Sementara ada sedikit masa ni aku nak share sesuatu yang bermain di minda. Kalau ada manfaatnya, insya-Allah dapat juga pahalanya untuk aku dan mak ayah aku.
Pada fasa awal didiagnos sebagai PLHIV, semuanya aku survive sendiri. Bingung tak tau ke mana nak dituju selain Dr. Iskandar. Nak berhubung dengan komuniti dan rakan senasib jauh panggang dari api. Terpinga-pinga keseorangan memujuk hati.
Cuba call sana, call sini tapi tak dilayan. Alhamdulillah tekanan tersebutlah antara punca aku berblog. Aku tidak boleh bersikap tunggu, lihat dan bertahan. Aku tak mahu terpenjara. Aku perlukan harapan, peluang dan sokongan.
Harapan aku, kalau-kalau ada insan memerlukan, mudah mereka nak cari info yang aku kumpulkan di sini. Paling tidak boleh dijadikan rujukan oleh anak cucu. Aku mahu mati sebagai pejuang bukannya penakut. Melalui blog juga aku dapat kurangkan segala tekananku.
Pelan-pelan Allah berikan rahmat dan inayah-Nya. Aku mula dapat kenal insan senasib dan prihatin. Dalam terkial-kial begitu, dapat pula membantu mereka yang memerlukan.
Pada peringkat awal membantu mereka yang memerlukan, aku sebenarnya membantu sambil teraba-raba dalam mencari kekuatan diri. Sangat kekurangan maklumat. Yang ada hanyalah rasa ingin berkongsi dan terpanggil untuk membantu.
Alhamdulillah setelah mengenali ramai sahabat senasib, aku mendapat sokongan pula daripada sahabat-sahabat yang lebih berpengalaman. Antara yang terawal adalah Luka Rafieqa. (This entry is dedicated specially for you LR…)
Melalui LR lah aku mula berani mendedahkan diri kepada sesama ahli komuniti. Aktiviti terawal aku bersama komuniti ialah semasa sambutan Aidil Fitri di Wisma TanCom sempena aidil fitri 2011 yang lepas.
Kalau nak ikutkan inferior, huh… akulah antara orangnya yang paling chronic! Maklumlah aku ni terbiasa hidup keseorangan sejak kecil. Serba serbi rasa lemah dan rasa tidak setaraf dengan insan lain. Sentiasa fikirkan apa yang orang lain tak pernah fikir tentang aku.
LR banyak membuka mata aku bahawa sangat ramai insan senasib tetapi mereka tetap tabah dan mampu hidup seperti insan lain. Bahkan kebanyakannya hidup lebih berkualiti.
Sedangkan aku, terpenjara dengan rasa rendah diri, bimbang orang kenal dan takutkan macam-macam. Paranoid. Macamlah PLHIV lain tak ada perasaan tersebut. Bezanya mereka bersikap positif, berbaik sangka redha dan tawakal.
Sebenarnya merekalah antara insan yang paling memahami kerana mereka berdepan dengan isu yang sama.
Percayalah, jika kita berkongsi masalah dengan golongan yang tidak senasib, peratusan rahsia kita disensasikan sangat tinggi. Memang nature kisah hidup seorang PLHIV adalah sensasi.
Bila semakin lama berada dalam komuniti, barulah minda aku betul-betul terbuka tentang perlunya rasa berkongsi. Kita dapat sokongan, emosi, tips, rawatan dan sebagainya. Ruangan komen di blog ini sebagai buktinya. Sentiasa ada yang sudi support kita dengan ikhlas.
Banyak yang kita boleh boleh share. Itu belum termasuk perkongsian secara personal melalui emel, SMS dan panggilan telefon. Pukul 2,3 pagi pun keluhan kita tetap dilayan jika mereka belum tidur. Apatah lagi apabila sesekali dapat berjumpa dengan rakan-rakan senasib. Indahnya tak terkata.
Mereka sentiasa ada masa, sanggup berkorban, tiada diskriminasi dan sebagainya. Tak perlulah rasa rendah diri melulu. Kalau nak ikutkan rasa rendah diri, semua orang ada rasa tersebut.
Contoh, aku sendirilah. Dahlah tua, sekolah tak tinggi, berpendapatan kecil dan sebagainya. Pendapatan sesetengah daripada sahabat komuniti sangat tinggi berbanding aku. Ada yang cuma bekerja seorang, tetapi melebihi pendapatan aku sekeluarga yang bekerja seramai 3 orang dalam setiap bulan. Bayangkan sahaja.
Kalau kita kerja bagus, bersepah yang punya karier yang lebih bagus. Kalau kita bergaji rendah, ada lagi yang lebih rendah. Kalau kita belajar tinggi, ada ramai lagi yang lebih tinggi. Yang menganggur pun ramai tetapi bukan bermakna mereka malas dan tiada pendidikan. Langsung tiada perbezaan kasta apabila sesama komuniti.
Agaknya orang-orang di luar sana membayangkan PLHIV ni cikai sangat kut? Silap bro… Malaysian commonwealth ambassador pun ada!
Ramai arkitek, jurutera, CEO, akauntan, guru, ustaz, ustazah, doktor, kerani, pegawai tinggi polis, askar dan sebagainya dalam komuniti. Virus mana ada kenal mangsa. Bila DIA kata “Kun, fayakun” dan berlakulah segala sebab dan akibat.
(Tetapi aku rasa yang belajar paling tinggi akulah… kelas aku dulu atas sekali kat tingkat 3. Sekolah aku 3 tingkat atas bukit. Sekolah tinggilah tu. Hahaha…)
Aku tak ada rasa tersisih pun! Bila dah ada virus ni sama sahaja.
Banyak tak menjanjikan cukup, sedikit tak bermakna kurang. Yang paling sejuk hati apabila memikirkan kebesaran Allah. Sehebat dan selemah manapun seseorang itu dalam hirarki kehidupan ciptaan manusia, peluang untuk mencari keredhaan dan membuat pahala sama sahaja.
Semua orang layak masuk syurga jika ikhlas mencari keredhaan-Nya. Tak gitu anakanda As?
So, sharelah, jangan sorang-sorang dan paranoid tak tentu hala. Ujian daripada luar boleh dilawan tetapi ujian di dalam diri belum tentu. Iblis syaitan penuh keliling kita menghasut diri, pasangan dan insan-insan yang kita kononnya percaya sangat tu. Kebanyakan PLHIV yang terumbang-ambing dan yo yo adalah mereka yang menyendiri. Serius!
Insya-Allah rakan senasib takkan sesekali menganiaya kita. Marilah, join komuniti!