Thursday, September 29, 2011

CD4: TOV AND LEVEL 1 (FIRST RESULT)


29 September 2011 (Khamis)

HIV, HIV, HIV…. Balik-balik cerita pasal HIV. Tak ada cerita lain ke??

Hahaha…. Aku pun jemu juga. Sebenarnya aku tak rasapun aku ada HIV tetapi dah realitinya begitu, mestilah aku cerita tentang HIV. Nak buat macamana?

Semalam aku hantar SMS kepada Dr. Iskandar Firzada bin Osman.

Aku: “Assalamualaikum. Sekadar makluman, bekalan Kaletra saya cuma tinggal  8 hari sahaja lagi. Semoga Doktor sekeluarga bahagia selalu. Terima Kasih.”

Pagi tadi.

Dr. Iskandar: “Assalamualaikum. Boleh datang ke klinik (Farmasi) esok (Jumaat, 30/09/2011) atau (Isnin, 03/10/2011)? Saya tidak akan ada di klinik mulai besok sehingga 14/102011 sebab bertugas sebagai fasilitator kursus di HTAA. Walau bagaimanapun, Pegawai Farmasi saya akan menyediakan ubat tersebut, Insya-Allah.”

Dalam hati; “Alahai Dr. Iskandar tak ada… boring betul lah” - Sebenarnya antara motivasi dan perkara yang menyeronokkan aku untuk memandu ke klinik berkenaan selama sejam setengah adalah Dr. Iskandar.

Aku: “Insya-Allah saya datang petang besok atau Isnin. Laporan Perubatan telah diterima. Terima kasih. Hanya Allah dapat membalas kebaikan doktor”

Sebenarnya aku sangat teruja untuk bertemu Dr. Iskandar setelah menjalani ujian darah 2 minggu yang lalu. Ujian tersebut sangat penting untuk mengetahui keserasian kombinasi HAART selepas 3 bulan aku mengambilnya. Aku menganggapnya sebagai Level 1 perjuanganku dalam soal ini.

Heh, mestilah ada juga debarnya, maklumlah aku ni pesakit diabetes. Take-Off Value (TOV) ujian darah yang pertama sebelum memulakan rawatan tempohari, bacaan CD4 cuma 46 cells/uL dan viral load pula sekitar 24+++ ekor! (ada pendapat mengatakan itu belum didarab 9 (pain darah dalam tubuh manusia).

Tetapi apa-apapun kita usahakan yang terbaik. Kemudian barulah doa dan tawakal. Tak perlu banyak sangat mengandaikan itu ini. Hidup ini milik Allah. Insya-Allah tidak ada apa-apa yang merisaukan. Kalah sekalipun biar bermaruah!

Petang tadi, SMS ku berbunyi lagi.

Dr. Iskandar: “Assalamualaikum. Alhamdulillah, baru terima keputusan CD4. 64 cells/uL, peningkatan (41%) daripada sebelum ini iaitu 46 cells/uL (Normal value:380-1920 cells/uL).

Ratio CD4:CD8 juga naik 157% daripada 0.07 ke 0.18 (Normal value: 0.9-1.9). Agak perlahan tetapi yang penting ada peningkatan, menunjukkan tiada resistan. Kemungkinan sebab bermula agak lambat akibat kesan sampingan terhadap Nevirapine & Efavirenz mula-mula dahulu.

Insya-Allah 6 bulan nanti, akan ada peningkatan lagi. Nanti sila dapatkan terus ubat dari Pegawai Farmasi, Insya-Allah.”

Syukur kepadaMu ya Allah…

Aku: “Terima kasih banyak-banyak doktor. Saya sangat gembira & menjadikan saya lebih positif.”

Haa… tengok, aku tak kisah je kongsi hal terlalu personal begini dengan sahabat-sahabat asalkan ada manafaatnya. Tetapi biarlah atas kerelaanku sendiri. Janganlah sampai minta di khalayak umum begini, “Boleh tak AHP bagitahu result terkini ujian CD4 selepas mengambil HAART?” Tak manis tu bro…!

Jadi kepada rakan-rakan yang baru nak memulakan HAART, tak usahlah risau. Risiko ada di mana-mana. Apa-apa pun ada pro dan contra tetapi lebih baik mencuba daripada mengalah.

Walaupun peningkatannya sedikit, syukurlah. Sahabat-sahabat bayangkan sendiri risiko yang aku tanggung selama ini walaupun sentiasa nampak aktif berblog. Kalau CD4 sahabat-sahabat masih tinggi, beribu-ribu riban bacaannya, tak perlulah menggelabah tak tentu hala. Tak baik untuk kesihatan.

Aku percaya, antara punca hasil positif ini adalah berkat doa yang tidak putus-putus daripada para pembaca blog. Terima kasih dan jazakumullah khier…