PEMBAWA HIV UNTUK BERPUASA SEKALIPUN MEREKA TERPAKSA MELEWATKAN WAKTU PENGAMBILAN HAART

Pendapat ini ialah pendapat yang diberikan oleh Dr. Iskandar Firzada bin Osman (Doktor Pakar Perubatan Keluarga – doktor aku yang sangat best!) hasil perbincangan beliau dengan rakan-rakan Pakar Perubatan Muslim yang lain.

Bermakna kita sangat beruntung memperolehi pendapat hasil perbincangan sekumpulan doktor pakar.

Apa kata mereka?

"Terdapat pelbagai pendapat oleh pelbagai pihak mengenai perkara tersebut. Kesimpulannya, jika terdapat pelbagai pendapat, maka tiada satu pun yang boleh dibuktikan dengan tepat!

“Yang pasti, banyak perkara yang berupaya mempengaruhi sistem imuniti badan termasuk kesihatan mental atau psikologi. Puasa Ramadhan merupakan ibadah untuk cleanse sistem penghadaman sebagaimana puasa sesetengah pihak yang lain. Oleh itu, persediaan sebelum, semasa, dan selepas berpuasa adalah sangat penting.

“Segera berbuka apabila telah masuk waktu berbuka (walaupun waktu itu bermakna waktu masuknya solat Maghrib) dan lewatkan sahur serta dimulakan dengan niat (persediaan psikologi) adalah merupakan afdhal serta rukun ibadah puasa. Oleh itu, isu bahawa puasa Ramadhan boleh menyebabkan sistem imuniti badan menjadi lemah tidak dapat dibuktikan sehingga ke hari ini. Tetapi, kekuatan pegangan agama (spirituality) secara langsung akan memelihara kekuatan kesihatan mental seseorang.

"Yang menjadi isu, adakah dengan melewatkan sedikit makan ubat HAART dari setiap 12 jam tepat kepada setiap 14 jam dan 10 jam (waktu berbuka dan sahur) akan mengakibatkan virus HIV menjadi resistant?

“Sehingga kini, tiada kajian dan tiada bukti melainkan jika sekiranya seseorang PLHIV lain tetap mengambil ubat HAART sebagaimana yang diarahkan iaitu sama ada 2 kali sehari atau 1 kali kali sehari, insya-Allah Viral Load akan menurun dan CD4 akan meningkat.

“Ada juga pihak yang menyarankan (tanpa bukti, juga tanpa pengalaman dan hanya berdasarkan hipotesis sahaja), peringkat awal memulakan rawatan HAART iaitu ketika CD4 masih rendah (juga tak dinyatakan berapa maksud rendah tersebut), PLHIV tidak digalakkan untuk berpuasa supaya boleh mengambil ubat HAART setiap 12 jam. Tetapi, apabila sudah stabil atau CD4 sudah meningkat (juga tak dinyatakan apakah / berapa maksud stabil /  tinggi), maka PLHIV boleh berpuasa.

Untuk itu, jawapan mudah saya, boleh berpuasa tetapi segerakan makan ubat apabila berbuka dan lewatkan sahur untuk makan ubat. Tetapi penting supaya PLHIV faham penerangan di sebalik jawapan ini ada pihak yang mungkin tidak bersetuju dengan pendapat ini kerana bukti saintifik secara kajian (research) belum ada sama ada untuk menyokong atau menidakkannya."

Begitulah pendapat Dr. Iskandar dan rakan-rakan pakar perubatan Muslim beliau. Bayangkan Dr. Iskandar sanggup menaip SMS sepanjang itu semata-mata untuk melayan pertanyaanku. Menitis air mataku dibuatnya. Jazakumullah khier kepada mereka. Hak membuat pilihan, terserah kepada keyakinan diri masing-masing.

