Showing posts with label RAWATAN HIV. Show all posts
Showing posts with label RAWATAN HIV. Show all posts

Monday, January 09, 2012

BERTEMU DR. ISKANDAR FIRZADA BIN OSMAN (12)

My best doctor.
Dr. Iskandar Firzada bin Osman.

MD (USM), MMed (Family Medicine) (USM),
MAFPM (Mal.), FRACGP (Australia), FAFPM (Mal.),
Fellow in Adolescent Health (Melbourne)
Family Medicine Specialist / Primary Care Physician

Petang Jumaat (6 Januari 2012) aku ke KK Jaya Gading sambil ditemani isteri-isteriku untuk menghadiri temujanji rawatan dengan Dr. Iskandar. Hasrat kami sekeluarga untuk menziarahi anak dara kedua kami, As di Kerteh selepas itu terpaksa kami batalkan kerana As out station.

Seperti biasa, seminggu sebelum itu, aku meminta kerjasama Dr. Iskandar mencadangkan tarikh dan waktu yang sesuai melalui emel atau SMS untuk aku hadir sebelum tarikh sebenar ubatku dijangka habis. Seboleh-bolehnya aku mahu berurusan sendiri dengan Dr. Iskandar.

Sebenarnya tidak ada apa-apa keperluan sangat bagiku memenuhi temujanji tersebut selain memenuhi jadual rawatan dan untuk mengambil bekalan ubat.

Untuk makluman dan motivasi kepada PLHIV yang lain, Dr. Iskandar memang telah memaklumkan beberapa hari sebelum itu melalui emel bahawa ujian kali kedua untuk mengesahkan bacaan VL Not Detected aku sebelum ini adalah confirmed.

Ini bermakna bacaan VL aku bawah daripada 0%. Nak kata langsung tak ada, tak bolehlah kan. Jika bacaannya dijangka bawah 20 ekor, ianya akan dikatakan sebagai Below 20. Ianya seolah-olah aku tiada atau ‘sembuh’ HIV.

Mudah cakap, di tahap ini, jika tanpa kondompun, risiko aku menjangkitkan virus kepada isteri-isteri melalui hubungan intim sangat minima. Tapi takkan aku nak ambil risiko, kan…

Jadi kepada yang masih muda dan masih sihat tanpa apa-apa penyakit kronik lain tu, cepat-cepatlah dapatkan rawatan jika doktor telah menyarankan sedemikian.

Tidak ada apa yang perlu dirisaukan. Sedikit sebanyak masalah tu biasalah. Tiada siapa paksa kau orang ambil risiko untuk dijangkiti dan bila dah tahu status tu, janganlah banyak sangat itu ininya. Jangan ambil risiko terhadap diri sendiri terutama kepada yang berkahwin. Kasihanlah kepada pasangan masing-masing. Mereka sudah terlalu banyak berkorban untuk kita.

Agaknya kau orang tak perasan. Aku ni ada diabetes, anemia, platelet rendah dan CD4 sangat-sangat kurang. Tetapi tetap berfikiran positif dan berpegang kepada kenyataan.

Tak payah pergi jauh-jauh sangat. Kau orang tahu tak apa maknanya apabila PLHIV tua macam aku mengidap diabetes dan anemia? Keletihan, kelesuan, sakit badan dan mood yang bercelaru adalah rutin harian. Ditambah dengan dengan masalah platelet dan CD4 tu, bila-bila sahaja aku boleh ‘bye-bye’ kau orang.

Maaf melalut. Ok, sambung…

Sebaik dijemput masuk, seperti biasa Dr. Iskandar mengambil tekanan darah, bacaan glukos, berat badan dan bertanyakan masalah-masalahku. Selain itu memberikan beberapa tips untuk mengawal masalah anemia.

Nampaknya selepas ini aku perlu menjauhi minuman yang mengandungi caffeine dan lebih banyak makan kerang, organ dalaman dan sebagainya. Masalah kolestrol pulak, kan? Pandai-pandailah imbangkan.

Selain itu aku lebih banyak bertanyakan soalan mengenai masalah rakan-rakan PLHIV yang lain yang meminta aku tolong bertanya beberapa masalah kepada Dr. Iskandar. Selebihnya kami saling bertukar-tukar pandangan tentang beberapa isu berkaitan PLHIV secara umum.

