2012 bakal menjelma. Ini adalah entry terakhirku sepanjang berblog dalam tahun 2011.
Alhamdulillah setahun aku berblog sebagai PLHIV. Terdapat pelbagai kenangan manis yang dirasai. Sedikit yang pahit, itupun perlu sebagai ubat penguat jiwa. Semuanya bercampur gaul membentuk jiwa yang lebih mengerti dan faham tentang kebesaran-Nya.
HIV membuka terlalu banyak ruang positif jika kita memandangnya begitu. Ianya ujian dan didikan Allah yang penuh kelembutan dan kasih sayang yang tidak ternilai. Penuh hikmah dan rahmat yang melimpah ruah berbanding diri yang penuh dosa dan noda yang tidak terhitung.
Tiada apa yang perlu digusarkan. Perjalanan perlu diteruskan sebaik mungkin dengan redha dan syukur. Segala-galanya menjadi sangat-sangat indah dan bermakna. Bahkan kita mesti bersedia dan redha dengan apa saja ketentuan-Nya sama ada besok atau lusa.
Pandanglah hidup yang penuh warna warni dengan pandangan 3 Dimensi. Atur langkah mengikut abjad A, B, C, D dan nikmati apa juga kesempatan yang ada.
Ingatlah kematian secara bijaksana. Tingkatkan kualiti kesihatan dan berjuang untuk umur yang panjang dan diredhai tetapi realistic dengan Qadha’ dan Qadar.
Syukur sangat sepanjang 2011 Allah temukan aku dengan ramai manusia berhati mulia dan dikasihi. Kalau mahu disenaraikan, tak tersenarai. Hidupku kaya dengan doa dan kasih sayang insan-insan tersayang dan sahabat-sahabat yang sangat-sangat mengerti. Sokongan ada di mana-mana, segala doa terasa sangat hampir dan hadir.
Sepanjang Disember 2011 adalah antara bulan yang sangat meninggalkan kesan. Pemergian abang sulung tersayang ke rahmatullah, kejayaan anak bongsuku dalam PMR, menghadiri dan menerima berita 2 walimatul urus PLHIV pembaca blog ini, menziarahi dan berkumpul sesama ahli komuniti dan berpeluang bertemu beberapa individu yang teringin aku jumpa.
Antaranya Puan Alia Haryanie dan Puan Seroja sekeluarga.
Paling mengesankan adalah apabila dapat bersama Kumpulan Sokongan Komuniti tulen blog ini yang LR namakan sebagai Positive Warriors. Huh, hebat!
Bersama mereka menjadikan aku sangat bahagia. Merekalah keluarga besar kami yang sebenar-benarnya. Kami boleh menjadi diri kami yang sepatutnya, diterima tanpa apa-apa prejudis, diskriminasi dan kasta hidup. Ujian bagaikan tak terasa dan kami dapat lupakan seketika segala tekanan mengarut ciptaan manusia di luar sana.
Sebenarnya PLHIV adalah insan-insan yang sangat berdikari dan sehabis daya tidak mahu menyusahkan orang lain walaupun diri mereka tenggelam dalam masalah.
Air mata mudah saja tumpah melihat penderitaan rakan-rakan senasib dan perkongsian sokongan sentiasa ada apabila diperlukan.
Alangkah indahnya jika kami diterima begini dalam kehidupan sebenar. Sekurang-kurangnya kami dapat menjalani kehidupan berkualiti, berbakti kepada agama dan masyarakat dengan lebih efektif.
Bayangkan Laila sanggup memandu daripada Klang ke Temerloh, keseorangan di tengah-tengah lelaki, mengatasi rasa segan rendah diri semata-mata untuk bersama komuniti.
Seolah-olah hilang serta merta kesan alahan awal rawatan HAARTnya dan tidak pernah terasa hati dibuli sebagai ‘kaki makan’ oleh abang-abangnya yang bermulut laser. Selesa bermanja serta mengadu macam-macam dengan abang-abang dan kakak-kakaknya.
Kenapa? Kerana Laila yakin dirinya diterima tanpa prejudis dan diskriminasi. Tiada sesiapa yang mempersoalkan kenapa kau sakit itu ini, begitu begini. Bahkan tenang solat berjemaah dan menadah tangan berdoa memohon pertolongan Allah bersama abang-abang PLHIVnya.
