CHRISTOPHER tidak pernah menghukum pesakit HIV/AIDS sebaliknya merawat mereka sama seperti pesakit lain
SEKITAR tahun 1990-an, bidang penyakit berjangkit masih agak baharu di negara ini bahkan, jumlah tenaga pakar dalam bidang tersebut di tanah air mungkin boleh dibilang dengan jari.
Salah satu penyakit di bawah bidang ini termasuklah penyakit HIV/AIDS. Ketika sesetengah pengamal perubatan bimbang berhubung penyebaran penyakit tersebut dan memilih pengkhususan lain, berbeza pula ceritanya dengan Dr. Christopher Lee Kwok Choong.
Ketua Jabatan dan Pakar Perunding Kanan (Penyakit Berjangkit) Jabatan Perubatan Hospital Sungai Buloh, Selangor itu nekad terjun dalam bidang tersebut kerana minat sekali gus menolak sebarang rasa takut.
“Disebabkan minat yang mendalam dan mahu membantu pesakit, saya akhirnya membuat keputusan untuk terjun dalam bidang itu,” katanya kepada Kosmo! ketika ditemui di Hospital Sungai Buloh baru-baru ini.
Anak jati Ipoh, Perak itu mengakui ketakutan terhadap penyakit HIV/AIDS menyebabkan sekitar 20 tahun lalu Malaysia kekurangan pakar dalam penyakit berkenaan.
Pada masa itu, kata Christopher, penyakit HIV/AIDS masih baharu dan kebanyakan doktor sukar menerima pesakit HIV. Boleh dikatakan mereka kurang prihatin terhadap isu-isu tersebut.
“Malah, ada segelintir kakitangan perubatan agak takut dengan penyakit HIV/AIDS kerana mereka khuatir akan dijangkiti. Ia semuanya berlaku kerana mereka tidak faham. Apabila tidak faham, timbullah stigma,” jelasnya.
Disebabkan situasi itu juga, pada masa itu pesakit HIV/AIDS sukar menerima rawatan terutama sekali bagi pesakit yang perlu menjalani pembedahan. Bagaimanapun, pada hari ini stigma dalam kalangan pengamal perubatan sudah semakin berubah.
“Selain ramai yang sudah mempunyai kesedaran mengenai wabak itu, bilangan doktor juga semakin meningkat dalam bidang ini. Jika dibandingkan dulu, golongan doktor takut untuk membuat pembedahan, tetapi kini keadaan itu sudah berubah walaupun stigma dan diskriminasi dalam kalangan doktor dan paramedik masih wujud,” jelasnya
Berkongsi rahsia kekal lama dalam kerjaya tersebut kata Christopher, beliau tidak pernah menghukum pesakit-pesakitnya.
“Kenapa perlu timbul perasaan stigma sedangkan setiap manusia membuat dosa. Sebagai contoh, kalau masuk kerja lewat, ia sudah dosa, menipu itupun dosa.
“Jadi, kenapa kita perlu menghukum orang ini walhal setiap manusia membuat dosa cuma cara kita melakukan dosa itu berbeza. Mereka juga seperti kita, kalau mahu dibandingkan kesalahan yang kita lakukan setiap daripada kita tidak pernah terkecuali daripada membuat kesilapan. Oleh itu, janganlah kita menghukum mereka,” tegasnya.
Berbicara lanjut mengenai perkara itu, Christopher berkata, beliau menerima kesemua pesakit dengan seadanya.
Tiada diskriminasi
“Saya terima mereka. Tidak wujud sebarang diskriminasi antara saya dengan pesakit. Kalau diikutkan sangat dengan stigma, saya juga boleh membuka sebuah klinik dan meletakkan papan tanda ‘Hanya merawat pesakit tidak berdosa’,” katanya berseloroh.
Akui beliau, tiada apa yang lebih menggembirakan selain melihat pesakit yang dirawatnya dapat hidup lebih lama.
Meskipun ramai yang sudah meninggal dunia namun, ramai antara mereka yang mempunyai kehidupan baru di samping keluarga mereka.
“Dengan pemantauan, rawatan, kaunseling dan preskripsi ubat, mereka kini sudah pun menjalani kehidupan yang baharu. Ada antara mereka yang masih hidup biarpun lebih 10 tahun menghidap HIV bahkan, mereka juga sudah berkahwin dan bekerja.
“Pencapaian mereka itu sememangnya menggembirakan saya,” katanya sambil memberitahu ramai dalam kalangan pesakitnya yang menghidapi penyakit itu jangka hayat mereka melebihi 15 tahun. - SUHANA VERU
Sumber: sini
AHP: Sila dapatkan Kosmo! dan i-Sihat 1 Disember 2011 untuk mengenali Encik Mohd. Raffie bin Jaafar.