Ada penyakit yang sama bahaya jangkitannya seperti AIDS, namun ramai yang tidak mengetahuinya. Tahukah anda virus Hepatitis B adalah 100 kali lebih mudah dijangkiti berbanding dengan virus HIV (AIDS)?
Hepatitis adalah penyakit yang disebabkan oleh beberapa jenis virus yang boleh menyerang dan merosakkan sel-sel hati manusia. Ia dikategorikan kepada jenis A, B dan C.
Hepatitis A
Hepatitis A adalah penyakit hepatitis yang tidak menimbulkan kesan penyakit yang besar. Hepatitis A merebak melalui makanan dan minuman yang dicemari. Virus ini merebak melalui najis individu yang menghadapi penyakit ini. Sebagai contoh, ikan atau kerang daripada kawasan air yang dicemari oleh najis manusia yang dijangkiti. Ia juga boleh dijangkiti melalui hubungan rapat dengan individu yang dijangkiti.
Tanda-tanda jangkitan boleh dilihat selepas dua ke tiga minggu. Pada minggu pertama, individu yang dijangkiti akan mengalami sakit seperti kuning, keletihan, demam, hilang selera makan, muntah-muntah, pening dan kencing yang berwarna hitam pekat.
Penyakit Hepatitis A mempunyai vaksin yang boleh diambil terutamanya kepada mereka yang keluar negara. Menjaga kebersihan diri adalah penting. Cuci tangan dengan sabun, jika boleh guna sabun anti kuman selepas menggunakan tandas, sebelum menyediakan makanan dan sebelum makan.
Hepatitis B
Hepatitis B pula adalah penyakit dalam kumpulan ini yang paling serius dan amat perlu diambil perhatian. Kesedaran tentang bahaya Hepatitis B ini masih kurang di kalangan orang ramai. Cara jangkitannya yang begitu mudah, malah lebih mudah daripada dijangkiti AIDS.
Virus ini boleh dijumpai dalam semua bahagian cecair tubuh manusia yang menghadapi Hepatitis B secara teruk dan serius. Virus ini dijumpai di dalam darah, air mani, cecair faraj, cecair sendi, air susu, air kencing, air mata dan pelbagai.
Penyakit ini adalah biasanya di Asia adalah daripada kes-kes ibu menjangkitkan ia kepada anak sewaktu bersalin.
Penyakit boleh dijangkiti melalui pemindahan darah atau sebarang hasil darah melalui luka di kulit atau melalui tindik, membuat tatoo, acupunture, kecederaan jarum dan berkongsi berus gigi.
Penagih dadah yang berkongsi jarum turut menghadapi risiko yang sama. Begitu juga penggunaan alatan perubatan dan pergigian yang tidak di nyah kuman dan dicuci bersih.
Jangkitan paling ketara adalah melalui hubungan seksual dan hubungan rapat melalui pembawa penyakit ini. Individu yang menghadapi penyakit ini secara serius dan teruk adalah turut menjadi pembawa.
Daripada 90 peratus bagi mereka yang dijangkiti terdapat 5 ke 10 peratus orang dewasa yang tidak dapat menyediakan antibodi yang mencukupi untuk membasmi jangkitan dan akan dijangkiti secara teruk untuk jangka masa panjang. Mereka ini adalah pembawa penyakit Hepatitis B yang kronik.
Tanda-tanda jangkitan Hepatitis B yang teruk adalah sama seperti jangkitan virus Hepatitis C. Ini termasuk demam, sakit perut dan kuning. Kebanyakan yang dijangkiti secara teruk tidak mempunyai tanda-tanda yang jelas dan mereka boleh menjangkit ia kepada orang lain.
Mereka yang dijangkiti secara teruk mempunyai risiko tinggi mengalami penyakit dan kanser hati yang boleh menyebabkan kematian. Risiko ini meningkat 200 ke 300 kali ganda berbanding yang bukan pembawa.
Turut didapati wanita pembawa Hepatitis B, mudah menjangkitkan ia kepada bayi yang dilahirkannya dan bayi tersebut pula menjadi pembawa dan menyebarkan kepada orang lain. Harus diingat, virus ini telah didapati hampir di semua bahagian berair dan cecair tubuh manusia.
