Showing posts with label HAART. Show all posts
Showing posts with label HAART. Show all posts

Sunday, December 11, 2011

KESAN JANGKA PANJANG RAWATAN HAART TERHADAP ORGAN TUBUH PLHIV



Melalui entry bertajuk TOLONG TERANGKAN SECARA MUDAH BAGAIMANA RAWATAN HAART BERFUNGSI aku mendapat satu komen yang menarik perhatianku daripada salah seorang sahabat rapat komuniti yang aku hormati iaitu  “Akulelakiitu@Azri

Akulelakiitu@Azri berkongsi pandangan beliau tentang kesan jangka panjang  rawatan HAART terhadap organ tubuh PLHIV.

Tiada perbezaan pendapat antara kami. Sekadar perbincangan dan perkongsian antara dua orang sahabat yang sama-sama memahami dan aku berpendapat pandangan kami perlu dikongsi dengan khalayak yang lebih ramai supaya dapat membantu kita berfikir dengan lebih rasional.

Blog ini ini blog kita, terbuka kepada pro dan kontra tanpa prejudis. Tiada sesiapa yang terlalu benar atau terlalu salah. Saling mempelajari dan sokong menyokong.

Terdapat sedikit suntingan untuk disesuaikan sebagai sebuah entry. Mari baca:

Akulelakiitu@Azri said...

Satu penerangan yang bersahaja dan ringkas tetapi mudah difahami. Cuma sekarang ni saya sedang mengkaji kesan sampingan daripada HAART itu sendiri.

Bak kata pepatah: harapkan pagar, pagar makan padi. Ya memang HAART membantu kita melawan virus HIV, tetapi ada di antaranya mendatangkan penyakit lain... Ini kerana racun yang terdapat dalam HAART itu begitu kuat sehinggakan ada sesetengah organ badan kita tidak mampu untuk berfungsi dengan baik.

Bukan niat saya untuk menakut-nakutkan, tetapi sekurang-kurangnya kita kena tahu benda ni.

Terima kasih. Tak sempat kita jumpa kali ni ya. Tak mengapa, insya-Allah di lain masa.

Saya setuju tentang side effect HAART tu tetapi secara peribadi saya tak terlalu memikirkannya. Maksud saya, sejak jadi PLHIV ni saya lebih berfikir mengikut langkah demi langkah dan menikmati setiap langkah. Kalau tak, kacau bilau otak dibuatnya.

Tidak seperti dulu, saya mungkin berfikir 10 langkah ke depan, maklumlah ketika itu terasa umur ini seolah-olah masih panjang. Hu hu...

Dengan pengambilan ubat-ubatan secara terkawal, risiko boleh diminimakan. Kita mempunyai banyak peluru. Kerana itu masalah diabetes, kolestrol, jantung, buah pinggang, hati dan tekanan darah kita sentiasa dipantau.


Ujian darah sentiasa dilakukan. Di sebalik semuanya saya melihat sebagai satu peluang dan keuntungan kerana orang-orang biasa tidak berpeluang mendapat pemantauan kesihatan yang sebegitu teliti dan melibatkan kos yang tinggi seperti kita.

Akibatnya, mereka mungkin sudah mengidap dan terlewat untuk merawat pelbagai penyakit kronik. Pengakhirannya sama sahaja seperti kita.

Jika membaca apa saja journal atau artikel tentang kesan sampingan sesuatu produk atau makanan, contoh: Ayam Daging dan Cara Penternakannya. Kita akan takut untuk menelan. Begitu juga, buah-buahan, sayur-sayuran, minuman dan malahan hampir apa saja.

Minum madu tualang, susu kambing, makan kurma dan habbatus sauda' mengikut sunnah pun akan ada kesan sampingan tertentu terhadap buah pinggang, jantung dan sebagainya jika tanpa kawalan. Kalau tak, rasulullah tak wafat-wafat jawabnya.


Ambil secara berpada-pada. Inilah namanya qadha’ dan qadar.

Jadi saya setuju dengan pandangan sahabat. Elok sebagai pengetahuan dan langkah berjaga-jaga tetapi semoga tidak mendatangkan kesan sebaliknya kepada segelintir yang tidak rasional. Kerana takutkan macam-macam kesan sampinganlah ramai enggan menerima rawatan.

