Tuesday, September 06, 2011

MASALAH DADAH SINTETIK SERIUS



KUALA LUMPUR 3 Sept. – Pembabitan lepasan universiti yang baru mula bekerja dengan penyalahgunaan dadah sintetik amat membimbangkan dengan trend peningkatan sebanyak 60 peratus direkodkan Persatuan Pengasih Malaysia (Pengasih) sejak empat tahun lalu.
Lebih membimbangkan, ada antara belia yang terjebak dalam penyalahgunaan dadah itu merupakan mereka yang memegang jawatan berprofil tinggi dalam sektor awam dan swasta.
Yang Dipertua Pengasih, Datuk Mohd. Yunus Pathi berkata, masalah itu berlaku kerana belia dalam lingkungan 25 hingga 40 tahun itu mempunyai tanggapan salah terhadap penggunaan dadah berkenaan yang dianggap tidak akan mendatangkan ketagihan.
Namun, jelasnya, penggunaan berterusan dadah sintetik amat merbahaya kerana ia mampu merosakkan sistem saraf sekali gus merangsang penagih untuk melakukan perbuatan jenayah dan pada masa sama, boleh mengakibatkan seseorang itu menjadi gila.
“Masalah ini serius kerana kita percaya kebanyakan kes jenayah yang dilaporkan di media sejak kebelakangan ini seperti simbah asid dan membunuh ada kaitan dengan mereka yang mengambil dadah jenis ini.
“Malah, kita juga percaya, jumlah 60 peratus yang pernah dirawat di Rumah Pengasih sepanjang tempoh empat tahun kerana mengambil dadah sintetik turut menyamai jumlah belia yang pernah mencuba untuk menggunakan dadah jenis berkenaan,” katanya, di sini semalam.
Terdapat tiga jenis dadah sintetik iaitu methampthetamin (syabu), amphetamine dan ekstasi.
Sementara itu, Mohd. Yunus berkata, sebanyak 40 peratus daripada 5,000 jumlah penagih yang pernah dipulihkan di Rumah Pengasih direkodkan kembali terjebak dengan penyalahgunaan dadah.
Begitupun, menurutnya, ia hanya berlaku dalam tempoh yang singkat apabila mereka berjaya dipulihkan dalam tempoh kira-kira empat bulan selepas kembali ke Rumah Pengasih.
“Kita mengenal pasti antara puncanya adalah kerana mereka mempunyai masalah keluarga dan tidak menyokong sepenuhnya program yang diadakan,” katanya.
Beliau berkata, hanya 60 peratus daripada 5,000 bekas penghuni Rumah Pengasih yang berjaya pulih daripada penyalahgunaan dadah.
Sementara itu, bagi mengatasi masalah dadah di kalangan belia, Mohd. Yunus mencadangkan supaya ibu bapa menyimpan alat pemeriksaan air kencing di rumah untuk memeriksa anak-anak masing-masing.
Selain itu, katanya, pihak berwajib juga perlu melakukan ujian air kencing ke atas kakitangan swasta dan kerajaan secara berkala.
Malah, Kementerian Kesihatan juga jelas beliau, wajar menyediakan khidmat pemeriksaan air kencing secara percuma di setiap Klinik Desa.


AHP: Semakin tua usia dunia, semakin jelas bahawa tanda-tanda kiamat semakin banyak. Masalah penagihan dadah bukan lagi terhad kepada golongan yang tercicir dalam pelajaran dan kelas rendah. Jumlah penyalahguna dadah sentetik untuk tujuan rekreasi di kalangan generasi muda, berada, professional dan terpelajar jauh melebihi statistic yang diberikan.