NATASYA NAK JADI LELAKI TULEN
KANGAR: “Jauh di lubuk hati, saya mahu melalui kehidupan normal dengan mendirikan rumah tangga dan menjadi lelaki sejati.”
Demikian kata lelaki berperwatakan wanita, Natasya Farisya, 28, atau nama sebenarnya, Tabri Rashid Abu Hassan, yang sebelum ini mencetuskan kontroversi selepas mendakwa jatuh cinta dan ingin hidup bersama seorang lelaki.
Kisah Natasya mendapat perhatian ramai apabila teman lelakinya, Mohd Hafizuddin Johari, 20, menjadi mangsa simbahan asid di depan sebuah rumah di Taman Seri Bakau, dekat sini, pada 3 September lalu.
Natasya muncul semula selepas lama menghilang berkata, banyak pihak membuat andaian salah bahawa dia sengaja melarikan diri selepas kejadian itu, sedangkan dirinya sudah berusaha sedaya upaya untuk berubah.
Menurutnya, dia tidak suka bercerita dan menunjuk-menunjuk apa yang dilakukannya di khalayak sehinggalah kini sudah mengubah penampilan dengan berambut pendek dan aktif dalam sukan.
“Saya kini berjinak dengan hobi baru iaitu bermain futsal dan berkawan dengan lelaki dan mereka banyak memberi sokongan kepada saya untuk berubah.
“Malah, saya ingin menjadi seperti lelaki lain dan berkahwin serta mempunyai anak... saya sedang berusaha,” katanya. Katanya, dia belum menentukan bila dirinya akan berumah tangga, malah menyerahkannya pada takdir.
Pada masa sama, Natasya meminta maaf kerana gagal menghadiri Program Mukhyyam anjuran Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) bersama kira-kira 40 mak nyah dari negeri di utara tanah air, baru-baru ini tetapi memaklumkan dia bukan sengaja tidak mahu menghadirinya.
Menurutnya, dia terpaksa memenuhi tuntutan kerjanya sebagai jurumekap yang sudah ditempah awal oleh pengantin.
“Saya memohon maaf kepada Jakim kerana gagal hadir ke program berkenaan dan sama sekali tidak berniat memungkiri janji. Cuma saya perlu hadir ke majlis perkahwinan kerana tempahan sudah dibuat sekian lama.
“Saya memerlukan wang bagi menjalani kehidupan seharian dan tempahan perkahwinan antara sumber mata pencarian,” katanya.
Natasya berkata, jika diberi peluang kedua, dia akan cuba sedaya upaya menghadirinya termasuk mengubah persepsi serong orang ramai terhadap dirinya.
Dia kini tinggal di rumah yang diberikan kerajaan negeri dengan bayaran sewa rendah bagi meringankan beban kehidupannya.
“Ia memberi saya kesedaran, malah memberi kesungguhan untuk berubah selepas pelbagai pihak memberi sokongan serta dorongan.
BERI NATASYA TEMPOH
KANGAR: Bagi menjadi ‘role model’ kepada rakan-rakan mak nyah lain, lelaki berperwatakan wanita, Natasha Farisya, perlu diberi tempoh tertentu sebelum dia boleh dianggap sebagai contoh kepada rakannya.
Mufti Perlis, Dr Juanda Jaya berkata, perubahan positif ditunjukkan lelaki lembut itu mungkin boleh menjadi pendorong kepada rakan-rakannya yang lain untuk turut berubah penampilan diri. “Ia adalah sesuatu yang baik apabila seseorang mak nyah itu apabila dia mahu berubah kepada keadaan asalnya sebagai seorang lelaki termasuk ingin mengubah persepsi masyarakat kepadanya.
“Namun, soal menjadi contoh kepada rakan-rakannya, ia perlu diberi tempoh satu atau dua tahun bagi memastikan ia adalah sesuatu perubahan yang ikhlas dan bukan main-main,” katanya ketika dihubungi, di sini, semalam.
Juanda berkata, seseorang yang mahu berubah menjadi lebih baik bukanlah suatu perkara yang sukar jika memiliki keinginan serta kesungguhan.
Menurutnya, ia bakal menjadi sukar jika sesuatu itu dilakukan secara terpaksa dan tidak disertai dengan kesungguhan mahupun keikhlasan dalam jiwa untuk berubah.
AHP:
Aku bukanlah menyokong mana-mana pihak tetapi mahu bersikap adil.
Bukankah ini bukti mereka juga ingin berubah dan boleh berubah? Kita terlalu mudah membuat konklusi sedangkan kita tidak diuji seperti mereka dan melalui apa yang mereka lalui.
Dalam masa yang sama kita seolah-olah menggalakkan pula dengan siulan dan mata nakal apabila melihat tingkah laku mereka. Tepuk sana, tampar sini, cubit itu dan usik ini. Sejak dulu golongan lembut ini menjadi mainan dan hiburan termasuk dalam majlis-majlis keramaian masyarakat di kampung-kampung.
Mereka dieksploitasi sepenuhnya oleh golongan yang mengaku jantan tetapi lebih bapuk daripada segala bapuk!
Siapa yang lebih keji, mereka yang diuji dengan naluri ini atau mereka yang mudah melemparkan tuduhan atau mereka yang menggalakkan dan mengambil kesempatan terhadap mereka?
Method dakwah kena seiring mengikut aliran perkembangan semasa bro...