Monday, December 19, 2011

SETELAH SETAHUN AKU DIDIAGNOS SEBAGAI PLHIV (MESTI BACA)


Maaf, entry kali ini agak panjang, sila baca dengan teliti.

22 Disember 2010 adalah tarikh aku didiagnos sebagai PLHIV di Hospital Ampang. Disebabkan aku tidak berpuas hati kerana 2 kali ujian darah sebelum ini membuktikan aku negative, aku mengambil keputusan melakukan ujian semula di sebuah Pusat Perubatan Swasta di Kuantan.

Bukan setakat HIV, aku juga dikatakan dijangkiti hepatitis C. Bukanlah aku tidak dapat menerima hakikat, tetapi semuanya tak masuk akal bagiku. Aku mahukan jawapan kenapa aku dijangkiti HIV. Selain itu, aku risau isteri-isteri dan anak-anakku turut dijangkiti.

Lebih aneh, doktor di Hospital Ampang langsung tidak mencadangkan isteri-isteriku membuat ujian HIV secepat mungkin sedangkan itulah yang sepatutnya. Ketika itu rasa bingung dan rasa sakit hati tak payah ceritalah. Makan, minum, tidur, dan apa saja semuanya aku lalui seperti dalam mimpi.

Setelah sample darahku diambil, aku diminta datang seminggu kemudian untuk mengambil keputusan ujian Western Blot yang telah dijalankan.

28 Disember 2011 aku datang kembali untuk mengetahui keputusannya. Kali ini aku bertekad, jika aku betul-betul disahkan sebagai PLHIV, aku redha. Kebetulan tarikh tersebut jatuh pada tarikh lahir anak bongsuku.

Aku ke sana dalam keadaan pening dan penat yang amat sangat. Jalanpun masih melelong dan sesekali perlu dipimpin oleh isteri. Konon-konon kami berlagak romantic, berjalan berpegangan tangan tetapi sebenarnya aku takut melelong masuk longkang. Hahaha…

Sejak menjalani Bone Marrow Biopsy (yang melibatkan pemindahan darah dan menyebabkan tulang sum-sumku ditebuk 3 kali sekaligus; yang kemudian dikatakan samplenya tak cukup dan prosedur tersebut tidak perlu) dan akibat dimasukkan pelbagai jenis antibiotic dan perlu menelan bermacam-macam pil lain, kesihatan aku jadi tidak menentu (ketika itu).

Apabila kurang rehat dan perlu pula menjaga pula ibu yang sakit, maka rasa pening, letih, melayang, mamai, dan depression saling bertindan.

Sambung cerita…

Paling aku tak boleh lupa ialah semasa aku melangkah ke Pusat Perubatan tersebut, tanpa disedari aku terkencing dalam seluar kerana terlalu risau dengan result yang bakal diketahui. Terpaksalah aku beli pula sehelai kain pelekat untuk solat selepas itu. Hahaha…

Tu lah, kau orang ingat aku tabah sangat. Aku dulu lagi teruk daripada kau orang. Bezanya aku segera bangkit, bukannya melayan emosi.

Ringkas cerita, sahlah aku akhirnya menjadi seorang PLHIV tetapi syukur alhamdulillah isteri-isteriku bebas virus tersebut. Aku juga disahkan tidak mengalami jangkitan hepatitis C. Keputusan tersebut sebenarnya menjadi turning point untuk aku bangkit. Aku rela ‘menderita’ asalkan keluargaku sihat. Itulah doaku.

Kau orang boleh nampak tak silap matanya tu? 2 kali ujian darah selepas pemindahan darah aku disahkan negative, hampir 3 bulan kemudian dikatakan positive bersama hepatitis C. Kemudian disahkan pula tiada hepatitis C.

Sudahlah begitu, aku dimasukkan ke hospital tanpa apa-apa symptom jangkitan penyakit opportunistic yang biasa dikaitkan dengan HIV. Aku dimasukkan ke hospital hanya sebagai pesakit denggi.

Paru-paru, jantung, buah pinggang, hati (kecuali penyakit diabetes sedia ada) dan tekanan darah tinggi semua tak ada masalah ketika itu.

Ujian Viral Load aku pula sekitar 24,411 ekor melalui ujian darah lebih kurang 6 bulan selepas didiagnos sebagai PLHIV. Kalau dah lama aku ada virus HIV, logiknya dah ada beratus ribu atau berjuta ekor virus!