Ya, yang kita telan saban hari setiap jam-jam tertentu adalah DADAH KARTEL. Sudah tentu ada side effectnya dan saya sendiri pernah buat sedikit carian maklumat dan ianya memang ada dikongsikan di blog kita ini di panel MORE INFO ABOUT HIV di bawah tajuk: HIV DRUGs & THE DISEASES THEY CAUSE.

link-
http://www.omsj.org/drugs/matrix.htm


Semoga dapat membantu kajian sahabat tetapi jangan terlalu risau. PLHIV mesti bijak menyaring maklumat. Usaha, redha, doa dan tawakkal. Kita redah je…!

 

Friday, December 09, 2011

TOLONG TERANGKAN SECARA MUDAH BAGAIMANA RAWATAN HAART BERFUNGSI


Dalam entry bertajuk “BAGAIMANA UNTUK MENGETAHUI KAEDAH SEBENAR PENGIRAAN VIRAL LOAD (VL) DALAM DARAH PLHIV?” sebelum ini aku menerima soalan nakal daripada 2 orang sahabat.

Daripada bro. Fareez Fauzi,

Satu pertanyaan kepada AHP:
Kalau pada mulanya virus yang banyak beribu ekor dalam darah tetapi disebabkan kita dah mula ambil ubat (HAART) virus akan jadi 50 copies (contoh) atau hampir tidak dapat dikesan.

Apa dah jadi dgn virus yang beribu sebelum ini? Adakah ianya dimatikan atau dibekukan atau ditidurkan (tidak aktif) sahaja? Baki yang ada sebanyak 50 copies adakah seperti mcm cerita 10 budak hitam?

Baki virus yang tinggal akan terus kekal berkurangan dalam kuantiti yang sedikit kerana setahu abang virus tidak dapat dibunuh selagi tidak bertemu ubatnya.

Apa pandangan adik AHP? Harap ini soalan cepumas dan akan dapat hadiah senduk (senduk emas) dari AHP , gitteww.

Daripada ImpianSuci,
Aha... tahniah pada abg AHP. Macam abang Fareez juga, saya teringin nak tau, apa jadi pada virus yang banyak tu?

Hehehe...


Mula-mula aku tak mahu melayan soalan tersebut. Banyak lagi perkara lain aku nak urus sedangkan mereka boleh tanya pakcik G (google) atau belek-belek entries lama. Lagipun aku bukan doktor. Aku sama saja seperti mereka.

Tetapi bila difikirkan ada rasionalnya terutama kepada PLHIV yang baru dan untuk tujuan kaunseling kepada para pelajar sekolah, aku sahut cabaran. ....

(p/s- hai adik-adik pelajar sekolah, hehehe...)

Aku jawab dengan cara yang paling santai, ya. Mohon teguran jika terdapat kesalahan fakta daripada golongan pakar dan cerdik pandai.

Sebelum tu tolong clearkan dulu fakta bahawa HIV hanya tersebar melalui cecair badan seperti melalui seks yang tidak selamat (tanpa kondom), ibu kepada anak (tanpa HAART dan melalui susu badan) dan akibat darah tercemar (pemindahan darah, organ atau berkongsi jarum suntikan).

Bermakna selain daripada itu tak payah risaulah. Virus hanya mampu bertahan dalam tubuh manusia. Keluar sahaja, matilah virus. Tidak terdapat dalam sperma malahan risiko jangkitan akibat berkongsi jarum suntikan dadah sebenarnya hanya sekitar 0.3%.

Melalui perkongsian jarum suntikan, risiko untuk mendapat jangkitan Hepatitis lebih tinggi. Potensi jangkitan Hep B sekitar 30% dan Hep C sekitar 7%. Yang menjadi masalah ialah apabila menagih dadah, golongan ini berpotensi besar melakukan seks bebas tanpa perlindungan.  

Untuk menjawab soalan, mari kita berimaginasi secara santai. Begini...

Di sebuah planet terdapat sebuah kerajaan besar yang dinamakan “Tubuh”. Rakyat terdiri daripada spesis yang dinamakan stem sel. Sistem pertahanan Tubuh dinamakan Sel CD4 (T helper)

Sel CD4 berperanan sebagai utusan kepada sel-sel sistem pertahanan Tubuh yang lain, memberitahu mereka supaya melawan apa juga makhluk asing (organisma) yang menceroboh. Askar penyerangnya pula dinamakan CD8 (T killer). 

