Friday, September 02, 2011

TAKUTKAN HIV PETANDA TERLALU KASIHKAN DUNIA?


Alhamdulillah kita berjumpa kembali pada hari ke 4 Syawal. Rasanya tidak terlalu lewat untuk aku mengucapkan Selamat Hari Raya Idil Fitri, mohon maaf zahir dan batin atas segala salah dan silap atau terkasar bahasa kepada semua pengunjung blog ini.

Banyak pertanyaan di kotak emelku bertanyakan kenapa secara tiba-tiba aku menyepikan diri menjelang hari raya. Sibuk beraya, tidak sihat dan sebagainya?

Sebenarnya  alhamdulillah, aku seperti biasa. Terima kasih atas keprihatinan dan doa semua. Cuma malangnya beberapa hari sebelum hari raya, talian telefon rumah mengalami gangguan akibat ada pihak yang menebang pokok sesuka hati. Bila begitu automatically talian internetku terputus dan terputuslah hubunganku dengan dunia luar secara total.

Nak tunggu laporan kerosakan dilayan segera oleh pihak TM menjelang musim-musim perayaan dan sambutan kemerdekaan ini, faham-faham sahajalah. Ramai di kalangan staff mereka yang bercuti. Baru petang semalam kerosakan tersebut diperbaiki.

Sesekali bila aku memeriksa kotak emel melalui handphone burukku di mana-mana WIFI spot, bertimbun komen, emel yang perlu aku balas termasuk yang aku kategorikan ‘urgent’.

Bila sudah berhari raya pula, sudah pasti seboleh-bolehnya kita berkumpul bersama keluarga, adik beradik dan sanak saudara. Bila begitu, manalah ada kesempatan masa untuk online. Nanti tak pasal-pasal ramai yang melolong bila tahu aku ada HIV.

Tetamu  yang berkunjung bertali arus dari pagi sehingga kadang-kadang malam. Itu tidak termasuk jemputan ke rumah terbuka atau menziarahi keluarga dan jiran terdekat. Kebetulan jiran sebelah rumah pun mengadakan kenduri perkahwinan pada hari raya ke 5 ini. Takkan langsung tak ditolong urusan rewangannya.

Hujung-hujung aku melepek sendirian. Masalah kesihatan sendiri tak perlulah aku ceritakan. Selagi boleh berjalan, senyum dan berada bersama orang ramai, aku sudah sangat bersyukur. Apa sangatlah ujian ini berbanding rahmat yang melimpah ruah. Masa sihat dulu kurang bersyukur. Takkan sakit sedikit sebagai tanda didikan dan kasih sayang Allah, banyak pula rungutnya.

Jadi maafkan aku teman jika banyak emel dan komen yang masih belum aku reply. Ianya di luar keupayaanku yang amat terbatas. Nanti pelan-pelan aku balas mengikut keutamaan.

Sambutan hari raya pertama sebagai pembawa HIV?

Alhamdulillah sejujurnya aku bukan lagi melankolik seperti baru-baru didiagnos sebagai pembawa HIV dulu. Era tersebut telah aku tinggalkan selepas 6 bulan aku menerima hakikat status diriku. Yang aku focus adalah peluang dan fakta, bukannya andaian dan emosi.

Aku penat bermain dengan emosi. Cuba bayangkan sangat-sangat penat, masa pula singkat tetapi masih berlegar-legar di tepi gunung, bukit bukau, rel kereta api dan tasik sambil-sambil menyanyi-nyanyi lagu sedih. Cukuplah, tiada orang yang tahu bahawa besok lusa kita masih bernyawa atau tidak. Hidup terlalu singkat untuk dibazirkan.  

Aku tak fikirkan sangatpun aku ni pembawa HIV, bermasalah dan berkemungkinan begitu begini. Aku lalui segala-galanya seperti biasa. Sangat-sangat biasa dan normal. Aku tak mahu situasiku menjadi tembok terhadap banyak perkara khususnya terhadap keluarga.

Hidup adalah sementara dan adakah kerana perkara yang berbentuk sementara dan pinjaman menyebabkan aku lemah? Tak perlu… Lebih baik aku risaukan jika ujian dan didikan Allah ini gagal aku jalani sehingga merosakkan keimananku.

Yang penting aku dapatkan rawatan, makan ubat, jaga kesihatan baik-baik, doa dan tawakkal.. Aku serahkan sahaja segala-galanya kepada yang Maha Esa. Aku tak mahu stress atau depress. Hidup terlalu singkat untuk ditangisi. Ianya mesti dihargai dan usaha memuhasabah diri perlu berterusan.

Ramai yang yang bertanya, di mana aku mendapat kekuatan ini? Kata mereka beruntunglah kerana aku ada keluarga yang sangat supportive dan memahami.

Betul juga. Tetapi cuba renungkan betul-betul, walau bagaimana hebat family support dan bantupun tetapi jika tuan punya badan bersikap lembik, lembik juga. Ramai bersikap begitu bahkan hakikatnya tanpa sedar mereka menjadikan diri mereka beban terhadap keluarga sebelum masanya.

Mereka terlupa ramai yang lebih teruji tetapi redha dan tabah. Selfish juga bersikap begitu kan?

Kekuatan sebenar kita bukan bergantung kepada sesiapa tetapi hanya kepada Allah dan diri sendiri. Kuncinya tiada lain kecuali memelihara solat dan kebergantungan terhadap Allah s.w.t. Apa masalahpun dalam hidup ini, hanya itu sahajalah jalan penyelesaian muktamadnya. Syukur alhamdulillah, serba sedikit asas didikan agama sangat-sangat mebantuku mencari arah hidup.        

Sejak dulu persediaan kami menyambut hari raya lebih kepada pengisian yang dituntut agama. Soal kuih muih, langsir dan sofa baru tak ada kaitan kecuali jika ianya memang betul-betul diperlukan. Cuma aku sedikit memanjakan family dengan pakaian baru kerana sepanjang masa pada tahun ini kami tidak berkesempatan begitu atas kekangan-kekangan tertentu yang pernah aku kongsikan sebelum ini.

Alhamdulillah syukur sangat kerana aku berjaya menunaikan ibadah puasa dan serba sedikit amal ibadah lain mengikut keupayaan sepanjang ramadhan tanpa apa-apa masalah sangat. Aku sentiasa membayangkan bahawa ramadhan ini adalah yang terakhir buatku dan jika Allah makbulkan doaku, insya-Allah aku berpeluang menikmati nikmat ramadhan berdozen-dozen kali lagi (pinjam ayat deaf) selepas ini.

Dengan membayangkan bahawa mungkin  ramadhan kali ini yang terakhir menjadikan aku lebih menghargai dan menikmati segala ruang dan kesempatan yang ada.  Cuma sayangnya aku tak dapat menunaikan puasa sunat Syawal. Aku perlu kembali ke jadual normal pengambilan HAART. Aku tak boleh berterusan mengambil risiko terhadap kesihatan diri.

Okay jumpa lagi kawan-kawan. Nanti aku reply emel dan komen yang perlu pelan-pelan ya. Tak lama lagi tetamu akan datang untuk makan tengahari dan solat Jumaat di sini. Ada sesiapa yang sudi datang rumah? Marilah… kalau nak, boleh dapatkan nombor handphone melalui emel. Jemputlah, jangan bimbang HIV tak berjangkit dengan bersalaman dan berkongsi makanan. Tak ada makanan, sirap pun ok, kan? Hehehe…   

“Aku bersyukur menjadi pembawa HIV ya Allah kerana dengan ini aku lebih menghargai segala nikmat dan pemberianMu.”