DR. ISKANDAR FIRZADA OSMAN
MD (USM), MMed (Family Medicine) (USM),
MAFPM (Mal.), FRACGP (Australia), FAFPM (Mal.),
Fellow in Adolescent Health (Melbourne)
Family Medicine Specialist / Primary Care Physician
Sejak semalam aku sebenarnya tak sedap badan. Barangkali kerana terlalu penat kerana banyak memandu dan jarak perjalanan yang jauh dalam sehari dua ni. Perjalanan jauh juga mengakibatkan aku sukar mengawal diet. Banyak pantang larang yang aku langgar. Bila begini, mulalah badan meragam. Air hidungpun asyik nak meleleh. Mungkin juga demam disebabkan netbook kena curi agaknya, huhu…
Okay, kali ni nak share cerita aku bertemu Dr. Iskandar Firzada bin Osman untuk ujian darah CD4 dan viral load pertama selepas badan aku serasi dengan kombinasi HAART (Combivir dan Kaletra). Kombinasi kali ini tidak menyebabkan aku mengalami alahan yang teruk seperti sebelum ini.
Walaupun serasi, tidak bermakna ianya tidak resistant. Maka ujian darah kali ini sangat penting. Seperti yang pernah aku maklumkan, mula-mula dulu berdebar juga memikirkannya. Tetapi setelah merenung bahawa memang fitrah manusia cuma mampu merancang dan berusaha, tak perlu aku resah gelisah. Serahkan sahaja segala-galanya kepada Allah. Apa nak hairan? Ada masalah, ada penyelesaian. Yang penting, selagi mampu terus berjuang.
Seperti yang dijanjikan, pada 19. 9. 2011 (pagi Isnin) aku hadir ke KK berkenaan. Aku lihat Fail Rawatanku telah tersedia di Kaunter Pendaftaran. Bermakna kakitangan KK telah sedia maklum dan Dr. Iskandar memang menunggu kedatanganku.
Aku lihat ramai pesakit yang datang dengan pelbagai tujuan rawatan. Terasa seperti menganggu mereka yang lebih memerlukan rawatan kerana temujanjiku hanyalah untuk urusan ujian darah, Apa nak kata, memang begitulah prosedurnya…
Setelah dijemput masuk dan saling bertanya khabar, Dr. Iskandar memulakan tugasnya. Sebenarnya aku seronok setiap kali berjumpa Dr. Iskandar tetapi aku faham beliau sedang bertugas. Jadi kita kenalah menghormati situasi tersebut secara professional.
Melihat Dr. Iskandar menjalankan tugasnya dengan dedikasi, aku selalu terfikir, jikalah HIV ini virus yang terlalu bahaya seperti yang difahami umum, kakitangan KKM dan doktorlah antara yang paling awal berisiko dijangkiti. Mereka yang menyentuh tubuh, memegang tabung darah, memberikan kaunseling dan merawat puluhan pembawa HIV setiap hari.
Cuba bayangkan, apa jadi jika mereka bersikap diskriminasi dan judgmental terhadap pembawa HIV?
Untuk menjimatkan masa, mulutku sibuk bertanyakan beberapa perkara. (Sebenarnya aku ngeri untuk memikirkan dan memandang ‘setabung darah’ yang diambil dari lenganku)
Antaranya yang aku tanya:
1. Jika hasil ujian darahku kali ini menunjukkan result CD4 makin turun dan viral load makin tinggi, apakah langkah rawatanku seterusnya? (soalan penakut ni sebenarnya, hehehe…)
Dr.Iskandar: Sepatutnya tidak berlaku begitu kecuali virus menjadi resistant akibat tidak mengikut jadual pengambilan HAART.
Jika ianya berlaku bermakna mungkin rawatan HAART 2nd line terpaksa dilakukan.
2. Bagaimana jika pasangan HIV+ve ingin mendapatkan zuriat?
Dr. Iskandar: Tanpa HAART, risiko jangkitan ibu kepada anak adalah sekitar 30%. Tetapi jika viral load di bawah 20 copies ianya dianggap seolah-seolah tiada risiko. Satu-satunya cara untuk menurunkan viral load ke bawah 20 copies adalah dengan pengambilan HAART.
Virus tidak terdapat di dalam sperma tetapi hanya berada di dalam cecair badan pembawa HIV seperti darah, air mani dan air mazi.
Jadi, jika bakal bapa HIV +ve dan ibu HIV –ve maka bakal bapa perlu memulakan rawatan HAART sekalipun bacaan CD4nya masih tinggi untuk mengurangkan risiko jangkitan kepada bakal ibu dan bayi.
Jika bakal ibu HIV +ve dan bapanya HIV –ve, maka bakal ibu perlu memulakan rawatan HAART sekalipun bacaan CD4nya masih tinggi untuk mengurangkan risiko jangkitan kepada bakal bapa dan bayi.
Jika kedua-duanya HIV +ve, sudah tentulah sebaik-baiknya pasangan tersebut menjalani rawatan HAART sebelum mengambil keputusan untuk mendapatkan bayi.
Walau bagaimanapun harus diingat, jika salah seorang pasangan adalah HIV-ve, terdapat risiko minima jangkitan antara sesama pasangan dalam kes ini.
Bayi yang dilahirkan pula akan dipantau perkembangan kesihatannya selama setahun setengah sebelum dianggap bebas HIV sepenuhnya.
Dr. Iskandar memaklumkan bahawa keputusan ujian CD4 akan diketahui lebih kurang dalam jangkamasa 2 minggu dan viral load pula dalam anggaran sebulan.
Okay, itu sahaja perkongsian untuk kali ini. Selebihnya adalah perbualan personal antara kami.
Sebelum berpisah, aku sempat menghadiahkan Buku Panduan Perkhidmatan kepada Dr. Iskandar yang mungkin boleh dijadikan rujukan untuk membantu para pembawa HIV yang memerlukan khidmat sokongan yang Luka Rafieqa berikan baru-baru ini. Ada sebuah lagi salinan dalam simpananku untuk aku kongsikan dengan pembaca blog nanti, insya-Allah…
p/s- Pendapat yang Dr. Iskandar berikan mungkin berbeza dengan pendapat Doktor-doktor Pakar Perubatan Keluarga yang lain berdasarkan kepakaran dan pengalaman masing-masing serta kefahaman aku terhadap penerangan Dr. Iskandar. Sila berikan pandangan dan tidak kira pro atau kontra. Yang penting, para pembaca boleh mendapatkan pelbagai variasi maklumat dan berhak memilih pendapat yang difikirkan terbaik.