Friday, December 02, 2011

PADAH TURUTI GEJOLAK NAFSU


Oleh Siti Zarinah Sahib


KEALPAAN ibu bapa yang memberi sepenuh kepercayaan kepada anak-anak akhirnya berakhir dengan kisah hitam yang pastinya mencacatkan masa depan mereka.

Anak-anak yang diharapkan belajar bersungguh-sungguh di sekolah sebaliknya mempelajari ilmu yang tidak sepatutnya berkaitan seks. Malah ramai ibu bapa tidak menyangka anak mereka seawal usia 13 tahun sudah mendalami selok belok berkaitan seksual sehingga sanggup menyerahkan maruah diri kepada lelaki yang hanya dikenali menerusi laman sembang.

Ikuti pengakuan dua remaja daripada Pusat Perlindungan Remaja Puteri Raudhatus Sakinah, Sungai Buloh yang mengaku melakukan hubungan seks seawal usia 13 tahun. Mereka bukan daripada keluarga berantakan tetapi mengambil kesempatan atas kepercayaan ibu bapa yang memberi didikan agama serta bersikap tegas dalam pelajaran.

Cerita 1

Wajahnya putih mulus tanpa sebarang cela. Berbadan agak besar tiada siapa menyangka dia baru berusia 14 tahun. Ketika ditemubual, dia baru saja melahirkan anak enam bulan lalu dan dihantar ke Raudhatus Sakinah oleh kedua-dua ibu bapanya selepas mengetahui keterlanjurannya dengan teman lelaki.

“Saya berasal daripada keluarga sederhana tetapi mungkin kesibukan ibu yang menguruskan perniagaan menyebabkan saya dibiarkan bebas bersama rakan. Menonton video lucah di Internet serta video cakera padat adalah perkara biasa. Malah saya lakukannya pada usia 12 tahun.

“Ibu tidak pernah ambil tahu apa yang saya lakukan apa yang penting segala keperluan saya cukup dan saya belajar dengan bersungguh-sungguh,” kata Norziana, 14, (bukan nama sebenar) memulakan bicara.

Menurut Norziana, bergaul dengan rakan yang kebanyakannya terdedah dengan gejala sosial, dia turut terikut-ikut dengan cara kehidupan mereka. Oleh kerana kesunyian dia mencari kenalan menerusi laman sembang. Bermula dengan ayat biasa akhirnya bertukar kepada lebih intim sehingga dia dan teman yang hanya mahu dikenali sebagai Khairul, 18, (bukan nama sebenar) menjalinkan hubungan yang lebih serius.

“Setiap kali bertemu di laman sembang kami jadikan tempat untuk memadu kasih dan meluahkan perkataan mengghairahkan dan lucah. Ibu pula tidak mengesyaki apa-apa kerana saya 24 jam di dalam bilik melayari Internet yang pada anggapannya saya sedang belajar.

“Ini lebih memudahkan saya terus menjalankan aktiviti harian dengan melihat gambar-gambar lucah di Internet,” akuinya.

Disebabkan terlalu percaya kepada Khairul dan terpesona dengan ayat-ayat cinta yang dipapar di skrin komputer akhirnya Norziana dan Khairul bertemu. Pertemuan itu tentunya membuahkan bibit perkenalan yang lebih manis dan tanpa sedar, Norziana menurut kehendak Khairul yang mengajaknya ke rumah.

“Saya tidak mengesyaki apa-apa mungkin kerana terlalu percaya sehinggakan Khairul memujuk rayu supaya saya menyerahkan kehormatan diri kepadanya. Saya langsung tidak membantah dan akhirnya tewas di tangan Khairul,” kata Norziana yang tahu kesan dan akibat daripada perbuatannya namun tidak mampu mengekang gelora nafsu mudanya bersama Khairul.

Namun itu bukan kali pertama dan terakhir Norziana melakukan hubungan seks kerana dia mulai ketagih seks. Dia bertindak lebih drastik dengan lari dari rumah dan mengikut Khairul ke selatan tanah air. Hampir tiga minggu sehingga pada suatu hari, datang sepasukan polis ke rumah selepas menerima laporan daripada ibu Norziana mengenai kehilangan anaknya.

“Memang saya takut ketika itu, bimbang sekiranya saya akan diapa-apakan ibu.

Mujur ibu hanya memarahi saja dan meminta saya pulang ke rumah. Saya akur dengan nasihat ibu. Namun ketika ditahan, polis meminta saya menjalani ujian air kencing untuk membuktikan saya tidak mengambil dadah.

“Namun lain pula ceritanya apabila doktor mengesahkan yang saya mengandung tiga bulan. Terkejut mendengar kata-kata doktor namun semuanya sudah terlambat, nasi sudah menjadi bubur,” katanya.

Memikirkan rasa malu serta pandangan rakan dan guru, Norziana berhasrat menggugurkan kandungan namun kedua-dua ibu bapanya menghalang kerana khuatir kesihatan Norziana terjejas.

Setelah mencari rumah perlindungan, akhirnya mereka sepakat menghantar Norziana di rumah perlindungan Raudhatus Sakinah dengan harapan masa depan Norziana bertambah cerah.