Aku berpegang kepada pendapat kedua dan alhamdulillah setakat ini aku tidak menghadapi apa-apa masalah ketika berpuasa. Berani aku katakan bahawa aku sangat selesa berpuasa walaupun turut mengidap diabetes dan pelbagai penyakit kronik lain. Alhamdulillah terasa seperti lebih sihat dari bulan-bulan yang lain.

Cuma aku sangat teliti menjaga pemakanan dan jadual pengambilan HAART. Aku berbuka dengan sebiji kurma dan segelas air kosong, makan HAART dan seterusnya solat Maghrib berjemaah bersama family. Selepas tadarus ringkas, kami makan sekadar yang perlu beserta sebiji Metformin 500 mg (kawalan diabetes) sebelum bersedia untuk solat Isya’ dan bertarawih. Kalau tidak larat bertarawih di surau, kadang-kadang kami bertarawih di rumah. Jangan terlalu rumitkan keadaan.

Sahur pula aku makan HAART menjelang penghujung waktu Imsyak.  Lebih kurang 5:30 a.m. Bermakna jadual pengambilan HAART aku bertukar daripada pukul 9 a.m.-9 p.m. kepada 7:30 p.m.-5:30 a.m. secara TETAP. Untungnya jadual pengambilan HAART semasa sahur ini memudahkan kami sekeluarga untuk berjemaah Subuh di masjid. Pahala sunat berbuka awal dan bersahur lewat pun insya-Allah dapat. Banyak kelebihannya.

Kepada sahabat-sahabat PLHIV, sila jelas tentang situasi tersebut. Waktu makan HAART mesti tetap konsisten. Janganlah hari ini makan HAART pukul 9 p.m. dan sekali lagi pada waktu sahur pukul 3 a.m. tetapi esok pula pukul 7:30 p.m. dan sahur pukul 5 a.m. Kalau sering bertukar-tukar waktu begitu, makan ubat apapun tak jadi.

SILA LIHAT BEBERAPA INFO LAIN YANG DIKONGSIKAN OLEH DR. ISKANDAR FIRZADA BIN OSMAN MELALUI EMEL SEBAGAI PANDUAN KEPADA SAHABAT-SAHABAT PLHIV YANG MAHU DAN MAMPU BERPUASA.

Assalamualaikum,
Sekadar berkongsi perbincangan melalui e-mail dengan salah seorang PLHIV yang ketika ini sedang melanjutkan pelajaran ke peringkat PhD di xx.

SOALAN:

Salam Dr. Iskandar,

Saya menulis e-mail ini directly from my campus di xx. Alhamdulillah, saya sihat dan dapat cope dengan cuaca yang tak menentu di musim summer ni. Sakit demam pun tak ada, allergy setakat ni pun tak ada lagi. Makan minum yang halal di sini pun banyak. So harap situasi ini berterusan selama 10 bulan saya di sini.

Juga saya berjaya adapt dengan tempoh memakan ubat ARV saya tu. Seperti yang doktor cadangkan, since saya landing di sini, saya reverse sejam ke belakang bagi setiap 3 hari bila tiba time makan ubat COMBIVIR.

So after 45 hari saya di sini hingga sekarang, saya dah makan ubat tu tepat setiap jam 7 petang dan 7 pagi seperti mana amalan saya di Malaysia. Seperti biasa, Efavirenz saya makan right sebelum saya tidur jam 12 tengah malam.

Cuma masalah saya sekarang adalah bila tiba bulan puasa on 20th July nanti. Since di sini still summer dan waktu siangnya terlalu panjang (Maghrib jam 9.50 malam dan Subuh jam 1.40 pagi), bagaimana saya harus makan ubat COMBIVIR tu? Apakah tidak menjadi masalah kalau selama ni selang masa 12 jam, nanti pada bulan puasa selang masanya hanya 4 jam sahaja?

Apa yang menjadi amalan penuntut Malaysia di sini pada bulan puasa adalah, mereka akan berbuka dengan makanan ringan dahulu. After teraweh jam 12 tengah malam atau lewat dari itu, mereka akan makan nasi atau makanan berat sekaligus untuk bersahur.

