Thursday, December 15, 2011

ALIA HARYANIE IN THE HOUSE



Petang tadi adalah hari yang sungguh bertuah bagi aku sekeluarga. Seorang rakan karib (non-PLHIV) yang banyak memberikan inspirasi kepadaku selama ini, Alia Haryanie sudi singgah di rumah buruk kami. Tentu ramai pembaca lama blog ini mengetahui siapakah Yanie. (sila klik)

Yanie datang ke Temerloh bersama beberapa orang anak buahnya disebabkan urusan tertentu di Hospital Temerloh. Yanie turut membawa 2 orang anak lelakinya bersama-sama. Syukur Alhamdulillah…

Kunjungan Yanie ke Temerloh aku ketahui pada malam sebelumnya apabila menerima SMS daripada sahabat kita, Survivor yang merancang menziarahi Yanie di Kelantan.

(Maaf Survivor, sahabat yang merancang, tetapi aku dulu yang dapat dating dengan Yanie yang comel ni. Siap dating di rumah sambil disaksikan oleh kedua-dua isteri, hehehe…)

Walaupun terasa malu kerana sepatutnya aku yang menziarahi Yanie, penghidap beberapa penyakit kronik yang jauh lebih tabah daripada aku tetapi takdir telah menentukan bahawa Yanie yang terlebih dahulu berkesempatan menziarahi aku sekeluarga. Syukur kerana satu lagi daripada hasratku Allah kabulkan.

Kepenatan akibat kesibukan melampau yang aku lalui sepanjang tempoh 2, 3 hari ini terasa lenyap dengan kunjungan Yanie.

Yanie singgah menjelang Maghrib akibat kesuntukan waktu. Walaupun dalam waktu yang cukup singkat, (sekitar 20 minit sahaja) pertemuan tersebut sangat-sangat bermakna. Apakan daya, faktor kesuntukan masa menyebabkan Yanie terpaksa meneruskan perjalanan ke Raub.

Di sebalik susuk tubuh Yanie kurus, jelas kelihatan kecekalan seorang wanita dan ibu tunggal yang tabah meneruskan kehidupan di samping 3 orang cahaya mata. Keramahan dan keceriaan Yanie tetap ketara sekalipun derita yang ditanggung hanya Tuhan yang tahu.

Di sebalik semuanya juga masih terserlah keayuan. Sedikit perkongsian pengalaman hidup yang Yanie pernah kongsi denganku membuatkan aku berfikir tentang banyak perkara.

Tertanya-tanya kenapa wanita sehebat ini dibiarkan terkapai-kapai sebaik sahaja didiagnos sebagai pesakit kronik. Adakah cinta hanya hak mutlak mereka yang sihat sahaja?

Disebabkan Yanie bukanlah seorang PLHIV, aku sisipkan sekeping gambar beliau di sini sebagai tanda kenang-kenangan. Semoga ukhwah dan silaturrahim berkekalan. Sama-samalah kita doakan Yanie terus tabah, dianugerahkan kesihatan yang bertambah baik dari semasa ke semasa.

Terima kasih Yanie, moga kita berjumpa lagi…

Belum puas rasanya kita berbual dan berkongsi pengalaman.