Waa.. tajuk macam lagu Metallica!
Alhamdulillah Sabtu yang lalu (17 Sept 2011), pertama kalinya aku berkesempatan menghadiri jemputan Rumah Terbuka Komuniti Sempena Aidil Fitri di Pusat Persinggahan PT Foundation di Wisma Tan Com, Jalan TAR, KL yang pernah aku kongsikan di sini.
Selain bertujuan untuk belajar dan lebih memahami tentang HIV, mengenali organisasi sokongan dan melihat sendiri penderitaan dan perjuangan mereka, kehadiran aku sebenarnya terdorong untuk bertemu seorang sahabat yang banyak membantu dan memberi sokongan di blog ini iaitu Luka Rafieqa. Aku mahu bertukar-tukar pandangan dan pengalaman dengan beliau.
Sebaik sahaja masuk ke Pusat Persinggahan tersebut, aku sebenarnya agak kebingungan. Aku tidak kenal sesiapapun dan Luka Rafieqa yang aku kenali hanya melalui emel dan telefon. Masing-masing belum pernah bersua muka. Walaupun begitu, aku tetap seronok belajar melalui cara mendengar dan memerhati.
Aku akui agak janggal berada dalam majlis yang hampir 100% dihadiri oleh golongan transsexual dan gay. Tidak kurang volunteers dan ahli keluarga serta rakan-rakan HIV positif yang turut memberikan sokongan. Ada pelbagai usia, bangsa dan ragam termasuk kanak-kanak dan bayi.
Walau bagaimanapun aku tidak bersikap judgmental. Kalau semua orang bersikap begitu, tidak ada sesiapa yang ingin membantu antara satu sama lain. Aku selesa belajar sesuatu tentang kehidupan daripada mereka dan ianya mengingatkan aku supaya sentiasa bersyukur dengan nikmat kurniaan Tuhan.
Setelah berkenalan dengan Luka Rafieqa, perlahan-lahan aku mula menyesuaikan diri. Mengenali beberapa orang penting dan volunteers senior PTF termasuk ‘selebriti’ di bidang ini yang kerap keluar media.
Apa yang aku perhatikan mereka cukup terbuka dan saling sokong menyokong antara satu sama lain. Mereka bersatu dalam komuniti senasib dengan cara mereka. Memberi lebih daripada menerima menjadikan mereka kuat dan terus tabah.
Merekalah yang banyak berkorban dan berada di frontline. Cuci luka, nanah, edar kondom, risalah, jarum dan sebagainya di tempat-tempat yang orang mulia dan suci bersih tidak mahu pandang atau pergi.
Secara umumnya Pusat Perlindungan tersebut merupakan Pusat Harian Singgah Masuk (DiC) untuk pelbagai golongan pembawa HIV. Di situ disediakan tempat penginapan sementara, perlindungan dan lain-lain khidmat sokongan. Mereka yang membantu dan majoriti kakitangan adalah terdiri daripada rakan senasib.
Setelah merasai pengalaman bergaul dengan mereka, disertai perkongsian pelbagai maklumat penting oleh Luka Rafieqa dan beberapa rakan baru, pada peringkat awal aku keliru dengan perasaanku sendiri. Itulah sebabnya tajuk entry ini ‘unnamed feeling.’
Analoginya begini: Bayangkan anda seorang pesakit diabetes yang baru didiagnos. Pertama kali masuk ke wad yang hanya dipenuhi pesakit diabetes. Terdapat puluhan atau ratusan pesakit. Ada yang terbaring di bilik atau katil khas, ada yang yang dipotong jari, ada yang dipotong kaki, ada yang tak bermaya, ada yang sangat positif, dan ada yang seolah-olah ‘sembuh’ sepenuhnya.
Masing-masing ada macam-macam cerita, karenah dan rupa. Semua input menyerbu secara tiba-tiba. Sudah tentu kita kena bijak menyaring maklumat dan memikirkan kebesaran Tuhan. Cuba berfikir dengan tenang dan menganalisis situasi secara perlahan-lahan. Kesimpulannya pengalaman dan kehadiranku benar-benar berharga.
Masing-masing ada macam-macam cerita, karenah dan rupa. Semua input menyerbu secara tiba-tiba. Sudah tentu kita kena bijak menyaring maklumat dan memikirkan kebesaran Tuhan. Cuba berfikir dengan tenang dan menganalisis situasi secara perlahan-lahan. Kesimpulannya pengalaman dan kehadiranku benar-benar berharga.