So mereka akan tidur right after solat subuh sebab mereka masuk campus di sini mostly jam 9.30 - 10.00 pagi. So maknanya mereka tak akan tidur malam sehinggalah mereka bersahur dan bersolat subuh.

Sekiranya saya mengikut amalan jadual seperti mereka, apa nasihat doktor dari segi jadual ubat ARV tu dan maybe dari segi jadual ubat Diabetes Mellitus dan Hypertension saya yang lain.

Walau bagaimanapun, saya akan masih tetap menjalankan / melaksanakan ibadah puasa seperti biasa, cumanya saya akan makan ubat ARV mengikut yang seperti dijadualkan kerana COMBIVIR boleh diambil dengan atau tanpa makanan.

Tujuan saya berpuasa hanya sekadar untuk menghormati bulan Ramadhan serta rakan-rakan Muslim yang lain. Insya-Allah, yang akan menentukan sama ada puasa tersebut diterima atau tidak, hanya Allah sahaja.

Wallahu 'Alam. InsyaAllah, apabila pulang ke Malaysia saya akan qada puasa tersebut.

Harap doktor dapat membantu dalam hal ini since bulan puasa nanti sudah hampir tiba.

Sekian, wassalam.

PhD Student, xx


Assalamualaikum,

Alhamdulillah bila dengar saudara boleh menyesuaikan diri dengan keadaan di sana. Berhubung dengan pertanyaan / persoalan yang ditimbulkan, untuk makluman, sumber rujukan saya adalah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).

Kebiasaannya, saya akan browse soal jawab ruangan Kemusykilan Agama. Jika sekiranya tiada soalan yang sedemikian, saya akan bertanya melalui website JAKIM. Insya-Allah, kebiasaannya dalam masa tidak sampai 48 jam, saya akan terima jawapan daripada JAKIM.

Berikut adalah beberapa soalan serta jawapan yang ada kaitan dengan permasalahan / kemusykilan yang sama-sama kita hadapi:

Kod Rujukan Soalan
9tpmt

Soalan

Assalamualaikum Ustaz/ Ustazah,
Saya mempunyai satu penyakit yang mungkin tidak akan sembuh kecuali dengan izin Allah. Sekarang ini saya sedang makan ubat dan tidak boleh berpuasa. Ubat yang saya makan ini mengikut jadual. Contohnya saya makan ubat pada pukul 8 pagi, 8 malam dan 10 malam. Andaikata saya tidak makan ubat ini tepat pada waktunya, maka ia akan memberi kesan pada kesihatan saya.

Saya juga sudah meminta pendapat daripada seorang doktor Muslim, dan saya memang tidak boleh berpuasa. Apakah syarat saya untuk membayar puasa saya memandangkan seumur hidup saya bergantung pada ubat dan tidak boleh berpuasa.

Jawapan

Wa'alaikumussalam wrt. wbt.,

Orang yang sakit boleh meninggalkan puasa dan menggantikannya pada hari yang lain. Dalam situasi yang dihadapi oleh Puan, sekiranya sakit yang Puan alami itu tidak ada harapan sembuh, maka puan harus meninggalkan puasa. Walau bagaimanapun, Puan wajib membayar fidyah dengan kadar satu cupak beras (675 gm) bagi satu hari puasa yang ditinggalkan dan diberikan kepada fakir miskin.

Kod Rujukan Soalan
4u4fk

Hukum Puasa Ganti Untuk pengidap HIV (PLHIV)

Soalan

Assalamualaikum. Bagaimana puasa untuk PLHIV? PLHIV kena makan ubat setiap 12 jam, jika tidak, dikhuatiri virus HIV akan naik, iaitu jika makan ubat tidak ikut waktu yang ditetapkan. Penyakit ini tidak ada ubat untuk sembuh. Ubat hanya untuk kurangkan dan kawal virus HIV sahaja.