Cukup sampai di sini untuk perkongsian kali ini. Terima kasih dan jazakallah khier yang tidak terkira kepada Dr. Iskandar dan semua kakitangan KK Jaya Gading, Kuantan.

Secara peribadi, jasa baik dan keprihatinan Dr. Iskandar memang tidak terbalas. Dr. Iskandar bukanlah serba sempurna dan arif tetapi keprihatinan dan rasa tanggungjawabnya sangat menyentuh hati.

Dalam beberapa keadaan aku sebenarnya serba salah jika tanpa sedar peluang dan ruang yang beliau berikan terhadapku mengganggu tugas-tugas beliau yang lebih penting atau hak terhadap para pesakit lain yang lebih memerlukan. Maklumlah kadangkala banyak benar soalan aku tanyakan.

Ya, aku memang beruntung mendapat rawatan dengan Dr. Iskandar. Syukur Alhamdulillah atas segala limpah InayahMu.

Sunday, December 11, 2011

DASAR KAPITALIS: SALAH SATU FAKTOR UBAT HIV LAMBAT DITEMUI




Terdapat beberapa faktor yang menyebabkan ubat bagi merawat HIV lambat dikeluarkan. Salah satunya adalah disebabkan oleh dasar kapitalis menguasai dunia. Nak bercerita panjang lebar agak memakan masa, mari kita tonton video ini.

Disediakan oleh: Anak Dara Abah @ AO


KESAN JANGKA PANJANG RAWATAN HAART TERHADAP ORGAN TUBUH PLHIV



Melalui entry bertajuk TOLONG TERANGKAN SECARA MUDAH BAGAIMANA RAWATAN HAART BERFUNGSI aku mendapat satu komen yang menarik perhatianku daripada salah seorang sahabat rapat komuniti yang aku hormati iaitu  “Akulelakiitu@Azri

Akulelakiitu@Azri berkongsi pandangan beliau tentang kesan jangka panjang  rawatan HAART terhadap organ tubuh PLHIV.

Tiada perbezaan pendapat antara kami. Sekadar perbincangan dan perkongsian antara dua orang sahabat yang sama-sama memahami dan aku berpendapat pandangan kami perlu dikongsi dengan khalayak yang lebih ramai supaya dapat membantu kita berfikir dengan lebih rasional.

Blog ini ini blog kita, terbuka kepada pro dan kontra tanpa prejudis. Tiada sesiapa yang terlalu benar atau terlalu salah. Saling mempelajari dan sokong menyokong.

Terdapat sedikit suntingan untuk disesuaikan sebagai sebuah entry. Mari baca:

Akulelakiitu@Azri said...

Satu penerangan yang bersahaja dan ringkas tetapi mudah difahami. Cuma sekarang ni saya sedang mengkaji kesan sampingan daripada HAART itu sendiri.

Bak kata pepatah: harapkan pagar, pagar makan padi. Ya memang HAART membantu kita melawan virus HIV, tetapi ada di antaranya mendatangkan penyakit lain... Ini kerana racun yang terdapat dalam HAART itu begitu kuat sehinggakan ada sesetengah organ badan kita tidak mampu untuk berfungsi dengan baik.

Bukan niat saya untuk menakut-nakutkan, tetapi sekurang-kurangnya kita kena tahu benda ni.

Terima kasih. Tak sempat kita jumpa kali ni ya. Tak mengapa, insya-Allah di lain masa.

Saya setuju tentang side effect HAART tu tetapi secara peribadi saya tak terlalu memikirkannya. Maksud saya, sejak jadi PLHIV ni saya lebih berfikir mengikut langkah demi langkah dan menikmati setiap langkah. Kalau tak, kacau bilau otak dibuatnya.

Tidak seperti dulu, saya mungkin berfikir 10 langkah ke depan, maklumlah ketika itu terasa umur ini seolah-olah masih panjang. Hu hu...

Dengan pengambilan ubat-ubatan secara terkawal, risiko boleh diminimakan. Kita mempunyai banyak peluru. Kerana itu masalah diabetes, kolestrol, jantung, buah pinggang, hati dan tekanan darah kita sentiasa dipantau.