Berpeluang menyelami isi hati Puan Seroja, sangat jelas terpancar keikhlasan dan kesungguhannya membantu rakan-rakan senasib. Bangkit selepas kejatuhan yang panjang menjadikan Puan Seroja sangat-sangat istimewa bersama suami dan anak-anak mereka.
Kesimpulannya aku langsung tidak hairan jika suami Puan Seroja (non PLHIV) sangup menerima Puan Seroja seikhlas hati dan dengan penuh kasih sayang. Insan gila mana yang sanggup melepaskan permata yang sungguh berharga?
Aku berdoa suatu ketika nanti Laila dan Asrina sekurang-kurangnya mampu menjadi sehebat Puan Seroja. Kita memerlukan lebih ramai Positive Warriors di kalangan PLHIV wanita.
Aku berdoa suatu ketika nanti Laila dan Asrina sekurang-kurangnya mampu menjadi sehebat Puan Seroja. Kita memerlukan lebih ramai Positive Warriors di kalangan PLHIV wanita.
Kepada rakan-rakan baru yang baru didiagnos di luar sana, usahlah resah gelisah melulu tak tentu hala. Cubalah bersikap positif. Sekurang-kurang terhadap Allah dan diri sendiri.
Kepada yang terdedah kepada risiko, paranoid dan kononnya bermasalah sangat walaupun ujian HIV sudah membuktikan mereka bebas HIV, usahlah menggelabah mengalahkan PLHIV yang sedia bermasalah.
Kalau teringin makan makan bersuap, sesekali ok tapi kalau selalu sangat, henti-hentikanlah kerana tangan ini tangan tua yang darahnya ada HIV.
Belajar-belajarlah bertaubat dan bukalah kembali sejadah atau Qur’an. Ini masanya untuk muhasabah diri. Cukup-cukuplah mendoakan keburukan dan memaki hamun kami di sini dengan pelbagai tuduhan yang kononnya kami enggan membantu.
Kepada PLHIV yang menghubungiku melalui emel dan meminta untuk menjadi Kumpulan Sokongan (Positive Warriors) AHP, kami boleh buka pintu seluas-luasnya untuk menjalin silaturrahim dan berkongsi. Tetapi fikirkan dulu beberapa perkara.
Mahu diterima, perlulah belajar menerima. Mahu difahami, perlulah belajar memahami. Mahu disokong, perlulah belajar menyokong. Mahukan kepercayaan, perlulah belajar mempercayai.
Jangan sampai kita mengharapkan kepercayaan tetapi dalam masa yang sama sibuk membina tembok, benteng dan peraturan supaya sempadan kita tidak dicerobohi. Usahlah hanya memikirkan masalah dan kepentingan sendiri. Sahabat-sahabat kita tahu etika dan limit masing-masing.
Lebih luka dikecewakan rakan-rakan senasib atau mereka yang mendakwa diri mereka memahami daripada orang luar yang tak faham apa-apa.
Kepada sahabat-sahabatku yang banyak membantu, apa lagi yang boleh aku katakan selain, I LOVE U? Yes. I LOVE U ALL! Moga silaturrahim ini membawa ke syurga.
Kepada PLHIV yang memilih untuk bersendirian sekalipun telah ditawarkan pertolongan dan pernah meminta pertolongan melalui blog ini, terpulanglah. Tiada paksaan dan pilihlah jalan yang selesa. Kami doakan kebahagian dan selamat berjuang.
Semasa sihat, memanglah rasa seperti tak perlukan orang lain. Apabila tersepit atau apabila dah terpaksa diusung ke hospital nanti, hubungilah kami semula supaya kami dapat bantu apa-apa yang patut. Bukan apa, dah banyak kes sebegitu yang aku lihat. Nafikanlah macamanapun, HIV tetap ada dalam darah.
Kekuatan sebenar hanyalah dengan memohon pertolongan Allah, kekuatan dalaman dan dengan sokongan komuniti.
Kepada semua pihak yang menyokong dan membantu, hanya doa ini yang mampu aku hadiahkan: JAZAKUMULLAH KHIER!
Mohon maaf atas segala salah dan silap. Akhir kata, insya-Allah kita berjumpa semula di tahun 2012. Pelan-pelan terimalah hakikat bahawa mungkin akan terdapat sedikit perbezaan pendekatan di blog ini mulai 2012. Ini masanya untuk berdikari.