Jawapan

Waalaikumussalam. Pertama sekali, hendaklah mendapatkan pengesahan daripada Pakar Perubatan Muslim bahawa pesakit tersebut tidak dapat berpuasa kerana boleh membawa mudarat kepadanya, maka pesakit tersebut hendaklah membayar fidyah.

Kod Rujukan Soalan
ojy1c

Waktu Imsak Dan Buka Puasa Di Negara Siang Lebih Panjang

Soalan

Assalamualaikum. Anak saya bermastautin di Eropah. Waktu buka puasa jam 9.45 malam, imsak jam 1.45 pagi. Waktu berpuasa 20 jam. Ada banyak negara di Eropah mengikut waktu puasa Mekah tetapi ulama’ di negara dia tidak mahu mengikut waktu Mekah semasa bulan puasa jatuh di bulan yang siang lebih panjang dari malam.

Bolehkah dia ikut waktu berbuka puasa dan imsak Mekah? Ramai umat Islam yang tidak larat berpuasa bila terkena musim siang panjang dari malam kerana terlalu lama berpuasa. Terima kasih.

Jawapan

Wa'alaikumussalam Warahmatullahi Wabarakatuh,

Dalam situasi tersebut, masyarakat Islam yang berada di negara yang mengalami waktu siang lebih panjang daripada waktu malam, mereka masih perlu mengikuti sebagaimana waktu di tempat mereka, iaitu mereka masih perlu untuk menunggu matahari terbenam untuk berbuka.

Kaedah menentukan waktu berbuka dengan mengikut waktu Maghrib bagi negara yang terdekat hanya digunakan di negara-negara yang mengalami waktu siang atau malam yang berpanjangan sehingga mencecah 6 bulan dalam sesuatu masa.

Ringkasnya, anak anda yang berada di negara yang mengalami perubahan iklim tersebut masih perlu mengikut pergerakan peredaran matahari. Dia perlu menunggu sehingga terbenamnya matahari untuk berbuka puasa pada hari tersebut.

Wallahu 'Alam.

COMBIVIR merupakan gabungan ubat Zidovudine 300mg + Lamivudine 150mg. Dose untuk Zidovudine adalah 300mg setiap 12 jam (i.e. 2 kali sehari). Dose untuk Lamivudine pula sama ada 150mg setiap 12 jam (i.e. 2 kali sehari) ATAU boleh juga diambil 300mg sekali sehari (i.e. sama seperti Efavirenz).

Oleh sebab itu, COMBIVIR perlu dimakan 2 kali sehari atau sebaik-baiknya setiap 12 jam. Jika sekiranya pengambilan ubat tersebut tidak boleh tepat setiap 12 jam, perbezaan selang masa di antara dose pertama dan ke dua + 4 jam masih lagi boleh diterima. Tetapi jika perbezaan selang masa di antara dose pertama dan kedua lebih dari 4 jam, ianya tidak boleh diterima.

Untuk Efavirenz, tidak akan menjadi masalah sebab hanya perlu diambil sekali sehari sahaja.

Untuk ubatan Diabetes Mellitus, Metformin mesti diambil bersama-sama dengan makanan sajian utama. Jika sekiranya hanya selepas teraweh makan makanan berat beserta sahur, maka Metformin hanya perlu diambil ketika itu sahaja.

Acarbose sama seperti Metformin. Cumanya Acarbose diambil sebaik sahaja selepas makan, sementara Metformin diambil bersama-sama dengan makanan.

Untuk Gliclazide MR, mesti diambil ketika berbuka, tetapi dose mesti dikurangkan kepada separuh sahaja iaitu jika pengambilan Glicazide MR sebelum ini adalah 60mg, maka semasa berbuka, diambil sebanyak 30mg sahaja.

Ubat-ubatan untuk Hypertension (Enalapril dan Amlodipine), tidak sepatutnya menjadi masalah sebab hanya perlu diambil sekali sehari sahaja.