Pada suatu hari tentera musuh daripada planet asing yang dinamakan ‘virus HIV’ menceroboh Tubuh melalui cecair tertentu (mani dan darah) dan dengan selamba toyanya menggoda, bergaul dan bersenggama secara haram dengan Sel CD4 ala-ala awang Afrika di Puchong dan Mantin.

Virus melekat dan menjangkiti sel CD4 dan mejadikan sel CD4 sebagai tempat untuk menggandakan virus HIV. Menyamar macam baikkk... je.

Nampak sopan santun tapi 'makan dalam' dan sangat licik macam Yahudi. Dalam lemah lembutnya virus sangat-sangat tabah. Diam-diam menceroboh dan bermutasi (fotostat) diri banyak-banyak.

Sila rujuk link ni: http://www.youtube.com/watch?v=7CLFTrZOeEg

(Patutnya PLHIV belajar daripada ketabahan virus. Bukannya terbalik virus lebih tabah daripada PLHIV. Bukankah kita khalifah? Makhluk lain bukan khalifah. Sebab tu bila kita ceroboh angkasa, angkasa diam. Kita tarah bukit dan gunung ganang, mereka diam. Kita menyelam ke dasar lautan, lautan diam. Kita bunuh haiwan, haiwan diam. Kalaulah kita bukan khalifah dah lama kita ni pupus dimusnahkan mereka akibat kurang ajar).

Ok, sambung cerita...

Pada permulaannya Tubuh langsung tak perasan masalah negaranya kerana rakyatnya kelihatan sihat-sihat belaka. Rupa-rupanya dah ramai rakyatnya yang rosak, askarnya dirogol, mati menjadi zombie dan pejuang-pejuangnya pula dah tak bermaya...

Bila bermesyuarat dengan para menterinya (rawatan) barulah Tubuh sedar bahawa negaranya hampir musnah diceroboh dan hampir-hampir lumpuh. Sel CD4nya yang sihat dan kuat hanya tinggal beberapa orang sahaja...

Tubuh segera meminta bantuan daripada planet jiran iaitu HAART. Syukurlah HAART segera membantu, memasuki Tubuh dan meracun segala virus HIV.

Racun tersebut menyebabkan virus mamai, lalok dan tak mampu lagi bersenggama dengan rakyat tempatan untuk melahirkan dirinya yang baru. Sebagai makhluk tuhan, ada yang akhirnya mati begitu sahaja kerana setiap makhluk punya jangka hayat.

Dengan kaedah meracun yang betul, HAART berjaya menghalang pembiakan dan melumpuhkan virus yang jahat itu.

Tetapi sebahagian kecil virus ini pandai pula bersembunyi di dalam beberapa kawasan terpencil Tubuh. Contohnya dalam tisu badan, organ, tulang belakang dan otak. Umpama Ali Baba dan 40 penyamun di dalam gua. 

Kerana kelicikannya virus tidak dapat dihapuskan 100% tetapi ditekan ke jumlah yang paling minima. Sel CD4 pun ramai semula dan Tubuh kembali kuat dengan para menteri (rawatan) yang bijaksana.

Ok, itulah sahaja jawapan aku.

Faham tak adik-adik pelajar sekolah?

p/s- Hahaha.... jangan marah bro Farezz dan ImpianSuci. Marah nanti CD4 tak naik-naik. Gurau-gurau aje hilangkan tension hari Jumaat ni.



Thursday, December 08, 2011

BAGAIMANA UNTUK MENGETAHUI KAEDAH SEBENAR PENGIRAAN VIRAL LOAD (VL) DALAM DARAH PLHIV?


My best doctor.
Dr. Iskandar Firzada bin Osman.
Doktor Pakar Perubatan Keluarga,
Klinik Kesihatan Jaya Gading, Kuantan

MD (USM), MMed (Family Medicine) (USM),
MAFPM (Mal.), FRACGP (Australia), FAFPM (Mal.),
Fellow in Adolescent Health (Melbourne)
Family Medicine Specialist / Primary Care Physician



Hari Selasa yang lepas (6 Disember 2011) aku ke KK Jaya Gading, Kuantan bertemu dengan Dr. Iskandar Firzada bin Osman untuk menjalani prosedur pengambilan sampel darah bagi mengesan jumlah virus di tubuhku. Sampel darah yang diambil akan dihantar untuk analisis di Kota Bharu.

