Saturday, December 03, 2011

BERTEMU DR. ISKANDAR FIRZADA BIN OSMAN (11) - BUKTI, AKU BOLEH 'SEMBUH' DARIPADA HIV!

My best doctor.
Dr. Iskandar Firzada bin Osman.

MD (USM), MMed (Family Medicine) (USM),
MAFPM (Mal.), FRACGP (Australia), FAFPM (Mal.),
Fellow in Adolescent Health (Melbourne)
Family Medicine Specialist / Primary Care Physician


Hah, sembuh daripada HIV?! Sabar dulu, baca sampai habis. Aku sengaja pilih tajuk tersebut kerana aku tahu ianya adalah antara keyword paling popular yang sentiasa dicari. Termasuklah pembaca baru blog ini. Hahaha...


1 Disember adalah Hari Memperingati AIDS Sedunia 2011 dan kali ini slogannya adalah GETTING TO ZERO. Jika direnung dengan mendalam, besar pengertiannya slogan tersebut.

Petang 1 Disember 2011 (Khamis) juga aku hadir ke KK untuk temujanji dengan Dr. Iskandar kali yang ke 11. Lebih istimewa, bersama-sama aku adalah 2 orang rakan komuniti. Seorang kerana mahu mendapatkan rawatan dengan beliau dan seorang lagi kerana mahu menjalani ujian saringan. Kedua-duanya adalah professional dalam bidang masing-masing.

Sebagai langkah awal, aku mempelawa mereka berbual-bual ringan untuk memastikan setting mereka tepat sebelum berjumpa Dr. Iskandar. Lagipun inilah pertama kali kami bersua muka. Aku faham kegelisahan mereka.

Sampai sahaja di KK, tanpa banyak kerenah, Dr. Iskandar menjemput aku masuk untuk proses biasa rawatanku. Antara rutin ialah bertanyakan perkembangan kesihatanku, bacaan glukos, tekanan darah, memeriksa jangkitan di mulut dan sebagainya.

Alhamdulillah segala-galanya normal dan tidak banyak perkara yang dapat aku kongsikan kali ini.

Cuma respon Dr. Iskandar terhadap ujian darah untuk mengetahui punca masalah sel darah putih (T.W.B.C.) dan plateletku yang rendah (setelah berbincang dengan Doktor Pakar yang lain) ialah berkemungkinan disebabkan oleh beberapa perkara seperti akibat kesan sampingan rawatan HAART dan masalah B12/ folate deficiency.

Susah aku nak share info tersebut secara tepat kerana rabun dengan istilah-istilah perubatan. Lembab pula dalam bab-bab sains dan matematik tetapi secara ringkasnya aku disaran mengelak kan diri daripada melakukan aktiviti lasak untuk mengelakkan risiko pendarahan.

Selain tu aku perlu makan Vitamin B12 dan Folic Acid yang biasa dibekalkan kepada ibu-ibu yang mahu mengandung. Agak-agaknya kalau aku ni perempuan, aku bersedia untuk pregnantlah ya sekarang. Hihihi...

(Urmph... bertambah lagi koleksi ubat-ubatan yang perlu aku telan. Apa-apapun syukurlah kerana tahu keadaan kesihatan kita. Dapat bersedia untuk rawatan awal. Taklah sekadar senang hati dan tunggu membuta tuli.)

Satu fakta yang sangat menarik melalui ujian darah untuk mengesan Viral Load yang telah dijalankan sebelum ini ialah: HIV-1 RNA Not detected!

Jika ujian pertama untuk mengetahui bacaan viral load pada 15 Mei 2011 menunjukkan terdapat 24,411 ekor virus (Copies/mL-4.39 Log Copies/mL), ianya bertukar dengan begitu pantas kepada not detected apabila diuji semula 19 September 2011. (3 bulan selepas rawatan HAART)

So, apa maknanya? Maknanya aku sembuhlah, tiada HIV! Hahaha... syukur Alhamdulillah...