Aku bukan penagih dadah secara suntikan. Seks bebas memang ada tetapi bebas dengan yang halal lah. Maksud aku, isteri-isteri aku. Aku tak pernah pakai kondom… Salah ke? Hehehe… terkena kau orang!

Maksud aku, bila perlu dan ianya halal maka pergunakanlah. Bukankah nikah mengikut definisi syaraknya bermaksud akad (ijab qabul) yang menghalalkan persetubuhan antara lelaki dan perempuan… Tak gitu al-fadhil ustaz?

Kalau dah lama, logiknya isteri-isteri aku pun payah nak lepas virus ni sebab aku confirmed tak pernah cover dengan raincoat. Dah 21 tahun aku kahwin bro… aku dulu kahwin muda.

Tak cukup dengan itu, fail rawatanku hilang serta merta. Haaa… kau orang fikirlah sendiri dari mana puncanya.

Tak apalah, kita lupakan saja. Itu sekadar nota untuk ahli keluarga aku sendiri.

Bermula daripada zero, aku pelan-pelan bangkit, belajar banyak perkara, mula faham apa itu “Window Period”, maksud sebenar HIV, AIDS, cara mencegah jangkitan dengan tepat, rawatan, peluang, dan sebagainya.

Sehingga kini sudah setahun aku bergelar PLHIV. Masih belajar tentang HIV dan macam-macam pengalaman aku dah lalui. Nak cerita pun tak larat, mudah cerita, bacalah entries lama.




Peluang dan Harapan

Akhirnya di sebalik semua ini, apa yang aku nampak ialah sesungguhnya virus ini Allah hantar untuk mendidik aku dalam banyak perkara. Bukanlah bermaksud riak atau sombong tetapi memang kelebihannya banyak sangat!

Aku redha dan bersyukur virus ini ada dalam badanku. Allah beri aku sedikit ujian untuk beri aku begitu banyak kelebihan yang lain. Kelebihan yang takkan dapat aku rasa tanpa HIV. Serius! Jadi untuk apa aku mengeluh?

Kenapa, dah buang tebiat ke? Kalau dah seronok sangat, tak payahlah AHP dapatkan rawatan. Nak mati hina? Relax la, kau orang ni mudah sangat berfikir secara negative…

Sesungguhnya dengan HIV lah aku lebih merasai nikmat kehidupan. Susah orang biasa nak faham.

Ringkasnya, hubungan dengan Allah dan dengan keluarga lebih rapat, lebih merendah diri, lebih menjaga kebersihan, lebih bertanggungjawab, lebih menghargai, lebih prihatin, lebih panjang akal, lebih menyayangi, lebih menitikberatkan kebersihan dan peka kepada kesihatan, lebih bersabar, lebih tenang, lebih berlapang dada, dan dapat mengurangkan kecintaan terhadap dunia.

Mungkin di sebalik sikapku yang kelihatan peramah, tiada siapa yang percaya kalau aku katakan bahawa aku dulu seorang yang sangat inferior dan privacy. Sukar difahami. Alhamdulillah dengan HIV, atas rasa terpanggil untuk membantu membuatkan aku berjaya mengatasi masalah rendah diri tersebut. Mula berkeyakinan untuk bergaul dan lebih telus.

Ah, tak tersenarailah. Banyak sangat kelebihan. Semuanya perkara-perkara yang Islam tuntut tetapi aku hanya pandang sebelah mata sebelum ini.

Selain itu, ditakdirkan sejak ada HIV ni lah Allah kurniakan aku 2 orang anak dara yang solehah dan menjadi penyejuk mata serta penambah kebahagiaan kami sekeluarga.

Seorang (sulung) nama samarannya AO, dan yang kedua namanya As. Alhamdulillah keluarga kami menjadi bertambah besar dan bahagia sejak aku ada HIV. Macam-macam nikmat yang aku tak tahu sebelum ini mula aku rasai.

Bukan itu saja.  Aku punya begitu ramai sahabat tulen yang sangat-sangat hebat. Inipun kalau aku nak senaraikan tak tersenarai. Hubungan kami sangat-sangat rapat dan saling tolong-menolong tanpa apa-apa diskriminasi dalam apa jua cara. Sama sahaja di sisi Allah. Ada yang PLHIV dan yang non-PLHIV.

Paling best?

Haa… part inilah yang paling istimewa. Melalui HIV lah aku mengenali Dr. Iskandar.  Aku mungkin berpeluang menyelamatkan beberapa akidah, membantu orang mendirikan masjid (berkahwin), mengembalikan kerukunan rumahtangga, memberi peluang dan harapan kepada mereka yang berputus asa, berperanan membimbing masyarakat menjauhi zina dan meninggalkan maksiat, dan macam-macam lagilah.