Ianya bertujuan sebagai reconfirm terhadap keputusan virus undetected baru-baru ini. Jika keputusan kali ini masih undetected, sahlah bahawa virus telah ditekan sehingga ke bawah paras bacaan 50 Copies/mL. Jadi seperti yang aku sebutkan sebelum ini, jangan keliru dengan istilah ‘sembuh’ yang aku gunakan.

Sambil-sambil Dr. Iskandar menjalankan tugasnya mengambil darah, aku bertanyakan tentang cara sebenar mengira jumlah virus dalam darah seseorang PLHIV.

Adakah jika bacaannya 24, 000 Copies/mL maka terdapat 24, 000 ekor virus  sahajalah yang ada dalam tubuh seseorang PLHIV?

Jangan lupa, virus tidak dapat dikesan dalam organ tubuh selain darah seperti jantung, tulang, buah pinggang dan sebagainya.

Menurut Dr. Iskandar:

Selalunya unit adalah berdasarkan kiraan Copies/mL.

Sebagai contoh, VL yang berjumlah 500,000 IU/L tidak bermakna hanya terdapat 500,000 salinan (copies) virus di dalam tubuh.

Lebih tepat lagi ianya membawa makna anda mempunyai 500,000 Copies/mL unit standard virus di dalam setiap liter darah.

Bilangan sebenar virus di tubuh anda mungkin lebih tinggi atau lebih rendah.

Sebagai contoh, VL yang menunjukkan bacaan antara 50 – 100 Copies/mL mungkin bersamaan dengan 25 – 50 IU/mL.

Ini bermakna, jika bacaannya adalah 500, 000 IU/mL = 1, 000,000 Copies/mL.

Dengan rawatan HAART, target atau objektif kita adalah untuk mengurangkan jumlah VL sehingga kurang daripada 50 Copies/mL atau 25 IU/mL.


p/s- Tak faham cara nak kira, jangan tanya aku. Sila tanya doktor dan orang-orang yang pandai matematik ya.

Perhatian: IU = International Unit. Digunapakai di peringkat antarabangsa.

 

Saturday, October 08, 2011

HAART MEDICATION IN MALAYSIA

Kita kongsi satu lagi info tentang kos terkini HAART. Sumber terbaru adalah daripada sahabat kita Luka Rafieqa.

Walaupun mungkin terdapat sedikit perbezaan berbanding yang dikongsikan sebelum ini, tetapi ianya bukan isu. Harga berbeza berdasarkan harga borong, tender kerajaan dan sebagainya. Terima kasih.



















Sila klik untuk view yang lebih jelas



* NRTI - Nuucleoside Reverse Transcriptase Inhibitor
* NNRTI - Non-Nuucleoside Reverse Transcriptase Inhibitor
* PI - Protease Inhibitor
* II - Integrase Inhibitor


Thursday, September 29, 2011

CD4: TOV AND LEVEL 1 (FIRST RESULT)


29 September 2011 (Khamis)

HIV, HIV, HIV…. Balik-balik cerita pasal HIV. Tak ada cerita lain ke??

Hahaha…. Aku pun jemu juga. Sebenarnya aku tak rasapun aku ada HIV tetapi dah realitinya begitu, mestilah aku cerita tentang HIV. Nak buat macamana?

Semalam aku hantar SMS kepada Dr. Iskandar Firzada bin Osman.

Aku: “Assalamualaikum. Sekadar makluman, bekalan Kaletra saya cuma tinggal  8 hari sahaja lagi. Semoga Doktor sekeluarga bahagia selalu. Terima Kasih.”

Pagi tadi.

Dr. Iskandar: “Assalamualaikum. Boleh datang ke klinik (Farmasi) esok (Jumaat, 30/09/2011) atau (Isnin, 03/10/2011)? Saya tidak akan ada di klinik mulai besok sehingga 14/102011 sebab bertugas sebagai fasilitator kursus di HTAA. Walau bagaimanapun, Pegawai Farmasi saya akan menyediakan ubat tersebut, Insya-Allah.”

Dalam hati; “Alahai Dr. Iskandar tak ada… boring betul lah” - Sebenarnya antara motivasi dan perkara yang menyeronokkan aku untuk memandu ke klinik berkenaan selama sejam setengah adalah Dr. Iskandar.