Ujian darah sentiasa dilakukan. Di sebalik semuanya saya melihat sebagai satu peluang dan keuntungan kerana orang-orang biasa tidak berpeluang mendapat pemantauan kesihatan yang sebegitu teliti dan melibatkan kos yang tinggi seperti kita.

Akibatnya, mereka mungkin sudah mengidap dan terlewat untuk merawat pelbagai penyakit kronik. Pengakhirannya sama sahaja seperti kita.

Jika membaca apa saja journal atau artikel tentang kesan sampingan sesuatu produk atau makanan, contoh: Ayam Daging dan Cara Penternakannya. Kita akan takut untuk menelan. Begitu juga, buah-buahan, sayur-sayuran, minuman dan malahan hampir apa saja.

Minum madu tualang, susu kambing, makan kurma dan habbatus sauda' mengikut sunnah pun akan ada kesan sampingan tertentu terhadap buah pinggang, jantung dan sebagainya jika tanpa kawalan. Kalau tak, rasulullah tak wafat-wafat jawabnya.


Ambil secara berpada-pada. Inilah namanya qadha’ dan qadar.

Jadi saya setuju dengan pandangan sahabat. Elok sebagai pengetahuan dan langkah berjaga-jaga tetapi semoga tidak mendatangkan kesan sebaliknya kepada segelintir yang tidak rasional. Kerana takutkan macam-macam kesan sampinganlah ramai enggan menerima rawatan.

Ya, yang kita telan saban hari setiap jam-jam tertentu adalah DADAH KARTEL. Sudah tentu ada side effectnya dan saya sendiri pernah buat sedikit carian maklumat dan ianya memang ada dikongsikan di blog kita ini di panel MORE INFO ABOUT HIV di bawah tajuk: HIV DRUGs & THE DISEASES THEY CAUSE.

link-
http://www.omsj.org/drugs/matrix.htm


Semoga dapat membantu kajian sahabat tetapi jangan terlalu risau. PLHIV mesti bijak menyaring maklumat. Usaha, redha, doa dan tawakkal. Kita redah je…!

 

Friday, December 09, 2011

TOLONG TERANGKAN SECARA MUDAH BAGAIMANA RAWATAN HAART BERFUNGSI


Dalam entry bertajuk “BAGAIMANA UNTUK MENGETAHUI KAEDAH SEBENAR PENGIRAAN VIRAL LOAD (VL) DALAM DARAH PLHIV?” sebelum ini aku menerima soalan nakal daripada 2 orang sahabat.

Daripada bro. Fareez Fauzi,

Satu pertanyaan kepada AHP:
Kalau pada mulanya virus yang banyak beribu ekor dalam darah tetapi disebabkan kita dah mula ambil ubat (HAART) virus akan jadi 50 copies (contoh) atau hampir tidak dapat dikesan.

Apa dah jadi dgn virus yang beribu sebelum ini? Adakah ianya dimatikan atau dibekukan atau ditidurkan (tidak aktif) sahaja? Baki yang ada sebanyak 50 copies adakah seperti mcm cerita 10 budak hitam?

Baki virus yang tinggal akan terus kekal berkurangan dalam kuantiti yang sedikit kerana setahu abang virus tidak dapat dibunuh selagi tidak bertemu ubatnya.

Apa pandangan adik AHP? Harap ini soalan cepumas dan akan dapat hadiah senduk (senduk emas) dari AHP , gitteww.

Daripada ImpianSuci,
Aha... tahniah pada abg AHP. Macam abang Fareez juga, saya teringin nak tau, apa jadi pada virus yang banyak tu?

Hehehe...


Mula-mula aku tak mahu melayan soalan tersebut. Banyak lagi perkara lain aku nak urus sedangkan mereka boleh tanya pakcik G (google) atau belek-belek entries lama. Lagipun aku bukan doktor. Aku sama saja seperti mereka.

Tetapi bila difikirkan ada rasionalnya terutama kepada PLHIV yang baru dan untuk tujuan kaunseling kepada para pelajar sekolah, aku sahut cabaran. ....

(p/s- hai adik-adik pelajar sekolah, hehehe...)

Aku jawab dengan cara yang paling santai, ya. Mohon teguran jika terdapat kesalahan fakta daripada golongan pakar dan cerdik pandai.