Dahlah begitu, aku lebih ramai girlfriend berbanding dulu. (Hahaha… jangan jeles! Maaflah, aku ni jenis suka bergurau.)

Purata pembaca blog ini sahaja hampir mencecah 26,000 pelawat setiap bulan. Ambil jumlah paling minima. Katakan mesej positif ini diamalkan oleh 5 orang daripada 25,000 orang pengunjung tersebut, itupun sudah besar maknanya di sisi Allah s.w.t. Insya-Allah…

So, dengan segala tawaran dan kelebihan yang Allah berikan ini, adakah kau orang fikir layak untuk aku tukar dengan virus yang ada di tubuhku ini? Aku langsung tak hairan dengan virus ini. Suka hati dialah nak lepak dalam badan aku. Sudah tentu aku wajib berikhtiar menyelamatkan diri, tetapi hanya Allah yang boleh memberikan aku mudarat.

Sampai ke satu tahap, aku serius memikirkan untuk infakkan diriku semata-mata untuk komuniti. Aku nak letakkan jawatan dan memberi tempoh setahun daripada sekarang untuk aku memikirkannya. Melakukan istisyarah dan istikharah.

Perjuangan bersama komuniti memberikan aku kepuasan sebenar. Aku menjadi aku apabila dapat bersama dan membantu mereka. Sedikit sebanyak memberi kaunseling dan maklumat sebenar tentang HIV secara tepat kepada generasi muda lebih memuaskan hati aku.

Aku telah memikirkannya secara serius, telah berbincang dengan isteri-isteriku dan anak-anakku. Alhamdulillah mereka memberikan aku sepenuh sokongan. Masalah yang membelenggu aku ialah ketika zaman sihat dulu aku banyak sangat berhutang. Itulah masalahnya bila berhutang. Hutang wajib dibayar.

Maklumlah ketika itu aku tidak diberi peringatan secara direct oleh Allah. Jadi, aku rasakan umur aku ni panjang sangatlah kononnya. Hutang yang wajib dibayar hampir mencecah RM3000 setiap bulan. Bagi orang kaya, mungkin jumlah tersebut kecil, tetapi tidak bagi aku.

Itulah dilemma aku sekarang. Kalau tak, aku sudah bersedia untuk meletakkan jawatan. Setakat nak makan pakai secara asas, aku yakin rezeki ada di mana-mana. Hutang wajib tu yang buat aku pening.

Tips Untuk Berdepan Dengan Virus?

Tak ada tips kecuali kembali ke jalan Allah, redha dan hidup secara positif. Solat sangat-sangat penting. Doa-doa syifa’ kena amalkanlah setiap kali selepas solat. Tiada resah gelisah yang aku rasa. Bahkan feeling aku sentiasa seperti seorang teruna yang dah lama jatuh cinta dan baru menerima berita si dara pujaan hati turut menyimpan perasaan yang sama. Boleh bayangkan tak?

Doa aku tak banyak sangat. Kalau khusus untuk virus ini, aku sentiasa doakan sungguh-sungguh dalam setiap sujud akhirku supaya Allah berikan aku syifa’, dimatikan segala virus, ditingkatkan CD4, dijauhi penyakit-penyakit opportunistic yang lain, dipelihara jangkitan terhadap ahli keluarga, minta dianugerahkan kesihatan yang berkekalan, umur panjang yang diredhai, dipelihara iman, rasa redha terhadap segala ujian ini, dipelihara segala aib dan maruah dan dimatikan dalam keadaan husnul khatimah.

Apa Allah nak beri, aku redha aje. Yang penting usaha, ikhtiar doa dan tawakkal. Aku juga tak berfikir terlalu jauh ke depan. Aku hadapi hari demi hari seperti biasa dan menikmatinya.

Bahkan aku selalu pesan kepada ahli keluarga, bersedia menerima hakikat aku pergi menyahut panggilan Ilahi bila-bila masa sahaja. Don’t cry for me HIVer’s. Hehehe… ada atau tanpa aku, kau orang mampu melawan virus dengan bergaya. Kekuatan sebenar milik Allah dan dalaman individu. Bukan bergantung sesama makhluk.

Aku redha sangat-sangat cuma doaku supaya aku mati dalam nikmat husnul khatimah, dipelihara segala aib dan maruah serta janganlah ujian-Nya ini merosakkan keimananku.

