Monday, September 12, 2011

BERTEMU DR. ISKANDAR FIRZADA BIN OSMAN (8)

DR. ISKANDAR FIRZADA OSMAN
MD (USM), MMed (Family Medicine) (USM),
MAFPM (Mal.), FRACGP (Australia), FAFPM (Mal.),
Fellow in Adolescent Health (Melbourne)
Family Medicine Specialist / Primary Care Physician


Petang Rabu (7 Sept 2011) aku ditemani isteri terpacak di KK tempat rawatanku untuk urusan temujanji berkaitan bekalan ubat dan kaunseling bersama Dr. Iskandar.

Kebetulan sudah lama tidak bertemu beliau menyebabkan aku sedikit teruja.

Kali ini, pertama kalinya aku terpaksa menunggu hampir selama 2 jam atas beberapa sebab tertentu. Tak mengapalah, keadaan masih boleh difahami. Apabila dipanggil masuk dan saling bertanya khabar secara ringkas, sesi pemantauan kesihatanku bermula.

Antara yang beliau tanya ialah berkenaan ibadah puasaku. Alhamdulillah aku menjelaskan bahawa semuanya berjalan lancar dan aku dapat menunaikannya tanpa apa-apa masalah.

Seperti biasa beliau memantau bacaan gula, tekanan darah, jantung, berat badan dan kesihatan fizikalku secara luaran. Alhamdulillah juga kerana secara umumnya tahap kesihatanku masih sangat memuaskan bahkan paras gulapun dikira tahap ‘normal’ (bawah 7 untuk pesakit diabetes).

Walau bagaimanapun beliau menasihatiku supaya sentiasa berhati-hati dengan paras gula dan kolestrol serta memberikan sedikit kaunseling ringkas mengenainya.

Seterusnya tibalah sesi perbincangan yang aku tunggu-tunggu. Aku rasa Dr. Iskandar sudah faham benar  bahawa soalan-soalanku mengalahkan wartawan amatur. Kadang-kadang soalanku bukannya untuk aku seorang tetapi sebahagiannya hasil pertanyaan rakan-rakan pembaca blog ini yang tidak dapat aku jawab.

1.   Kami saling mengingatkan bahawa temujanji ujian darah untuk pemantauan CD4 dan viral loadku adalah pada 19 sept 2011 nanti. Ujian darah untuk pemantauan HbA1c juga akan dilakukan pada waktu tersebut.

(Sebenarnya aku berdebar-debar juga memikirkan ujian yang bakal ditempuhi nanti. Inilah kali pertama ujian darah untuk melihat perkembangan CD4 dan viral load selepas menjalani rawatan HAART tetapi apabila aku fikirkan bahawa semua ini ketentuan  Allah, aku tenang semula. Relaks je bro...)

2.   Aku memaklumkan bahawa pihak majikan masih memerlukan Laporan Perubatan atas sebab-sebab tertentu. Antaranya memerlukan pengesahan beliau bahawa aku wajib menjalani rawatan berterusan seumur hidup dan sebagainya.

Bukan semua orang boleh faham bahawa kita perlu menjalani rawatan berterusan begini walaupun mereka mungkin nampak kita menelan hampir segenggam ubat setiap hari.

(Pun tak ada masalah, Dr. Iskandar siap emelkan drafnya kepadaku jika ada penambahbaikan dan sebagainya. Sampai aku malu sendiri  memikirkan keprihatinan beliau)

3.   Adakah aku masih perlu mengambil suntikan pencegahan Hepatitis dan Influenza setelah semuanya aku sempurnakan Julai yang lalu? Hepatitis 3 kali, Influenza sekali.

Dr. Iskandar: Cukup untuk Hepatitis tetapi suntikan Influenza perlu diambil setahun sekali kerana virusnya sentiasa mutant terhadap imunisasi.

4.   Kenapa aku sering sakit-sakit otot dan cepat keletihan sejak mengambil Kaletra sehingga aku tidak mampu melakukan senaman?

Dr. Iskandar: Berkemungkinan ianya adalah kesan Delay Onset Muscle Soreness atau DOMS (Sila google ya). Beliau menyarankan aku melakukan senaman atau kerja-kerja lasak secara berperingkat, mementingkan stretching dan mengikut kemampuan. Selebihnya banyakkan rehat.

5.   Aku mempunyai alahan dengan ubat yang mengandungi sulphur. Jadi adakah aku perlu memaklumkan kepada doctor bahawa aku alahan terhadap ubatan tersebut semasa mendapatkan rawatan untuk penyakit-penyakit lain?

Dr. Iskandar: Ya, perlu.

6.   Adakah berat badanku yang turun agak mendadak sepanjang bulan puasa lepas (anggaran 5 kilogram) adalah normal atau tidak?

Dr. Iskandar: Ianya masih normal kerana ianya berlaku sepanjang bulan puasa dan aku pula mengamalkan diet yang agak ketat. Tambahan sasaran berat ideaku masih belum tercapai.

(Pola pemakananku sekarang sebenarnya sangat berbeza setelah aku semakin alert dengan ‘mengenali’ apa yang aku makan.) 

7.   Soalan-soalan lain ada yang berbentuk personal untuk individu tertentu dan ada yang sudah terjawab melalui entry: PERHATIAN: SENARAI HARGA TERKINI DAN BEBERAPA MAKLUMAT BERKAITAN MENGENAI HAART SEHINGGA SEPTEMBER 2011


Semoga segala maklumat ringkas yang aku kongsikan ini ada manafaatnya kepada rakan-rakan yang lain. Terima kasih yang tidak terhingga kepada Dr. Iskandar Firzada bin Osman sekeluarga, para petugas KK berkenaan di atas segala keprihatinan, pertolongan dan sokongan.


p/s- Pada petang itu juga kebetulan aku berkesempatan pertama kalinya bersua dengan sahabat senasib yang baru didiagnos lebih kurang 3 minggu yang lalu. Sikap positif yang beliau tunjukkan sesungguhnya sangat-sangat mengkagumkan sekalipun sedang berjuang dengan pelbagai ujian besar.

Semoga lebih ramai rakan-rakan senasib yang bersikap begini. Usah diratap dan ditangis kepada sebuah anugerah Allah yang tidak ternilai. Pandanglah sesuatu dengan mata hati dan iman.  

Kekuatan sebenar kita adalah melalui ikatan dengan tali Allah dan dalaman sendiri. Bukan kerana pasangan, anak dan sesiapa. Sahabat dan golongan yang berhati mulia membantu serta peluang rawatan yang ada adalah hasil inayah Allah yang disampaikan melalui mereka. Bersyukurlah...