Sebelum tu tolong clearkan dulu fakta bahawa HIV hanya tersebar melalui cecair badan seperti melalui seks yang tidak selamat (tanpa kondom), ibu kepada anak (tanpa HAART dan melalui susu badan) dan akibat darah tercemar (pemindahan darah, organ atau berkongsi jarum suntikan).

Bermakna selain daripada itu tak payah risaulah. Virus hanya mampu bertahan dalam tubuh manusia. Keluar sahaja, matilah virus. Tidak terdapat dalam sperma malahan risiko jangkitan akibat berkongsi jarum suntikan dadah sebenarnya hanya sekitar 0.3%.

Melalui perkongsian jarum suntikan, risiko untuk mendapat jangkitan Hepatitis lebih tinggi. Potensi jangkitan Hep B sekitar 30% dan Hep C sekitar 7%. Yang menjadi masalah ialah apabila menagih dadah, golongan ini berpotensi besar melakukan seks bebas tanpa perlindungan.  

Untuk menjawab soalan, mari kita berimaginasi secara santai. Begini...

Di sebuah planet terdapat sebuah kerajaan besar yang dinamakan “Tubuh”. Rakyat terdiri daripada spesis yang dinamakan stem sel. Sistem pertahanan Tubuh dinamakan Sel CD4 (T helper)

Sel CD4 berperanan sebagai utusan kepada sel-sel sistem pertahanan Tubuh yang lain, memberitahu mereka supaya melawan apa juga makhluk asing (organisma) yang menceroboh. Askar penyerangnya pula dinamakan CD8 (T killer). 

Pada suatu hari tentera musuh daripada planet asing yang dinamakan ‘virus HIV’ menceroboh Tubuh melalui cecair tertentu (mani dan darah) dan dengan selamba toyanya menggoda, bergaul dan bersenggama secara haram dengan Sel CD4 ala-ala awang Afrika di Puchong dan Mantin.

Virus melekat dan menjangkiti sel CD4 dan mejadikan sel CD4 sebagai tempat untuk menggandakan virus HIV. Menyamar macam baikkk... je.

Nampak sopan santun tapi 'makan dalam' dan sangat licik macam Yahudi. Dalam lemah lembutnya virus sangat-sangat tabah. Diam-diam menceroboh dan bermutasi (fotostat) diri banyak-banyak.

Sila rujuk link ni: http://www.youtube.com/watch?v=7CLFTrZOeEg

(Patutnya PLHIV belajar daripada ketabahan virus. Bukannya terbalik virus lebih tabah daripada PLHIV. Bukankah kita khalifah? Makhluk lain bukan khalifah. Sebab tu bila kita ceroboh angkasa, angkasa diam. Kita tarah bukit dan gunung ganang, mereka diam. Kita menyelam ke dasar lautan, lautan diam. Kita bunuh haiwan, haiwan diam. Kalaulah kita bukan khalifah dah lama kita ni pupus dimusnahkan mereka akibat kurang ajar).

Ok, sambung cerita...

Pada permulaannya Tubuh langsung tak perasan masalah negaranya kerana rakyatnya kelihatan sihat-sihat belaka. Rupa-rupanya dah ramai rakyatnya yang rosak, askarnya dirogol, mati menjadi zombie dan pejuang-pejuangnya pula dah tak bermaya...

Bila bermesyuarat dengan para menterinya (rawatan) barulah Tubuh sedar bahawa negaranya hampir musnah diceroboh dan hampir-hampir lumpuh. Sel CD4nya yang sihat dan kuat hanya tinggal beberapa orang sahaja...

Tubuh segera meminta bantuan daripada planet jiran iaitu HAART. Syukurlah HAART segera membantu, memasuki Tubuh dan meracun segala virus HIV.

Racun tersebut menyebabkan virus mamai, lalok dan tak mampu lagi bersenggama dengan rakyat tempatan untuk melahirkan dirinya yang baru. Sebagai makhluk tuhan, ada yang akhirnya mati begitu sahaja kerana setiap makhluk punya jangka hayat.

Dengan kaedah meracun yang betul, HAART berjaya menghalang pembiakan dan melumpuhkan virus yang jahat itu.

Tetapi sebahagian kecil virus ini pandai pula bersembunyi di dalam beberapa kawasan terpencil Tubuh. Contohnya dalam tisu badan, organ, tulang belakang dan otak. Umpama Ali Baba dan 40 penyamun di dalam gua. 