Kadang-kadang aku terbayang betapa beruntungnya banduan di bilik akhir yang menunggu hukuman gantung dan sempat bertaubat. Ramai yang kita dengar akhir kalam mereka adalah syahadah, dalam keadaan berseri-seri dan mudah diuruskan jenazahnya.

Sedangkan ada antara kita yang mencemuh mereka tetapi kekal dalam keadaan maksiat sehingga tua dan akhirnya mati dalam keadaan kufur nikmat dan laknat Allah. Apa barang…

Terpulanglah kepada orang hidup nak buat apapun terhadap jenazahku nanti. Tak kuasa aku nak fikir. Nak mandikan dengan klorok ke, asid ke, dettol ke, apa ke, suka hatilah. Semut merayap di badanpun tak mampu kita tepis ketika itu.

Kau orang nak kata, nak kutuk apapun, kalau kau buat fitnah, kau tanggunglah dosa. Jangan sedih-sedih anak-anak isteri-isteriku. Redha sahaja kerana yang lebih penting kedudukan kita di sisi Allah.

Kalau kita fikir banyak sangat, nanti kita sakit kepala. Bak kata sahabatku Survivor, A, B, C, dan D hingga seterusnya. Jangan gopoh sangat nak jump daripada A terus ke D. Nanti patah kaki dan sakit badan.

Masalah kemanusiaan, bertanyalah kepada sesama manusia dan masalah ketuhanan, bertanyalah kepada Tuhan. Siapalah kita untuk pastikan apa yang berlaku esok lusa.

Aku patuhi rawatan sama ada kaunseling dan pharmacology. Aku lawan, lawan dan lawan apa juga masalah. Selain tu aku ambil beberapa supplement food sekadar perlu. Taklah terikat sangat. Sekadar ikhtiar dan bersungguh-sungguh kawal diabetes.

Banyakkan memberi daripada menerima. Cubalah membantu dan kongsi masalah bersama komuniti. Bila menolong, kadang-kadang kita banyak memberi nasihat dan dorongan. Hakikatnya aku bukan nasihat orang pun… Aku cuma nasihat diri sendiri. Bila dah sentiasa nasihatkan diri sendiri, akhirnya aura dan nilai positif tu melekat juga sikit-sikit dalam diri.

Sebab tulah sangat penting kita mengambil peranan di bidang fardhu kifayah. Bukan setakat fardhu ain semata-mata.

Cabaran dan Halangan

Eleh, yang ni tak payah fikirlah. Hidup siapa yang tak ada masalah walaupun muda, sihat, kaya, dan berdarjat sekalipun. Kita merana, ada yang lebih merana. Kita senang, bersepah yang lebih senang. Ada masalah sikit-sikit tu biasalah. Bacaan CD4 aku masih sangat rendah, (65 cells/uL) mengalami masalah platelet yang rendah dan penyakit diabetes. Bila-bila sahaja boleh terjadi perkara luar jangka tu. Habis, orang sihat tak ada risiko ke? Hehehe....

Kalau nak ikutkan masalah, kerenah segelintir pembaca yang mengirim emel atau bertanyakan masalah di ruangan komen tetapi apabila ditegur sedikit, terus mencerca, mendoakan macam-macam keburukan dan memaki hamun lebih menyedihkan aku. PLHIV yang berputus asa juga sangat-sangat menyakitkan aku. 

Umur aku pun bukan muda. Diabetes ni lebih bahaya daripada HIV jika tak dikawal. Realisticlah dengan kehidupan. Jangan terlalu berkeras dengan diri sendiri.


Konklusi

Kesimpulannya, setelah setahun aku menjadi PLHIV, HIV tidak menakutkan aku langsung! Aku tidak takut apa-apa. Non-PLHIV yang lebih takutkan HIV dan penuh dengan pelbagai andaian negative.

Prinsip aku, sesiapa sahaja boleh mati dalam pelbagai cara yang Allah sudah tentukan. Hak kita untuk berikhtiar dan berdoa. Hina dan mulianya kita bukan pada pandangan mata manusia.

Seperti yang aku sentiasa ulang, masalah PLHIV bukanlah disebabkan bahayanya virus, peluang mendapat rawatan terbaik dan kehidupan yang berkualiti, tetapi masalah PLHIV adalah kejahilan yang mengakibatkan berlakunya diskriminasi, stigma, paranoid dan judgmental. Buat apa aku nak layan semua sikap tu?

Selamat ulang tahun sebagai PLHIV wahai diri. Berbanggalah kau dididik Allah!