Friday, December 02, 2011

SEMANGAT JUANG PENGHIDAP HIV POSITIF


SEKITAR 13 tahun lalu, rutin hidupnya tidak pernah lekang daripada berkongsi jarum suntikan. Hari ini, lelaki yang hanya mahu dikenali sebagai Sohaimi, 34, menanggung bahana daripada gaya hidupnya itu. Dia disahkan menghidap HIV positif.

Namun, lelaki yang berasal dari Sabak Bernam, Selangor itu tidak menganggap disahkan sebagai penghidap HIV positif adalah noktah hidupnya.

Sebaliknya, dia bersyukur. Disahkan sebagai penghidap HIV positif menyuntik keinsafan yang tidak terluah dengan kata-kata. Bahkan, Sohaimi merasakan dirinya bertuah kerana itulah titik tolak baginya mengenal erti kehidupan dan mendekatkan dirinya kepada Yang Maha Esa yang dilupakannya selama ini.

“Sebelum ini, saya bergelumang dengan dosa sampaikan surah al-Fatihah pun saya tidak hafal apatah lagi menunaikan solat lima waktu,” tuturnya yang gemar dengan aktiviti menghidu gam sejak usianya 15 tahun. Daripada aktiviti menghidu gam, Sohaimi mula terjebak dengan ketagihan dan mengedar heroin.

Namun, sepandai-pandai tupai melompat, akhirnya jatuh ke tanah jua. Sohaimi akhirnya ditangkap di atas kesalahan memiliki dadah dan dipenjarakan sebanyak empat kali.

Di penjara, Sohaimi mula mengenal agama dan menunaikan tanggungjawabnya sebagai seorang Islam. Ketika berada di penjaralah dia mendapat berita yang mengejutkan.

“Amat mengejutkan apabila saya disahkan sebagai penghidap HIV positif. Namun, saya bersyukur kerana Allah memberi peluang kedua untuk bertaubat,’’ ujarnya ketika ditemui di Rumah Pengasih Bukit Tunku, Jalan Duta, Kuala Lumpur baru-baru ini.

SESETENGAH penghidap HIV positif yang tidak mendapat sokongan hilang semangat meneruskan kehidupan

Namun, Sohaimi mengakui hati lelakinya agak goyah pada peringkat awal tatkala menerima karma di atas gaya hidupnya selama ini. Bagaimanakah penerimaan keluarganya? Anak kedua daripada tujuh beradik itu berkata, mereka reda dengan takdir itu.

Bagi mengisi masanya, Sohaimi kini berkhidmat sebagai wakil pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dengan membantu memberi khidmat kaunseling kepada penghidap HIV /AIDS.

Pengaruh rakan

Bagi Ayob, 25, meskipun disahkan sebagai penghidap HIV positif kira-kira lapan tahun lalu kini dia menjalani kehidupan seperti insan normal yang lain. Cerita Ayob, semuanya gara-gara terpengaruh dengan kawan sekolah yang menghisap ganja.

Bahkan, sejak umur 13 tahun dia sudah bergelar pengedar dadah secara kecil-kecilan di sekolah untuk menampung perbelanjaan membeli dadah dan mampu meraih puluhan ringgit dalam masa seminggu.

Ayob yang berasal dari Sungkai, Perak memberitahu, selain mengedar dia juga turut menagih dadah.

Anak keempat daripada lima adik-beradik ini mengakui menjadi penagih tegar. Bahkan, dia sudah tidak kisah untuk berkongsi jarum dengan kawan-kawan yang lain.

Sebaliknya, meskipun hari ini dia terpaksa bergantung kepada ubat-ubatan namun satu sahaja harapan Ayob agar masyarakat dapat menerima dirinya seadanya.

“Jangan sisihkan kami kerana kami juga ingin meneruskan kehidupan yang indah ini cuma nasihat saya bagi golongan muda jangan sesekali cuba ‘bercinta’ dengan dadah,” ujarnya sebelum mengakhiri perbualan.

UBAT-UBATAN dapat membantu pesakit HIV terus hidup

Sementara itu, Mohd. Rafiq, 41, tidak menyangka niatnya untuk menderma darah buat julung-julung kali mendedahkan ‘rahsia’ yang tidak diketahuinya selama ini.

Selepas menderma darah, dia menerima panggilan daripada Pusat Derma Darah (PDN) yang memintanya hadir ke pusat tersebut.

“Pada masa itu, macam-macam perkara yang terlintas dalam fikiran, namun saya memberanikan diri untuk mengetahui hal yang sebenar,” kata lelaki yang berasal dari Kuala Lumpur ini.

Persoalan yang membelenggu fikiran Mohd. Rafiq akhirnya terjawab apabila dia membuka sepucuk surat yang menjelaskan status kesihatannya. Sesuatu yang tidak pernah diduganya terpaksa diterima dengan hati yang amat berat.

Dia disahkan menghidap HIV positif. “Saya benar-benar tidak menduga dan sungguh terkejutnya ketika melihat keputusan tersebut. Hati saya remuk dan hanya satu perkara yang terlintas di fikiran iaitu bunuh diri,’’ ujarnya yang mengakui hilang arah selepas mendapat berita tersebut.

Begitupun Mohd. Rafiq tabahkan diri untuk meneruskan kehidupannya. Dia mula mencari saluran yang boleh membantunya dengan mendapatkan bantuan daripada NGO dan tempat-tempat yang boleh membantu pesakit sepertinya.

Beliau tidak menafikan dua tahun lalu sebelum dia disahkan menghidap HIV, dia sememangnya aktif melakukan seks rambang.

“Alhamdullillah, meskipun menghidap HIV, saya mampu makan, minum dan bekerja seperti orang normal. Sebelum ini, masyarakat sering memandang rendah kepada golongan ini. Tanggapan itu yang menyebabkan Orang Yang Hidup Dengan HIV/AIDS (ODHA) mati cepat,” ujarnya mengakhiri perbualan.


Sumber: sini