“Mulanya saya membantah cadangan ibu kerana khuatir tidak dapat menyesuaikan diri. Ibu tetap memujuk dan menyakin saya. Akhirnya kerana kasihankan ibu melihat dia berendam air mata saya kuatkan semangat menurut katanya,” katanya.

Pada April 2011 lalu, Norziana selamat melahirkan bayi lelaki yang kemudiannya diserahkan kepada keluarga angkat. Kini segala-galanya bagaikan mimpi bagi Norziana kerana pada usia 14 tahun dia sudah bergelar ibu dan tidak dapat belajar seperti mana rakan seusia.

“Apabila mengenangkannya memang saya sedih dan me-nyesal. Namun semuanya sudah terlambat kerana apa yang ada di hadapan saya kini harus dihadapi juga. Saya mengaku terlalu taksub pada Internet dan laman sosial Facebook sehingga sanggup menyerahkan kehormatan diri pada lelaki yang hanya baru dikenali.

“Hanya satu janji saya mahu menjadi anak yang baik selepas ini, belajar bersungguh-sungguh dan memulakan kehidupan baru,” katanya.

Cerita 2

“Saya merasa tercabar de-ngan rakan di sekolah kerana dalam kumpulan mereka semuanya sudah hilang dara pada usia 13 tahun. Mereka juga mencabar saya untuk melakukannya seperti mana mereka, jika tidak saya tidak diterima dalam kumpulan itu,” begitu luahan Surina, 16 (bukan nama sebenar) penghuni daripada Pusat Perlindungan Remaja Puteri Raudhatus Sakinah.

Ketika itu di dalam kumpulan, setiap pelajar mempunyai teman lelaki, begitu juga dengan Surina. Oleh kerana tercabar dengan rakan dan ingin mencuba, Surina menyerahkan mahkota diri kepada teman lelakinya Helmi, 16, (bukan nama sebenar) ketika usia 13 tahun.

Sejak itu, Surina menjadi ketagih seks dan akan melakukan hubungan seks di rumah Helmi ketika ibu bapa keluar bekerja atau di sekolah.

“Boleh dikatakan setiap hari saya dan Helmi akan melakukannya tanpa pengetahuan guru sekolah dan ibu bapa,” katanya.

Menurut Surina, dia bukanlah pelajar tercorot di sekolah kerana ibu dan bapanya adalah pendidik dan mereka memberikan didikan sempurna kepada Surina. Tetapi ibu Surina sering berleter dan tidak mahu menjadi pendengar yang baik.

“Sekiranya saya ada masalah dan ingin menyampaikannya kepada ibu, dia akan memarahi saya dulu dan beranggapan saya yang memulakannya. Saya bosan kerana tiada tempat mengadu. Walaupun rapat dengan ayah namun saya malu untuk meluahkan masalah kepadanya mungkin kerana ada hal berkaitan wanita yang tidak sepatutnya dikongsi dengan lelaki.

“Namun saya tidak pernah salahkan ibu atas apa yang terjadi mungkin kerana mereka terlalu sibuk menyediakan kesenangan untuk saya sehingga terlupa kepada nilai dalam keluarga,” katanya.

Kerap melakukan hubungan seks, Surina tidak pernah terfikir dia akan mengandung sehinggalah haidnya tidak muncul selepas dua bulan dan ditandai dengan rasa mual, letih dan muntah.

“Saya melakukan ujian kehamilan sendiri dan ternyata andaian saya benar. Oleh kerana panik dan takut, saya makan bermacam-macam makanan yang dikatakan boleh menggugurkan kandungan antaranya nanas, minum air gas, makan ubat cacing dan apa saja ubat yang dicadangkan rakan namun tidak berhasil.

“Ini berlarutan sehingga usia kandungan mencecah lima bulan sehingga ada rakan mengadu kepada guru disiplin mengenai perubahan fizikal saya. Ketika itu ibu sendiri tidak mengesyaki apa-apa kerana saya bijak berlakon,” jelasnya.

Selepas bertemu dengan guru disiplin, akhirnya Surina tidak dapat menyembunyikannya lagi lalu guru disiplin memberitahu kepada ibu bapanya.

“Hampir terduduk ibu saya menangis menerima berita itu. Dia langsung tidak menyangka saya sanggup memalitkan arang ke wajah mereka. Namun nasi sudah menjadi bubur kerana semuanya sudah terlambat,” katanya sayu.

Akhirnya Surina dihantar ke Raudhatus Sakinah bagi memperbaiki diri untuk menjadi insan yang lebih baik. Pada Jun lalu, dia selamat melahirkan bayi lelaki yang diserahkan kepada keluarga angkat.

“Apabila difikirkan apa yang sudah saya lakukan memang saya menyesal. Semuanya kerana nafsu dan pengaruh rakan hingga saya terjebak dalam peristiwa hitam yang akan terus menghantui hidup saya. Namun saya sedar saya mampu berubah untuk menjadi individu yang lebih baik daripada hari ini.

“Inilah azam saya apabila keluar dari sini, saya akan belajar bersungguh-sungguh untuk mencapai cita-cita menjadi pendidik. Saya tidak mahu lagi hampakan harapan ibu dan ayah,” katanya yang akan mengambil peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada tahun hadapan.

Sumber: sini