Pembaca kenali sahaja saya sebagai Sheeda. Kali ini saya nak kongsi pengalaman saya setelah setahun bersuamikan seorang PLHIV.
Begitu cepat masa berlalu, berbagai peristiwa dan cabaran yang dihadapi dan kini telah setahun abang hidup sebagai PLHIV. Sebenarnya peristiwa ini banyak memberi pengajaran kepada saya dan kami sekeluarga.
Sebelum ini maklumat saya tentang HIV sangat kurang, Ketika itu, saya anggap PLHIV ialah sesiapa sahaja yang terjebak dengan perbuatan yang berisiko, berkongsi jarum suntikan dan akibat seks bebas.
Saya tidak begitu perasan tentang golongan isteri dan anak-anak yang dijangkiti HIV akibat perbuatan suami mereka. Jauh sekali akibat pemindahan darah atau organ. Punca jangkitan pun saya tidak begitu jelas.
Golongan PLHIV yang saya gambarkan pula adalah golongan terbiar yang kurus kering dan tidak bermaya. Terukkan?
Takdir tuhan, dengan tidak disangka-sangka abang (suami) sendiri yang menjadi PLHIV. Bermula dari itulah saya mula membaca banyak info berkenaan HIV dan saya tersedar bahawa ianya tidak seperti yang saya gambarkan sebelum ini.
Gambaran melalui poster dan media yang disebarkan sebelum ini ternyata membawa tanggapan yang salah dan mestilah diperbetulkan dengan segera supaya tidak menimbulkan salah faham.
Setelah setahun, abang sangat-sangat positif dan redha menerima keadaan dirinya.
Alhamdulillah keadaan kesihatan abang juga bertambah baik. Walaupun lebih kurus berbanding sebelum ini, penyakit kencing manis abang sangat terkawal. Tiada lagi sakit otot yang serius seperti di awal pengambilan HAART.
Abang sangat positif menjalani rawatan dan mematuhi jadual pengambilan ubat di samping mengambil beberapa supplement sekadar perlu. Berbanding semasa di peringkat awal diagnos dahulu, abang sekarang lebih rasional dalam pengambilan supplement.
Keputusan Viral Load yang semakin menurun sehingga ke tahap undetected membuktikan kekuatan semangat dan kaedah rawatan yang tepat mampu membuktikan seseorang PLHIV dapat menjalani kehidupan seperti insan lain.
Abang sentiasa berhubung dengan doktor apabila memerlukan dan hubungan kami sekeluarga dengan Doktor Iskandar sangat rapat.
Kami sangat bertuah kerana abang mendapat rawatan daripada seorang doktor yang sangat baik dan berdedikasi. Kami sekeluarga amat terhutang budi kepada beliau.
Walaupun aktiviti fizikal abang tidak seaktif dulu tetapi syukur kepada Allah kerana diberikan kekuatan rohani dan jasmani untuk hidup seperti biasa.
Bahkan abang semakin aktif membantu komuniti yang memerlukan pertolongan. Mereka saling mengambil berat dan tolong menolong antara satu sama lain.
Abang kelihatan sangat bersemangat dan gembira apabila menghadiri sebarang majlis yang melibatkan komuniti. Ikatan ukhuwah dan persahabatan sesama mereka sangat erat.
Saya lihat rutin harian abang sangat-sangat sibuk berbanding sebelum diagnos. Sibuk berblog, menjawab pertanyaan dan komen melalui e-mail, SMS, panggilan telefon dan bertemu dengan PLHIV yang memerlukan.
Kami sekeluarga faham dan rela berkorban serta bertolak ansur kerana abang seolah-olah telah menjadi hak komuniti walaupun saya kasihan melihat kepenatan abang.
Melalui pandangan saya, abang banyak mendapat kekuatan apabila berkongsi pengalaman melalui blog dan membantu mereka yang memerlukan.
Kami sekeluarga merupakan antara pembaca tetap dan beruntung mengenali hampir kebanyakan ahli dalam komuniti. Terima kasih kepada saudara Luka Rafieqa dan ahli-ahli komuniti yang telah banyak membantu abang bangkit.
Abang nampaknya mempunyai keinginan tinggi untuk menyebarkan maklumat yang betul dan tepat mengenai HIV dan berasa perlu berada di medan yang lebih besar.
Sebagai permulaan, usaha abang lebih kepada mendekati golongan remaja apabila mula dijemput menyampaikan ceramah mengenai HIV/ AIDS dan menyebarkan pemahaman yang tepat mengenai kehidupan awal remaja kepada para pelajar di daerah kami atas kapasiti sebagai kaunselor dan volunteer secara bebas.
