9 pagi, Ahad, 4 Disember 2011 aku memandu sendirian ke KL. Sepatutnya aku ditemani seluruh anggota keluarga tetapi memandangkan salah seorang isteriku terpaksa menghadiri satu interview penting di Kelantan, langkah kami terasa pincang.
Anak daraku pula sudah tentu ada halangan untuk hadir keseorangan kerana jaraknya yang jauh nun di sana. Lagipun terdapat beberapa komitmen penting lain lagi yang mengekang hajat kami untuk hadir sekeluarga.
Kalau nak diikutkan, aku sendiripun tak dapat hadir. Poket pula hampir rabak terus tetapi mengenangkan inilah antara peluang terbaik dan ada yang lebih jauh termasuk Sabah sudi hadir, takkan aku tak hadir.
Kami berkumpul sempena majlis perkahwinan adinda kepada Luka Rafieqa dan ini merupakan langkah awal kepada pertemuan-pertemuan seterusnya. Debarannya cukup terasa, maklumlah masing-masing belum pernah berjumpa. Apa-apapun perbezaan umur, status, kerjaya dan personaliti tidak menjadi isu antara kami.
Antara yang aku terlalu kepingin jumpa ialah Puan Seroja dan anak-anak beliau yang sangat-sangat istimewa. Tetapi Allah belum mengizinkan kami bertemu kerana suami beliau bertugas di luar negara. Beliau sendiri sangat-sangat sibuk sempena Hari Memperingati AIDS Sedunia 2011.
Tiada diskriminasi, tiada judgemental, dan yang ada hanyalah demi ukhwah fillah. Sama-sama sokong menyokong, bantu-membantu dan saling belajar. Itulah yang diajar oleh Islam. Kita ada peranan, kekuatan dan kelemahan tersendiri. Perlu saling memperbaiki seumpama satu tubuh dalam mencari keredhaan Ilahi.
Selain Luka Rafieqa, aku tidak pernah bertemu mana-mana sahabatku secara peribadi melainkan berkomunikasi via emails, SMS dan panggilan telefon. Host pertama kali ini Allah pilih Luka Rafieqa kerana memang beliau yang selayaknya.
Mungkin ini antara anugerah-Nya melalui sejarah perjuangan beliau yang panjang membantu rakan senasib tanpa mengenal penat lelah. Rumah bujang beliau pula menjadi port sahabat-sahabat yang memerlukan penginapan dan berkampung.
Dengar-dengar cerita beliau sempat menyediakan masakan asam pedas daging kerana beliau handal memasak. Ada yang sampai 3 kali makan pada malam tersebut dan hampir tak tidur langsung kerana seronok berjumpa sahabat-sahabat senasib.
Perjalanan sangat lancar. Pukul 9 pagi dari Temerloh, pukul 10:05 pagi aku sudah sampai ke Tesco Extra Cheras dengan kereta ‘sport’ burukku. Huhuhu… Agaknya aku tak perasan menekan pedal minyak lebih daripada biasa. Aku hadir awal untuk memenuhi temujanji bersama 2 orang anak dara comel sebelum sama-sama bergerak ke majlis perkahwinan tersebut.
Di situ aku bertemu dengan ‘frz sfn’ seorang penyokong komuniti (non-PLHIV). Pukul 12 pm pula ‘Laila Isabella’ hadir. Silaturrahim dan kemesraan terjalin dengan cukup pantas dan telus. Sambil-sambil minum di foodcourt, kami share rasa hati dan banyak info bermanfaat untuk diri masing-masing.
Ada ketikanya kami ketawa dan ada ketikanya aku lihat kelopak mata mereka berkaca. Setakat yang mana boleh bantu, aku bantu. Selebihnya hanyalah pertolongan Allah dan terpulang kepada kekuatan dalaman sendiri.
Syukur mereka sangat positif dan berjiwa besar. Terserlah kehebatan di sebalik kelembutan seorang wanita. Nasihat dan pandanganku pula sebenarnya lebih kepada menasihati diri sendiri.