Harap dapat membantu, insyaAllah.

ISKANDAR
 ....

Salam Dr. Iskandar,

Terima kasih yang tidak terhingga di atas info yang diberikan. Ianya amat terang dan jelas dan amat membantu untuk dijadikan panduan saya ketika Ramadhan nanti.

Terima kasih.

Wassalam

PhD Student, xx

INFO TAMBAHAN:

PEMBAYARAN FIDYAH
Sekiranya tidak berpuasa pada bulan Ramadan 2012

PENGENALAN
Fidyah puasa bermaksud mengeluarkan kadar tertentu daripada makanan asasi setempat bagi setiap hari yang ditinggalkan dari puasa bulan Ramadhan dan diberikan kepada orang miskin.

SYARAT-SYARAT
Orang-orang yang dituntut membayar fidyah puasa ialah: 

1. Orang yang meninggalkan puasa kerana sakit yang tiada harapan sembuh 
2. Orang tua yang tiada lagi kemampuan / daya untuk berpuasa. 

Sila ambil perhatian kepada semua (MUSLIM) yang kini dalam pengambilan ubat HAART atau TB atau berada di dalam WAD untuk mendapat rawatan atau sebagainya.

Jika pihak Klinik Perubatan (ID Clinic) telah mengesahkan atau menasihati anda TIDAK PERLU berpuasa kerana pengambilan UBAT, HAART mesti diteruskan semasa bulan Ramadhan. Anda perlu membayar FIDYAH untuk jumlah hari- hari meninggalkan puasa.

TAKSIRAN PEMBAYARAN 

Taksiran pembayaran fidyah adalah seperti berikut:
secupak beras atau senilai RM4.60 minimum

a) Jika anda tidak menunaikan puasa sepanjang bulan Ramadhan iaitu 30 hari 

RM4.60 x 30hari = RM138.00 atau lebih.

p/s- Kalau banyak sangat duit (selain bayar fidyah) dan tak tahu nak buat apa, serah kepada aku. Aku nak buat Shelter Home untuk komuniti ni hah... 

Sedikit tips

Aku minum sedikit jus pati buah-buahan dan sebiji kapsul gel minyak pati habbatus sauda’ sebelum tidur dan sekali lagi jus tersebut semasa sahur.

Selain itu, pastinya dengan segelas susu dan sebiji lagi kurma pada waktu sahur. Insya-Allah rakan-rakan mampu berpuasa tanpa apa-apa masalah. Banyakkan minum air mineral dan elakkan ais. Aku ‘tutup’ sahur dengan HAART, sebiji lagi Metformin dan ubat-ubatan lain.

Makanan pula aku makan apa saja makanan yang teringin tetapi ambil dalam kuantiti yang sedikit. Kenali jenis makanan. Mesti faham jenis-jenis makanan yang membentuk lemak, kolestrol, menyebabkan gula yang tinggi dan sebagainya.

Semoga perkongsian ini ada manafaatnya. Insya-Allah Ramadhan kali ini membawa keberkatan yang berkekalan dan segala amalan dan doa kita dimakbulkan, ameen...

AHP: Apa-apapun, terpulanglah kepada keyakinan dan pendirian masing-masing. Kau orang jangan ikut aku. Kondusi kesihatan dan rawatan kita pun tidak sama. Personally, jika tanya kepada aku, aku lebih rela mati berpuasa berbanding dengan sengaja meninggalkan puasa selagi mampu melaksanakannya.

Virus? Pendapat doktor bukanlah seperti pendapat penjual ubat kaki lima. Kalau ditakdirkan nak biak sebab aku berpuasa pun, biarlah dia membiak. Dia pun sekadar makhluk ciptaan Tuhan. Ada aku kisah?! Aku picit sahaja seekor-seekor. Esok lusa belum tentu aku mampu berpuasa.

