Tuesday, October 11, 2011

KISAH BENAR: SUKA DUKA SEORANG WANITA PEMBAWA HIV YANG CEKAL



Dalam entry bertajuk ‘KITA SUDAH TIADA MASA’, syukur alhamdulillah kita memperolehi perkongsian pengalaman yang sungguh bermakna daripada seorang pembawa HIV cekal yang hanya mahu dikenali sebagai Seroja.

Untuk pengetahuan semua, hasil daripada blog ini, aku mempunyai ramai sahabat baru yang terdiri daripada kaum Hawa. Sama ada sebagai pembawa HIV atau pasangan kepada pembawa HIV.

Yang menariknya tentang mereka ialah, biasanya di peringkat awal jangkitan atau ketika suami mereka baru didiagnos sebagai pembawa HIV, mereka sangat emosional dan menggelabah. Tetapi apabila mereka membuat keputusan untuk bangkit, masya-Allah...

Majoritinya mereka jauh lebih kuat, meninggalkan kaum Adam yang terkial-kial di belakang.  

Mereka juga biasanya ‘garang-garang’. Kalau mereka rasakan aku kelihatan lemah, aku perlulah bersedia untuk menerima macam-macam SMS dan emel berbentuk tazkirah dan amaran. Hehehe... terima kasih! Garang nampak?

Atau jika mereka rasa pasangan mereka diaibkan dengan diskriminasi atau maruah diri tercalar, huh..., bersiap sedialah mereka yang cuba cari penyakit. Nanti bermacam-macam pula SMS panas mereka yang aku terima. Tak pasal-pasal aku jadi tempat mereka lepaskan marah.

Bimbang jika perkongsian berharga Puan Seroja ini tidak dibaca oleh para pengunjung yang lain, aku jadikannya sebagai sebuah entry. Inilah antara lambang perjuangan sejati seorang insan istimewa.

Kepada Puan Seroja dan sesiapa sahaja kaum Hawa, sudi-sudikanlah berkongsi apa juga pengalaman di sini jika berkesempatan. Pandangan kaum Hawa juga sangat penting.

Terima kasih dan jazakallah  khier untuk sebuah  perkongsian yang sungguh bermakna. Ini blog untuk kita. Untuk semua pembawa HIV, para pengidap penyakit-penyakit kronik dan insan-insan prihatin.  

Maaf puan, terdapat sedikit suntingan untuk disesuaikan sebagai sebuah entry. Jom kita baca perkongsian Puan Seroja:

  
Salam rakan-rakan seperjuanganku,

Saya salah seorang PLHIV. Saya seringkali membuka ruangan blog ini dan mengikuti perkembangannya dari semasa ke semasa tetapi inilah kali pertama saya tampil untuk menyumbangkan sesuatu. Saya berharap ianyanya menjadi inspirasi buat insan senasib saya.

Saya ingin sekali berkongsi kisah suka duka kehidupan saya yang telah 8 tahun hidup bersama virus HIV di dalam badan saya.

Saya adalah anak kesayangan ayah. Saya dididik dengan baik dan mempunyai  diploma dalam bidang yang saya minati. Walaupun sudah berkawin dan mempunyai seorang anak, ayah masih menganggap saya anak manjanya.

Ayah masih nak ikat rambut saya dan tunggu saya datang untuk potong kukunya. Tetapi langit tidak selalunya cerah. Ibu bapa mana yang tidak hancur hatinya apabila mendapat tahu anak kesayangannya dijangkiti virus HIV. Tidak cukup dengan itu, anak saya juga turut dijangkiti.

Selepas itu hidup saya seolah-olah tidak bermakna lagi. Saya tidak peduli tentang diri saya, anak saya dan suami saya.

Pendapat doktor yang mengatakan saya hanya mampu hidup 4 tahun sahaja lagi terngiang-ngiang di telinga. Sehinggalah suami meninggal dan anak dijaga oleh bekas mertua, saya tetap mengurung diri.

Badan kurus menampakkan tulang, kulit bertukar hitam dan saya tidak mampu berdiri sehingga terpaksa mengensot untuk ke bilik air. Mak dan ayah hanya mampu menangis melihat saya.

Ketika itu saya amat pasti hidup saya tidak panjang dan masa depan saya gelap. Seolah-olah menanti hari kematian sahaja. Saya amat pasti akan pergi menghadap yang Maha Esa bila-bila masa sahaja.

Itulah yang berlaku 8 tahun dahulu tetapi sekarang, siapa sangka saya masih di sini. Saya bangga dengan diri saya. Saya mempunyai kerjaya sendiri dan keluarga saya amat mengambil berat dan sayangkan saya sama seperti dulu.

Dan yang paling indah, 2 tahun yang lalu saya bertemu jodoh dengan seorang yang amat menyayangi dan memahami saya dan dia BUKAN HIV+.

Hari-hari yang saya lalui bertambah indah apabila tanggal 2 November 2010 saya selamat melahirkan seorang putera yang amat comel dan yang paling penting, dia bebas dari virus HIV. Bulan depan umurnya genap setahun.

Anak pertama dengan bekas suami sudah tahun 3 di sekolah rendah. Dia juga tinggal bersama saya. Pelajarannya cemerlang dan IQnya juga tinggi. Bacaan CD4 dan viral load nya di tahap yang tidak membimbangkan

Saya bercita-cita ingin melihat dia belajar sehingga mendapat ijazah dan berkahwin. Saya tidak akan berputus asa, insya-Allah...

Sungguhpun begitu, 8 tahun adalah jangkamasa yang agak lama. Banyak pahit maung yang saya lalui. Tidak lekang daripada stigma dan diskriminasi masyarakat, keluarga dan termasuk kakitangan hospital.

Bukan mudah untuk saya melaluinya dan menjadi begini. Seperti kawan-kawan yang lain, saya juga pernah dihina, dicaci dan disisihkan oleh saudara sendiri TETAPI semuanya terpulang pada diri kita sendiri.

Hanya diri sendiri yang mampu mengubahnya. Bak kata pepatah, “Hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih...” Jadi berusahalah dan sentiasa berdoa. Insya-Allah Tuhan pasti memudahkannya.

Salam dan Ikhlas,

Seroja.


p/s- Mohon maaf jika aku tidak mampu respon terhadap semua komen rakan-rakan pengunjung. Aku sangat-sangat hargai segala sokongan tetapi seringkali tidak cukup masa dan terikat dengan komitmen untuk membalas emel-emel penting pembaca yang memerlukan perhatian segera.

Terima kasih yang tidak terhingga atas segala sikap prihatin, sokongan dan saling bantu membantu sesama rakan di blog ini. Tekananku menjadi lebih ringan apabila ramai yang sudi menghulurkan tangan.

Dalam banyak keadaan, jawapan sesama rakan jauh lebih tepat berbanding jawapan aku kerana ramai yang professional, lebih berpengalaman, terlibat secara formal di bidang perubatan, sukarelawan dan sebagainya.

Semoga rahmat dan redha-Nya yang berkekalan untuk kita, insya-Allah...