1:15 pm kami bergerak ke rumah pengantin dan kali ini disertai pula ‘akulelakiitu’ dan ‘Saiful’. Saiful adalah rakan PLHIV yang aku temani menjalani rapid test bersama Dr. Iskandar pada 1 Disember yang lepas.
Sekalipun masih melalui fasa awal diagnos, Saiful kelihatan rasional dan bersungguh-sungguh berjuang untuk bangkit. Itulah sikap yang sepatutnya ada. Hati di dalam siapalah yang tahu.
Hampir 2 pm kami sampai di rumah pengantin. Di sana sudah menunggu Luka Rafieqa, bro Fareez Fauzi, Survivor, dukaLara dan azam. Mizan tiba agak lewat tetapi masih mampu melakukan sesuatu dengan sentuhan midasnya.
Sebaik sahaja bertemu sehinggalah Asyar, masing-masing riuh-rendah umpama sebuah keluarga besar. Tanpa sebarang protocol kami saling berkomunikasi, berinteraksi, bergurau, usik-mengusik dan share ilmu secara santai. Seperti saling mengenali selama berpuluh-puluh tahun.
Masa berlalu tidak terasa dan tiada apa yang dibazirkan termasuk makanan enak yang menimbun. Hahaha…
Selepas Asyar kami bergerak pula ke rumah bujang Luka Rafieqa untuk menyambung perbualan dan solat jamak. Ada beberapa orang yang terpaksa balik awal atas komitmen tertentu.
Dalam hujan lebat pukul 6 petang aku dan Laila Isabella mengundur diri. Sedih di hati untuk berpisah hanya Tuhan yang tahu dan hanya pelukan erat yang mampu menggambarkan rasa hati. Kalaulah tak disebabkan dah tua bangka, mahu aku meraung agaknya. Hahaha…
Sedih meninggalkan sahabat-sahabat tercinta dan tertanya-tanya bilakah pengalaman indah tersebut dapat dikongsi pada lain masa. Sebelum pulang aku sempat meluangkan sedikit masa lagi bersama Laila Isabella kerana beliau memerlukan kekuatan dan maklumat untuk memulakan HAART keesokan harinya.
Sepanjang perjalanan memandu pulang, aku banyak berfikir. Mesej dan call daripada rakan-rakan komuniti dan sokongan tak henti-henti menemani pemanduan. Entahlah, sukar aku gambarkan perasaanku.
Cukuplah kalau aku katakan di sebalik gelak ketawa mereka tersembunyi seribu luka. Bukan kerana virus tetapi kerana stigma, paranoid, diskriminasi dan judgmental melulu.
Mereka sebenarnya sangat-sangat hebat dengan kepelbagaian kepakaran dan taraf pendidikan yang tinggi. Cuma beberapa ujian silam ketika remaja menjadikan mereka khilaf.
Tidak cukup dengan belenggu dan tekanan rasa menyesal terhadap dosa-dosa sendiri, banyak pula tangan-tangan, pemikiran dan mulut-mulut laknat yang sentiasa bergembira serta puas melihat saudara seagama dan sebangsa terus tersungkur selama-lamanya.
Hasil usaha dan sumbangan mereka terhadap masyarakat saban hari dikerah tetapi perasaan mereka langsung tak dipeduli. Adil ke tu?
Keesokan paginya tepatlah seperti yang dijangka, ramai yang down secara tiba-tiba. Maklumlah baru pertama kali berjumpa ‘ahli keluarga sendiri’ dan menikmati indahnya silaturrahim. Cepat saja sensitive dan berjurai air mata.
Selama ini masing-masing sentiasa keseorangan di dunia yang sangat sepi dan berdepan macam-macam ujian. Melalui pertemuan beginilah sahajalah medan untuk mereka rasa diterima secara normal dengan penuh kasih sayang.
Macamlah hina dan bahaya sangat HIV. Dunia oh dunia!
Moga impian kami untuk pertemuan seterusnya di Temerloh pula akan menjadi kenyataan dan akan disertai lebih ramai kumpulan sokongan, insya-Allah…