Setelah hampir 2 jam belajar dengan cara mendengar, memandang dan mengamati, sampailah masanya aku mengucapkan selamat tinggal. Sebelum pergi, aku memeluk Luka Rafieqa dengan erat. Sebak dan terharu dengan layanan serta keikhlasan beliau.
Aku tahu di sebalik layanan mesra yang diberikan, ada luka yang dalam di dasar hati tetapi pilihan yang ada hanyalah mesti kuat dan terus kuat. Besarnya pengorbanan insan yang sesetengah anggota masyarakat anggap hina seperti beliau. Terima kasih kerana menghadiahkan aku beberapa buah buku kecil yang sangat bermanafaat dan insya-Allah akan aku kongsikan maklumatnya di blog ini nanti.
Kemudian aku bergegas pula ke Tesco extra (Cheras) atas jemputan untuk berjumpa dengan salah seorang rakan blogger yang banyak memberikan sokongan selama ini iaitu Puan Ruha dan family.
Asalnya beliau menjemput aku sekeluarga singgah ke rumah beliau. Beliau sudah menyiapkan masakan asam pedas untuk kami tetapi disebabkan aku kesuntukan masa dan keluargaku tidak dapat turut serta kali ini, Puan Ruha meminta berjumpa sebentar untuk memberikan bekalan masakan tersebut.
Secara peribadi, aku memang segan untuk berjumpa mereka. Maklumlah status HIV aku mungkin boleh membuatkan sesiapa saja ‘cuak’. Syukurlah keikhlasan mereka banyak memberikan keyakinan. Makan malam kami sekeluarga jadi ‘meriah’dengan nasi tambah disebabkan masakan asam pedas beliau yang lazat. Seronok berjumpa beliau dan melihat keletah anak-anak yang comel. Terima kasih daun keladi ya…
Sepanjang perjalanan balik dan memandu sendirian selama hampir 2 jam aku banyak berfikir. Antara yang paling aku fikirkan ialah, alangkah bagusnya jika lebih ramai tokoh-tokoh agama turun padang menghulurkan tangan tanpa prejudis terhadap kami. Lebih 70% pembawa HIV adalah umat Islam tetapi hanya ada beberapa kerat sahaja tokoh atau cerdik pandai dalam bidang agama yang betul-betul sudi membantu.
Kekuatan sebenar seseorang untuk melawan virus ini ialah dengan menjaga hubungan dengan Allah dan bergantung kepada kekuatan dalaman sendiri. Dalam beberapa perkara, aku kasihan dengan rakan-rakan senasib yang sangat memerlukan bimbingan.
Di kesempatan ini, jika ada di kalangan rakan-rakan HIV +ve yang aku temui di majlis tersebut membaca entry ini, aku mengucapkan ribuan terima kasih kepada mereka. Selamat berkenalan dan saling sokong menyokong. Semoga terus berjuang, sabar dan tabah selalu.
Banyak gambar yang aku sempat rakam. Kalau diikutkan hati mahu saja aku kongsikan di sini tetapi memandangkan ianya mungkin boleh melanggar privacy dan hak individu, aku cuma jadikannya koleksi peribadi. Lagipun kalau ada keluarga, pihak majikan dan rakan-rakanku yang nampak gambar aku nanti, faham-faham sahajalah reaksi mereka.
P/S-
Untuk makluman pembaca, buat sementara waktu mungkin semua emel dan komen di blog ini agak lambat mendapat respon. Begitu juga posting baru sehingga segala masalah dapat diselesaikan.
Puncanya, netbook murah yang aku sentiasa bawa ke hulu hilir terpaksa diserahkan kepada isteri yang lebih memerlukan untuk urusan pembelajarannya. Netbook beliau dihadiahkan kepada pencuri baru-baru ini. Aku hanya dapat online semasa di rumah menggunakan PC buruk kami dan waktunya terhad sekitar pukul 9-11 malam sahaja.
Puncanya, netbook murah yang aku sentiasa bawa ke hulu hilir terpaksa diserahkan kepada isteri yang lebih memerlukan untuk urusan pembelajarannya. Netbook beliau dihadiahkan kepada pencuri baru-baru ini. Aku hanya dapat online semasa di rumah menggunakan PC buruk kami dan waktunya terhad sekitar pukul 9-11 malam sahaja.