Aku: “Insya-Allah saya datang petang besok atau Isnin. Laporan Perubatan telah diterima. Terima kasih. Hanya Allah dapat membalas kebaikan doktor”

Sebenarnya aku sangat teruja untuk bertemu Dr. Iskandar setelah menjalani ujian darah 2 minggu yang lalu. Ujian tersebut sangat penting untuk mengetahui keserasian kombinasi HAART selepas 3 bulan aku mengambilnya. Aku menganggapnya sebagai Level 1 perjuanganku dalam soal ini.

Heh, mestilah ada juga debarnya, maklumlah aku ni pesakit diabetes. Take-Off Value (TOV) ujian darah yang pertama sebelum memulakan rawatan tempohari, bacaan CD4 cuma 46 cells/uL dan viral load pula sekitar 24+++ ekor! (ada pendapat mengatakan itu belum didarab 9 (pain darah dalam tubuh manusia).

Tetapi apa-apapun kita usahakan yang terbaik. Kemudian barulah doa dan tawakal. Tak perlu banyak sangat mengandaikan itu ini. Hidup ini milik Allah. Insya-Allah tidak ada apa-apa yang merisaukan. Kalah sekalipun biar bermaruah!

Petang tadi, SMS ku berbunyi lagi.

Dr. Iskandar: “Assalamualaikum. Alhamdulillah, baru terima keputusan CD4. 64 cells/uL, peningkatan (41%) daripada sebelum ini iaitu 46 cells/uL (Normal value:380-1920 cells/uL).

Ratio CD4:CD8 juga naik 157% daripada 0.07 ke 0.18 (Normal value: 0.9-1.9). Agak perlahan tetapi yang penting ada peningkatan, menunjukkan tiada resistan. Kemungkinan sebab bermula agak lambat akibat kesan sampingan terhadap Nevirapine & Efavirenz mula-mula dahulu.

Insya-Allah 6 bulan nanti, akan ada peningkatan lagi. Nanti sila dapatkan terus ubat dari Pegawai Farmasi, Insya-Allah.”

Syukur kepadaMu ya Allah…

Aku: “Terima kasih banyak-banyak doktor. Saya sangat gembira & menjadikan saya lebih positif.”

Haa… tengok, aku tak kisah je kongsi hal terlalu personal begini dengan sahabat-sahabat asalkan ada manafaatnya. Tetapi biarlah atas kerelaanku sendiri. Janganlah sampai minta di khalayak umum begini, “Boleh tak AHP bagitahu result terkini ujian CD4 selepas mengambil HAART?” Tak manis tu bro…!

Jadi kepada rakan-rakan yang baru nak memulakan HAART, tak usahlah risau. Risiko ada di mana-mana. Apa-apa pun ada pro dan contra tetapi lebih baik mencuba daripada mengalah.

Walaupun peningkatannya sedikit, syukurlah. Sahabat-sahabat bayangkan sendiri risiko yang aku tanggung selama ini walaupun sentiasa nampak aktif berblog. Kalau CD4 sahabat-sahabat masih tinggi, beribu-ribu riban bacaannya, tak perlulah menggelabah tak tentu hala. Tak baik untuk kesihatan.

Aku percaya, antara punca hasil positif ini adalah berkat doa yang tidak putus-putus daripada para pembaca blog. Terima kasih dan jazakumullah khier…


Thursday, September 22, 2011

BAGAIMANA CARANYA PASANGAN HIV INGIN MENDAPATKAN ZURIAT? (SAMBUNGAN)


Susulan daripada entry yang bertajuk BAGAIMANA CARANYA PASANGAN HIV INGIN MENDAPATKAN ZURIAT? / BERTEMU DR. ISKANDAR FIRZADA BIN OSMAN (9), kita beruntung kerana entry tersebut mendapat respon atau pandangan  yang sungguh informative daripada seorang Doctor Sakit Puan yang prihatin.

Rugi rasanya jika maklumat berkenaan tidak dipublishkan kembali kerana ianya sangat berharga dan supaya lebih ramai pembaca dapat berkongsi maklumat tersebut. Mohon maaf kerana aku terpaksa melakukan sedikit editing terhadap pandangan asal untuk disesuaikan sebagai sebuah entry. Mari baca:


Assalamualaikum,

Saya ingin berkongsi pendapat tentang pasangan HIV yg ingin mendapatkan zuriat. Saya adalah Doktor Sakit Puan di salah sebuah Hospital Kerajaan.