Kerana kelicikannya virus tidak dapat dihapuskan 100% tetapi ditekan ke jumlah yang paling minima. Sel CD4 pun ramai semula dan Tubuh kembali kuat dengan para menteri (rawatan) yang bijaksana.

Ok, itulah sahaja jawapan aku.

Faham tak adik-adik pelajar sekolah?

p/s- Hahaha.... jangan marah bro Farezz dan ImpianSuci. Marah nanti CD4 tak naik-naik. Gurau-gurau aje hilangkan tension hari Jumaat ni.



Thursday, December 08, 2011

BAGAIMANA UNTUK MENGETAHUI KAEDAH SEBENAR PENGIRAAN VIRAL LOAD (VL) DALAM DARAH PLHIV?


My best doctor.
Dr. Iskandar Firzada bin Osman.
Doktor Pakar Perubatan Keluarga,
Klinik Kesihatan Jaya Gading, Kuantan

MD (USM), MMed (Family Medicine) (USM),
MAFPM (Mal.), FRACGP (Australia), FAFPM (Mal.),
Fellow in Adolescent Health (Melbourne)
Family Medicine Specialist / Primary Care Physician



Hari Selasa yang lepas (6 Disember 2011) aku ke KK Jaya Gading, Kuantan bertemu dengan Dr. Iskandar Firzada bin Osman untuk menjalani prosedur pengambilan sampel darah bagi mengesan jumlah virus di tubuhku. Sampel darah yang diambil akan dihantar untuk analisis di Kota Bharu.

Ianya bertujuan sebagai reconfirm terhadap keputusan virus undetected baru-baru ini. Jika keputusan kali ini masih undetected, sahlah bahawa virus telah ditekan sehingga ke bawah paras bacaan 50 Copies/mL. Jadi seperti yang aku sebutkan sebelum ini, jangan keliru dengan istilah ‘sembuh’ yang aku gunakan.

Sambil-sambil Dr. Iskandar menjalankan tugasnya mengambil darah, aku bertanyakan tentang cara sebenar mengira jumlah virus dalam darah seseorang PLHIV.

Adakah jika bacaannya 24, 000 Copies/mL maka terdapat 24, 000 ekor virus  sahajalah yang ada dalam tubuh seseorang PLHIV?

Jangan lupa, virus tidak dapat dikesan dalam organ tubuh selain darah seperti jantung, tulang, buah pinggang dan sebagainya.

Menurut Dr. Iskandar:

Selalunya unit adalah berdasarkan kiraan Copies/mL.

Sebagai contoh, VL yang berjumlah 500,000 IU/L tidak bermakna hanya terdapat 500,000 salinan (copies) virus di dalam tubuh.

Lebih tepat lagi ianya membawa makna anda mempunyai 500,000 Copies/mL unit standard virus di dalam setiap liter darah.

Bilangan sebenar virus di tubuh anda mungkin lebih tinggi atau lebih rendah.

Sebagai contoh, VL yang menunjukkan bacaan antara 50 – 100 Copies/mL mungkin bersamaan dengan 25 – 50 IU/mL.

Ini bermakna, jika bacaannya adalah 500, 000 IU/mL = 1, 000,000 Copies/mL.

Dengan rawatan HAART, target atau objektif kita adalah untuk mengurangkan jumlah VL sehingga kurang daripada 50 Copies/mL atau 25 IU/mL.


p/s- Tak faham cara nak kira, jangan tanya aku. Sila tanya doktor dan orang-orang yang pandai matematik ya.

Perhatian: IU = International Unit. Digunapakai di peringkat antarabangsa.

 

Monday, December 05, 2011

NASIHAT SEORANG DOKTOR PAKAR KEPADA SEMUA PLHIV SEMPENA HARI MEMPERINGATI AIDS SEDUNIA 2011

My best doctor.
Dr. Iskandar Firzada bin Osman.

MD (USM), MMed (Family Medicine) (USM),
MAFPM (Mal.), FRACGP (Australia), FAFPM (Mal.),
Fellow in Adolescent Health (Melbourne)
Family Medicine Specialist / Primary Care Physician
 
Kita sering merungut dan mengadu mengenai sikap tidak professional segelintir doktor dan kakitangan KKM. Itu betul, bukan kita nak cari pasal untuk bergaduh tetapi bertujuan untuk meningkatkan kualiti perkhidmatan.