Sebenarnya langsung tiada tekanan yang saya alami sebagai isteri seorang PLHIV berbanding dengan apa yang diuar-uarkan. Pentingnya ialah persefahaman dan saling berbincang jika ada sebarang masalah di antara suami isteri.
Sebagai isteri saya perlu berperanan sebagai tulang belakang suami dan membantu apa-apa yang patut. Tidak perlu berasa takut dan hina menjadi isteri seorang PLHIV. Tak perlulah paranoid, saling tuduh menuduh dan menyalahkan.
Kalau mereka bersalah sekalipun, perkara yang lepas bukan boleh berubah. Mereka telah insaf dan bertaubat. Tiada bezanya kita di sisi tuhan melainkan iman dan takwa. Kita sendiri ada macam-macam dosa yang mungkin kita sedari ataupun tidak.
Tak pernah saya terfikir ke tahap nak bercerai berai sekalipun sebagai isteri saya berhak menuntutnya. Ujian Allah datang melalui berbagai bentuk dan cara. Adilkah bersikap begitu setelah pasangan kita diuji-Nya?
Saya yakin Allah Maha Adil dan tidak pernah zalim kepada kami sekeluarga. Kalau tidak, takkanlah Allah temukan jodoh kami. Kalau tak kerana Allah mahu tunjukkan sesuatu, mungkin pembaca takkan pernah pun membaca blog AHP dan perkongsian pengalaman saya ini.
Saya sebenarnya bertuah kerana dapat merasakan apa yang isteri lain tidak dapat melaluinya. Melihat kesungguhan abang membuatkan saya berasa insaf dan sedar tentang banyak perkara.
Hubungan abang dengan anak-anak semakin akrab dan kami sekeluarga gigih mendidik mereka menjadi insan yang prihatin dan berjiwa besar terhadap insan-insan yang menderita terutama berkaitan dengan ketidak adilan masyarakat terhadap PLHIV.
Bagi mengelakkan anak-anak keliru dengan sesuatu perkara, abang sentiasa berterus terang dan menasihati mereka dengan cara yang berhemah dan mudah difahami. Hubungan rapat kami sekeluarga dan saling menghargai antara satu sama lain memudahkan usaha tersebut..
Saya juga berpeluang mendapat lebih ramai kawan, berjumpa ahli-ahli komuniti dan sama-sama menghadiri majlis yang disertai mereka. Ada juga rakan-rakan PLHIV yang datang ke rumah untuk berjumpa dengan abang dan kami sentiasa menerima dengan hati terbuka. Sedikit sebanyak saya dapat mengenali mereka dan saya juga gembira berjumpa mereka.
(Penyakit gatal abang pun boleh tahan juga kerana maklumlah sejak menjadi PLHIV ni, ramai benar ‘peminat’ perempuan abang. Hihihi….)
Selepas setahun, kami punya dua anak dara baru. Alhamdulillah bertambah lagi bilangan ahli keluarga. Seronok juga terus dapat anak dara yang dah besar. Tak lama lagi dapat menantulah pula ya. Kalau dulu orang selalu bertanya, tak ada anak perempuan ke? Ha, sekarangkan dah ada. Syukurlah atas segalanya.
Saya juga dapat menerima takdir Allah dan redha atas apa yang berlaku dan berusaha untuk memberi semangat dan perangsang kepada abang dalam perjuangan. Saya tidak pernah rasa kami sekeluarga terasing dengan keluarga-keluarga lain bahkan berbangga kerana dalam diam abang merupakan seorang pejuang sejati.
Tolong doakan semoga abang dan kami lebih tabah menghadapi setiap ujian. Tiada beza antara kita. Manusia yang mencipta perbezaan tersebut. Ternyata HIV bukanlah seteruk yang saya bayangkan ketika zaman jahil saya dulu. Golongan PLHIV juga kebanyakannya berhati mulia.
Percayalah, jika tidak diuji dengan HIV, kita mungkin diuji dengan ujian-ujian lain pula. Ujian dalam bentuk kesenangan dan kemewahan lebih merbahaya bagi saya. Terima kasih abang, terima kasih Allah.
Wallahu a’lam!
AHP: Selepas ini insya-Allah aku akan publishkan pula perkongsian pengalaman semua anggota keluarga yang lain. Maaf kepada para pembaca yang menghantar emel kerana aku belum berkesempatan membalasnya. Masih terlalu penat dan aku akan cuba balas mulai besok. Terima kasih.