Berdasarkan Islamic study, terdapat beberapa penjelasan:

1.   “Dan apabila aku sakit, Dialah yang menyembuhkan aku.” [Surah al-Syu'ara: 80]

2.   Allah Maha Berkuasa atas setiap sesuatu. Apa nak hairan?

Secara klinikal:

1.   Berlaku human error atau machine error di mana-mana walaupun tidak semasa Doktor Iskandar melakukan prosedur tersebut. Kerana itu aku perlu menjalani ujian darah kali kedua secepat mungkin.

2.   Membuktikan bahawa rawatan HAART mampu menekan virus ke bawah 50 copies/mL. Bermakna window period memang berlaku bahkan jika tanpa diabetes dan masalah platelet, tak mustahil darah aku boleh diterima jika aku menderma darah kerana darahku jenis O.


Secara peribadinya pula:

Ya, aku memang bersyukur, Alhamdulillah... ini adalah berkat doa dan sokongan semua tetapi yang lebih penting adalah redha, usaha, doa dan tawakkal.

Aku tak pernah meletakkan apa-apa target kecuali usaha yang terbaik, berlapang dada, menikmati kehidupan secara berkualiti dan menghindari stress. Memang aku sangat damai kecuali kadangkala stress seketika. Itupun kerana masalah orang lain, bukan masalah peribadi.

Doa aku cukuplah diberikan yang terbaik, syifa’ untuk penyakit hati dan jasmani, sabar dan redha dengan ujian, usia panjang yang diberkati, dipelihara segala aib dan maruah, mati dalam nikmat Husnul khatimah dan iman terpelihara menghadapi segala ujian-Nya.

Lain-lain tu biasa sahaja kerana aku tak nampak apa-apa masalah menjadi seorang PLHIV kecuali rahmat, rahmat dan rahmat! Ada masalah, ada penyelesaian dan rawatan. Apa isunya?

Kadang-kadang aku rasa ramai PLHIV sendiri tak berapa faham cara aku berfikir. PLHIV biasanya terperangkap dengan angka dan andaian. Kenapa perlu dilayan segala stigma, diskriminasi, paranoid dan segala macam goofy tu?

Jika ujian selepas ini result Viral Loadnya meningkat pula, fight ajelah. Teruskan berjuang. Nak menggelabah untuk apa? Please wake up! Jangan mati sebelum masanya.

Yang penting dapatkan rawatan, jaga kesihatan elok-elok untuk mengelakkan penyakit opportunistic.  Ramai sangat yang diuji Allah dengan macam-macam ujian yang lebih berat tetapi tetap sabar dan redha. Syukurlah berbanding mereka, apa sangatlah ujian ini. Sekurang-kurangnya kita masih dapat meneruskan kehidupan seperti biasa.

Selebihnya temujanji kali ni adalah untuk membantu 2 orang rakan komuniti mendapatkan kaunseling dengan Dr. Iskandar. Aku faham betapa kelirunya rakan komuniti yang menjalani rapid test apabila didapati positif. Mana yang boleh dibantu, aku bantulah berikan panduan dan pandangan.

Sebaik sahaja didiagnos positif, sebenarnya kita serta-merta kehilangan kawan ketawa. Yang tinggal hanyalah rakan-rakan senasib yang berkongsi suka duka. Usahlah ragu-ragu berkongsi dengan rakan senasib kerana merekalah antara yang paling memahami.

Sudah tentu pertolongan sebenar adalah melalui Allah s.w.t dan melalui doktor di bidang berkenaan, kakitangan KKM yang terlatih serta segelintir non-PLHIV yang berjiwa mulia.

Aku sentiasa kagum dengan cara Dr. Iskandar melayan patients beliau. Semua prosedur rawatan dipenuhi secara professional. Kaunseling pra dan pasca ujian adalah sangat berhemah dan prihatin.

Aku terharu apabila melihat beliau dengan penuh sabar cuba membantu (walaupun telah beribu-ribu kali) berdepan dengan kerenah, soalan, reaksi dan sikap yang sama.

Selagi boleh dan mahu dibantu, beliau akan bantu. Yang menjadi masalah ialah apabila PLHIV sendiri enggan dibantu. Semoga segala redha dan limpah rahmat-Nya untuk Dr. Iskandar sekeluarga dan seluruh umat Islam.