Wednesday, December 28, 2011

ANAK SULUNG PLHIV (SETAHUN ABAHKU MENJADI SEORANG PEMBAWA HIV)


Assalamualaikum,

Hahaha... ini perkongsian anak lelakiku sempena pemerhatiannya sejak setahun aku didiagnos sebagai PLHIV. Tergelak besar aku membacanya. Bidang dia engineering, jadi faham-faham sahajalah kemampuan bahasanya.

Ramai di kalangan sahabat adalah engineer tetapi sangat bagus kemahiran bahasa dan penulisannya. Anak aku ini hanya terikat dengan pembacaan buku teks dan modul, maka itulah jadinya. Apa-apapun kita kongsikan jugalah pengalamannya sebagai kenangan-kenangan. Kasihan dia dah taip ‘panjang-panjang’. Hehehe...


Saya sebagai anak sulung ingin berkongsi pengalaman setelah setahun abah menjadi seorang PLHIV tetapi saya akui penulisan saya lemah.

Dalam jangka masa setahun ini saya belajar di IPTA saya hanya balik pada hujung minggu atau cuti semester. Untuk melihat perkembangan yang berlaku kepada abah adalah terhad.

Tetapi sebenarnya saya tidak rasa apa-apa perbezaanpun sama ada abah ada HIV atau tidak. Jadi, apa yang saya boleh kongsikan? Semuanya baik-baik sahaja dan abah sama sahaja seperti dulu.

Secara umum, memang ada juga sedikit perubahan yang dapat saya lihat. Paling ketara ialah berat badan abah semakin susut dan kelihatan semakin kurus.

Mungkin ini akibat kesan sampingan rawatan, diabetes, kawalan diet abah yang ketat atau kesibukan abah yang melampau. Akibatnya banyak seluar dan baju baru abah tak dapat saya kongsi seperti sebelum ini. Huhuhu...

Saya lihat abah tidak pernah mengalah dan tekun menjalani rawatan yang telah ditetapkan doctor.

Abah selalu pergi ke Kuantan untuk menerima rawatan daripada Dr. Iskandar
Selain itu abah sentiasa sibuk membantu komuniti melalui blog dan emel.

Kami sekeluarga kerap turut serta dan seronok dengan hubungan silaturrahim serta sikap sokong menyokong sesama komuniti.

Saya juga dapat 2 orang kakak baru yang banyak membantu abah dan memberi inspirasi kepada kami sekeluarga.

Melalui blog, abah banyak memberi semangat kepada golongan senasib. Berblog juga dapat membantu golongan yang hanyut dalam dunia yang nyata untuk berubah ke arah yang lebih baik

Di samping itu, abah dapat menerima ujian yang telah diberi oleh Allah dan lebih bersemangat untuk meneruskan hidupnya. Sikap abah yang positif menyebabkan saya tidak berfikir pun abah saya adalah seorang PLHIV.

Saya rasa setakat ini sahajalah yang dapat saya kongsikan bersama rakan-rakan blog abah sempena setahun abah menghidap penyakit HIV. Teima kasih kepada semua yang bantu abah. Tolong doakan kebaikan untuk kami sekeluarga dunia akhirat dan saya berjaya menghabiskan pengajian saya sekurang-kurangnya peringkat degree dengan cemerlang.

Hari ini (28 Disember) hari lahir adik saya. Semoga adik cemerlang dunia akhirat.


AHP:
Anakku yang seorang ini memang unik karekternya sejak kecil. Dia seorang anak yang sangat baik dan tidak pernah mendatangkan masalah kepada kami sekeluarga.

Cuma dalam beberapa keadaan, dia memerlukan banyak kali teguran dan nasihat sebelum dapat belajar sesuatu daripada kelemahan diri. Yang paling penting, Alhamdulillah dia pandai memelihara solat dan telah belajar sesuatu daripada kesilapan lampau akibat terlalu manja.

Aku masih ingat, 6 bulan pertama dia tinggal di asrama penuh semasa memasuki tingkatan 1, selama hampir 6 bulan aku tidur di katilnya sambil menangis mencium bantal busuknya kerana terlalu rindu. (walaupun setiap minggu sebenarnya dapat berjumpa dengannya)

Akibat tidak mampu berjauhan dengan keluarga dan atas kepentingan pencapaian dalam pelajaran, semasa form 4 kami terpaksa membenarkannya berulang alik secara harian daripada rumah ke sekolah.

Ummphhh... anak, oh anak! Kalaulah kau tahu betapa kasihnya ibu bapa terhadapmu...

Tetapi ingatlah, kasih sedalam manapun, jika bukan kerana Allah dan bukan untuk mencari keredhaan Allah tiada maknanya. Kasih bagaimanapun, ingatlah bahawa semua ini hanyalah pinjaman.