Terlebih dahulu saya ingin mengucapkan TAHNIAH pada AHP atas sebuah blog yg saya rasa sangat produktif and inspiring. Semoga Allah membalas  segala ilmu yg dikongsi bersama, insya-Allah.

Antara cara untuk mengurangkan risiko jangkitan pada pasangan (Discordant couple --> salah seorang negative dan seorang positive) ialah:

1.         Sentiasa memakai kondom walaupun anda on HAART and with undetectable viral load.

2.         Jika inginkan kehamilan, pastikan viral load anda <50copies/ml(undetectable) dan rancang pada waktu kesuburan. i.e pada hari ke 13,15,17 datang haid.

Pada waktu ini adalah waktu paling subur bagi pasangan yang mempunyai kitaran haid yang tetap. Hari selebihnya dinasihatkan menggunakan kondom ketika bersama.

3.         Anda juga boleh mendapatkan nasihat Pakar Sakit Puan untuk rawatan IUI ( intauterine insemination) bagi mengurangkan risiko jangkitan terhadap pasangan anda (suami kepada isteri).

Walaupun begitu, masih terdapat risiko transmisi dalam air mani despite using proper IUI technique. Risioko itu however adalah sangat rendah.

4.         In vitro fertilisation adalah satu teknik persenyawaan di luar rahim, di mana embryo yg dihasilkan akan dimasukkan ke dalam rahim isteri. Kaedah ini adalah antara yang paling selamat namun sangat mahal. Approximately 15-20k untuk satu cycle treatment.

5.         Di negara luar, donor sperm bagi mereka yang tidak dijangkiti HIV boleh digunakan bersama telur isteri. Namun bagi negara Islam, adalah haram menggunakan air mani pasangan lain untuk tujuan itu.

Harap penjelasan ini dapat membantu.


Jazakallah khier, semoga rahmat dan redha Allah sentiasa bersama beliau.

Tuesday, September 20, 2011

BAGAIMANA CARANYA PASANGAN HIV INGIN MENDAPATKAN ZURIAT? / BERTEMU DR. ISKANDAR FIRZADA BIN OSMAN (9)

DR. ISKANDAR FIRZADA OSMAN
MD (USM), MMed (Family Medicine) (USM),
MAFPM (Mal.), FRACGP (Australia), FAFPM (Mal.),
Fellow in Adolescent Health (Melbourne)
Family Medicine Specialist / Primary Care Physician

Sejak semalam aku sebenarnya tak sedap badan. Barangkali kerana terlalu penat kerana banyak memandu dan jarak perjalanan yang jauh dalam sehari dua ni. Perjalanan jauh juga mengakibatkan aku sukar mengawal diet. Banyak pantang larang yang aku langgar. Bila begini, mulalah badan meragam. Air hidungpun asyik nak meleleh. Mungkin juga demam disebabkan netbook kena curi agaknya, huhu…

Okay, kali ni nak share cerita aku bertemu Dr. Iskandar Firzada bin Osman untuk ujian darah CD4 dan viral load pertama selepas badan aku serasi dengan kombinasi HAART (Combivir dan Kaletra). Kombinasi kali ini tidak menyebabkan aku mengalami alahan yang teruk seperti sebelum ini.

Walaupun serasi, tidak bermakna ianya tidak resistant. Maka ujian darah kali ini sangat penting. Seperti yang pernah aku maklumkan, mula-mula dulu berdebar juga memikirkannya. Tetapi setelah merenung bahawa memang fitrah manusia cuma mampu merancang dan berusaha, tak perlu aku resah gelisah. Serahkan sahaja segala-galanya kepada Allah. Apa nak hairan? Ada masalah, ada penyelesaian. Yang penting, selagi mampu terus berjuang.  

Seperti yang dijanjikan, pada 19. 9. 2011 (pagi Isnin) aku hadir ke KK berkenaan. Aku lihat Fail Rawatanku telah tersedia di Kaunter Pendaftaran. Bermakna kakitangan KK telah sedia maklum dan Dr. Iskandar memang menunggu kedatanganku.

Aku lihat ramai pesakit yang datang dengan pelbagai tujuan rawatan. Terasa seperti menganggu mereka yang lebih memerlukan rawatan kerana temujanjiku hanyalah untuk urusan ujian darah,  Apa nak kata, memang begitulah prosedurnya…

Setelah dijemput masuk dan saling bertanya khabar, Dr. Iskandar memulakan tugasnya. Sebenarnya aku seronok setiap kali berjumpa Dr. Iskandar tetapi aku faham beliau sedang bertugas. Jadi kita kenalah menghormati situasi tersebut secara professional.