Apa kata, kali ini kita ambil tahu pula pandangan seorang doktor tentang kita.

Sempena Hari Memperingati AIDS Sedunia 2011, alhamdulillah doktor yang sangat-sangat aku hormati, Dr. Iskandar Firzada bin Osman sudi berkongsi info ringkas mengenai beberapa isu yang sering timbul semasa beliau cuba membantu para PLHIV.

Tugas para doktor (sila baca sebagai yang professional dan komited) untuk membantu patients adalah melalui pelbagai kaedah rawatan yang mereka pelajari secara formal, kursus-kursus dan seminar khas yang perlu diikuti daripada semasa ke semasa serta melalui pengalaman berterusan merawat para pesakit.

Bukan itu sahaja, mereka sering bermesyuarat dan berhubung sesama doktor untuk berkongsi ilmu, idea serta pandangan sebelum membuat sesuatu keputusan atau menentukan rawatan yang  sesuai untuk seseorang pesakit.

Itu bidang mereka. Samalah jika pembaca seorang kerani. Kerani ada kemahiran dan kepakaran di bidang pengkeranian. Belum tentu seorang doktor mampu melaksanakan tugas-tugas seorang kerani di sesebuah jabatan. Silap-silap doktor tersebut terpaksa telan macam-macam pil psychiatry akibat chronic migraine.

Selagi mahu dirawat dan dibantu, mereka akan cuba sedaya upaya bantu mengikut segala kemampuan dan usaha yang ada. Masalahnya apabila patients khususnya PLHIV sendiri enggan menerima rawatan. Inilah antara dilemma yang sering dihadapi oleh para doktor dan kakitangan KKM.

Ramai di kalangan PLHIV sendiri sebenarnya enggan dibantu sehingga menyebabkan mereka terlewat untuk dirawat.

Antara faktornya kerana takutkan kesan sampingan, memandang ringan soal rawatan, mengalah kepada perkara-perkara remeh semasa berdepan prosedur rawatan, bergantung dan terlalu percaya kepada petua-petua, memilih rawatan ‘alternative’ dan sebagainya.

Tanpa mereka sedar akhirnya mereka meletakkan diri mereka dalam risiko. Ramai yang pada asalnya ‘lari’ daripada mendapat rawatan tetapi selepas 2,3 tahun akhirnya ‘dihantar’ kembali ke hospital dengan ambulan akibat pelbagai jangkitan penyakit opportunistic.

Jadi, apa kata kita baca dan hayati betul-betul pandangan Dr. Iskandar yang dikongsikan dengan kita melalui emel ini dengan hati yang jernih. Semoga Rahmat dan redha Allah kepada Dr. Iskandar Firzada bin Osman sekeluarga dan kepada semua doktor serta kakitangan KKM yang berdedikasi.

Assalamualaikum,

Terdapat sebahagian daripada PLHIV enggan mendapatkan rawatan awal yang sepatutnya mereka jalani. Nasihat saya ialah dapatkanlah rawatan terutama jika doktor telah memberikan cadangan supaya anda mulakan HAART.

Tunggu dan lihat (wait and see) bukan pilihan yang terbaik untuk perkara sebegini. Sama juga dengan kebanyakkan masalah kesihatan yang lain.

Natural history of most diseases is such, the more we wait, the more damage is done. The more difficult to recover and if it is permanent, the more difficult to rehabilitate. Kehidupan seharian pun akan terganggu dan yang paling penting, ibadah pun boleh terganggu serta kurang sempurna.

Sungguhpun diterima atau tidak, Allah yang menentukan. Seharusnya kita patut berusaha untuk mencari kesempurnaan ibadah. I'm sure everbody knows it. Kecualilah kalau ada pilihan rawatan yang terbukti sama efektif.

Walau bagaimanapun, tunggu dan lihat masih lagi bukan pilihan yang terbaik tetapi pilih salah satu rawatan yang efektif tersebut.

Gunakan sepenuhnya peluang yang ada dan yang telah diberikan. I personally does not like to use the word 'second chance'. Yang pasti, tiada kepastian yang kita akan diberikan peluang sekali lagi.