Adalah dijangka 3 ke 5 peratus darah di derma di Semenanjung Malaysia diperiksa mempunyai virus HBU iaitu virus yang menyebabkan Hepatitis B.
Ini bermaksud, sekitar 468,000 ke 780,000 daripada jumlah penduduk, Sekitar 15.6 juta, sudah menjadi pembawa yang boleh menjangkitkan ia kepada orang lain dan mereka ini mempunyai risiko yang tinggi menghadapi penyakit hati dan kanser hati.
Pada masa ini, tiada cara perubatan khusus untuk Hepatitis B. Belum ada ubat yang mampu mengubati penyakit ini sepenuhnya. Kajian masih terus dijalankan untuk mencari cara rawatan dan ubat yang berkesan melawan Hepatitis B.
Hepatitis B boleh dicegah. Kini terdapat vaksin Hepatitis B yang diberikan secara suntikan. Bagi orang dewasa dan kanak-kanak berumur 10 tahun ke atas, vaksin ini diambil 3 kali di jarak selama sebulan. Bagi kanak-kanak yang berumur di bawah 10 tahun cukup 2 dos yang dijarakkan selama 2 bulan. Dos booster juga perlu diberikan selepas 12 bulan.
Daripada data-data yang diterima, penerima suntikan yang lengkap boleh mempunyai imuniti lebih enam tahun. Satu dos tambahan perlu diambil selepas jangka itu untuk meningkatkan semula pertahanan badan.
Hepatitis C
Hepatitis C jarang didengari merupakan penyakit bawaan darah. 85 peratus mereka yang terdedah dengan virus ini akan menghidapi penyakit. Satu daripada 5 antara mereka yang menghidapi Hepatitis C akan mengalami parutan dan pengerasan hati secara berperingkat. Risikonya mengalami barah hati meningkat sebanyak 5 peratus selepas 20 tahun dan 4 peratus setahun bila hati mengalami parut.
Penyakit ini merebak melalui pendedahan kepada darah mereka yang menghidapi penyakit Hepatitis C. Malah darah yang telah kering masih mempunyai virus yang boleh menjangkiti.
Antara cara jangkitan adalah dengan menyentuh darah yang telah dijangkiti.
Malah perkongsian alatan suntikan ubat dan darah boleh menjadi punca jangkitan. Kebersihan alatan tatoo dan tindik juga perlu dipastikan dan mereka yang menerima darah atau produk darah sebelum 1994 perlu menjalani pemeriksaan.
Bahaya jangkitan juga datang melalui berkongsi berus gigi, pisau cukur dan alat pemotong kuku dengan mereka yang diketahui mengidap hepatitis C. Walau pun risikonya rendah, namun kesan darah mungkin terdapat pada alatan yang dikongsi.
Berkongsi tuala juga boleh mendatangkan risiko. Jangkitan melalui hubungan seks adalah rendah dan masih samar-samar lagi kewujudannya. Namun ada kajian tentang bahan-bahan virus hepatitis ini dijumpai di dalam cecair vagina atau air mani.
Belum ada vaksin lagi untuk mencegah hepatitis C. Penjagaan kebersihan adalah penting bagi menghindari mana-mana jenis hepatitis. Elakkan berkongsi alatan mandi seperti berus gigi, pencukur dan tuala dengan mana-mana individu. Jangan berkongsi jarum atau alatan perubatan dan pastikan alatan perubatan dan pergigian telah dibersihkan terlebih dahulu.
Elakkan amalan seks bebas. Jangan bertukar-tukar pasangan. Pemakaian kondom masih tidak dapat mengelakkan jangkitan kerana virus ini telah didapati dalam air liur dan cecair badan yang lain.
Dapatkan suntikan vaksin terutamanya hepatitis B. Bersihkan tangan selepas ke tandas dan sebelum makan. Jalani pemeriksaan kesihatan dan darah sekurang-kurangnya setahun sekali dan sebaiknya 6 bulan sekali.
Hepatitis A, B dan C mudah untuk dielakkan. Sebarkan maklumat bahan bahaya penyakit ini kepada yang lain kerana ia semakin menjadi wabak. Dapatkan vaksin dan perbaharuinya setiap 6 tahun bagi vaksin hepatitis B.
Sumber: Carian Google