Tawaran ganjaran pahala pada bulan Ramadhan ni tidak mampu aku tolak. Tahun lepas, ketika baru sahaja memulakan rawatan HAART, dengan bacaan CD4 4+ sahaja pun aku mampu berpuasa. Bahkan VL aku NOT DETECTED selepas Ramadhan. Syukur Alhamdulillah...


Para pembaca boleh berkongsi pengalaman melalui FB AHP Positive Warriors Support Group(Secret Group). Untuk menyertai, sila hubungi:

Luka Rafieqa: rafieqakl@hotmail.com
Along: insansepertiaku@yahoo.com
Survivor: survivorpng@yahoo.
 com


Sokongan khusus kepada wanita: PEWAHIM.
Untuk menyertainya termasuk FB (Secret Group), sila hubungi:

pewahim@gmail.com
019-259-5864 (Norlela) Pengasas
017-366-5570 (Norhayati)

Link Perniagaan Online Komuniti:

Saturday, June 30, 2012

TAZKIRAH KEPADA DIRIKU, SEORANG PLHIV TUA



Assalamualaikum AHP,

Selagi AHP bernama makhluk, kemampuan serba terhad dan terbatas adalah fitrah kita.

Berdepan dengan apa pun ujian di bumi Allah ini, sama ada dalam bentuk kesenangan atau kesusahan, AHP perlukan sumber kekuatan untuk menghadapinya.

Sebab itu syukur dan sabar sama-sama penting. Tanpa kedua-duanya menyebabkan kita hilang kekuatan dan bahkan boleh merosakkan aqidah.

Kemampuan isteri ada batasnya, kesabaran suami ada tempatnya, pertolongan anak-anak ada tempohnya, dan kesetiaan teman ada jangka masanya.

Tiada siapa mampu selama-lamanya hidup menongkat langit. Hakikatnya kehidupan ini memang serba terbatas.

AHP,

Bukankah itu bermakna hidup ini hanya sementara?  Kehidupan, semakin dikejar, semakin jauh meninggalkan kita. Akhirat pula, semakin lari semakin menghampiri. Setiap detik membawa kita semakin jauh atau semakin menghampiri kedua-duanya.

Jadi, di manakah destinasi kita yang sebenar-benarnya?

Di sanalah kehidupan hakiki dan kekal selama-lamanya. Tubuh yang sasa pasti akan kendur, wajah jelita pasti akan layu, langkah yang tangkas pasti akan longlai, dan harta menimbun pasti akan ditinggalkan.

So, di mana sumber kekuatan kita sebenarnya AHP?

Pada doktor yang hebatkah? Pada sahabat-sahabat yang ambil pedulikah? Pada harta yang menimbunkah? Pada pasangan yang setiakah? Pada rawatan yang sempurnakah? Pada apa?

Ingatlah AHP,

Kadangkala sepanjang hari AHP memberi motivasi, menghadiri apa juga seminar dan kaunseling, tetapi akui sahaja hakikat sebenar kekuatan adalah dengan cara menjaga hubungan dengan Allah. Kekuatan sesama makhluk bersifat luaran dan sementara semata-mata.

Maaf bertanya, adakah AHP solat?

Tiada makna dan pahala AHP melakukan sesuatu yang AHP katakan sebagai amal bakti jika tidak menunaikan kewajipan kepada Allah yang satu ini. Tiada maknanya… hanya komestik dan luaran semata-mata. Tidak kekal di hati!

AHP,

Jangan terpedaya dengan fitnah dunia. Sedarlah satu hakikat, selagi hidup, pasti kita akan sentiasa diuji. Tanpa ujian, kita hilang arah dan tujuan. Apa sangatlah ujian HIV berbanding dengan ujian iman.

Tunaikan solat, kerana sesungguhnya solat dan doa itulah sumber sebenar kekuatan kita.

Jika masih ada kemaksiatan dan perkara-perkara mungkar yang AHP amalkan, hentikanlah. Usahlah terpengaruh dengan ujian nafsu walaupun aku tahu ianya amat berat.