Setakat hari ini, untuk sembuh, sememangnya agak rumit, tetapi masih boleh berharap sebab ketentuan di kemudian hari, tak siapa yang tahu. Walau bagaimanapun, untuk sihat, insyaAllah.

Yang penting juga, kelak pasangan dan zuriat tidak sepatutnya 'mewarisi'.

GETTING TO ZERO, slogan Hari Memperingati AIDS SeDunia 2011.

ISKANDAR


 

Saturday, December 03, 2011

BERTEMU DR. ISKANDAR FIRZADA BIN OSMAN (11) - BUKTI, AKU BOLEH 'SEMBUH' DARIPADA HIV!

My best doctor.
Dr. Iskandar Firzada bin Osman.

MD (USM), MMed (Family Medicine) (USM),
MAFPM (Mal.), FRACGP (Australia), FAFPM (Mal.),
Fellow in Adolescent Health (Melbourne)
Family Medicine Specialist / Primary Care Physician


Hah, sembuh daripada HIV?! Sabar dulu, baca sampai habis. Aku sengaja pilih tajuk tersebut kerana aku tahu ianya adalah antara keyword paling popular yang sentiasa dicari. Termasuklah pembaca baru blog ini. Hahaha...


1 Disember adalah Hari Memperingati AIDS Sedunia 2011 dan kali ini slogannya adalah GETTING TO ZERO. Jika direnung dengan mendalam, besar pengertiannya slogan tersebut.

Petang 1 Disember 2011 (Khamis) juga aku hadir ke KK untuk temujanji dengan Dr. Iskandar kali yang ke 11. Lebih istimewa, bersama-sama aku adalah 2 orang rakan komuniti. Seorang kerana mahu mendapatkan rawatan dengan beliau dan seorang lagi kerana mahu menjalani ujian saringan. Kedua-duanya adalah professional dalam bidang masing-masing.

Sebagai langkah awal, aku mempelawa mereka berbual-bual ringan untuk memastikan setting mereka tepat sebelum berjumpa Dr. Iskandar. Lagipun inilah pertama kali kami bersua muka. Aku faham kegelisahan mereka.

Sampai sahaja di KK, tanpa banyak kerenah, Dr. Iskandar menjemput aku masuk untuk proses biasa rawatanku. Antara rutin ialah bertanyakan perkembangan kesihatanku, bacaan glukos, tekanan darah, memeriksa jangkitan di mulut dan sebagainya.

Alhamdulillah segala-galanya normal dan tidak banyak perkara yang dapat aku kongsikan kali ini.

Cuma respon Dr. Iskandar terhadap ujian darah untuk mengetahui punca masalah sel darah putih (T.W.B.C.) dan plateletku yang rendah (setelah berbincang dengan Doktor Pakar yang lain) ialah berkemungkinan disebabkan oleh beberapa perkara seperti akibat kesan sampingan rawatan HAART dan masalah B12/ folate deficiency.

Susah aku nak share info tersebut secara tepat kerana rabun dengan istilah-istilah perubatan. Lembab pula dalam bab-bab sains dan matematik tetapi secara ringkasnya aku disaran mengelak kan diri daripada melakukan aktiviti lasak untuk mengelakkan risiko pendarahan.

Selain tu aku perlu makan Vitamin B12 dan Folic Acid yang biasa dibekalkan kepada ibu-ibu yang mahu mengandung. Agak-agaknya kalau aku ni perempuan, aku bersedia untuk pregnantlah ya sekarang. Hihihi...

(Urmph... bertambah lagi koleksi ubat-ubatan yang perlu aku telan. Apa-apapun syukurlah kerana tahu keadaan kesihatan kita. Dapat bersedia untuk rawatan awal. Taklah sekadar senang hati dan tunggu membuta tuli.)

Satu fakta yang sangat menarik melalui ujian darah untuk mengesan Viral Load yang telah dijalankan sebelum ini ialah: HIV-1 RNA Not detected!

Jika ujian pertama untuk mengetahui bacaan viral load pada 15 Mei 2011 menunjukkan terdapat 24,411 ekor virus (Copies/mL-4.39 Log Copies/mL), ianya bertukar dengan begitu pantas kepada not detected apabila diuji semula 19 September 2011. (3 bulan selepas rawatan HAART)

So, apa maknanya? Maknanya aku sembuhlah, tiada HIV! Hahaha... syukur Alhamdulillah...