Melihat Dr. Iskandar menjalankan tugasnya dengan dedikasi, aku selalu terfikir, jikalah HIV ini virus yang terlalu bahaya seperti yang difahami umum, kakitangan KKM dan doktorlah antara yang paling awal berisiko dijangkiti. Mereka yang menyentuh tubuh, memegang tabung darah, memberikan kaunseling dan merawat puluhan pembawa HIV setiap hari.  

Cuba bayangkan, apa jadi jika mereka bersikap diskriminasi dan judgmental terhadap pembawa HIV?

Untuk menjimatkan masa, mulutku sibuk bertanyakan beberapa perkara. (Sebenarnya aku ngeri untuk memikirkan dan memandang ‘setabung darah’ yang diambil dari lenganku)

Antaranya yang aku tanya:

1.   Jika hasil ujian darahku kali ini menunjukkan result CD4 makin turun dan viral load makin tinggi, apakah langkah rawatanku seterusnya? (soalan penakut ni sebenarnya, hehehe…)

Dr.Iskandar: Sepatutnya tidak berlaku begitu kecuali virus menjadi resistant akibat tidak mengikut jadual pengambilan HAART.
Jika ianya berlaku bermakna mungkin rawatan HAART 2nd line terpaksa dilakukan.

2.   Bagaimana jika pasangan HIV+ve ingin mendapatkan zuriat?

Dr. Iskandar: Tanpa HAART, risiko jangkitan ibu kepada anak adalah sekitar 30%. Tetapi jika viral load di bawah 20 copies ianya dianggap seolah-seolah tiada risiko. Satu-satunya cara untuk menurunkan viral load ke bawah 20 copies adalah dengan pengambilan HAART.

Virus tidak terdapat di dalam sperma tetapi hanya berada di dalam cecair badan pembawa HIV seperti darah, air mani dan air mazi.

Jadi, jika bakal bapa HIV +ve dan ibu HIV –ve maka bakal bapa perlu memulakan rawatan HAART sekalipun bacaan CD4nya masih tinggi untuk mengurangkan risiko jangkitan kepada bakal ibu dan bayi.

Jika bakal ibu HIV +ve dan bapanya HIV –ve, maka bakal ibu perlu memulakan rawatan HAART sekalipun bacaan CD4nya masih tinggi untuk mengurangkan risiko jangkitan kepada bakal bapa dan bayi.

Jika kedua-duanya HIV +ve, sudah tentulah sebaik-baiknya pasangan tersebut menjalani rawatan HAART sebelum mengambil keputusan untuk mendapatkan bayi.

Walau bagaimanapun harus diingat, jika salah seorang pasangan adalah HIV-ve, terdapat risiko minima jangkitan antara sesama pasangan dalam kes ini.

Bayi yang dilahirkan pula akan dipantau perkembangan kesihatannya selama setahun setengah sebelum dianggap bebas HIV sepenuhnya.

Dr. Iskandar memaklumkan bahawa keputusan ujian CD4 akan diketahui lebih kurang dalam jangkamasa 2 minggu dan viral load pula dalam anggaran sebulan.

Okay, itu sahaja perkongsian untuk kali ini. Selebihnya adalah perbualan personal antara kami.

Sebelum berpisah, aku sempat menghadiahkan Buku Panduan Perkhidmatan kepada Dr. Iskandar yang mungkin boleh dijadikan rujukan untuk membantu para pembawa HIV yang memerlukan khidmat sokongan yang Luka Rafieqa berikan baru-baru ini. Ada sebuah lagi salinan dalam simpananku untuk aku kongsikan dengan pembaca blog nanti, insya-Allah…  


p/s-     Pendapat yang Dr. Iskandar berikan mungkin berbeza dengan pendapat Doktor-doktor Pakar Perubatan Keluarga yang lain berdasarkan kepakaran dan pengalaman masing-masing serta kefahaman aku terhadap penerangan Dr. Iskandar. Sila berikan pandangan dan tidak kira pro atau kontra. Yang penting, para pembaca boleh mendapatkan pelbagai variasi maklumat dan berhak memilih pendapat yang difikirkan terbaik.