Allah hanya uji seseorang mengikut kemampuan dirinya. Mustahil Allah zalim terhadap makhluknya.

Ingatlah selagi jantung berdenyut, selagi itu nikmat Allah AHP nikmati dan gunakan. Oksigen, cahaya mentari, melihat wajah comel si anak, merasa sentuhan lembut tangan ibu, mendengar kicauan burung dan ketawa sahabat-sahabat adalah antara sekecil-kecil nikmat Allah yang AHP nikmati.

Alangkah malang dan ruginya jika ujian HIV tanda kasih sayang Allah ini, gagal dilihat segala hikmah dan kebijaksanaanNya. HIV punya hikmah yang tersembunyi untuk mendidik AHP. Usahlah angkuh melulu terutama terhadap yang Maha Pencipta.

AHP,

Bangkitlah, istighfar, dan bersihkan diri. Ambillah wudhu’. Pakai pakaian yang bersih dan menutup aurat. Solatlah wahai diri. Berdoalah, bermunajatlah, dan muhasabahlah kembali, di mana dan ke mana arah perjuangan.

Jika AHP betul-betulkan sayangkan sahabat-sahabat AHP, ajak mereka solat dan melakukan kebaikan dengan penuh hikmah. Biarpun mungkin dibenci, biarpun hanya sendiri, itulah bukti kasih sayang sejati AHP kepada mereka.

Jangan sesekali AHP kecewa jika mereka enggan mendengar nasihat kerana tanggungjawab AHP hanyalah menyampaikan. Soal hidayah, Allah yang tentukan.

Di samping itu, baca dan hayatilah al-Quran kerana di situlah terletaknya segala macam penawar termasuk kekusutan akal fikiran. Bersedekahlah, berpuasalah, bantulah anak-anak yatim dan mereka yang memerlukan kerana itulah antara penawar yang mustajab untuk menyembuhkan kekerasan hati.

Akhir kata wahai AHP,

Aku tahu bukan sedikit air matamu tumpah dalam diam dengan perjuangan ini. Fikirkanlah sedalam-dalamnya. Jika perjuangan ini membawa ke syurga, teruskanlah. Jika hanya selangkah lagi ke pintu neraka, hentikanlah. Jangan sesekali terlibat dan bersetuju dengan kemaksiatan. Na’uzubillahi min zaalik!

Ingatlah tipu daya iblis dan nafsu itu sangat liciknya. Tanpa sedar boleh  memperdaya AHP.

Maafkan aku wahai AHP. AHP adalah aku, aku adalah AHP.

Rasulullah s.a.w bersabda yang maksudnya: “Sesungguhnya amal yang mula-mula sekali dihisab pada hari kiamat ialah sembahyang (solat) seseorang, jika sembahyangnya diterima, maka sesungguhnya beruntunglah dan berjayalah ia, dan jika sembahyangnya tidak diterima, maka kecewa dan rugilah ia. Sekiranya terkurang daripada sembahyang fardhunya sesuatu, Allah berfirman: Periksalah, adakah hamba-Ku itu mempunyai sembahyang-sembahyang sunat untuk dicukupkan dengannya apa yang terkurang daripada sembahyang fardunya? Demikianlah keadaan amal-amalnya yang lain.” [Riwayat at-Tirmidzi]






Para pembaca boleh berkongsi pengalaman melalui FB AHP Positive Warriors Support Group (Secret Group). Untuk menyertai, sila hubungi:

Luka Rafieqa: rafieqakl@hotmail.com
Along: insansepertiaku@yahoo.com
Survivor: survivorpng@yahoo.com

Sokongan khusus kepada wanita: PEWAHIM.
Untuk menyertainya termasuk FB (secret group), sila hubungi:

pewahim@gmail.com
019-259-5864 (Norlela) Pengasas
017-366-5570 (Norhayati)