Berdasarkan Islamic study, terdapat beberapa penjelasan:

1.   “Dan apabila aku sakit, Dialah yang menyembuhkan aku.” [Surah al-Syu'ara: 80]

2.   Allah Maha Berkuasa atas setiap sesuatu. Apa nak hairan?

Secara klinikal:

1.   Berlaku human error atau machine error di mana-mana walaupun tidak semasa Doktor Iskandar melakukan prosedur tersebut. Kerana itu aku perlu menjalani ujian darah kali kedua secepat mungkin.

2.   Membuktikan bahawa rawatan HAART mampu menekan virus ke bawah 50 copies/mL. Bermakna window period memang berlaku bahkan jika tanpa diabetes dan masalah platelet, tak mustahil darah aku boleh diterima jika aku menderma darah kerana darahku jenis O.


Secara peribadinya pula:

Ya, aku memang bersyukur, Alhamdulillah... ini adalah berkat doa dan sokongan semua tetapi yang lebih penting adalah redha, usaha, doa dan tawakkal.

Aku tak pernah meletakkan apa-apa target kecuali usaha yang terbaik, berlapang dada, menikmati kehidupan secara berkualiti dan menghindari stress. Memang aku sangat damai kecuali kadangkala stress seketika. Itupun kerana masalah orang lain, bukan masalah peribadi.

Doa aku cukuplah diberikan yang terbaik, syifa’ untuk penyakit hati dan jasmani, sabar dan redha dengan ujian, usia panjang yang diberkati, dipelihara segala aib dan maruah, mati dalam nikmat Husnul khatimah dan iman terpelihara menghadapi segala ujian-Nya.

Lain-lain tu biasa sahaja kerana aku tak nampak apa-apa masalah menjadi seorang PLHIV kecuali rahmat, rahmat dan rahmat! Ada masalah, ada penyelesaian dan rawatan. Apa isunya?

Kadang-kadang aku rasa ramai PLHIV sendiri tak berapa faham cara aku berfikir. PLHIV biasanya terperangkap dengan angka dan andaian. Kenapa perlu dilayan segala stigma, diskriminasi, paranoid dan segala macam goofy tu?

Jika ujian selepas ini result Viral Loadnya meningkat pula, fight ajelah. Teruskan berjuang. Nak menggelabah untuk apa? Please wake up! Jangan mati sebelum masanya.

Yang penting dapatkan rawatan, jaga kesihatan elok-elok untuk mengelakkan penyakit opportunistic.  Ramai sangat yang diuji Allah dengan macam-macam ujian yang lebih berat tetapi tetap sabar dan redha. Syukurlah berbanding mereka, apa sangatlah ujian ini. Sekurang-kurangnya kita masih dapat meneruskan kehidupan seperti biasa.

Selebihnya temujanji kali ni adalah untuk membantu 2 orang rakan komuniti mendapatkan kaunseling dengan Dr. Iskandar. Aku faham betapa kelirunya rakan komuniti yang menjalani rapid test apabila didapati positif. Mana yang boleh dibantu, aku bantulah berikan panduan dan pandangan.

Sebaik sahaja didiagnos positif, sebenarnya kita serta-merta kehilangan kawan ketawa. Yang tinggal hanyalah rakan-rakan senasib yang berkongsi suka duka. Usahlah ragu-ragu berkongsi dengan rakan senasib kerana merekalah antara yang paling memahami.

Sudah tentu pertolongan sebenar adalah melalui Allah s.w.t dan melalui doktor di bidang berkenaan, kakitangan KKM yang terlatih serta segelintir non-PLHIV yang berjiwa mulia.

Aku sentiasa kagum dengan cara Dr. Iskandar melayan patients beliau. Semua prosedur rawatan dipenuhi secara professional. Kaunseling pra dan pasca ujian adalah sangat berhemah dan prihatin.

Aku terharu apabila melihat beliau dengan penuh sabar cuba membantu (walaupun telah beribu-ribu kali) berdepan dengan kerenah, soalan, reaksi dan sikap yang sama.

Selagi boleh dan mahu dibantu, beliau akan bantu. Yang menjadi masalah ialah apabila PLHIV sendiri enggan dibantu. Semoga segala redha dan limpah rahmat-Nya untuk Dr. Iskandar sekeluarga dan seluruh umat Islam.